Tuesday 23 December 2014

Sampaikan Salamku (Bab 4 & Bab 5) ~ Reza al-Razi

AZLAN berbaring di lantai dengan beralaskan tilam nipis yang sudah buruk. Bilik kecil di ceruk rumah bersebelahan dengan dapur itu menjadi tempat untuk dia tidur. Bilik yang tidak berpintu itu hanya ditutupi oleh kain langsir. Hanya ada tilam nipis buruk dan rak meletak kain baju sahaja di bilik itu.
            Sejak pulang dari petang tadi, Azlan tidak keluar-keluar dari bilik. Malas dia nak menghadap wajah ibu, ayah tiri dan adik-adiknya. Kalau dia ada pun, mesti ada sahaja perkara yang tak kena di mata mereka. Jadi, lebih baik dia menyendiri. Mata dibawa menengadah bumbung bilik beratapkan zink itu. Waktu balik tadi, bimbang juga dia kalau akan dimarah lagi oleh emak dan ayah tirinya. Namun, mujurlah tidak ada apa-apa yang berlaku. Cuma sindiran pedih sahaja yang keluar daripada mulut ayah tirinya itu. Sindiran yang cukup menyakitkan telinga.
“Eh, ingatkan kau dah lari jauh tadi? Buat apa balik? Pergi mampus lagi bagus!”
Kata-kata berbisa dari ayah tirinya itu masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Cukup pedih terasa. Namun dia tidak berani untuk melawan. Cukuplah dengan apa yang terjadi siang tadi. Tak sanggup lagi rasanya nak menghadapi buat kali yang kedua.
Azlan menghela nafas panjang. Wajah ahli keluarganya kembali bermain-main di ruang mata. Bagi dia, kewujudan mereka tidak memberikan apa-apa makna dalam hidupnya. Ibunya Jamilah berkahwin dengan Hasan selepas ayah kandungnya meninggal dunia akibat kemalangan di tempat kerja. Ketika itu usianya baru sahaja dua tahun. Dia juga mempunyai dua orang adik iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan hasil perkahwinan ibu dan ayah tirinya.
Dia mula mengetahui bahawa ayahnya sekarang hanyalah ayah tiri adalah pada usia tujuh tahun. Neneknyalah yang telah menceritakan hal yang sebenar. Usianya terlalu muda ketika itu untuk memahami apakah itu ayah tiri dan apakah itu ayah kandung. Namun apa yang dia pasti, dia tidak pernah mendapat kasih-sayang seorang ayah apatah lagi ibu. Hanya pada neneknya sahajalah tempat dia menumpang kasih dan bermanja.
Ketika usianya dua tahun iaitu selepas ayahnya meninggal dunia, ibunya telah menyerahkan dia kepada neneknya untuk dijaga. Tetapi selepas neneknya meninggal dunia ketika usianya sembilan tahun, ibunya kembali mengambil-alih tugas untuk menjaganya. Dia masih ingat lagi saat itu dia menangis dan mengamuk kerana tidak mahu tinggal di rumah ibunya.
Ingatan tentang masa lalu terhenti tatkala perutnya mula berbunyi minta diisi. Azlan bangun menuju ke ruang dapur mencari kemungkinan ada sesuatu yang boleh dimakan. Dia berasa hampa apabila yang kelihatan di meja makan hanyalah sisa-sisa ikan dan sedikit sayur kacang panjang. Dia kemudian membuka periuk nasi. Mata memandang sayu ke arah kerak-kerak nasi yang masih tinggal. Akibat kelaparan yang dah tak tertahan, dia makan juga apa yang ada. Jadilah buat mengalas perut daripada terus kebulur malam tu.
Selesai makan, Azlan masuk semula ke dalam bilik. Dia ingin menyendiri. Menenangkan hati dan jiwa yang tengah berkecamuk itu. Tubuh disandarkan ke dinding sambil mata merenung kosong ke langsir lusuh bercorak bunga yang tergantung di ruang pintu. Ingatan pada peristiwa siang tadi kembali menjengah minda.
Ibu dan ayah tirinya tidak pernah menghiraukan dia. Hidupnya bagaikan anak terbuang di rumah sendiri. Dia disisihkan ibu kandung sendiri dengan alasan yang sukar untuk diterima olehnya. Ibunya tidak dapat menerima dia yang lahir daripada benih seorang lelaki yang tidak dicintai. Menurut cerita orang kampung, ibu dan ayah kandungnya dahulu kena kahwin paksa. Jadi mungkin itulah sebab ibunya itu tidak dapat menerima kelahirannya.
Dia sering sahaja menjadi mangsa kemarahan kedua orang tuanya. Apa sahaja yang dia lakukan, pasti nampak tidak kena di mata mereka seperti apa yang terjadi siang tadi. Dia dimarah kerana lambat memberikan wang hasil pekerjaannya di warung.

“Kau ni sama macam bapak kau! Tak habis-habis nak menyusahkan hidup aku. Kau ingat aku ni kaya sangat nak menampung hidup kau?” tempik Jamilah dengan hati yang meradang marah.
“Apa salah ayah dekat mak? Mak tak habis-habis nak marahkan arwah ayah. Besar sangat ke dosa dia dekat emak?”
“Kau tahu kan yang aku kena kahwin paksa dengan ayah kau. Lelaki jahanam tu perangkap aku supaya kami kena tangkap khalwat. Lepas tu, aku kena paksa kahwin dengan dia. Jadi ayah kau dengan seluruh keturunan dia aku tak suka!” 
Jamilah mengungkit cerita lapan belas tahun lalu. Terkedu Azlan seketika. Tergamak ibunya menceritakan dan mengungkit hal tersebut. Buruk macam mana sekalipun arwah ayahnya, lelaki itu tetap darah dagingnya. Tanpa lelaki itu, mana mungkin dia dapat lahir ke dunia.
“Jadi mak tak mengaku la yang Azlan ni anak mak? Kalau mak benci sangat dekat Lan, kenapa mak tak bunuh je Lan masa Lan kecil dulu?” Mata terasa berkaca-kaca. Bergetar suaranya menahan rasa marah yang sedang melanda.
“Kalau tak kerana ayah kau, memang dah lama aku bunuh kau. Kalau ikutkan hati, aku gugurkan je masa kau dalam perut lagi!” Api kemarahan Jamilah semakin marak. Dia bagaikan dirasuk. Dendam lapan belas tahun lalu tak pernah padam. Kini dendam itu dibalas pula pada Azlan. Anak yang tak berdosa itu.
Azlan tersentak tatkala mendengar kata-kata yang dia tidak pernah duga akan keluar daripada mulut ibunya sendiri. Sungguhlah, ibunya memang tidak dapat menerima dia sebagai anak akibat dari rasa dendam dan benci pada ayahnya sendiri. Terasa air hangat mula mengalir perlahan menuruni pipi.
“Kau jangan nak kurang ajar! Berani kau tinggikan suara dekat emak kau!” Hasan yang tadinya sekadar memerhati kini mula membuka mulut. Lelaki itu mencapai sebatang penyapu yang terletak di tepi pintu lalu melibas penyapu tersebut ke belakang tubuh Azlan.
Azlan menjerit menahan sakit. Dia merayu dalam esak tangisnya agar tidak terus diperlakukan sedemikian rupa. Penyapu yang dianggap hina dan membawa sial di kalangan masyarakat Melayu itu dengan sewenang-wenang dihayunkan ke tubuhnya. Lalu apakah nilai harga dirinya di sisi mereka? Dia merasa cukup terhina.
Lantaran tidak tahan dipukul bertalu-talu dengan kuat, dia melarikan diri keluar dari rumah itu. Mujurlah Hasan tidak mengejarnya. Dia membawa diri ke sungai yang seringkali menjadi tempat untuk dia menghiburkan hati dikala jiwa dilanda resah.
Memang berat ujian yang terpaksa dia dihadapi. Sejak kematian arwah nenek yang menjaganya sejak kecil, dia hilang tempat bergantung. Makan pakainya langsung tidak dijaga. Sakit peningnya tidak pernah dihiraukan. Jika hendak duit belanja pun, dia terpaksa mencari sendiri.

“Azlan!”
Tiba-tiba kedengaran namanya dilaung oleh ibunya dari ruang tamu. Habis bertebaran pergi segala lamunannya. Azlan merengus perlahan. Dengan malas, dia mengangkat tubuh lalu menghayun langkah ke ruang tamu. Apa pulak la kali ini? Hatinya dah mula diserang resah.
********



“MAK, orang kesian la dengan Azlan tu.” Liyana memecahkan kesunyian yang tercipta di dapur itu sambil tangannya laju menceduk kuah asam tumis di dalam periuk masuk ke dalam mangkuk.
“Kenapa?” Hasnah bertanya tanpa menoleh ke arah anaknya. Tangannya ligat memotong timun untuk dibuat ulam.
“Hari-hari orang tengok dia asyik termenung je. Kesian orang tengok dia. Mak tahu la kan Mak Ngah tu, tak habis-habis nak dera dia.”
“Mak pun tak tahulah nak buat macam mana dengan dua beranak tu. Kau pun tahu kan macam mana bencinya Mak Ngah kau dengan budak Lan tu. Bapa tiri dia lagi la, sampai sekarang tak boleh nak terima budak tu.”
“Kenapa masa arwah nenek meninggal dulu, mak tak jaga Azlan? Ajak dia tinggal dengan kita. Kalau tak, tak adalah nasib dia jadi macam ni." Liyana membawa mangkuk yang dah berisi kuah itu menuju ke meja makan.
“Ini wasiat arwah nenek. Nak tak nak Mak Ngah kau kena jugaklah bela si Azlan tu. Dah memang anak dia.” Hasnah melangkah ke singki untuk membasuh pisau yang digunakannya tadi.
“Tapi waktu tu kan semua orang tahu yang Mak Ngah tu benci sangat dekat Lan. Dia yang serahkan Lan pada nenek masa arwah Pak Ngah meninggal.” Liyana berdiri di tepi meja sambil memandang ibunya.
Hasnah menapak ke meja makan lalu melabuhkan duduk di kerusi. “Entahlah Liya. Mak pun tak tahu macam mana nak cakap. Benda dah lepas. Ada jugak dulu mak bincang dengan ayah kau untuk jaga Azlan. Tapi bila fikir balik wasiat arwah nenek kau tu, terus kami rasa berat hati. Lagipun waktu tu beria-ia benar Mak Ngah kau kata nak jaga Azlan balik. Ingatkan dia memang betul-betul dah insaf. Itu yang kami tak kisah serahkan Azlan pada dia. Lagipun dah itu memang anak dia.”
Liyana tekun mendengar cerita ibunya. Cerita yang sebenarnya dah berulang kali didengar. Bukan setakat keluarganya sahaja yang mengetahui cerita tersebut, bahkan jiran terdekat dan sebahagian daripada orang kampung juga turut mengetahui kisah Mak Ngahnya itu. Mulut orang biasalah. Bukannya boleh ditutup. Dari seorang ke seorang cerita itu dijaja sehingga lama-kelamaan boleh tersebar ke seluruh kampung.
“Hai, apalah yang dibincangkan anak-beranak ni? Makanan dah siap ke belum? Saya dah lapar ni.” Zaidil muncul di dapur sambil memegang perut.
“Dah siap bang. Abang duduklah dulu." Lembut suara Hasnah mempersilakan suaminya itu duduk. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggung.
Tanpa disuruh, Liyana segera menyendukkan nasi ke dalam pinggan. Dia kemudiannya melabuhkan duduk di kerusi. Zaidi menadah tangan membaca doa makan sambil diaminkan oleh Hasnah dan Liyana. Setelah itu mereka mula menikmati hidangan makan malam sambil berbual-bual.

Tak semua orang dilahirkan dalam keluarga yang bahagia. Tapi tak semestinya bahagia tu tak boleh nak dicari.





BAB 5
TUBUH dihempaskan ke tilam. Badan terasa lesu selepas seharian bekerja di warung Zaidi. Dia sudah bekerja di warung milik ayah saudaranya itu sejak sebelum SPM lagi. Hidup sebagai anak terbuang memaksa dia untuk berdikari. Dia terpaksa bekerja untuk mengumpulkan duit bagi membayar yuran sekolah, yuran peperiksaan SPM dan juga mencari duit poket.
Azlan membawa tangan menutup mulut yang dah beberapa kali menguap. Sudahnya, dia tertidur sehingga ke Asar. Mata kembali terbuka apabila mendengarkan bunyi bising dari ruang tamu. Kedengaran suara adiknya iaitu Amira Syahida dan Amir Fakhri sedang bergaduh. Entah apa yang digaduhkan mereka pun dia tak tahu. Dia menekup bantal ke telinga bagi mengurangkan bunyi bising. Malas dia nak ambil tahu hal mereka. Lagipun selama ini hubungan mereka tak pernah baik dan mesra. Dia seperti orang asing bagi mereka. Memang dari kecil lagi ibu dan ayahnya tidak membenarkan dia rapat dengan adik-adiknya.
“Membuta aje kerja kau! Apa kau ingat boleh duduk rumah ni free-free aje? Kau bangun sekarang!” Entah dari mana datangnya, tiba-tiba sahaja Jamilah muncul di muka pintu.
Azlan mengeluh perlahan. Dia segera bangun lalu duduk sambil memandang ibunya. Kepala terasa pening tiba-tiba akibat disergah sedemikian rupa.
“Kau jangan nak jadi pemalas. Kau ingat kau putera raja dalam rumah ni? Pergi basuh kain baju dekat dapur tu sekarang! Lepas tu aku nak kau pergi siram bunga dan bakar sampah dekat belakang rumah tu. Bangun! Cepat!” Telinga Azlan ditarik oleh Jamilah dengan sekuat hatinya.
Azlan bingkas bangun kerana tak tahan dibebel dan dimaki hamun. Cakap baik-baik tak boleh ke? Aku bukannya hamba dalam rumah ni. Semua kerja aku kena buat. Mira dengan Amir tu tak ada pula kena buat kerja. Takkanlah tak tahu aku penat balik sekolah lepas tu sambung kerja dekat warung! Azlan memprotes di dalam hati. Dirasakan tindakan ibunya itu sangat tak adil.
 Dia tahu sebagai seorang anak, dia harus akur dan taat pada segala suruhan ibunya selagi tidak bercanggah dengan larangan Allah. Namun dia juga manusia biasa. Punya hati dan perasaan. Hati mana yang tak sakit andai diri diperlakukan seperti seorang hamba.
Dia juga tahu syurga tu terletak di bawah telapak kaki ibu. Jadi sebagai seorang anak, dia wajar menghormati ibunya. Tapi macam mana pulak dengan keadaan dirinya yang terang-terang dibenci oleh ibu sendiri. Ada lagi ke syurga buat dia di bawah telapak kaki wanita yang bergelar ibu itu?
Azlan menuju ke bilik air lalu mencapai longgokan kain baju yang belum dibasuh. Baju-baju itu dimasukkan ke dalam mesin basuh. Nasib baik la rumah ni ada mesin basuh. Kalau tak, dera aku nak membasuh pakai tangan baju-baju ni semua. Dah ada mesin pun malas lagi ke? Suruh ajelah si Amir dengan Amira tu buat. Bukannya dia orang tu budak kecil lagi. Ini aku jugak yang kena. Nak jadikan aku orang gaji pun agak-agaklah. Kalau bayar gaji aku tiap-tiap bulan tak apalah jugak. Ini duit poket pun haram nak bagi!
 Sementara menunggu mesin habis berpusing, Azlan keluar ke laman untuk menyiram bunga-bunga yang ada di sekeliling rumah. Banyak juga bunga yang perlu disiram memandangkan emaknya gemar menanam bunga. Tanam bunga bukan main rajin, tapi nak siram malas! Bentak Azlan di dalam hati. Geram pula dia dengan sikap emaknya yang sesedap rasa sahaja menyuruhnya membuat kerja itu dan ini.
 Bukannya dia tak mahu menolong, tapi kadang-kadang apa yang disuruh emaknya itu melebihi apa yang sepatutnya. Paling dia terasa hati adalah disebabkan hanya dia seorang sahaja yang disuruh membuat itu dan ini. Kedua orang adiknya itu hanya duduk goyang kaki. Tak ubah macam dongeng Cinderella dengan ibu tirinya. Cuma bezanya dia adalah Cinderella versi lelaki yang didera oleh ibu kandung sendiri. Kalau lelaki orang panggil Cinderalla lah kot! Ke Cinderolla? Entah! Bibir mengukir senyum tanpa sedar.
Selesai menyiram bunga, Azlan melangkah ke rumah Liyana bertujuan untuk meredakan tekanan yang tengah dirasai. Memang biasanya sepupunya itulah yang sering menjadi pendengar setia dan penghiburnya di kala dia dirundung duka. Dari jauh, dia dapat melihat kelibat Liyana yang sedang leka menyapu daun-daun kering di halaman rumah.
“Woi anak dara! Buat apa tu?” Azlan melaung dari jauh.
“Aku tengah berenang ni. Meh la join sekali,” jawab Liyana selamba sambil meneruskan kerja-kerjanya menyapu laman.
“Berenang? Kau ni gila ke sewel?” Azlan semakin menghampiri Liyana.
“Kau tu yang sewel. Dah terang-terang nampak aku tengah menyapu, lagi mau tanya.” Liyana menayang riak bersahaja.
“Sombonglah kau ni. Menyampah aku.” Azlan buat muka merajuk lalu melangkah ke pangkin yang terletak di bawah pokok.
“Apa hal kau datang ni?” Liyana mengekori Azlan menuju ke pangkin tersebut.
Azlan menghenyakkan tubuh di atas pangkin. “Saja buat lawatan sambil belajar. Bosanlah duduk rumah tu. Tak habis-habis dengar mak aku membebel. Suruh buat itulah, buat inilah. Tension aku.” Dia mengadu perihal emaknya dengan muka yang berkerut-kerut.
Liyana mengoyak ketawa kecil. Penyapu lidi yang sedang dipegangnya disandarkan di tepi dahan pokok. Dia kemudiannya melabuhkan duduk di sebelah Azlan.
“Apa pasal kau gelak?” Wajah Liyana dipandang tajam.
“Tak ada apa. Cuma kelakar tengok muka kau tu. Sedih bukan main." Liyana mengajuk riak wajah Azlan.
“Mestilah sedih. Hari-hari macam ni boleh jadi gila jugak aku satu hari nanti.”
“Eh, tak payahlah sampai nak jadi gila! Nanti kesian aku kena kawan dengan orang gila.”
“Alah, kau pun sama dua kali lima gila!”
“Baik kau diam gila, sebelum cubitan maut aku ni hinggap dekat peha kau."
"Baiklah gila!"
Serentak itu juga ketawa pecah dari mulut mereka berdua.
"Dahlah. Lagi lama aku layan kau nanti boleh jadi sewel otak aku ni. Jom masuk! Mak aku ada buat pisang goreng tu." Liyana melompat turun dari pangkin.
Fuyyo, pisang goreng! Memang langkah kanan aku datang rumah kau ni.” Azlan menyungging senyum sambil membuntuti langkah Liyana masuk ke dalam rumah.
Setibanya di dapur, kelihatan kelibat Hasnah yang baru sahaja selesai menggoreng pisang.
“Mak long!” Azlan menyapa ibu saudaranya itu sambil mengukir senyum.
“Ha, Lan! Mari duduk makan pisang goreng ni ha. Panas lagi. Mak long baru goreng.” Hasnah menapak ke arah meja makan sambil membawa pinggan yang berisi pisang goreng.
“Lan datang ni memang nak makan pisang goreng mak longlah. Terbau-bau sampai ke luar. Pak long mana?” Azlan melabuhkan punggung di kerusi menghadap pisang goreng tersebut.
“Dia ke kedai pergi beli barang. Sekejap lagi baliklah tu. Makanlah dulu.”
“Mak long tak makan sekali?”
“Mak long dah makan beberapa ketul tadi. Kamu makanlah. Pak long kamu punya mak long dah asingkan. Mak long nak ke depan sekejap.” Hasnah melangkah pergi meninggalkan Azlan dan Liyana di dapur.
Azlan mencapai seketul pisang goreng lalu disuapkan ke dalam mulut. Perlahan-lahan dia mengunyah pisang goreng yang masih lagi panas berasap itu.
“Kau tak basuh tangan dulu ke?” tanya Liyana yang baru sahaja selesai membasuh tangan di singki.
“Basuh tangan? Dah dekat rumah tadi." Azlan menutur selamba. Dia terus menyuap pisang goreng ke dalam mulut dengan penuh berselera.
“Huh, pengotor!” Selamba Liyana mengata.
“Yalah, yalah. Aku pergi basuh la ni.” Azlan tarik muka lalu bangun menuju ke singki.
“Ha, macam itulah! Bagus-bagus!” Liyana menarik senyum segaris.
Azlan kembali duduk setelah membasuh tangannya. Dia kembali menikmati pisang goreng sambil berbual-bual kosong dengan Liyana.
“Alamak!” Wajah Azlan berubah riak dengan tiba-tiba. Macam orang ternampak hantu sahaja gayanya.
“Kau ni dah kenapa?” Bulat biji mata Liyana memandang Azlan.
“Dah pukul berapa sekarang?” Pertanyaan Liyana dijawab dengan pertanyaan juga oleh Azlan.
“Jam punya la besar tu kau tak nampak ke?” tutur Liyana sambil melirikkan mata ke arah jam yang tergantung di dinding dapur rumahnya itu.
Mata Azlan turut melirik ke arah jam tersebut. “Dah pukul 6.40 petang rupanya! Matilah aku!”
“Mati? Siapa pulak yang nak bunuh kau?” Dahi Liyana dah semakin berkerut.
“Bukanlah. Tadi mak aku suruh aku basuh baju, siram bunga dengan bakar sampah. Aku lupa yang baju tu tak habis basuh lagi. Sampah pun tak bakar lagi ni. Ingat nak lepak sekejap je dengan kau lepas siram bunga tadi. Layan pisang goreng mak kau punya pasal sampai terlupa semua kerja-kerja aku tu. Alamatnya membebel lagilah mak aku nanti. Sembahyang Asar pun tak lagi ni.”
“Dah tu pergilah balik cepat. Yang kau tunggu lagi dekat sini buat apa?”
“Yalah, nak baliklah ni!” Azlan segera melangkah bangun lalu meluru keluar dari rumah Liyana dengan tergopoh-gapah. Namun sebelum itu tangannya sempat mencapai seketul pisang goreng.
"Sempat lagi tu." Liyana menggeleng kepala sambil tersenyum melihat gelagat Azlan. Hai, nasib kaulah dapat emak macam singa!

No comments:

Post a Comment