Friday 18 September 2015

Dona Karan Penang (Bab 3) ~ Fatihah Pauzihal

Farah berjalan pantas menuruni tangga perpustakaan menuju ke kafetaria yang berada di tengah-tengah antara perpustakaan, bilik-bilik kuliah dan bilik-bilik kecil tutorial. Kerana bentuknya yang segiempat, sejak turun temurun lagi pelajar-pelajar universiti ini memanggilnya ‘Kafe Kotak’.
                Dia mula mengambil tempat, beratur bersama-sama beberapa orang pelajar lain untuk membeli air dan kuih muih. Kafetaria ini hanya menjual makanan ringan bagi mengalas perut. Paling berat pun makanan yang ada ialah nasi lemak bungkus tujuh puluh sen, mihun, mee dan kuey teow goreng yang sudah di pek. Biasanya pelajar-pelajar akan singgah untuk minum di  waktu senggang masa kuliah atau menghilangkan dahaga selepas mentelaah di perpustakaan. Ramai juga yang membuat ‘dating’ di situ. Kadang-kadang Farah bengang juga bila semua tempat duduk sudah penuh akibat daripada beberapa pasangan yang hanya minum segelas teh o ais tapi duduk selama berjam-jam!
                “Assalamualaikum!” Farah berpaling. Serta merta dia hilang selera untuk menjamah kuih keria dan kuih serimuka di hadapannya.
                “Nah, saya belikan untuk awak!” Sekotak susu ‘Dutch lady’ rendah lemak 250ml di letakkan di hadapannya. Begitulah setiap kali lelaki itu bertemunya. Sentiasa membelikannya sekotak susu ‘Dutch lady’ rendah lemak. Alasan untuk pemberian yang agak pelik itu, senang saja. Pertama kali dia menemui Farah di kafetaria Desasiswa Gemilang tiga tahun lepas, Farah sedang membeli susu kotak ‘Dutch lady’ rendah lemak ketika itu! Farah rasalah, dan kawan-kawannya juga merasakan yang sama, iaitu ada satu wayar yang dah putus dalam otak budak ni!
                Farah diam.  
                “Saya duduk sini boleh?” Farah sekadar menjungkitkan bahunya.
            “Ambillah, jangan malu-malu,” Bicara lelaki itu, merujuk kepada susu kotak yang diletakkannya di atas meja tadi. Ish, geram pula Farah melihatkan sengihan lelaki dihadapannya. Mamat ni memang tak faham bahasa ke apa?
                Dia menjeling sekilas lelaki yang sebaya dengannya itu. Wajah yang tersengih itu membuatkan dia rasa nak termuntah. Tekaknya sudah loya semacam, apatah lagi bila lelaki itu membuat mata kuyu ala-ala nak mengorat. Rambut belah tepi yang berminyak dan bersikat rapi itu dimainkan dengan jemarinya. Pipi Farah sudah semakin kembang menahan loya yang sudah mula bermukim. Dia mula menarik nafas dan menghembusnya panjang.
                “Farah, kat sini kau rupanya. Merata aku carik.” Dia mendongak. Lelaki dihadapannya juga mendongak.
                “Eh, abang Sham. Kenapa abang lambat? Dah lama Farah tunggu!” Shamir yang menyapanya tadi mula berkerut dahi namun dia mula senyum apabila terpandangkan lelaki yang duduk berhadapan dengan Farah.
                “Ye ke? Dah lama sayang tunggu abang?”
Walaupun meluat dengan kata-kata itu, Farah tetap mengangguk dengan wajah ala-ala manja dan mengada-ngada, walhal dalam hatinya penuh dengan rasa tidak puas hati! Wajah lelaki dihadapannya berubah serta merta. Tanpa berkata apa-apa dia mula bangun dan meninggalkan meja yang paling hujung di kafe kotak!
                “Fuh, lega!” Farah menghembuskan nafas sekali lagi. Kali ini, lebih panjang.
                Shamir ketawa besar sambil menekan-nekan perutnya. Kemudian dia duduk di tempat lelaki tadi. Ketawanya masih bersisa, malahan semakin galak pula.
                “Apa yang kau seronok sangat gelak kat aku ni? Agak-agaklah...”
Menyampah pula Farah melihat Shamir yang terlebih-lebih ketawanya. Apalagi bila beberapa orang pelajar berpaling kearah mereka, terganggu dengan suara gelak besar Shamir.
                “Mamat skima tu, apa namanya... mmm Rezal kan? Kelakarlah aku tengok muka dia tadi. Macam Mr Bean tertelan ubat gegat je!”
Hish, perumpamaan melampau dah keluarlah tu si Shamir gila-gila bahasa ni. Memang macam tu dari dulu lagi. Entah macamana dia boleh di terima masuk universiti ni pun, Farah tak tahu. Siap ambil bidang major Kesusasteraan dalam kursus Ilmu Kemanusiaan pulak tu!
                “Nape kau tak terima je dia Farah? Kesian aku tengok menagih kasih dari tahun satu lagi kan? Hei, dia tu anak ‘load’. Aku dengar emak dia baru belikan kereta. Kereta apa, lupa dah aku... mmm... Perodua Kembara yang baru lancar baru-baru ni!”
                “Peduli apa aku dia nak pakai jet peribadi sekali pun. Ha, ni kau cari aku pehal?”
Farah memandang Shamir yang dikenali sejak kecil. Lelaki yang cuma tua setahun darinya itu, adalah rakan sekampung merangkap adik kakak iparnya.
                “Ni, mak telefon handphone kawan aku kelmarin. Dia kata telefon rumah kau rosak ke apa? Dia telefon tak dapat-dapat. Kau pun tak telefon dia langsung. Risaulah tu anak bongsu dia tak hantar khabar berita dah seminggu. Naper kau tak telefon mak?” Farah mengeluh kecil. Ye ke? Dah seminggu ke dia tak telefon rumah? Memang telefon rumah sewanya rosak, nak pergi buat aduan kat Telekom pun tak sempat lagi.
                “Aku sibuklah. Nanti aku telefonlah. Dah, aku nak pergi lab, siapkan assignment!”
Farah bangun, kemudian berlalu tanpa berkata apa-apa dan menoleh pun. Shamir mengelengkan kepala perlahan. Budak ni, usahkan nak ucap terima kasih, nak bagi senyuman pun payah. Mujurlah dia dah lama kenal dengan si Farah tu, sejak dia kecil lagi. Kalau tak, dah malas dia nak masuk campur urusan budak perempuan degil macam tu.
                Shamir memandang kepergian Farah yang hanya memakai jeans hitam lusuh dan  baju t putih yang tertulis ‘Hargailah Alam Sekitar dan Kesihatan kita’. Baju percuma dari Kementerian Kesihatan yang diperolehi gadis itu semasa mengikuti teater sempena Hari Kesihatan Sedunia, awal tahun lepas. Shamir gelak kecil bila teringatkan lakonan Farah sebagai ‘robot’ yang menentang pencemaran alam sekitar. Siap pakai baju dari ‘aluminium foil’ yang berkilat tu. Mahu pula budak tu berlakon watak seperti tu!
***************************************************************************

                Farah melangkah masuk ke dalam makmal komputer. Cuma beberapa meja sahaja yang berpenghuni. Biasalah waktu pagi, tak ramai pelajar yang menempah makmal kerana mereka menghadiri kuliah. Kalau waktu petang, terutamanya selepas pukul 4, mereka sanggup beratur panjang semata-mata untuk menggunakan perkhidmatan internet. Kalau hari minggu, jangan cakaplah, dah penuh sejam sebelum makmal di buka!
                “You’ve got 1 new mail” Itu yang tertera di skrin komputer selepas dia menaip kunci carian Yahoo. Entah kenapa hatinya tidak berdebar seperti selalu tatkala membaca tajuk emel yang penuh syahdu itu. Dia kemudiannya membuka emel yang dihantar oleh Hashim Yahaya itu.











                








‘Salam buat Farah,
                Abang mohon maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki atas segala kesilapan             abang selama ini. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa menyesalnya abang kerana menipu Farah 
selama ini.’
           


                “Mengaku pun! Bangkai gajah tak boleh nak tutup dengan seluar boxer si Rezal tu cik abang oi!” Ish, dia pun dah mula buat perumpaan pelik macam si Shamir juga. Entah kenapa juga, dia rasa dia dah tak ada hati nak rasa kecewa. Dia kembali menyambung bacaan.

           
                ‘Tiada sedikit pun terniat di hati kecil abang untuk menipu Farah. Kita berkenalan di  ruang maya. Kita bercerita, kita bergelak ketawa. Entah kenapa, abang rasa bahagia. Hilang segala masalah, hilang segala beban di jiwa abang. Kemudian kita saling   menelefon. Riangnya abang dengan gelak tawa Farah hingga senyumannya abang bawa ke mana-mana. Dunia ini indah rupanya bila Farah menghuni ruang- ruang  kosong di jiwa abang.’
           
                “Uwek!”
Dahlah dia rasa loya dengan kehadiran Rezal tadi belum hilang sepenuhnya, ini pula dengan kata-kata rayuan cinta asmaradana dari lelaki ini pula. Dia cuba bertahan sebelum rasa loya itu berleluasa.


           
                ‘Percayalah Farah, abang tidak bahagia dengan kehidupan abang sebelum ini. Memang sukar untuk percaya, tapi itu adalah kenyataannya. Tak apalah kalau Farah tak dapat maafkan abang, dan tidak mahu lagi bertemu dengan abang. Tapi,  sekurang-kurangnya, Farah jawab panggilan telefon dari abang. Walaupun sekali, abang terlalu rindu untuk mendengar suaramu sayang!
                                                                         – yang sentiasa merindu- Abang’’
           
                Farah menarik nafas panjang kemudian dia menekan butang ‘delete’ dan membuang emel itu ke dalam ‘tong sampah’. Dia melepaskan satu keluhan panjang.

                Sudah lebih dua bulan berlalu. Bererti sudah lebih 60 kali lelaki itu menghantar emel untuknya. Setiap hari, kata-kata dalam emelnya berbeza tetapi membawa maksud yang sama. Kalaulah dia cetak emel-emel itu, dia kumpulkan buat satu buku, tentu jadi ‘bestseller’ dan dia sudah menjadi kaya raya sebab ayat-ayat cinta dan kata-kata rayuan kasih lelaki itu memang A tambah tambah.
                Dia tekad kini. Dia akan buang jauh-jauh nama lelaki berusia 34 tahun, mempunyai seorang isteri dan tiga setengah orang anak itu (sebab isterinya sedang sarat mengandung ketika ini). Wajah tenang, berkumis tipis, bermata redup dan sentiasa tersenyum dengan gigi tersusun cantik dan bersih menandakan dia tidak merokok.

                Farah berdehem perlahan. Dia perlu bangun. Lelaki seperti itu tidak layak untuk di tangisi. Lelaki seperti itu tidak layak untuk diratapi perpisahannya. Lelaki seperti itu tidak layak untuk di simpan di dalam hati. Anggap sahaja ini sebagai pengalaman cinta monyet atau cinta ungka atau cinta beruk atau apa-apa sahajalah yang sama spesies dengannya bagi seorang remaja meningkat dewasa sepertinya.
Perbualan dengan Afida, rakan sekuliah lebih dua bulan lepas, merungkai segala dusta lelaki yang sudah dianggapnya ‘cinta sejati lelaki melayu Islam terakhir abad milenium’ itu.

                “Mana kau tahu semua ni Fida?” Aiyun dan Fini berpaling kearah Farah yang bersuara agak tinggi di tepi padang Minden USM, sebaik sahaja mereka selesai berlari-lari anak, satu pusingan di suatu petang di hari minggu.

                “Pakcik akulah bagitahu. Pakcik aku tu kiranya baru kerja dengan syarikat tu. Pekerja juniorlah. Dia tu, bos kecik pakcik aku lah!”

Farah yang masih lagi termengah-mengah akibat berlari tadi terduduk di atas rumput yang baru lepas di mesin. Bau rumput yang segar mendamaikan sesiapa sahaja, tapi bukan hati Farah yang penuh gelodak rasa ingin tahu!

                “Hari tu aku terlihat gambar rakan-rakan satu pejabat dengan pakcik aku masa jamuan raya tahun lepas kalau tak silap. Aku kan pernah jumpa dia dulu. Masa Fini tak dapat temankan kau sebab dia kena jumpa lecturer tu kan? So, aku soal selidiklah sikit,” Farah mengangguk perlahan dengan matanya masih memandang Afida yang sudah pun duduk berhadapan dengannya. Fini dan Aiyun duduk mengelilingi mereka.

                “Nama, jenis kereta yang dia pakai, tempat kerja, semua sama. Memang confirm orang yang sama. Lepas tu aku tanyalah dia tu baik ke tak? Pakcik aku cakap...” Afida menarik nafas seketika.
                “Pakcik kau cakap apa?” Dengan penuh ketidak sabaran, Farah memintas.
                “Sabarlah kau ni. Bagi aku bernafas dulu. Pakcik aku cakap, orang tua tu asyik bergayut kat tempat kerja sekarang ni. Dah kena warning ngan big boss sebab masuk kerja lambat lepas lunch. Pas tu baru-baru ni dia kena bayar bil telefon pejabat guna duit sendiri, beratus jugaklah. Pakcik aku kata, bos kecik dia tu dok mengorat dengan budak universiti mana entah,” Farah menelan liurnya yang terasa payah sekali untuk turun ke rongga esofagus.

                “Lepas tu dia tercakap yang...”
                “Yang apa?”
Serentak, Farah, Fini dan Aiyun bertanya membuatkan Afida berfikir sejenak.
                “Dia tercakap yang... kesian budak ‘U’ tu, dah terkena dengan laki orang yang dah ada anak satu kontena ramainya!” Hah! Farah rasa matanya berpusing-pusing ke atas dan ke bawah, namun dia masih mampu membuat muka selamba.
                “Dia cakap lagi, bos kecik dia tu, baik orangnya. Jenis yang alim jugaklah. Cuma, tak pasti macamana boleh termengorat dengan budak ‘U’ tu!” Farah menarik nafas dan menghembusnya panjang.
                “Bini dia tengah mengandung sekarang ni. Sampai hati kan dia main kayu tiga belakang bini dia, kan?” Fini dan Aiyun diam. Mengangguk pun tidak, apatah lagi menjawab. Mereka memandang wajah Farah yang sudah pun bertukar ke warna kemerahan. Mujur juga tak bertukar ke warna hijau macam cerita ‘Incredible Hulk’ tu, kalau tak, heboh satu Malaysia nanti, muncul ‘Hulk’ versi perempuan di padang Minden, USM!
Gadis di hadapan mereka itu sedang mengetap bibir, tanda geram.

                “Tapi Farah, pakcik aku cakap, bos dia tu baik. Mungkin dia...”
                “Baik apa ke nama nya kalau dah membohong macam tu?” Dengus Farah, memintas percakapan Afida.
                “Kau tahu tak yang sekarang ni, aku yang jadi watak jahat?” Tiga wajah yang sedang asyik memandang wajahnya mengangguk-angguk perlahan, mengiakan.
                “Bodohnya aku ni kan?” Mereka mengangguk lagi.
                “Jahatnya aku ni kan?” Mereka angguk lagi.
                “Warghhhhhh.....” Farah menjerit sekuat hati. Tiga orang temannya hanya mampu memandang sahaja dengan wajah terkejut. Gadis itu menghentak-hentak kakinya ke rumput hingga tercabut pangkal rumput-rumput yang baru di mesin itu. Yang lain hanya memandang tanpa berbuat apa-apa. Terkejut barangkali, atau yang sebenarnya, malu barangkali!
                Beberapa orang pelajar lelaki  yang sedang berehat selepas bermain bola sepak di hujung padang berlari-lari mendapatkan mereka.

                “Kenapa ni dik?” Fini senyum sambil menelan air liur, ke arah tiga jejaka yang sedang menghampiri mereka. Janganlah Farah buat hal dengan budak-budak lelaki maco ni. Malu wei kalau pelajar-pelajar lain tahu.

                “Tak ada apa-apa. Kawan saya ni tension sikit, ala.. pasal assignment dia kena reject ngan lecturer!” Oooo... dan mereka berlalu setelah memberi kata-kata semangat kepada Farah dan rakan-rakan. Salah seorang dari jejaka itu sempat mengenyitkan matanya kearah Fini yang masih tersengih-sengih.
                “Farah, control sikit! Its not the end of the world...”
                “Sapa kata end of the world nya? Sebelum aku tembak Jandur tu, the world its not ended yet!”
                “Jandur?” Tiga gadis di hadapan Farah menyebut perkataan itu serentak. Apa kebendanya ‘Jandur’ tu?
                “Ye, Jandur. Singkatan untuk ‘Jantan Durjana’!”
Laa... Fini, Aiyun dan Afida menepuk dahi mereka sendiri! Jantan Durjana... memang padan dengan gelaran tuh... huh!

                “Haa..chum!”
Farah berpaling. Suara itu mengembalikannya duduk berhadapan dengan komputer. Pelajar lelaki yang duduk selang sebuah komputer darinya bersin hingga gegendang telinganya bergetar hebat. Ish... habis virus di sebarkan. Balik rumah nanti kena mandi ngan air panas nampaknya!

                Dia mula menaip di papan kekunci komputer, mencari bilik berbual (room chat). Hari ini dia nak berfoya-foya di alam maya!

No comments:

Post a Comment