Friday 4 September 2015

Dona Karan Penang (Bab 2) ~ Fatihah Pauzihal

“Kau masak hari ni?” Farah mengangguk.
Fini mendongak memandang jam di dinding yang menunjukkan ke angka sembilan tiga puluh lima minit pagi. Rasanya rakan-rakan yang lain masih tidur. Ye lah, hari Ahad. Biasanya lepas saja solat Subuh, mereka akan menyambung tidur. Dia bangun ni pun sebab teringatkan dia ada janji dengan seseorang, untuk ke Komtar tengahari nanti.
                “Apa yang perlu saya tolong, Cik Farah Diba?” Soal Fini bagi menarik perhatian rakannya yang semenjak kebelakangan ni kelihatan muram sahaja. Tidak seceria selalu.
                “Tak ada,”
Fini duduk di atas kerusi bulat kayu, ihsan dari kakak sebelah rumah yang berpindah keluar tiga bulan lepas. Meja makan enam kerusi dari kayu getah itu, walaupun sudah lama dan agak pudar warnanya namun ianya masih elok dan kukuh. Bagai orang mengantuk di sorongkan bantal, setuju saja penghuni apartmen  8-9-8 tu, bila kakak sebelah rumah menawarkan perabotnya. Sofa di ruang tamu pun ihsan dari kakak sebelah rumah. Dia mengikut suaminya bertugas di Sabah, jadi dia hanya membawa barang-barang penting sahaja. Perabot yang masih baru, dia jualkan, yang lain dia sedekahkan sahaja kepada mereka. Alhamdulillah, murah nanti rezeki kakak tu!
                “Dah siap dah. Tunggu nasi masak je,” bicara Farah.
Fini mengangguk beberapa kali dan matanya hinggap pada lima jenis hidangan lauk di atas meja. Ayam masak merah, ikan rebus dengan kuah asam tomato, kangkung goreng belacan, telur bungkus dan tauhu telur goreng sambal. Ni, masak sarapan ke makan tengahari? Apa mimpi budak Farah ni?
                “Kau masak sorang semua ni?” Farah diam.
                “Bila kau beli ayam, sayur, tauhu, semua ni lah? Kau pergi pasar ke tadi? Pasar mana? Gelugor? Sungai Dua?”
Farah diam lagi.  Tangannya sedang mengacau gula dalam jag besar dua liter. Kemudian dia mencedok dua sudu kecil penuh serbuk nescafe, dan mengacaunya sekali lagi. Tanpa bersuara dia berjalan ke arah peti sejuk yang diletakkan di bahagian tepi ruang tamu kerana tidak cukup ruangan di dapur. Dia mengambil ais yang dibeli di kedai Seven Eleven semalam lalu mencedoknya dengan gelas kecil ke dalam jag. Walaupun hari masih pagi namun dia kenal benar dengan sahabat-sahabat serumahnya yang suka sangat minum air berais.
                “Panggillah semua orang, makan!” Arah Farah setelah dia melihat lampu di periuk nasi elektrik terpadam.
             “Kau nak ke mana tu?” Soal Fini bila dilihatnya Farah berjalan ke ruang tamu.
                “Tidur!” Fini mengerutkan dahinya. Dia suruh panggilkan semua orang makan, tapi dia nak tidur? Pelik ni!
                “Kau tak nak makan ke?”
                “Dah kenyang!”
Fini menggaru kepalanya yang tidak gatal. Memanglah Farah pandai memasak. Tapi, dia tu pemalas yang teramat untuk memasak. Kalau giliran dia memasak pun, dia lebih sanggup ke kedai dua tiga kali untuk beli barang, daripada dia memasak. Walau bagaimanapun, penghuni apartmen 8-9-8 memang menunggu-nunggu dia memasak. Dia akan masakkan sesuatu yang berbeza, bukannya sardin dan telur goreng, walaupun asasnya bahan mentah yang sama. Dia memang kreatif, tapi dalam sebulan tu, paling banyak dia masak pun, rekod yang pernah di catat oleh minda Fini, dua kali sahaja!
                Fini bangun. Niatnya untuk duduk di hadapan Farah dan meminta gadis itu bercerita jika dia ada masalah. Namun, gadis itu sudah pun menutup wajahnya dengan bantal. Dia membantutkan niatnya.
                “Pasal Jandur kot!” Dia berbicara sendiri.
                “Tapi bukan ke dah dekat dua bulan peristiwa tu?” Dia bermonolog lagi.
                Dia masih ingat raut wajah tenang lelaki berusia awal tiga puluhan yang di temuinya bersama Farah di gerai Nasi Ayam Pakcik Misai belakang pasaraya ‘Sunshine Square’ awal tahun lepas. Orangnya hitam manis. Sentiasa tersenyum. Raut wajahnya tenang dan ada tanda hitam samar-samar di dahinya, menunjukkan bahawa dia lelaki beriman melayu terakhir! Itu menurut pandangan Farah yang sudah gila bayang tahap A tambah tambah (A++) mengikut firasat Fini!
                Menguatkan lagi pandangan Farah dan menambahkan lagi tahap gila bayang gadis itu, apabila lelaki itu meminta Farah membawa teman setiap kali mereka bertemu. Bukan itu sahaja, mereka juga cuma boleh bertemu di restoran yang terbuka dan Farah perlu meminta izin, kalau tidak dengan  ibu bapanya yang tinggal jauh tu, dari Kak Jah yang bertindak selaku ketua merangkap kakak angkat mereka, di apartmen.
                Ada lagi...
Setiap kali tiba waktu solat, mereka akan terus mencari surau untuk menunaikan solat terlebih dahulu.
                Masih ada lagi...
Mereka juga hanya boleh menelefon di waktu siang hari sekali sahaja sehari, kerana bimbang jika mereka asyik menghubungi satu sama lain, pelajaran Farah akan terjejas dan mungkin prestasi kerja lelaki itu juga merosot.
                Satu lagi yang menyebabkan Farah semakin gila bayang tahap A tambah tambah tambah (A+++), lelaki itu yang bekerja di Kuala Lumpur akan datang sebulan sekali ke Pulau Pinang, memandu kereta berseorangan di hari minggu. Dia akan menjenguk Farah, memberikan nasihat, mengambil berat dan membantu dalam pelajaran dan juga kewangan. Bukankah itu sememangnya calon lelaki yang paling ideal untuk dibuat suami? Tak apalah kalau berbeza umur berbelas tahun pun, lelaki sebegitu sudah mempunyai masa depan yang cerah. Bukankah lelaki yang lebih tua itu lebih matang dan lebih romantik?
                Fini melepaskan satu keluhan yang agak panjang. Kasihan Farah! Buta-buta saja kena tipu. Kalau dia pun di tempat Farah, tentu dia jadi gila bayang juga. Siapa yang tak seronok bila ada orang yang begitu mengambil berat dan menjaga adab-adab pergaulan sebegitu rupa di zaman serba milenium ni kan?
                Dia senyum kecil. Masih dia ingat lagi bagaimana dia dan rakan-rakan lain ketawa besar bila Farah memakai baju kurung untuk bertemu lelaki itu buat kali pertama. Ye lah, Farah tu agak kasar orangnya. Asyik pakai jeans dan baju T saja. Kalau tak pun, pakai seluar trek, selipar yang ‘up’ sikit dari selipar Jepun! Tudung pula asyik warna gelap je, kalau tak hitam, biru gelap, kalau tak pun, warna coklat. Lepas tu tudung bawal yang dia pakai tu, tak boleh ada kerawang, manik, atau sulaman banyak-banyak. Kalau di tanya kenapa, dia jawab, ‘aku bukan mak datin’! Naik motor pun laju semacam je. Pak Guard USM pun dah kenal sangat nombor pendaftaran motosikal dia tu. Berapa kali dia diberi ‘amaran’ supaya berhati-hati bawa motosikal Honda Cup C70 second hand yang di beli dengan duit pinjaman pelajaran MARAnya tu.
                “Fini!” Hah! Fini melangut.
Wajah Bali yang sedang menutup mulutnya yang ternganga akibat menguap itu dipandangnya.
                “Aku tengok kau ni tadi masam je, berkerut muka, pas tu senyum sorang-sorang. Pehal?” Fini menarik nafas seketika.
                Deria hidu Bali mula menangkap aroma yang kemudiannya di bawa oleh reseptor bau dalam rongga nasal melalui neuron deria ke otak. Kemudian otak mentafsir maklumat dan maklumat itu singgah di neuron perantaraan di saraf  tunjang sebelum di bawa oleh neuron motor kembali ke hidung lalu di tafsirkan sebagai ‘bau makanan yang enak’!
                “Wei... kau masak ke Fini? Sedapnya!”
Dengan penuh teruja Bali membeliakkan matanya apabila melihat hidangan yang memenuhi meja.
                “Bukan aku lah... tu!” Fini memuncungkan mulutnya kearah Farah di ruang tamu.
                “Ups!” Bali menutup mulutnya sendiri, sekali lagi.
                “Buang tabiat ke?” Fini mengangkat bahu tanda tidak tahu.
                “Kau perasan tak yang Farah dah berubah sekarang ni? Diam je. Termenung sana, termenung sini,” Bali mengangguk-angguk perlahan.
                “Aku rasa sebab Jandur lah!” Bali mengangguk.
                “Aku pun rasa cam tu gak! Mmmm... tapi hari tu masa dia orang putus, aku tengok Farah cam tak kisah je kan?” Bali mengherotkan bibirnya ke kiri dan ke kanan, berfikir.
                “Dia pura-pura je depan kita tu. Budak tu kan keras kepala sikit. Tapi kan, kalau aku kat tempat Farah tu, ish.. tak tahulah apa yang akan aku buat. Frust gila! Jandur tu memang... memang.. dasar Jandur!” Bali mengekspresikan rasa geramnya kepada lelaki itu dengan mengepal-ngepal penumbuk di tangannya.
                “Woi!”
Dua wajah di ruang dapur berpaling refleks kearah ruang tamu yang hanya bersebelah dengan ruang dapur.
                “Mengumpat aku ye!” Suara Farah di sebalik bantal yang di tekup ke wajahnya, kedengaran jelas di pendengaran mereka.

                “Mana ada, mmm kita orang berbincang, giliran siapa pulak yang masak petang ni!”

No comments:

Post a Comment