Monday 14 September 2015

Lilin (Bab 3) ~ Ainul Farihah

2009.
“Zuhair!!”
“Sabarlah…”.
“Cepatlah sikit..”.
“Beg ana ada dekat kelas lagi,”.
“Pergilah ambil cepat.. Kitorang tunggu dekat padang,”.
Zuhair tanpa banyak bicara lagi berlari ke arah yang bertentangan dengan arah perjalanan rakan-rakannya. Mereka yang lain bergerak menuju ke padang manakala dirinya menghalakan langkah ke arah bangunan kelas yang berada tidak jauh dari situ. Bagi menjimatkan masa, dia menanggalkan kasut sekolahnya lalu dipegang dengan sebelah tangan.
Saat tapak kaki mencecah jalan tar yang panas dek simbahan sinar mentari sepanjang hari, langkahannya semakin melaju dan akhirnya bertukar menjadi lari-lari anak. Setibanya di kelas yang sunyi itu, segera dia mendekati meja yang paling tepi. Begnya yang sarat dengan buku dicapai.
Kehadiran seseorang yang berada dalam kelas itu membuatkan dia tersengih seketika pada insan itu walaupun dia tahu, hanya akan dibalas dengan pandangan dingin serta kehambaran. Dia tak kisah. Dah selalu kena…
Setelah itu, lekas dia mengatur langkah merentasi kelas-kelas lain. Dari situ dia sudah lihat kawan-kawannya menguasai seluruh kawasan padang yang dikelilingi bangunan sekolah menengah. Kebiasaannya padang itu akan digunakan sepenuhnya oleh abang-abang sekolah menengah, namun sebaik sahaja mengetahui pelajar sekolah menengah ada program tambahan pada petang ini, maka mereka dengan mandat sebagai super senior sekolah rendah menguasai padang yang tidak begitu besar seperti padang bola biasa.
Langkahannya diperlahankan apabila menyedari tiada apa sangat yang perlu dikejarkan. Baru pukul 3.25 pm. Ayahnya habis kerja pukul 5 petang. Dia mendongak, memandang langit. Bibir digetap. Dalam hati seorang budak darjah enam itu, dia mula merungut.
Waktu dapat guna padanglah hari nak hujan pulak dah….
Dia hela nafas. Itu kira nasib baik dapat guna padang. Biasanya pelajar sekolah rendah ni, sementara tunggu dijemput untuk pulang, mereka akan ‘buat’ padang sendiri di hadapan surau sekolah yang reka bentuknya sebesar masjid biasa, bersebelahan dengan kawasan tempat letak kereta.
Maka kasut sekolah secara tidak rasminya menjadi tiang gol. Paling tak seronok adalah bila jatuh nak gelecek bola sebab dengan berbumikan jalan tar tu jugak la diorang pergi buat jadi ‘padang’ main bola. Tapi nama pun budak-budak, seluar koyak sana sini apa kisah sangat. Paling teruk pun tangan tercalar atau lutut luka. Kepala otak budak sekolah rendah yang memang rasa main tu adalah benda paling seronok dalam dunia membuatkan mereka tak kenal erti putus asa.
 Jatuh, terluka. Kalau sakit, nak menangis, silakan. Sakit, tapi nak main juga, suka hati.
“Zuhair…”.
Tanpa sedar, dia kini melepasi bilik guru perempuan. Langkahnya terhenti, lantas dia berpaling. Mualimah Norizam menyandarkan bahunya ke pintu bilik guru sambil menyilang tangan, tersenyum sambil mengangkat sebelah kening ke arahnya.
“Nak pergi mana?”.
“Main bola,” Telunjuknya dihalakan ke arah padang. Senyuman gurunya itu dibalas.
“Hujan-hujan pun nak main?”. Sekilas, mata gurunya itu mengisyaratkan ke arah langit. Awan hitam makin lama seakan-akan makin banyak berhimpun di atas langit sekolah mereka. Cahaya mentari juga sedikit demi sedikit terhalang dek awan daripada menyimbahkan cahayanya. Hitamnya awan seakan menunjukkan betapa saratnya air di dalam kepulan awan tersebut, juga akan memuntahkan isinya itu bila-bila masa.
“Mendung tak bererti hujan, Mualimah,” Zuhair mengangkat kening dua kali, dengan senyum manisnya sekaligus menayangkan lesung pipit di pipi kiri dan kanannya. Dia tahu, tu tajuk buku karya Rejab F.I yang ibu pernah suruh baca waktu darjah empat dulu. Mendung Tidak Bererti Hujan.
Tawa Mualimah Norizam pecah. “Banyaklah…enta ni… Tu kasut tu pakai, nanti masuk kuman,”. Mata Mualimah mengisyaratkan pula pada kasut yang tergantung pada jari hantu dan telunjuknya.
“Taulah, ana bukan budak kecil lagi,” jawabnya tanpa memandang gurunya itu. Kedua-dua belah kasut dicampak ke lantai, lalu disarung. Sungguhlah tampak selekeh mengenakan kasut sekolah tanpa setoking yang sudah siap disumbatnya di bahagian sisi beg sekolah.
“Ceh…besarlah sangat,” Mualimah Norizam buat suara menyampah, sengaja mengusik.
Zuhair sengih. “Okaylah…ana pergi padang dulu…”.
“Sweet-sweet pula anak murid dengan mualimah dia ni,” Satu suara menyampuk, melintasi mereka berdua lalu terus melangkah masuk ke dalam bilik guru. Mualimah Zamzuriyani berpaling, mengangkat kening dua kali tanda mengusik.
Mualimah Norizam pula buat mimik muka sebagai respon kepada usikan teman baiknya itu.
“Hey… dah hujan nanti berhenti main,”.
“Tengoklah macam mana, ana tak janji,” Zuhair pamer senyum nakal sambil mula melangkah pergi. Sungguh la kadang kalau dah seronok sangat main, hujan pun belasah je.
Mualimah Norizam juling mata ke atas. “Kalau kena marah dengan muallim nanti, padan muka,”.
“Tak ada kena marah punya,”. Yakin.
“Mualim Soleh,” Mualimah Norizam sengaja mengugut.
“Hah…takkan kena punya…tak ada…”. Degil.
****



Gelap sekali lagi.
Sebelum satu suara yang sudah lama tidak didengarinya kini kedengaran dalam gelap itu….
Oh.. Aku kini rindu.. pada satu nama yang berjasa,”.
Lagu ni…
Bersambung pula dengan suara yang lain. Suara kali ini kedengaran tidak begitu asing.
“…Tuhan beri kekuatan untuk mendidikku selamanya…”.
Semacam suara sendiri. Waktu kecil dulu…
####



“Huh!”
Mata dicelikkan.
Sunyi. Gelap, tetapi tidak terlalu gelap. Cuma lampu di kawasan itu dimalapkan daripada biasa. Aku masih di situ. Di wad pesakit yang dipisahkan dengan langsir hijau. Masih di hospital. Kerana….kemalangan…
Nafas yang menderu aku stabilkan sambil mata mencuri pandang jam tangan di meja kecil sebelah katil. Pukul 2.30 am. Patutlah sunyi dan lampu malap semacam. Aku hela nafas. Malam ini aku sendirian tanpa abah atau along menemani. Aku sendiri yang menolak bila abah cakap dia nak teman aku malam ni. Kasihan pada abah dan along, terpaksa berulang-alik ke hospital semata-mata nak pantau keadaan semasaku.
Keadaan secara fizikal pun sudah tiada yang kritikal mana, cuma ditahan dengan tempoh extra disebabkan masalah ingatanku. Kecederaan fizikal lama-lama akan pulih. Tambahan, aku berada di hospital. Sekiranya berlaku kecemasan, hospital memang tempat yang sentiasa bersedia menerima kecemasan, bukan?
Tatkala aku mulai kembali memejamkan mata, bayangan mimpi yang membangunkan diriku dari tidur melintasi minda. Lantas mataku celik menatap siling. Dahi berkerut. Itu bukan mimpi semata-mata.
Itu lintasan memori lalu.
Memori yang sudah lama berlalu.
Aku ingat itu. Apa yang sedang berlaku pada ingatanku sebenarnya? Komplikasi apakah yang sedang berlaku dalam kepala ni? Sungguh, seharian ini aku cuba mengingat kembali peristiwa sebelum kemalangan berlaku. Setidak-tidaknya pun, aku cuba mengingati zaman sekolah menengahku.
…dan aku berjaya mencapai tahap ingatanku ketika di tingkatan tiga. Sampai di situ sahaja. Otakku penat bekerja mengorek ingatan, menjadikan diriku cepat mengantuk. Seharian itu juga, tidur aku tidak menentu.
Teguk liur.
Lintasan memori yang muncul sebagai mimpi datang lagi untuk sekilas. Satu perasaan mulai terbit tika itu. Tika aku membiarkan wajah-wajah yang ada dalam lintasan memori itu singgah di mindanya.
Wajah Syafiq, Izzat, Fauzan…. Zariff..
Fathi… dan…
…Mualimah Norizam. Mualim dan mualimah lain..

Rindu.

No comments:

Post a Comment