Friday 11 September 2015

Lilin (Prolog ~ Bab 2) ~ Ainul Farihah

PROLOG

Haih… Zuhair Amir…”.
Zuhair tidak berbicara, tunduk memandang kaki.
“Bila la agaknya enta ni boleh banggakan mualim dan mualimah…”.
###


BAB 1

HOSPITAL SERDANG. 5.35PM
GELAP.
Huh….
Aku mengambil nafas. Sejurus menghembuskannya dengan tenang, aku mula mencelikkan mata. Baru sedikit kelopak mata dibuka, cahaya terang menusuk masuk ke dalam mata. Silau yang teramat. Cepat-cepat aku kembali menutup mata.
Beberapa saat setelah itu, cubaan yang sama dilakukan. Untuk beberapa ketika, aku cuba membiasakan mataku dengan suasana sekeliling. Meskipun belum dapat meneka di manakah aku berada kini, aku cuba untuk terus tenang sehingga mataku sudah benar-benar tidak berasa silau lagi. Nafas juga aku hirup dan hembus dengan tenang.
Kali ini baru terasa bahawa hidung dapat kembali menghidu.
Bau ni….
Aku berkerut. Dalam keadaan berbaring, aku menoleh kepala ke kanan dan kemudiannya ke kiri. Segala alatan dan suasana keadaan sekeliling mula memberitahu minda di mana aku kini berada.
Hospital?
Baru satu pertanyaan yang bergema dalam kepala. Aku sendiri tahu sebentar sahaja lagi banyak soalan akan menerjah minda, maka aku bersedia untuk itu walaupun tidak punya jawapan yang pasti. Tatkala kepala digerakkan kembali menghadap siling, baru terasa denyutan di bahagian belakang dan tengah kepala.
Tangan kiri segera aku bawa ke atas, meraba kepala yang kini berbalut. Aku lihat pula tangan kanan. Jarum halus ditusuk pada bahagian belakang tapak tangan, ditampal dengan pelekat putih dan disambung pada wayar yang menjadi laluan kepada air untuk masuk ke dalam badan. Branula. Aku tahu kerana abah seorang pensyarah perubatan.
Apa semua ni?
Pertanyaan kedua pula bergema.
Relaks, Zuhair… Aku menenangkan diri walau dalam keadaan bingung tahap mega giga tera punya waktu ni. Dengan tiada orang di sisi katil, dan juga dengan kawasan yang ditutupi dengan langsir hijau, ‘mau’nya aku tidak bingung. Belum kira dengan keadaan diri sendiri yang dah macam apa entah.
Kepala berbalut, kaki macam boleh tak boleh nak gerak, lengan lebam-lebam…
Aaargh,….
Suara dalam hati aku menjerit. Kepala mula menafsirkan beberapa perkara supaya aku kembali tenang dan mengenalpasti apa yang berlaku ketika ini. Aku, Zuhair Amir bin Amran sedang berada di hospital. Dalam keadaan fizikal yang dilihat dan  aku kenalpasti sebentar tadi menunjukkan seolah-olah aku baru sahaja terlibat dengan satu kemalangan yang menyebabkan aku mengalami kecederaan fizikal sebegini rupa.
Tapi kemalangan apa?
Satu suara yang seolah-olah meronta kebengangan kerana tidak mampu sabar dengan kebingungan yang melanda bertanya, mematikan segala interpretasi yang menjadi konklusi dalam minda. Sudahlah tidak tahu apa yang menimpa diri, ditambah pula bila fikiran mula kembali bertanyakan begitu banyak soalan.
Hari ni hari apa?
Pukul berapa sekarang?
Mana semua orang? Abah? Along?
Kenapa aku dekat sini?
Lengan kiri yang diletakkan di dahi bergerak turun, menutupi matan. Nafas berat dihela. Terlalu banyak soalan. Tanpa satu jawapan pun yang menjawab. Maka aku mengambil keputusan untuk berdiam sehingga akhirnya aku terlelap kembali.
###





BAB 2

9.15 PM
“Abah baliklah dulu, esok abah kerja, kan?” .
“Betul along nak teman angah lagi malam ni?”.
Anggukan diberi sebagai jawapan.
“Pukul 10 nantilah abah balik,”.
Perbualan Asyraf dan abah mulai kedengaran di telinga. Perlahan-lahan, aku mencelikkan mata. Seperti sebelumnya, aku mengambil masa untuk membiasakan mata supaya menerima cahaya terang setelah lama bergelumang dalam kegelapan. Cuma kali ini dapat aku rasakan bahawa cahaya yang ada tidak secerah sebelumnya dan silaunya juga dirasakan kurang.
Nurani aku kuat mengatakan bahawa sekarang adalah waktu malam.
“Angah…” Suara Asyraf kedengaran lagi. Aku dapat merasakan dia berada berhampiran denganku. Aku tidak bergerak walaupun sedikit, membiarkan mata terus merenung siling. Melalui deria pendengaran, aku dapat mengagak bahawa abah yang baru sahaja duduk di kerusi kini kembali berdiri dan berjalan mendekatiku.
“Angah..” Abah pula bersuara. Dirasakan bahawa tangan abah menyentuh perlahan tangan kirinya.
Aku menggerakkan kepala, menatap wajah abah dan along satu persatu tanpa bersuara sepatah pun. Kedua-dua mereka tersenyum kegembiraan. Sesaat kemudian, aku kembali memejamkan mata sebelum mula menggerakkan seluruh tubuh, cuba untuk duduk bersandar.
“Hey….hati-hatilah…” ujar Asyraf, lekas membantunya untuk duduk. Bantal ditegakkan, dijadikan tempat bersandar. Abah juga membantu, bersuara mengingatkan agar aku berhati-hati.
Aku masih lagi tidak bersuara. Tetap berdegil mahu mengubah posisi walaupun jauh dalam hati, aku ingin tahu fizikal yang mana sahaja sebenarnya mengalami kecederaan. Meskipun pergerakan pantasku itu menyebabkan beberapa bahagian terasa sakit, riak wajah aku kawal dengan baik.
Ego untuk tetap mengawal macho.
“Apa jadi sebenarnya?” Aku akhirnya bersuara, memandang along dan abah. Asyraf dengan muka selamba ‘toya’ tahap sepuluhnya duduk di birai katil manakala abah menarik kerusi berhampiran. Kedua-dua mereka bertukar pandangan sebelum kembali menatap wajahnya.
“Kemalangan jalan raya,” ujar Asyraf.
Eh? Zuhair berkerut. Aku pandang wajah along lama-lama.
“Tak percaya?” Asyraf mengangkat kening sebelah. Asyraf sendiri tahu bahawa dirinya adalah manusia yang paling kuat menyakat adik-adiknya di rumah, kerana itu dia menjangkakan aku agak susah mahu mempercayai kata-katanya meskipun dalam situasi serius seperti itu.
Aku mengangguk perlahan. Kerutan di dahi itu bukan tanda tidak percaya dengan jawapan Asyraf, tetapi kerana tidak satu bayangan kemalangan yang bermain di kepala ketika itu. Fikiran aku kosong. Tiada apa yang aku ingati yang membawa diriku ke tempat itu.
“Habis tu?”
“Angah tak ingat apa-apa, ya?” Abah memotong.
Aku menggeleng sambil memandang tepat ke arah abah. Abah dulu pernah jadi doktor, maka tidak hairan abah tidak begitu terkejut dengan jawapan aku sebentar tadi.
“Allah…” Nama Ilah yang disebut dalam nada terkejut oleh Asyraf membuatkan aku segera menoleh ke arah abangku yang kini menekup mulut. Mata bulatnya memandang ke arah mataku manakala aku pula langsung tidak bereaksi dengan riak terkejutnya itu.
“Angah hilang ingatan? Angah ingat tak along ni siapa?” Telunjuk Asyraf menghala ke diri sendiri. Mimik wajahnya sudah bertukar kepada riak terkejut bercampur sedih. Dia ni memang dramatik terlebih kadang-kadang.
“Aku ni abang kau, angah, Alif Asyraf bin Amran,” Suara pilu yang dibuat-buat kedengaran. “Kau tu adik aku, Zuhair Amir. Adik bongsu kita, Fahim Azam…”.
“Diamlah, along,” Laju aku memotong drama abang sulungkuu itu. Kepala otak along ni boleh masuk air tak kira waktu dan tempat. Sudahlah sekarang ni di hospital, berhadapan pula dengan aku yang baru sahaja menyedarkan diri.
“Eh, angah ingat along,” Asyraf membuat gaya lega dengan senyuman yang serta merta melebar. Abah cuma menggeleng, cukup kenal dengan perangai anak-anaknya.
Aku sengih sambil menjeling ke arah lain. “Kalau angah lupa nanti, kesian pula pada along…”.
“Dah…” Abah menjadi penamat konversasi kami. “Angah rasa apa sekarang? Sakit-sakit?”.
Aku kembali menatap wajah abah seraya menghiraukan along. Melayan along kadang-kadang boleh buat diri lupa dunia. “Kaki kiri rasa payah sikit nak gerak, lengan dan tulang belakang macam lenguh-lenguh,”.
“Kepala?”.
Aku menjulingkan mata ke atas untuk seketika, kembali mengingati bahawa kepalaku masih dalam keadaan berbalut. “Rasa berat…dan sakit la juga…”.
Abah mengangguk. Serentak itu, langsir hijau diselak. Seorang lelaki berkot putih yang jelas menunjukkan dirinya seorang doktor kini melangkah masuk. Matanya dipicingkan, membaca nama pada tag nama doktor itu. Azman. Dr. Azman. Lelaki separuh umur dengan rambut separa beruban yang disikat rapi ke kiri itu tersenyum ke arahnya.
“Alhamdulillah….Zuhair dah sedar,” ujarnya. Dia berjabat tangan dengan abah dan Asyraf sebelum menghampiriku. “Rasa okay?”.
Aku memaksa diri mengukir senyuman sambil mengangguk. Belum sempat pun Doktor Azman itu mahu meneruskan bicaranya, abah seolah-olah membisikkan sesuatu ke telinga doktor tersebut. Doktor Azman mengangguk sebelum tersenyum ke arahku dan meminta diri untuk beredar.
“Kenapa, abah?” Aku bertanya.
Abah tersenyum manis. “Abah bagitahu Doktor Azman yang kamu belum ingat apa yang berlaku. Abah minta masa untuk ceritakan apa yang terjadi,”.
“Oh…bagus..” Aku berkata sambil mengukir senyum. Memang itu yang aku mahu. Aku mahu tahu apa yang berlaku. “Apa yang jadi…?”.
Abah mengambil nafas sejenak.
“Kejap,” Tapak tangan kuangkat, memberi isyarat supaya abah tidak mula berkata-kata. “Sebut sekali hari dan waktu. Angah dah blank habis, tak tahu hari ni hari apa…sekarang pukul berapa…”.
Abah dengan senangnya mengangkat ibu jari, memberi isyarat thumbs-up. “Semalam hari Selasa, 6 Mei, angah kemalangan. Waktu tengahari. Motor dengan kereta. Angah tercampak beberapa meter dari kawasan kemalangan, kepala angah terhentak dekat jalan raya. Alhamdulillah, hentakan tu tak kuat mana sebab angah daratkan lutut kiri dan bahu kiri serentak,”.
“Mana abah tahu?”.
“Saksi kemalangan cakap. Doktor Azman yang periksa angah tu pun cakap, itu punca kaki kiri dan bahu kiri angah lebih parah dari bahagian kanan,” ujar abah. “Kepala terhentak kemudian, lepas badan dah mendarat pada jalan raya,”.
“Along dah pesan, bawa motor tu pakai topi keledar,” Asyraf dah mula buat gaya mak-mak membebel. “Angah baca doa naik kenderaan tak?”.
Aku gigit bibir, menjeling tajam ke arah along.
Pertama, nasib baik fizikal aku ini tidak begitu cergas dengan kecederaan yang aku alami. Kedua, itu hospital, dan aku perlu mengawal supaya behave tahap tatasusila yang tertinggi. Ketiga, memang tiada apa di situ yang boleh jadi bahan untuk dibaling tepat pada muka along. Maka atas tiga sebab itu, aku membatalkan niat yang satu iaitu mahu mencampak apa yang ada tepat mengenai wajah along supaya dia diam. Annoying teramat.
Situasi kemalangan seperti yang abah cerita itu langsung tidak terbayang pada wajah. Tidak sedikit apa pun daripada penjelasan abah aku ingati, inikan pula mahu mengingati sama ada aku baca atau tidak doa naik kenderaan.
“Angah tak ingat apa-apa pun, abah,” Aku jujur. Kenapa aku tak ingat apa-apa? Mustahil abah reka cerita, (sebab abah tak kuat mengusik macam along, kalau along yang cerita, boleh dipertimbangkan cerita tersebut rekaan atau sahih). Kalau nak kata abah reka cerita pun, langsung tiada bayangan lain yang menerjah minda yang menggantikan alkisah kemalangan itu.
“Normal ke macam ni?” Asyraf memandang abah.
Abah mengangguk tenang. “Normal juga untuk sesetengah orang yang kemalangan dan tak sedarkan diri setelah kemalangan. Otak trauma dan mengalami kejutan, belum mampu untuk ingat balik apa yang jadi bila dah sedarkan diri. Sekejap sahaja. Otak perlukan rehat yang cukup sebelum proses dan ingat balik apa yang betul-betul jadi,”.
Aku hela nafas. Sejujurnya diriku berasa lega dengan penjelasan abah itu walaupun aku sebenarnya keliru dengan otak yang bekerja kejap ingat kejap tak ingat ni. Bila fikir balik, aku ni cumalah pelajar 17 tahun yang setakat ni, hanya belajar subjek Biologi yang dapat dikaitkan dengan sistem dalam badan.
Abah ada PhD dalam bidang perubatan, berpengalaman menjadi pensyarah perubatan dekat berapa tempat entah dia pun tak ingat. Bermula dengan abah menjadi pensyarah perubatan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kampus Kuantan, kemudiannya kami berpindah ke Serdang, Selangor.
Aku lahir di Kuantan, membesar di negeri Pahang itu selama 12 tahun sebelum kami sekeluarga berpindah ke Serdang. Sekolah menengah aku pula di Kajang, tidak jauh dari rumah. Sejak berpindah itulah abah banyak bertukar tempat kerja sebagai seorang pensyarah dalam bidang perubatan.
Detik itu, aku merasakan lega dalam jiwa. Aku masih ingat diri dan sejarah hidupku, bererti teori abah berkenaan hilang ingatan yang sementara itu dapat digunapakai. Asyraf juga mengangguk, menerima penjelasan abah.
Melihatkan abang sulungku itu, aku ingat bahawa along bercita-cita mahu sambung pelajaran dalam bidang perubatan juga. Keputusan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM)  along yang baru keluar bulan lepas cukup memberi peluang along menyambung pelajaran dalam bidang perubatan.
Heh…
Aku sengih sendiri. Along diakui merupakan orang paling pandai dalam kalangan mereka tiga beradik. Semua cemerlang. Abangku ini memang jadi bukti ‘Don’t jugde a book by it’s cover’ itu satu peribahasa yang boleh pakai.
‘Kerek’, ‘sempoi’ dan gamers macam mana pun Asyraf, otaknya waktu peperiksaan memang jadi idaman dan rebutan ramai. Tipulah kalau aku tidak pernah cemburu dengan along, tapi itu cerita lama.
Cerita lama?
Apa cerita baru yang aku ingat? Dan….apa cerita lama? Mata aku membulat, memandang abah yang sedang berbicara dengan along. Bicara mereka guna bahasa doktor-doktor, aku pun malas nak ambil pusing membuatkan fikiranku menerawang sebentar tadi.
“Kenapa?” Abah bersuara, menyedari aku kini memandang ke arahnya, seolah-olah ada sesuatu yang ingin aku tanyakan.
“Angah naik motor nak pergi mana? Semalam Selasa? Kenapa angah ….tak sekolah?”.
Asyraf lekas memandang abah yang langsung tidak memberi respon. Abah memberi isyarat mata supaya Asyraf menjawab segala pertanyaan yang aku ajukan.
“Angah,” ujar Asyraf dengan suara yang seakan memanggil. Tidak kedengaran seperti main-main, menandakan Asyraf dah mula serius. “Angah kena gantung sekolah dua minggu mulai kelmarin,”.
Aku membuat isyarat dengan riak wajah, menyuruh along menyambung bicaranya.
“Angah kena gantung sekolah sebab belasah pengawas. Itu daripada apa yang Teacher Sophia laporkan pada abah bila pihak sekolah suruh guru kelas telefon abah dan bagitahu tentang masalah disiplin angah ni. Geng angah yang lain tak pula kena sebab diorang tak terlibat waktu belasah-belasah tu…” Asyraf lancar bercerita. Cukup kenal dengan teman dan guru adiknya kerana dia juga bekas pelajar dari sekolah yang sama walaupun cuma dua tahun belajar di situ.
“Geng angah?”.
“Yup..” Asyraf mengangguk laju. “Acad, Pang, Umar, Todak, dan sesiapa lagi la…. Petang semalam, angah macam bengang sangat agaknya bila abah kata angah tak boleh keluar rumah. Degil punya pasal, angah pun keluar rumah naik motor pergi mana entah. Then….bumm…,”.
“Woaa…” Aku lekas meningkah. “Acad …Pang…Teacher Sophia..?”. Kalau boleh aku nak tambah lagi. Abah kata aku tak boleh keluar rumah? Aku kena gantung sekolah? Motor langgar kereta?
Asyraf mengangguk lagi. Melihatkan riak wajah aku, dia mula mengagak sesuatu. Dia pandang abah, namun abah tidak berkata apa-apa. “Angah…” Dia kembali memandang aku.
Aku pun angkat kening sebelah dalam kerutan dahi yang jelas menunjukkan segala apa yang diceritakan oleh Asyraf langsung tidak dapat ditafsirkan dek akal dan mindaku. Aku digantung sekolah sebab belasah orang. Segala cerita along daripada awal itu langsung tidak masuk ke dalam fikiran kerana seakan tiada satu pun memori merekodkan itu yang terjadi pada aku.
Apa ni? Nafas mula sesak. Aku tahu Asyraf kali ini serius.
“Angah sekolah dekat mana?”.
Aku diam. Tak tahu…
“Angah ingat tak Teacher Sophia?”.
Mata aku dikatup rapat. Siapa….
“Pang…your best buddy. Atau…apa nama penuh dia? Aliff?” Asyraf bertanya. “…and the rest of your clan… Pa’an, Umar…”.
Dada terasa sesak.
“Siapa semua tu, along?” Aku akhirnya membuka mata, jujur dengan segala yang dirasai. Wajah along dan abah ditatap, mengharapkan jawapan. Hanya Tuhan tahu betapa harapan kali itu lebih tinggi daripada mengharapkan jawapan kepada semua persoalan sebelumnya.
Asyraf memandang abah. Walaupun abah tidak mempamerkan riak terkejut, dia tahu abah agak tersentak dengan respon aku.
****



PEJABAT DOKTOR AZMAN. HOSPITAL SERDANG.
“Amnesia?” Asyraf mengulang.
Abah mengangguk dan seterusnya menatap pula wajah Doktor Azman. “Aku tahu kalau mungkin Zuhair mengalami post-traumatic amnesia yang disebabkan hentakan kuat pada kepala, tapi itu mungkin mild trauma je,”.
Asyraf diam sambil memasang telinga terhadap perbualan tersebut.
Doktor Azman menghela nafas berat. “Aku juga ingat disebabkan post-traumatic amnesia itu dia cuma mengalami mild trauma.. Mmm… hilang ingatan untuk detik waktu kejadian disebabkan hentakan pada kepala,” Doktor Azman berdehem, menjeling sambil senyum ke arah Asyraf.
Asyraf membalas senyuman doktor tersebut, sebagai tanda terima kasih kerana memahami dirinya yang tidak memahami beberapa istilah dari mulut mereka berdua itu.
“Aku rasa…” Abah menyandarkan diri pada kerusi, memandang tepat ke wajah Doktor Azman. Mereka berdua seakan-akan berhubung secara telepati dan Doktor Azman mengangguk setelah dapat membaca apa yang bermain pada fikiran abah.
“Aku pun rasa begitu….” Tangan kiri Doktor Azman bermain dengan pen. “Retrograde amnesia barangkali. Hentakannya sama ada melibatkan medial temporal lobe atau mana-mana bahagian spesifik Hippocampus,”.
Abah telan liur. “Mungkin untuk beberapa bulan atau tahun ke belakang,”.
“Itu boleh jadi sementara dan mungkin untuk bahagian-bahagian memori tertentu,”.
“Dia masih ingat aku dan Asyraf, diri dia…”.

Sepi.

No comments:

Post a Comment