Thursday 3 September 2015

Dona Karan Penang (Prolog - Bab 1) ~ Fatihah Pauzihal


PROLOG


                “Dona Karan Penang,
                                Jika semua bahagia dalam dunia ini meninggalkanmu...
                                Jika semua jiwa dalam dunia ini berlari pergi...
                                Jika semua rasa dalam dunia ini hilang...
                                Ingatlah bahawa awak masih ada DIA Yang Maha Esa..

                                                                  Sahabat di maya,
                                                                                                Man In Black.
                                PS: Ingatlah yang awak juga ada saya!”


                Farah terpaku di hadapan komputer. Emel itu di baca berulang kali. Ringkas tapi sangat mengesankan di hatinya.
                “Man In Black?” Bibirnya mengorak senyum panjang. Malam ini dia mahu tidur awal. Dia mahu mimpikan lelaki dalam pakaian serba hitam yang tidak pernah di temuinya itu!
 **************************************************************************************


Universiti Sains Malaysia
1999- 2001

Bab 1

“Farah, telefon!” Aiyun menjerit nyaring.
“Woi, kau ingat pukul berapa sekarang ni yang kau menjerit macam orang gila?” Sergah Bali yang sedang meniarap dengan buku C++ Programming diletakkan di atas kepalanya. Kononnya, maklumat-maklumat dalam buku itu akan meresap masuk ke dalam otaknya tanpa perlu di baca. Esok dia akan mengambil ujian bertulis dan amali. Entah ‘tok bomoh’ mana yang bagi ajaran sesat ni.
“La, baru pukul 1 pagi,” Aiyun sengih dan membuat muka tidak bersalah.
“Baru kau kata?” Bali melemparkan bantal peluk ‘Doraemon’ yang dijadikan tempat dia menyembamkan mukanya tadi ke arah Aiyun.
“Tak kena... tak kena... hahaha...” Kemudian dia teringatkan sesuatu. La... telefon.
“Farah woi... kau dengar tak ni?” Aiyun bangun pantas, dan mengetuk pintu bilik air kerana dia pasti Farah berada di dalam bilik air bersebelahan ruang dapur dan bertentangan dengan bilik nombor dua dan nombor tiga, sejak setengah jam yang lalu. Kenapa pula Farah mandi di sini? Bukannya di bilik air bilik utama?
“Apa?” Farah membuka separuh pintu bilik air dan kelihatan wajahnya yang basah berserta rambut yang penuh dengan buih syampu.
“La... kenapa kau mandi malam-malam buta ni? Pas tu mandi kat bilik air ni pulak tu. Kenapa kau tak mandi kat bilik air dalam bilik kau....” Pintu di kuak lebih lebar.
“Kau ketuk bilik air ni, sebab nak tanya aku kenapa aku mandi  kat sini, je?” Belum sempat Farah menutup kembali pintu bilik air, Aiyun  pantas menahannya dengan tangan. Hampir tersungkur dia di situ.
“Telefonlah! Cepat, dari tadi lagi tu,”
Farah mengerutkan dahinya. Telefon? Di tengah malam buta ni? Untuk dia? Siapa?
“Sape?” Aiyun mengjongketkan bahu tanda dia tidak tahu.
Dengan berkemban kain tuala dan syampu penuh di rambut, Farah keluar dari bilik air dan mengangkat gagang telefon. “Hello,” Dengan dahi berkerut, dia mula menyapa.
“Farah, jangan letak telefon dulu...” Demi mendengar sahaja suara itu, pantas, gagang di letak, kasar.Wayar penyambung di belakang telefon di cabut.
“Lain kali, kalau manusia tu telefon, cakap aku tak ada. Dah mati, faham!”
Aiyun yang sedang mencedok gula dari bekas kedap udara bulat untuk di letakkan ke dalam mug yang berisi air panas dan seuncang teh, berhenti tiba-tiba. Bali di ruang tamu juga terkejut dengan suara tinggi dari Farah lalu terus bangun dari meniarap, kemudian duduk bersila.
“Apa bising-bising ni?” Pintu bilik utama dikuak dan terpacul wajah Fini. Farah mendengus perlahan kemudian berjalan masuk ke dalam bilik air. Pintu di hempas, kuat. Seolah dia menghempaskan pintu itu kepada si pemanggil telefon tadi.
“Kenapa ni Yun?”
Aiyun mengangkat bahu tanda tidak tahu, kemudian mindanya terfikirkan sesuatu. Tiba-tiba saja dia rasa dia kenal si pemanggil telefon itu tadi. Dia menepuk dahinya sendiri.
“Aku rasa ‘Jandur’ yang telefon tadi!”
Ooooo... patutlah... dan semua orang kembali meneruskan aktiviti masing-masing kecuali Farah. Gadis itu membasuh kembali dua helai seluar jeans dan baju kemeja yang baru di basuhnya sebentar tadi. Dia mencurahkan serbuk sabun sehingga tinggal separuh kotak dan memberus serta menyental pakaiannya dengan kuat sambil menyanyi lagu ‘Jamie’s Got A Gun’ nyanyian kumpulan rock ‘Aerosmith’ yang kedengaran kuat di telinganya dari fon telinga yang dipakainya! Itulah cara dia melepas geram dan marah yang berbuku di hati.
***************************************************************************
            “Assalamualaikum!” Farah berpaling sekilas ke arah pintu.
            “Waalaikumussalam!”
Kelihatan Fini dan Bali sedang meletakkan kasut di atas rak di tepi pintu. Pada awalnya mereka meletakkan kasut di luar rumah, namun sejak kejadian kasut mereka di curi dua bulan lepas, terpaksalah mereka membuat langkah-langkah keselamatan.
             Desa Universiti.
Apartmen 3 bilik, tingkat lapan, nombor 8-9-8, bersebelahan pagar Universiti Sains Malaysia. Itu lokasi kedudukan rumah sewa mereka. Walaupun agak mahal sewanya, iaitu RM850 sebulan, namun kerana kedudukannya yang strategik dan senang berulang alik ke pusat pengajian, maka mereka sepakat mendiami apartmen ini. Sembilan orang rakan serumah dicari, membahagikan 3 orang penghuni untuk setiap bilik, sebenarnya sudah cukup selesa bagi pelajar seperti mereka. Setiap seorang akan dikenakan bayaran RM120 sebulan. Lebihan duit sewa akan mereka gunakan untuk membayar bil elektrik, bil air dan juga membeli keperluan asas barangan dapur. Bil telefon dan penggunaan internet akan di caj mengikut penggunaan masing-masing. Di sebelah telefon memang sedia ada satu buku nota kecil bertujuan merekod setiap penggunaan, walaupun setiap bulan akan ada bil terperinci penggunaan telefon!
            “Kau tak ada kelas hari ni Farah?”
             “Ada satu kelas je. Pagi tadi, pukul 8,” Farah menjawab sambil matanya masih memandang skrin komputer dihadapannya.
Satu set komputer lengkap diletakkan di ruang tamu bertentangan dengan televisyen ihsan dari Kak Jah. Komputer tersebut adalah milik Farah. Manakala dapur pula milik Bali. Peti ais mereka kongsi bersama. Nanti bila nak pindah, mereka boleh jualkan kepada penghuni apartmen selepas mereka. Ada juga beberapa barangan lagi yang di bawa oleh rakan-rakan serumah mereka yang lain untuk mereka saling berkongsi. Setakat ini tidak ada lagilah berlaku perselisihan faham atau bergaduh sesama sendiri. Setakat terasa hati sikit-sikit tu, sudah lumrah hidup berkongsi. Yang penting, mereka akan berkumpul setiap hujung minggu, biasanya semasa makan tengahari untuk berbincang, meluahkan rasa dan memberi pandangan bagi penambahbaikan penghuni apartmen. Khadijah a.k.a Kak Jah  selaku ketua kerana dia yang paling tua, setakat ini menjalankan tugas dengan baik dan penghuni apartmen akan merujuk kepadanya jika berlaku sebarang kesulitan. Begitulah harmoninya kehidupan pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia ini.
            Farah menekan suis di atas pencetak Canon Bubble jet 210 sp dan bunyi keriut-keriut dari pencetak itu mewarnai suasana tenang pada tengah hari tersebut.
            “Dah siap assignment kau?” Farah mendongak, memandang sekilas kearah Zurin yang sedang menggeliat, baru saja bangun dari tidur di waktu siang hari.
Zurin memang terkenal dengan gelaran ‘hantu tidur’. Dalam kuliah dia tidur, dalam tutorial pun tersengguk-sengguk. Kadang-kadang sambil menunggu rakan beratur membeli air minuman di kafetaria pun dia boleh terlena. Pernah sekali dia terlena sambil menyandar di pokok besar berhampiran gelanggang sepak takraw di tepi kafetaria Desasiswa Cahaya. Mulanya dia yang bersungguh-sungguh mengajak mereka ke situ. Kononnya, mamat yang dia minat selalu tunjuk skill bermain sepak takraw kat situ. Pelik betul! Bukankah kalau kita suka dekat seseorang tu apa sahaja halangan  melanda akan kita tempuhi? Nampaknya halangan ‘tidur’ tetap menang!
                “Almost..” Zurin mengangguk perlahan kemudian dia menuju ke dapur.
                “Aku laparlah. Kau tak nak pergi beli makanan ke Farah?”
                “Kejap lagilah. Aku nak abihkan print ni dulu.”
Farah mula menyusun kertas putih saiz A4 yang sudah siap di cetak. Kemudian dia membelek setiap helaian, memastikan tiada kesalahan ejaan atau kesilapan di mana-mana.
                “Kita pergi Gelugor nak, Zurin? Lama dah aku tak pekena nasi kandar telur sotong,” Farah berpaling ke arah dapur, mencari kelibat Zurin memandangkan tiada tindak balas yang di terimanya.
                “Mana budak ni?”
Dia bangun dari bersila sejak satu jam yang lepas. Maklumlah set komputer tidak di tempatkan di atas meja komputer. Dia hanya membeli meja lipat Jepun saja sebagai tapaknya. Ringan, mudah dan jimat. 
                Farah mula senyum apabila telinganya menangkap dengkur halus. Ya Allah, Zurin. Kau tidur lagi? Sambil memegang bantal peluk Doraemon dan duduk bersila pun dia boleh lena? Dia mengelengkan kepalanya apabila melihatkan Zurin sedang bersandar sambil bersila di dinding menuju ke dapur.
                “Wei... cik adik, aku cakap dengan kaulah!” Zurin yang terkejut dengan sergahan itu mula membuat gerakan kepalanya ke kiri dan kanan.
                “Kenapa aku mengantuk sangat ni Farah? Selalunya tak macam ni...” Farah mencebik.
                “Selalunya tak macam ni, kau kata? Ye lah sebab selalunya kau terbungkam terus, terlentang... bukannya dengan bersila. Aku rasa kau nak kena ambil vitaminlah beb!”
Zurin menguap tanpa menutup mulutnya lalu bangun menuju ke dapur. Kurang sopan betul!
                “Aku nak buat nescafe ni, kau nak?”
                “Nak!”
Farah kembali ke tempat kerjanya tadi dan mula memasukkan kertas-kertas yang sudah di cetaknya tadi ke dalam fail plastik putih. Petang nanti dia akan ke kedai kecil di tingkat bawah tanah perpustakaan utama USM untuk di jilidkan. Disana murah sikit kos menjilid, berbanding dengan kedai di luar kampus. Mutunya lebih kurang sama saja. Lagi pun pemilik kedai tu pun bekas pelajar USM, pekerja-pekerjanya pun pelajar USM. Apa salahnya jika kita saling bantu membantu sesama pelajar.
                Zurin menghulurkan mug yang isinya masih berasap tipis.
                “Thanks!” Dia kemudiannya duduk bersila di tepi Farah.
                “Kau ada plan tak petang ni?”
 Farah mengerutkan dahinya seketika berfikir jika dia ada apa-apa rancangan pada petang hari. Dia menghirup air nescafe susu penuh nikmat.
                “Ingat nak pergi gim. Kalau jadilah. Itu pun kalau aku tak terlena sampai petang lah. Sebabnya, aku cadang, lepas makan tengahari dan pergi binding assignment aku ni, aku nak tidur. Semalam aku tidur 3 jam je, siapkan assignment ni,” Zurin angguk tanda faham.
                “Kenapa kau tanya?” Farah menghirup saki baki nescafe susu suam.
                “Ingat nak ajak kau survey komputer. Kesian jugak asyik berebut komputer kau je kan. Lagipun, abah aku dah bank in duit!”
Farah senyum. Zurin juga senyum. Ye lah, susah juga mereka berebut-rebut satu komputer sahaja sedangkan semua orang ada tugasan yang perlu dilakukan. Kalau nak tempah makmal, biasalah, kena berebut-rebut juga. Itu yang pukul dua tiga pagi baru bangun menaip tugasan, mengikut giliran! Apa, kata orang, ‘first come, first serve!’
                “Jap, kita check on-line dulu,” Farah mencabut wayar yang menghubungkan talian telefon, kemudian mengambil satu wayar dari belakang komputer dan mencucukkannya ke wayar talian telefon tadi. Kemudian dia mendail talian ‘tmnet’ di skrin komputer. Setelah talian berjaya di sambung, dia klik pada ikon Internet Explorer kemudian ke enjin carian Yahoo.
                “Engkau rasa ada ke dia orang  jual komputer dalam internet kat USM ni?”
                “Ada. Aku tengok si Diyu  budak Sains Komputer yang Mek Ji minat tu cari kat makmal komputer minggu lepas,” Oooo... Zurin memuncungkan mulutnya.
                Diyu! Pelikkan namanya? Budak lelaki pulak tu. Sebenarnya Mek Ji tak tahu pun nama budak tu apa. Tapi sebab dia minat dengan rambut ala-ala mengerbang macam iklan syampoo ‘Vidal Sassoon’ kat televisyen semasa menunggang motosikal tu, dia buatlah nama panggilan ‘Diyu’. Nak tahu kenapa? Sebabnya, budak tu naik motosikal, nombor pendaftarannya ialah ‘D.U’! Mungkin budak tu orang Kelantan, berdasarkan nombor pendaftaran motosikalnya tu.
                “Wei, kau ada ‘new mail’lah beb!” Farah mendekatkan wajahnya ke skrin komputer. Maklumlah dia tu rabun jauh. Kalau font huruf yang kecil dari saiz ‘9’, kabur sikit dari pandangan matanya. Cermin mata hanya di pakai semasa kuliah atau tutorial sahaja. Kononnya kalau asyik memakai cermin mata, dia rasa macam budak nerd pulak!
                “Hashim Yahaya, siapa tu? Klasik je nama,”
Zurin memandang wajah Farah yang sudah mula mencuka. Kemudian dia kembali memandang skrin komputer dan membaca tajuk emel yang tertera di situ.
                “Dear, Please accept my apologize’. Sape ni? Dia buat salah apa ngan kau?” Farah diam. Dia berkira-kira sama ada ingin membuang emel itu ke dalam tong sampah atau membacanya dahulu.
                “Sape ni Farah? Siap ber ’dear, dear’ lagi ngan kau?” Farah menjeling sekilas kearah Zurin yang beria-ia ingin tahu.
                “Farah, kau ada boyfriend baru tak bagitau aku ye? Mana aci...”
                “Kau diam boleh tak Zurin?” Zurin tersentak dengan suara tinggi dari Farah. Dia tertelan air liurnya sendiri.
Farah memang terkenal dengan imej ‘cool’... jadi bila dia marah, tentulah kerana ada sesuatu yang ‘besar’ telah berlaku. Dia masih ingat lagi semasa Farah kemalangan motosikal dengan pelajar Matrikulasi dekat simpang tiga di Desasiswa Gemilang. Sah-sah memang salah budak perempuan tu yang tak bagi signal, terus masuk macam tu saja. Tapi dia boleh dengan tenang saja, senyum dan mengatakan tak apa, bila wajah pucat tak berdarah budak perempuan tu memohon maaf berkali-kali. Walhal, kaki dia melecet teruk. Tangan kirinya luka hingga terpaksa ke klinik siswa. Dia kasihankan budak perempuan tu yang tertinggal kalkulator dan tergesa-gesa kerana ada peperiksaan. Dahlah tu, dia siap bagi pinjam kalkulator yang sentiasa ada dalam beg sandangnya! Dia langsung tak marah. Senyum saja!
                Zurin hanya melihat saja Farah menutup suis komputer dan bangun berlalu ke bilik yang dikongsi bersama Fini dan Bali.
                “Gedegang!” Pintu bilik dihempas, kasar. Sekali lagi Zurin tertelan air liurnya sendiri akibat terkejut.
                “Kenapa ni Zurin?” Wajah Fini yang baru saja keluar dari bilik air menyapa matanya.
                “Aku tanya siapa ‘Hashim Yahaya’ yang hantar emel kat dia. Terus mengamuk!”
Fini senyum kecil kemudian mengelengkan kepalanya perlahan. Dia menghampiri Zurin dan meletakkan lengannya ke bahu gadis itu.

            “Hashim Yahaya tu, ‘Jandur’!” Zurin membeliakkan matanya. Patutlah.... awat klasik sangat nama dia?

No comments:

Post a Comment