Wednesday 23 September 2015

Lilin (Bab 4) ~ Ainul Farihah

2014.
ASRAMA PUTERA. 8.02 AM.
“Woi….”.
Seruan itu kedengaran di telinga. Serentak itu, dirasakan bantal mendarat di belakang badannya. Zuhair buat tidak tahu meskipun dia sudah dengar kekecohan yang terhasil kerana rakan-rakannya semuanya sudah bersiap untuk ke sekolah.
“Bangun la woi…” Suara Aliff  kedengaran betul-betul di sebelah telinganya.
Malas-malas, dia menoleh ke arah lain tanpa mencelikkan walau sebelah matanya. “Awal lagi, Pang….”.
“Kepala otak kau awal lagi,” Aliff kini sudah berdiri sambil tuala yang tadinya tersangkut di bahu kanan dilibaskan perlahan pada Zuhair.
“Kau ni…” Seseorang menyapa sambil memegang bahu Aliff, namun kemudiannya ketawa. Aliff cuma menjeling, tahu siapa yang hadir di belakangnya itu. Dia tunggu temannya itu menamatkan tawanya tanpa menyampuk.
“Pukul 8 tu memang la awal,” Acad ketawa lagi. “Awal bagi dia…”. Telunjuk dihalakan pada Zuhair yang langsung tidak bergerak sedari tadi.
Aliff sengih. “Aku ingat bertaubat dah dia ni lepas kena berdiri depan perhimpunan Isnin lepas,”.
“Macam kau tak kenal pula dia ni..” Pa’an pula melangkah masuk sambil mengeringkan rambutnya menggunakan tuala, baru sahaja selesai mandi. “Kau tu bacin la, pergi mandi sana,”.
“Kurang ajar, kau,” Aliff sengih sambil buat muka tidak bersalah. Dia memandang sekeliling dorm yang menjadi lubuk pelajar tingkatan 5 sepertinya. Tiga orang sudah selesai mandi, kini sedang bersiap memakai pakaian seragam sekolah. Hanya tinggal dirinya dan dua orang sahaja lagi yang masih malas-malas menghadap locker pakaian masing-masing.
…dan hanya Zuhair seorang sahaja yang masih belum bangun.
“Hari ni subjek pertama apa?”
“Kelas aku Bio… sebab tu aku lambat-lambat ni…”.
“Aku tanya budak kelas Rusyd la… Budak kelas Khawarizmi diam..”.
“Hoi…diam…diam…Aku nak tidur ni....” Suara Zuhair yang dibuat garau dan dikuatkan membuatkan mereka di situ memperlahankan suara masing-masing. Bicara mereka masih kedengaran, cuma kali ini semakin perlahan. Sama ada semakin perlahan atau Zuhair yang merasakan dirinya kembali mengantuk.
Hanya tiga saat yang diambil sebelum dia kembali terlelap selena-lenanya.
****



“Pang,”.
“Hmm…” Aliff mengangkat tangan malas-malas, menyahut seruan Hanif si ketua kelas yang sedang mengambil rekod kehadiran pelajar kelas 5 Razi tersebut. Sebelum pukul 9 pagi setiap hari, rekod kehadiran perlu dihantar segera ke pejabat.
“Umar,”. Hanif menjeling, memastikan Umar mengangkat tangan.
“Pa’an,”.
“Ada..”. Tangan yang diangkat segera diturunkan.
“Todak,”.
Diam.
“Ahmad Syafi’e…”. Hanif mengulang panggil nama orang yang sama, cuma kali ini diserunya nama sebenar Todak. “Belum datang?”
“Dia ada dekat kelas sebelah,” Seorang pelajar lelaki yang baru sahaja melangkah masuk terus bersuara. Hanif mengangguk, menanda kehadiran Todak yang dikira sebagai hadir. Senarai nama itu diperhatikan. Sudah hampir lengkap. Tinggal lagi satu nama sahaja. Satu nama diraguinya akan mencacatkan rekod kehadiran pada setiap hari.
“Zuhair,” serunya.
Sepi.
“Zuhair Amir…”.
“Bising la..” Umar lekas memotong. “Kejap lagi dia datang la tu, macam biasa. Tanda je kehadiran dia,”.
Hanif menghela nafas, menjulingkan mata. Saban hari begitulah kisahnya. Ada kalanya dia sendiri tidak akan menyebut nama itu, terus sahaja menanda. Setakat ini, jarang sekali Zuhair tidak ke sekolah. Kalau nak tahu ponteng tak ponteng, tengok geng dia. Kalau Pang, Pa’an, Acad dan lain-lain ada di sekolah waktu kehadiran diambil, itu bermakna Zuhair akan hadir ke sekolah.
Zahid Arrazin pula diam tanpa bersuara, memerhatikan suasana kelas yang agak meriah dek kebisingan yang melanda. Kelibat Cikgu Mazita yang sepatutnya masuk untuk mengajar subjek Sejarah di pagi hari itu masih belum kelihatan. Dia pun macam blur juga pagi-pagi macam ni. Malam tadi pun tidur agak lewat.
“Hui..” Afiq Hadri yang baru sahaja tiba menanggalkan beg silang jenama Converse, meletakkannya di atas meja. Tempat duduknya bersebelahan dengan Zahid.
“Dari mana?”.
“Bilik disiplin,” ujar Hadri.
“Ouh,” Zahid mengangguk. Hadri merupakan ketua pengawas asrama, dan dirinya sendiri juga merupakan ahli Majlis Tertinggi barisan kepimpinan pengawas sekolah. Kesibukan adalah perkara biasa. Urusan itu, urusan ini. Urusan sekolah mahupun asrama.
Tidak semena-mena Hadri membongkokkan badan ke arahnya dan berbisik, “Cikgu Norhayati dan Ustaz Rashid nak round asrama putera waktu rehat nanti,”.
Wajah Zahid langsung tidak menunjukkan sebarang respon melainkan kepalanya mengangguk. Waktu rehat memang waktu yang paling gemar pelajar asrama putera pulang ke asrama dengan sesuka hati. Walhal menjejaki kawasan asrama sewaktu sesi persekolahan adalah suatu kesalahan melainkan dengan izin atau alasan munasabah.
Dua guru merangkap warden nak round asrama…. Mujur bukan Cikgu Roha, si ketua warden.  Itu pun belum kira kalau kena heret dalam bilik disiplin lagi. Duo sang singa menanti. Teacher Mahani dan Cikgu Salwa. Zahid sengih memikirkan hal itu. Sengih yang menutup resah.
Seketika, matanya menjeling ke arah jam di dinding. Lepas subjek Sejarah adalah waktu rehat. Tiba-tiba hati mengharap agar Cikgu Mazita tak masuk kelas Sejarah hari itu. Tapi biasanya masuk….
****



ASRAMA PUTERA. 10.04 AM
“Aaauuh…” Zuhair menguap lebar. Mata dikesat beberapa kali. Tangan dijulurkan dari bawah selimut, mencapai jam tangan Casio miliknya. Melihatkan waktu tika itu adalah waktu biasa dia betul-betul bangkit dari lenanya, malas-malas posisi baring meniarapnya ditukar pada baring menelentang menghadap siling.
Kipas yang berputar betul-betul di atas kepala ditatap dengan minda dan fikiran yang kosong. Pendek cerita, baru bangun tidur memang terus masuk mood ‘blurr’ tahap giga. Anak matanya kemudian menjeling sekeliling dorm yang kini sudah sunyi sepi.
Semuanya telah menjadi kebiasaan sejak menjejakkan kaki alam tingkatan 5 ini. Bulan ini sahaja sudah bulan April, bererti sudah hampir empat bulan dia dan teman-temannya menjalani pagi mereka seperti pagi itu. Hanya sekali sekala mereka akan ke sekolah awal seperti pelajar lain.
Sama ada bila dikerah dengan bersungguh oleh pengawas ataupun setelah dikenakan tindakan disiplin. Itu pun bertahan seminggu. Pengawas pun dah jadi tak menang tangan nak melawan keliatan mereka dalam bersiap awal untuk ke sekolah. Itupun teman-temannya yang lain punya lambat ke sekolah tu kira boleh tahan. Setakat terlepas perhimpunan pagi dan subjek pertama tu kira okey lagi.
Dia? Lepas rehat pagi baru nampak muka di kelas.
Derap kaki yang kedengaran menyusuri koridor tersebut menarik perhatian Zuhair. Dahinya berkerut serta merta. Siapa lagi yang baru bangun seperti dirinya? Sewaktu terjaga pukul lapan tadi, serasanya semua rakan-rakannya telah pun bersiap.
Paling-paling yang biasa mengantuk terlebih dan bangun lambat seperti dirinya pun cuma Umar. Dalam kekecohan ‘awal’ pagi tadi, sempat juga dia mencuri pandang rakan-rakannya yang sedang bersiap. Umar pun dah siap pakai uniform sekolah.
Siapa pulak dah….
“Assalamu’alaikum…” Persoalannya terjawab saat satu suara memberi salam menyapa. Zahid melangkah masuk ke dalam dorm lalu berjalan menuju ke arahnya.
Haish…sibuk pulak dah pengawas seorang ni… Zuhair tepuk dahi, buat muka tidak senang. Zahid kini berdiri betul-betul di hadapannya. Zuhair pandang tempat lain, buat-buat tidak sedar akan kehadiran manusia yang satu.
“Baru bangun?”.
Dah tu?? Zuhair menjulingkan mata ke atas. “Nak ambil nama aku ambil je la, tak payah tanya soalan bodoh macam tu,”.
Nama dicatat pengawas bukan lagi perkara yang besar. Zuhair Amir bin Amran. Siapa yang tidak kenal dengan nama itu disarankan supaya semak balik nama pada pejabat sekolah, takut-takut tersalah masuk sekolah pagi tu sebab gelabah nak pergi sekolah.
“Aku bukan nak ambil nama kau lah,” Zahid menafikan. “Aku nak kau bangun bersiap pergi sekolah sekarang,”.
Aaaah…” Zuhair meningkah. “Semua pengawas macam tu,”. Agaknya memang Zahid bertugas untuk pantau asrama waktu rehat macam ni, sebab itu dia dihalau supaya ke sekolah sekarang. Eh? Tapi Zahid pengawas sekolah, apa kena mengena dia dengan asrama walaupun dia juga penghuni asrama?
Zuhair berkerut. Curi-curi dia pandang jam tangan. Belum waktu rehat….
“Aku serius, Zuhair. Siap sekarang,”.
Zuhair duduk sambil matanya memandang tajam tepat ke arah wajah Zahid.  “Kenapa tiba-tiba je ni?”. Walaupun sebelum ini dia sedar Zahid selalu sahaja memihak kepada dirinya jikalau dia disabitkan dengan apa-apa kesalahan disiplin yang kecil, kebaikan Zahid pada dirinya tetap dibuat tidak endah.
“Ustaz Rashid nak round asrama kejap lagi,” Zahid menyeluk tangan kanan ke dalam kocek seluar sementara matanya memandang ke arah jam tangan di pergelangan tangan kirinya. Dia hela nafas sambil membalas pandangan tajam Zuhair. Mata Zuhair jelas sedang memikirkan sama ada berita itu benar ataupun palsu.
“Kenapa aku perlu percaya?” Entah-entah saja nak buat aku siap pergi sekolah…. Suara dalam hati mula membuat sangkaan kotor. Suara jahat itu juga yang menafikan bahawa mata Zahid langsung tidak menunjukkan tanda-tanda berita yang dibawakan itu rekaan semata-mata.
“Sebab aku balik asrama untuk kejut kau semata-mata,”. Zahid berkata. Nasib juga menyebelahi dirinya apabila harapannya tercapai. Cikgu Mazita tak masuk kelas Sejarah. Dia pun lekas minta izin Hanif nak keluar sekejap dari kelas. Mujur juga Hadri tak tanya macam-macam. Kejap lagi kena tanya la tu…
Zuhair sengih mengejek secara automatik. “Itu pun aku kena percaya?”.
“Terpulang…”.
***



Malas-malas, dia melangkah masuk ke dalam kelas yang sunyi sepi. Sangkanya sunyi sepi itu bererti tiada orang dalam kelas sebab semuanya turun rehat. Maka dengan muka bangun tidur dia mengheret kaki melangkah masuk ke dalam kelas.
Langkahnya hampir mati tatkala melihat Teacher Sophia si guru kelas sedang asyik membaca sesuatu di meja guru. Namun riak wajahnya di kekalkan selamba tanpa mempamerkan sebarang riak. Dengan beg sandang yang dibawa dengan sebelah bahu dia melangkah menuju ke tempat duduknya.
Lepas ni subjek Bahasa Inggeriskah? Suara dalam hati bertanya. Teacher Sophia ni memang jenis suka masuk kelas awal kalau waktu sebelum subjeknya adalah waktu rehat. Mengendahkan persoalan itu, Zuhair menarik kerusi lalu duduk. Roti Custard yang berada dalam genggaman menjadi sarapannya pagi itu. Baru sahaja dibeli di koperasi.
Good morning, Zuhair,” sapa Teacher Sophia dengan senyuman, tanpa memandang ke arahnya.
“Hmmm…” jawab Zuhair dengan anggukan dua kali. Bungkusan roti di tangan dikoyakkan.
Sepi menyelubungi. Kunyahan roti itu pun dengan kadar yang lambat dan perlahan, semacam telah di-set-kan dengan pergerakan slow motion. Kepala otak ternyata masih kosong. Bukan kali pertama disapa seperti itu.
Itupun kira baik lagi. Kalau dengan cikgu lain, memang kena bebel habis-habis. Teacher Sophia waktu awal-awal tahun dulu bebel juga, tapi dalam bahasa inggeris. Sudahlah telinga Zuhair jenis kebal bebelan, lagi-lagi kalau kena dengan bahasa asing yang memang payah otak nak terjemah, memang laluan dari telinga kanan ke telinga kiri tu ibarat terowong lurus dan licin. Senang masuk, senang keluar balik.
I almost thought that you will be caught by Ustaz Rashid or Cikgu Norhayati, Zuhair,” Teacher Sophia bersuara lagi, kali ini memandangnya. Zuhair buat-buat tidak nampak, tapi mengangguk sebagai respon.
“Alhamdulillah…” Zuhair buat thumbs-up. “I save…” Amek kau…Bahasa inggeris kemalangan dia hentam.. tunggang langgang walaupun cuma dua patah perkataan. Sekali dengar macam ayat tergantung, tapi sungguhlah direct translate punya jawapan.
Teacher Sophia dengan sengih yang tertahan-tahan menggeleng.
Sunyi kembali menguasai. Dalam fikiran Zuhair, terbayang suasana ketika Zahid datang ke dorm semata-mata hendak menyelamatkannya dari ditangkap oleh guru-guru yang bertugas meronda kawasan asrama. Mujur juga dia tidak begitu degil nak ikut kepala sendiri, kalau tak memang nahas.
Nasib baik juga dia guna jalan belakang untuk keluar dari kawasan asrama menuju ke surau sekolah. Zahid pula terus menghilang setelah memastikan dirinya bangkit dari tidur, setelah memberinya pilihan sama ada hendak mempercayai amaran Zahid atau tidak. Sewaktu dalam perjalanan menuju ke blok tingkatan lima, matanya menangkap kelibat Ustaz Rashid berjalan menuju ke kawasan asrama putera. Serentak itu, loceng yang menandakan waktu rehat berbunyi.
Begitulah kisahnya.
Baru sahaja fikiran mahu berbolak balik memikirkan kenapa Zahid selama ini kisah tentang dirinya, satu suara dalam kepala membentak keras supaya dia mempedulikan pengawas yang seorang itu. Bukannya pernah kenal rapat pun sejak masuk ke sekolah ini. Dia mula betul-betul kenal Zahid pun waktu di tingkatan empat, bila terjadinya perang besar antara barisan pengawas dengan Zuhair.
Zahid, pengawas. Tiada apa yang lebih lanjut yang dia tahu mengenainya. Malas nak ambil tahu.
****



BILIK GURU. 2.45 PM
“Apa nak jadi lah dengan si Zuhair ni…”. Suara keluhan itu menarik perhatian Teacher Sophia. Mula-mula dia buat tuli sebab dah biasa sangat nama Zuhair disebut-sebut dalam bilik guru itu. Sudah bertahun-tahun gamaknya. Tak payah sebut nama penuh, semua tahu kalau keluhan membabitkan nama Zuhair adalah merujuk pada Zuhair Amir.
Diikutkan, dia sendiri baru sahaja menjadi guru bahasa inggeris di sekolah itu tiga tahun lepas. Waktu mula-mula masuk dahulu, pernah juga dengar nama Zuhair Amir disebut-sebut, cuma disebabkan waktu itu Zuhair baru sahaja tingkatan dua, maka namanya tenggelam dengan nama senior-senior taraf taiko zaman itu.
Sewaktu Zuhair di tingkatan empat, barulah dia mengenali siapa Zuhair Amir kerana dia mengajar kelas 4 Razi ketika itu. Mengenali diri dan attitud pelajar tersebut. Tahun lepas dia akui dia sangatlah tidak betah melihat perangai Zuhair. Kerana itu dia tidak hairan nama Zuhair makin galak menjadi sebutan para guru di bilik guru.
Tahun ini, dia diamanahkan sebagai guru kelas 5 Razi, kelas Zuhair.
“Zuhair Amir?”.
“Zuhair mana lagi….”.
“Dia buat apa lagi?”.
“Kerja sekolah dia ni la… satu dua soalan je berjawab….”.
“Hari tu pun dia masuk kelas saya lambat, kak…Selamba je muka..”.
“Okey la tu dia masuk. Kelas saya pagi-pagi, memang susahlah nak tengok batang hidung budak tu..”.
Teacher Sophia buat tuli lagi sambil menghela nafas berat.
 Zuhair Amir…
Zuhair itu manusia yang cacat cela dalam peribadinya memang ramai sudah maklum. Itu silap dirinya sendiri. Hakikatnya, semua kini hampir lupa, guru juga manusia. Manusia yang dimuliakan kerana amanahnya.

Amanah…

No comments:

Post a Comment