Thursday 22 January 2015

Belum Aku Temu (Bab 6) ~ Amri Ramli

Pintu kereta dibuka oleh Fez. Farhana tersenyum, lalu masuk dengan sopan. Pintu ditutup dan Fez kembali ke tempat pemandu.

Farhana membetulkan duduknya. Tali pinggang dipasang dan beg tangan yang tadinya digalas diletakkan sahaja di atas riba, sambil kedua-dua belah tangan seperti mendakap beg tangan tersebut.

Enjin kereta dihidupkan dan Fez memandu keluar dari pintu pagar sekolah.

Hari ini Fez dan Farhana perlu ke pejabat pendidikan daerah. Ada taklimat berkenaan pengurusan perpustakaan. Entah kenapa tiba-tiba mereka berdua dipilih untuk menguruskan perpustakaan, dan menggantikan tempat dua orang guru yang berpindah sekolah.

Ah, bukanlah kebetulan sangat pun, fikir Fez. Hampir kesemua guru-guru di sekolah asyik mencanangkan namanya dan Farhana bila ada sahaja sesuatu aktiviti. Kata mereka, sama-sama bujang dan sama-sama padan. Fez senyum sahaja. Masih tidak suka orang-orang yang suka menjadi agen jodoh baginya. Tapi senyum juga kerana Farhana memang cantik orangnya.

Sebetulnya Fez rasa rendah diri. Takkanlah orang secantik Farhana ini masih tiada sesiapa. Takkanlah orang seperti Farhana ini mahu akan dia yang kurus kering ini.

Ah, kalau tidak cuba, mana dapat tahu?

Tangan Fez menggapai cd lagu dari rak di bawah pemain cakera. Matanya mengerling pantas ke arah cd yang dipegang. Mahu lihat lagu apa yang dia ambil. Kompilasi terbaru lagu-lagu dari carta terhangat. Dia tolak masuk cd itu ke dalam pemain cakera sementara mata masih memerhati ke arah jalan raya.

“Nak saya tolong?” tanya Farhana apabila dia melihat Fez terkial-kial dengan cd di tangan kirinya.
 “Oh ya, thanks,” kata Fez apabila Farhana mengambil cd tersebut dari tangannya.
 Satu lagu rancak kedengaran sebaik sahaja Farhana memasukkan cd tersebut.
 “Ah, saya suka lagu ni!” Farhana tiba-tiba menjerit.
 "Ye ke?” tanya Fez. Dia tidak sangka Farhana meminati lagu sebegitu.
 Yup, student saya selalu sangat nyanyi lagu ni dalam kelas. Terus saya minat sama,” terang Farhana. Jari telunjuknya mengetuk beg tangan mengikut rentak muzik.
 “Budak kelas saya pun ada nyanyi lagu ni,” kata Fez. Matanya menjeling sekejap ke arah Farhana apabila dia bercakap.
 “Tapi itu la kan, takkan Cikgu Fez tak perasan, lirik lagu ni ... teruk sikit sebenarnya,” keluh Farhana.
 ‘Eh, tak payahlah bercikgu-cikgu dengan saya. Panggil saja abang.’

Fez menggelengkan kepala. Entah kenapa dialog tipikal lelaki-lelaki miang dalam drama Melayu tiba-tiba bermain di kepala sebaik sahaja Farhana memanggilnya ‘Cikgu Fez’. Mujur juga tidak bercakap sebegitu, kalau tidak...
 “Farhana, panggil saya Fez saja pun dah okay. Takyahlah cikgu-cikgu,” kata Fez. Mindanya masih lagi berfikir akan dialog tadi.
 “Eh, sorry sorry,” kata Farhana sambil tersenyum.

***

Perjalanan 40 minit ke pejabat pendidikan daerah terasa begitu cepat. Fez benar-benar selesa berbual dengan Farhana. Walaupun sudah beberapa lama semester persekolahan bermula, Fez tidak pernah pula duduk dan bersembang sebegini.

Dan baik juga ada Farhana di sebelah. Kalau tidak, sudah tentu dia bosan apabila melalui kawasan bandar yang penuh sesak dengan kereta.

“Saya kalau driving time jam macam ni, saya akan call kawan-kawan,” Farhana memberitahu Fez apabila kereta mereka tidak bergerak buat beberapa minit di dalam kesesakan.

“Oh? Kalau saya – melalaklah dalam kereta sambil buka lagu kuat-kuat,” kata Fez.
 Farhana tertawa. “Eh, Fez pandai menyanyi ya?”
 Fez tiba-tiba terasa segan. Suaranya tidaklah semerdu buluh perindu.
 “Takdelah. Untuk diri sendiri – bolehlah,” terang Fez.
 “Ala.. ni nak kena dengar Fez nyanyi ni nanti ni,” kata Farhana.
 Sudah... Nanti tak fasal-fasal kena buat persembahan di sekolah, fikir Fez.
 “Nyanyilah, nyanyilah. Ni lagu ni,” pinta Farhana apabila lagu berikutnya dimainkan.

***

“Farhana nak balik terus, atau nak makan dulu?” tanya Fez. Lama juga taklimat sebentar tadi. Fez mula berasa lapar. Waktu persekolahan pun sudah tamat, jadi tidak perlulah bergegas kembali ke sekolah.

“Hm...” Farhana berfikir sejenak. Fez mula terasa seperti mahu makan makanan ala barat. Mungkin pizza. Atau kalau dapat ayam goreng, sudah cukup baik.
 “Kita makan dululah? Dah lapar la pula,” kata Farhana.
 Okay je,” balas Fez. “Nak makan apa? Mamak, fastfood, masakan Melayu?”
 “Hm...” Farhana berfikir lagi. “KFC okay tak?”
 Fez teruja. Farhana seolah-olah mampu membaca fikirannya.

***

Gelak ketawa dapat didengari dari meja tempat Fez dan Farhana duduk.
 You ni.. kalau asyik memilih bahagian tulang, macam mana nak berisi,” kata Farhana.
 Part tulang la manis. Drumstick ke, kepak ke,” terang Fez. “Ayam bahagian dada tu tawar sikit.”
 “Lepas tu you complaint yang susah nak tambah berat badan! Kalau I happy jer, sebab boleh makan banyak-banyak.” Farhana bergurau.
 Makin selesa pula si Farhana ni, sudah ber’I’dan ‘you’ nampaknya, fikir Fez.

Fez sedar yang dia sudah mula jatuh hati pada Farhana. Baru beberapa jam mereka menghabiskan masa bersama, Farhana sudah boleh dibuat kawan. Banyak persamaan antara mereka. Dan perbezaan pula menjadi pelengkap. Fez sudah memandang jauh. Nampaknya bagus juga mereka sama-sama menguruskan perpustakaan. Adalah peluang untuk Fez mengenal Farhana dengan lebih dekat.

Perbualan mereka berubah dari satu topik kepada satu topik yang lain. Hiburan, sukan dan juga kisah sewaktu kecil.

I kecil-kecil dulu selalu panjat pokok,” Farhana bercerita. “Selalu mak I akan jerit dari bawah suruh turun.”
 Fez tersenyum mendengar cerita Farhana. Hatinya semakin berdebar kerana dia terasa semakin suka pada Farhana.
 Comelnya si Farhana ini, fikir Fez.
 “Eh,” ujar Farhana. Dia mencapai sesuatu dari dalam beg tangannya. “Ada call. Vibrate pula.”
 Fez menganggukkan kepala tanda memberi laluan kepada Farhana.
 “I jawab jap ya. Boyfriend I call.”
 Serentak itu Fez terasa seperti dihentak dengan batu besar ke atas kepalanya.
 Tidaaaak!!!!!!

No comments:

Post a Comment