Monday 5 January 2015

Lukis di Langit Kita (Bab 4) ~ Hananee Amir

Meja batu yang tempatnya ditengah-tengah laluan fakulti kewangan itu dipenuhi pelajar dari pelbagai bidang dan rupa. Tak kira dengan apa aktiviti. Ada yang sibuk menelaah. Ada yang sibuk dengan telefon pintar masing-masing melayan candy crush dan facebook. Tak kurang juga yang sibuk melayan pasangan masing-masing dengan gaya yang amat menjengkelkan. Teringat kata-kata seorang kawan ‘mak ayah hantar ke universiti untuk cari ilmu, tambah ilmu, bukan cari rusuk kiri yang hilang’.
Inilah yang ummi selalu bimbangkan. Yang ummi selalu pesankan. Anak muda sekarang dah makin nipis rasa malunya. Dah lebih mat salleh dari mat salleh itu sendiri. Nak tak nak dia kena mengakui. Dia cuba menjaga diri sebaik mungkin. Raihana mungkin boleh membantu sebab Raihana ni, warak sikit orangnya.
            Di satu sudut, di meja paling kanan sekali, Umairah, Raihana dan Sofina sibuk menelaah pelajaran. Budak bertiga ni memang ‘kaki buku’. Tiap-tiap tahun, memang muka tu jugaklah naik pentas ambil anugerah kepujian dekan. Raihana tak ada boyfriend. Mak dia awal-awal dah larang. Mak dia pesan dah pesan awal-awal, selagi belum habis study, jangan gatal nak pilih laki. Lalu selaku anak yang taat, Raihana akur je.
Ada juga yang mencuba nasib. Tapi dia tolak dengan baik. Selain pesanan mak dia yang dia pegang kuat-kuat tu, dia rasa malas nak simpan sebahagian otak dia semata-mata untuk menempatkan seorang lelaki. Apatah lagi nak simpan sebahagian hati, pun untuk lelaki. Buat masa ini, prinsip dia mudah. Semuanya hanya untuk pelajaran dan dia ok dengan keadaan dia tu walaupun ramai kawan-kawan dia dah ada boyfriend. Dia percaya sampai masa nanti, dia akan tetap bertemu seseorang yang Allah telah janjikan. Masa tu, dia harap otaknya akan mempunyai ruang yang lebih besar untuk kekasih hatinya.
Sofina? Dia kan dah ada tunang. Pilot. Duda anak satu. Mak dia yang pilihkan.
“Macam kisah klasik lah kau ni. Zaman sekarang pun pakai family match ke?” Usik Raihana saja-saja dulu. Bila Sofina kata dia akan bertunang dengan pilot muda yang mak dia pilihkan. Muka dia tak ada bantahan. Ibarat dalam drama dan novel tempatan. Kahwin paksa yang mula-mula benci akhirnya bertukar cinta. Bezanya Sofina dari awal menerima. Dia kata malas nak benci-benci. Alasan dia, kahwin pilot dapat pusing satu dunia, free! Tak tahulah apa dia fikir. Dia fikir, dia bakal kahwin dengan pilot atau dia fikir pilot tu memang dapat sebiji kapalterbang setiap seorang jadi boleh jelajah dunia free? Apa dia ingat isi minyak sepuluh ringgit cukup untuk satu tank kapalterbang? Ke dia ingat kapalterbang tu tak payah isi minyak? Takkan lah sampai macma tu sekali. Sofina ni bijak orang nya tau tak.
“Aku pun malas nak cari. Dah alang-alang mak aku carikan. Aku terima jelah. Pilot, duda anak satu, anak dia tu, bekas isteri dia yang jaga. Tapi kalau dia nak aku jaga pun, aku ok. Aku suka je budak-budak. Kira oklah. Tak payah aku nak tergesa-geasa beranak nanti.” Dia selamba je jawab macam tu lepas jawab panggilan dari mak dia menyatakan tarikh bertunang dah pun ditetapkan. Cara dia cakap tak macam kena kahwin paksa pun.
“Kau tak nak jumpa dia dulu? Kot lah tak ada gigi ke? Pendek ke?” Sengaja Umairah nak menduga Sofina. Sebab dia nampak macma tak rasa apa-apa pun. Macam bertunang tu bukan isu besra sangat.
“Motif sangat part pendek tu? Pilot mana boleh pendek.” Sofina gelak. Logik jugak.
At least kau jumpa dia dulu sekali dua. Mak kau pun tak adalah mendesak sangat kan?” Raihana pulak menyampuk.
“Mak aku tak mendesak. Aku yang terdesak ni.” Gaya cakap macamlah umur dia tu dah 40 tahun yang beria sangat terdesak nak kahwin.
“Kau 20 tahun je kot. Apa yang terdesak sangat? Sekarang ni, orang kahwin umur 30 tahun pun biasa tau tak. Ni bukan zaman Saloma dengan P Ramlee lah.” Raihana sambung bebel. Hidup ni bukan selalu indah macam dalam novel, dalam telenovela. Itu cerita imaginasi. Yang realiti ni banyak cabarannya. Tu dia kena tahu tapi nampak macam Sofina tak kisah.
“Aku yakin mak aku akan pilih yang baik-baik untuk aku.” Dakwaannya benar. Takkan mak ayah dia nak pilihkan yang buruk-buruk untuk anak dia yang cantik jelita tu? Dan pun kalau terpesona dengan jawatan pilot tu, rasa macam tak mungkin. Mana mungkin. Mak ayah dia pun bukan orang kebanyakan sampai begitu gelap mata dengan status pilot. Mak ayah dia kerja besar. Dia sendiri tinggal dirumah agam. Apalah yang dia nak gelap mata setakat pilot kalau ye pun? Kot menteri ke, lain cerita jugak lah kan. Prospek dah lain dah tu.
Tapi itu cerita dulu. Dua tahun dulu. Sekarang ni, dah dua tahun Sofina jadi tunangan orang. Jarang jumpa sebab sang kekasih selalu fly sana sini. Macam burung. Sofina nampak tak kisah. Kata dia, jarang jumpa, jarang buat dosa. Logik. Dan DUSH sekali kat muka Umairah tapi Umairah tak kisah. Dia selalu jumpa pun, depan kawan-kawan dia je. Jarang nak keluar berdua. Ada jugaklah dosa kot. Harap tak bertambah-tambahlah. Takut pulak mati masa buat dosa. Tak sempat bertaubat. Ish! Jauhkanlah.
Nyata keputusan dia untuk menerima pilihan mak dia dulu berbaloi. Tak seindah novel, sang tunang bukan kaya, tampan , terkenal seperti selalunya. Sang tunang namanya Fahmi. Agak tampan, boleh-bolehlah. Maklumlah, pakejnya tinggi, kurus dan segak. Berbudi bahasa orangnya, Tidak sekaya Sofina. Dia hanya anak pesawah dari utara tanah air yang dialek utaranya amat pekat. Dia peramah, seperti anak utara kebanyakannya. Secara total, Sofina memang tak rugi langsung.
“Hoi!” Kedamaian yang sedang dinikmati 3 sahabat itu terganggu dengan suara seorang manusia yang tak ada adab sopan, tiba-tiba menerjah. Tak reti nak bagi salam langsung.
“Kau ni Chee Seng, sekali aku tampar karang. Kau tak boleh ke datang elok-elok? Nak sergah sana sini ni kenapa?” Sofina angkat tangan buat gaya nak lempang Chee Seng. Patutlah tak bagi salam. Dah namanya Chee Seng kan. Belum Muhamad Chee Seng lagi. Macam mana nak bagi salam.
Sorry lah. Kau ni Sofi. Tak ada sense of humour langsung. Nak marah je. Kesianlah kat tunang kau, dapat tunang macam kau ni.” Dia separuh merungut. 100 Plus yang setin kat tangan dia terus hirup. Kat tangan kanan ada satu beg plastik yang berisi tiga kon ais krim cornetto.
“Nah! Aku belikan aiskrim. Baik hati tak aku? Dalam poket ada sepuluh ringgit je tau. Gigih aku belikan kau orang aiskrim ni. Aiskrim mahal pulak tu.” Katanya sambil menghulur beg plastik pada Raihana. Cepat-cepat Sofina sambar.
“Oh! Tadi kau marah aku? Aku bawak aiskrim, kau pulak yang lebih-lebih” Chee Seng membebel.
“Aku marah kau je, aiskrim kau tak terlibat, Chapter lain-lain.” Plastik aiskrim bertukar tangan dari Sofina, Umairah pada Raihana.
“Vanila tu Rai punya. Dia tak makan coklat. Aku nak beli vanilla semua tadi. Tapi tinggal yang tiga ni je.” Tak jadi Sofina nak makan aiskrim vanilla tadi. Raihana memang tak suka coklat. Itu Chee Seng tahu. Sebab tu dia belikan vanilla khas buat Raihana.
“Najwan mana?” Soal Umairah sambil membuka pembalut aiskrim.
Boyfriend kau, kau tanya aku. Bukan aku yang jadi girlfriend dia.” Selamba je jawapan sambil selak-selak nota Raihana. Macam faham padahal kursus lain-lain. Kadang-kadnag dahi berkerut macam tengah memaksa diri nak fahamkan nota-nota tu. Nota sendiri dah tak cukup gamaknya.
“Kau kan course mate dia. Lagipun kalau dia tak ada dengan aku, selalu dia ada dengan kau kan?” Kata Umairah. Mata pandang Chee Seng tapi tangan meraba-raba dalam beg dia cari highlighter nak menanda nota.
“Ada perjumpaan panel juri untuk persembahan malam esok.” 100 Plus disedut hingga bunyi tin kosong kedengaran. Tin kosong digoyang-goyangkan dengan tangan kanan nak pastikan betul-betul dah habis sebelum tin kosong tu dibuang dalam tong sampah berhampiran.
“Persembahan apa?” Soal Sofina pulak. Dia sedang sibuk cari tisu dalam handbag dia yang macam beg doraemon sebab semua benda ada dalam tu. Tak jumpa pun tisu yang dicari, sampailah Chee Seng nampak peket tisu terselit kat celah diari dia. Chee Seng terus tarik dan bagi pada Sofina. Sofina ni memang rajin pasal serba serbi kecuali mengemas. Sebab tu beg dia pun bersepah.
Dia siap buat permohonan kat Fahmi, lepas kahwin nanti dia nak pembantu rumah khas untuk kemas mengemas je. Bab lain termasuk masak memasak dia boleh uruskan. Untunglah kau nak kahwin pilot dik non. Kalau tak, tak merasa lah nak ada pembantu khas kebersihan rumah idaman kau tu. Tu belum tengok katil dia. Kalau Raihana atau Umairah tak kemas, memang rupanya lagi buruk dari kejadian tsunami kat Acheh dulu. Horror.
Mula-mula dulu, Raihana dengan Umairah tu jenuh juga lah berleter suruh dia berkemas. Tapi dululah. Dah lama-lama dia pun jadi malas nak membebel. Baik terus tolong kemas je. Engsel mulut pun tak penat, pahala pun dapat. Lagipun Sofina ni malas berkemas je. Bab lain macam lipat baju, bancuh air untuk breakfast ke, dia rajin. Baju Umairah dengan Raihana pun selalu je dia lipatkan. Jadi malaslah nak berkira sangat kan.
“Malam Aspirasi Kartunis. Jangan tanya aku kenapa Najwan terlibat sebab aku pun tak faham. Dan lagi aku tak faham, Najwan dah heret aku jadi ajk untuk malam tu. Aku malas pergi taklimat tadi. Aku kata sakit perut, terus aku lari ke sini. Najwan tu kau tahu la. Segala aktiviti kat kolej tu dia nak follow. Penat tau tak.” Panjang lebar ulasan Chee Seng. Muka nampak sangat tak puas hati.
“Dia datang sini tak?” Umairah soal lagi. Memang dah janji nak jumpa kat tempat diorang berempat tengah berkumpul tu. Sebab Najwan janji nak belanja makan Kenny Rogers kat The Mines. Tu yang sibuk bertanya tu.
“Datanglah. Dia ingat janji dia tu. Lambat sikit jelah kot.”Jam kat pergelingan tangan direling beberapa saat. Chee Seng tarik buku dia pulak dari dalam beg. Mana tahan tengok semua orang baik punya study sambil tangan kanan pegang aiskrim, dia jadi pemerhati je. Dia pun nak naik pentas lagi ambil anugerah dekan tahun ni.
“Oit! Kau tak payah lah menyemak. Meja dah penuh ni.” Sofina tolak buku Chee Seng yang baru nak ambil tempat tu ke tepi. Raihana pulak tarik buku dia ke ke kanan sikit sebab nak bagi ruang kat Chee Seng.
“Aku pun nak study jugak. Nak pandai jugak. Teruklah kau ni. Aku dah belikan aiskrim kot tadi.” Dia sambung merungut.
“Jadi aiskrim ni rasuah lah?”
“Hei! Sofi, Chee Seng. Apa nak kenalah kau orang ni? Asal jumpa je nak gaduh. Tak penat ke? Nasib baiklah Sofi tu dah tunang, kalau tak, aku kahwinkan je kau dengan Chee Seng ni tau tak? Orang nak study ni. Tak boleh duduk diam-diam. Kejap lagi nak merayap sampai The Mines. Siapkan lah kerja-kerja ni dulu.” Umairah geleng kepala. Raihana tumpang gelak.
“Kau ke sanalah sikit, dekat dengan Mairah. Aku gerak sini sikit. Cukuplah ruang untuk Chee Seng tu. Dia bukan besar sangat pun. Meja ni memang untuk 4 orang pun. Kemas sikit barang kau tu. Penuh dengan barang kau je tu. Kalau kau kemas sikit mesti muat.” Memang betul pun, atas meja tu penuh dengan barang Sofina je. Stationary dia je bertabur merata-rata sampai ada liquid paper jatuh bawah meja. Fail dia lagi. Buku-buku, dengan nota-nota dia lagi. Dia ni hari-hari pikul satu meja study kot bawak masuk kelas. Orang lain tak ada pun bawak barang sampai banyak macam tu.
“Beg dah lah macam beg doraemon. Meja pulak macam kena tsunami. Kau ni perempuan jadian ke apa?” Chee Seng capaikan liquid paper bawah meja sebelum dia campakkan dalam pensil case Sofina atas meja.
“Dah… sambung study. Aku ada banyak chapter lagi ni. Aku perlukan kedamaian ni.” Potong Umairah. Kalau dilayan budak berdua ni, alamatnya tak study lah.
Diam. Semua sibuk mengulangkaji pelajaran sebelum Chee Seng datang dengan soalan yang tak kena mengena langsung dengan pelajaran apatah lagi masa depan.
            “Mairah, siapa budak lelaki yang duduk sebelah rumah kau tu?” Hujung pen digigit sambil mata pandang Umairah yang tadi ligat tulis nota, tapi dah berhenti beberapa saat sebelum pandang muka Chee Seng.
            “Sejak bila dia masuk dalam silibus kursus kau?” Matanya membundar.
            “Taklah. Tiba-tiba teringat. Tapi dah lama aku nak tanya. Asyik lupa je. Sementara aku ingat ni, baik aku tanya. Aku ni ada penyakit. Kalau satu-satu benda tu aku nak tanya, lepas tu lupa nak tanya. Aku susah nak tidur malam.” Dah puas gigit pen, dia pusing-pusing pulak pen tu hujung jari. Laju macam kipas. Yang ni Sofina cukup jaki. Sebab dari dulu dia cuba buat, tak berjaya jugak sampai hari ni.
            “Jadi dah berapa lama kau tak dapat tidur malam ni?” Perli Umairah.
            “Jawab jelah. Bukan susah pun kan?”
            “Ikram.” Tiba-tiba Raihana tolong jawabkan tanpa angkat muka. Umairah pandang Raihana. Senyum nakal terukir dibibir. Umairah malas nak sebut nama tu, tapi Raihana pulak yang sebut. Saja nak bagi panas.
            “Sejak bila kau jadi jurucakap aku?” Soal Umairah tak puas hati.
            “Kalau tunggu kau jawab, kau memang takkan jawab kan.” Sampuk Sofina pulak. Eh! Boleh semua ni take team pukul Umairah? Lupa yang nak pergi ‘bercanda’ sampai ke The Mines ni boyfriend Umairah?
            “Aku pun pelik kenapa kau dari dulu tak suka kat dia. Aku tengok dia ok je.” Raihana sambung lagi. Chee Seng dengar je sebab tak tahu nak sampuk apa. Dia cuma nak tahu nama je. Itupun tak tahu atas tujuan apa.
            “Kau mana kenal dia. Aku kenal dia dari kecil kot. Tahulah.”
            “Hari tu masa pergi rumah kau, kereta aku habis minyak, dia siap tolong belikan minyak lagi. Kalau tak, tersadai aku dengan Sofi tengahari buta tak sampai rumah kau.” Tokok Raihana.
            “Tu je kau kata dia baik? Bai jual roti pun akan tolong la kalau itu je. Yang kehabisan minyak pulak perempuan cantik jelita. Wajiblah tolong.” Cara dia jawab nampak sangat tak berkenan. Mata masih kat hujung pen yang ligat menyalin nota.
            “Yelah, at least dia baiklah kan. Sebab tu dia tolong.”
            “Aku tak suka dia. Kerek. Dari kecik, ummi asyiklah puji dia. Ikram baiklah, Ikram itulah, Ikram inilah. Sudahnya SPM cemerlang tapi dia tak kemana-mana. Kerek. Abang dia Huzir dengan Azril tu ok je aku tengok. Eh! Entahlah. Aku tak suka, maka tak sukalah.”
Perbualan tentang Umairah dan Ikram berhenti disitu disebabkan telefon bimbit Chee Seng berbunyi.
            “Najwan.” Dia gelak sebelum panggilan disambut.
            “Aku kat fakulti ni. Dengan 3 dara pinggitan termasuk girlfriend kau……ah! Malaslah. Lagipun kau yang paksa aku join, bukan aku yang nak pun. Aku setuju join pun dah kira bagus ni…. Ha…ok …kitorang datang sana. 15 minit.” Panggilan ditamatkan.
            “Apasal?” Soal Raihana terus sebab tengok Chee Seng terkekeh-kekeh ketawa.
            “Bising lah mamat tu, aku lari dari taklimat Malam Aspirasi Kartunis tu. Dia tinggal sorang-sorang. Dia yang paksa aku kot.”
            “Padan muka.”
            “Jom…dia tunggu kita kat parking.”
Cepat-cepat meja dikemas.

No comments:

Post a Comment