Thursday 15 January 2015

Si Dia dari Boston (Bab 3) ~ Norliza Baharom

Selepas makan tengahari, Ainun menapak keluar dari rumah, berkain batik, baju kurung johor dan bermini telekung.  Dia berjalan menerusi jalan kecil berturap di hadapan rumahnya menuju ke sebuah rumah lain di hujung jalan itu.
Di hadapan tangga sebuah rumah yang bercat biru langit, bertinggung seorang wanita tua yang sedang leka membersihkan pasu bunga kertasnya.
“Assalamualaikum, Mak Ngah!” sapa Ainun dengan nada kuat yang disengajakannya. Serampang tiga mata di tangan wanita tua itu terlepas ke tanah sambil dia melatah berterusan – ternyata dia tidak perasan akan kehadiran Ainun. Setelah melihat Ainun yang sedang ketawa itu, dia bangun berdiri dan turut  ketawa sambil tangan mengusap-usap dadanya.
“Terkejut Mak Ngah kau buat, Ainun!” leternya. Ainun masih lagi tertunduk-tunduk ketawa, geli hati. Ainun menyambar tangan perempuan tua itu lalu menciumnya.
“Haninah mana, Mak Ngah?” tanyanya sambil kepalanya dipanggung tinggi, melihat-lihat ke arah tingkap rumah Mak Ngah Rafidah.
“Ada di dalam bilik tadi, cuba kau masuk tengok.”
            Ainun tunduk melintas di hadapan Mak Ngah Rafidah tanda hormat, mendaki tangga di hadapannya, masuk dan menuju ke bilik Haninah. Hampir dengan pintu bilik, dia memperlahankan langkahnya, berjalan menghendap-hendap. Dek kerana lantai rumah adalah lantai kayu, bunyi berkeriut mengikuti setiap tapak walau sebaik manapun dia cuba menjingkit kaki.
“Kau ingat aku tak dengar kau menyakat mak aku di luar tadi? Jangan ada hati nak buat aku melatah pula ye!” kedengaran suara amaran dari dalam, kuat dan lantang, lantas Ainun menghamburkan tawa. Rancangan serang hendapnya sudah dihidu.
Dia masuk ke dalam bilik, melihat Haninah sedang baring meniarap dengan sebuah buku tulis di hadapan dan sebatang pen di tangannya. Mulutnya menguntum senyum, terhibur dengan kenakalan Ainun yang keanak-anakan itu. Dia menepuk-nepuk bahagian tilam di hadapannya, menyuruh Ainun duduk.
“Apa yang kau buat tu?” tanya Ainun.
“Tak ada apa-apa, cuma bahan-bahan yang nak ku siapkan untuk pembentangan bila buka semester nanti.” jelas Haninah. Matanya yang bundar itu digosok-gosok dengan belakang tangan. Nampak letih wajahnya, menunjukkan yang dia sudah lama menelaah di hadapan buku.
            Ainun mengambil buku tulis Haninah dan menyelak-nyelak halaman-halaman yang penuh dengan coretan nota dan latihan, kagum dengan kesungguhan sahabatnya itu tatkala cuti semester baru sahaja bermula. Tak mungkin dia sendiri mampu menyentuh apa-apa sahaja bahan ilmiah dalam beberapa minggu pertama cuti semester yang panjang ini walaupun kerja tugasannya sendiri tidak kurang banyaknya.
“Kau sihat?” Ainun bertanya khabar.
“Alhamdulillah, sihat.” jawab Haninah sambil berpusing membaringkan badan untuk berehat. Sejurus dia terus menekup mulut dan menguap.
“Emm, Haninah…” panggil Ainun dengan suara mendatar, tanpa memandang Haninah, masih lagi menyelak-nyelak buku tulis di tangannya walaupun tidak dibaca. Haninah menoleh dan mengangkat kedua-dua belah keningnya, tanda pertanyaan.
“Kalau aku nak minta kau temankan aku pergi ke satu tempat... kau nak tak?” tanya Ainun. Menjeling sekilas ke arah Haninah.
“Pergi ke mana?”
“Pergi berjumpa Umar.”
“Berjumpa Umar? Umar dah balik ke?” tanya Haninah, acuh tak acuh. Menguap sekali lagi.
“Belum.” Ainun menarik nafas.  “Maksud aku berjumpa Umar di Boston.”
Pada mulanya Haninah memandang kosong ke arah Ainun. Seolah-olah otaknya lambat memproses ayat yang baru diutarakan Ainun sebentar tadi.
Kemudian dia memandang Ainun dengan muka bingung. Wajahnya tiba-tiba jadi berkerut, seolah-olah mencari tanda Ainun sedang mempermainkannya. Namun wajah Ainun yang tersenyum kambing itu tetap nampak bersungguh-sungguh.
“Kau biar betul, Ainun!” Haninah bangun dan terus duduk tegak, tidak percaya dengan undangan yang baru didengarnya. Namun ekspresi di wajah Ainun menunjukkan keseriusannya.
Mak dan ayah kau dah tahu?” tanya Haninah dengan mulut melopong.
“Sudah, mereka benarkan.. asalkan aku bawa kau sekali sebagai peneman. Wajib ada mahram, yang baik, warak dan yang boleh dipercayai. Seperti kau.” kata Ainun, sudahpun menggunakan nada memujuk dan membodeknya.
Tanpa membuang masa, dia terus memberitahu tentang cadangan tunangnya Umar dan kesanggupannya untuk menampung perbelanjaan sesiapa sahaja yang sanggup menemankannya. Haninah mendengar dengan penuh minat.
“Tolonglah aku Haninah, mesti kau pun suka berada di sana nanti. Lagipun kau sendiri minat dan pandai berbahasa Inggeris. Dapat serba sedikit kau mengasah skill bercakap bahasa Inggeris kau tu dengan orang-orang tempatan di Boston nanti.”
Haninah menjeling ke arah Ainun sambil dihujung bibirnya ada bibit-bibit senyum. Anak dara Pak Su Ayub ni memang pandai memujuk, detik hati kecilnya sambil dia menggeleng-geleng kecil. Kemudian dia terdiam beberapa ketika, berfikir.
“Berat juga ni. Nantilah aku fikirkan dulu.” Jawab Haninah. Bukan dia tidak gembira mendengar pelawaan Ainun itu, tapi terlalu tidak dijangkanya membuatkan dia tergamam seketika.
 “Dan disamping tu, Insya-Allah aku jamin. Di sana nanti, dapat juga kau tenangkan jiwa dengan bertukar angin, bantu kau lupakan perkara-perkara yang sudah lepas, hilangkan sedikit sedih di hati kau tu…” sambung Ainun lagi, sambil menepuk-nepuk lembut belakang Haninah. Kali ini ada sedikit nada sayu di dalam tutur katanya.
Haninah memandang wajah teman rapatnya itu. Tampak keikhlasan di wajah Ainun. Namun hanya Allah dan dirinya yang lebih tahu tentang isi hatinya. Hatinya yang sudah sekian lama bergelora dan terumbang-ambing ini.
Apa yang ada dalam hatiku ini takkan hilang dengan semudah itu Ainun...
Dia menguis-nguis pen di atas tilam dengan hujung jarinya, kemudian termenung beberapa ketika sambil mengerutkan kening dan dahi.
Tidak dapat dinafikan sangat teruja dia memikirkan akan peluang ke luar negara itu, tambahan pula sanggup ditanggung segala perbelanjaannya oleh orang lain. Mana mungkin dia akan melepaskan peluang itu begitu sahaja terutama sekali jika bersama kawan-kawan yang paling disenanginya.
Umar tunang si Ainun itu juga sangat dikenalinya, dan baik orangnya; orang kampungnya sendiri. Cuma kerut di dahinya timbul dek kerana berfikir tentang bagaimana hendak mendapat pelepasan daripada ibubapanya. Abah, terutamanya.
Haninah sedang menuntut di UKM di dalam kursus Kesusasteraan Bahasa Inggeris, peringkat Ijazah. Sudah pun memperolehi ijazah di dalam bidang Sains Komputer sebelum itu, namun minatnya dalam bidang bahasa membuatkan dia bersungguh-sungguh untuk mengambil STPM semula dan melayakkan diri untuk kursus bahasa Inggeris pula.
Seperti Ainun, dia juga di dalam cuti semester. Bezanya Ainun baru di tahun pertama sedangkan dia sudahpun di tahun akhir. Umurnya sudah menjangkau 29 tahun,  5 tahun lebih tua dari Ainun. Tetapi dek kerana mereka telah pun berkawan sejak kecil lagi, Ainun dan Haninah menganggap diri masing-masing seperti rakan sebaya.
 Maka itu menandakan yang dia memang sepatutnya lebih sibuk berbanding Ainun; banyak hal-hal berkaitan dengan projek akhir harus dilakukannya. Dia tidak punya banyak masa untuk dibuang.
 Walaupun begitu, dia bersetuju dengan Ainun bahawa cutinya masih panjang. Tidak salah jika diluangkan sedikit masa untuk bersiar-siar dan melakukan sesuatu yang baru. Lagipun dia boleh membawa bersama buku-bukunya dan membuat kerja bila ada waktu terluang.
“Kau pujuklah emak dan abah kau elok-elok. Kalau kau sebut nama “YB Ainun”, mesti mereka bagi.” gurau Ainun. Haninah mendengus dan tersenyum.
“Bila kau nak pergi?” tanya Haninah.
“Insya-Allah kalau tak ada aral, hujung minggu depan? Hari Rabu. Minggu ni kita selesaikan dulu urusan passport dan visa secepat mungkin.” jawab Ainun.
Haninah termenung sebentar.
“Bolehlah..” Ainun merayu, dengan riak wajah meminta simpati. Mulut dimuncungkan tajam.
“Tengoklah, kalau emak abah aku bagi. Nanti aku tanya dulu.” jawab Haninah, ringkas.
Melihat Ainun tersengih lebar, dia pula mengukir senyum. Gelagat sahabatnya yang bertubuh kecil molek dan periang itu selalu mencuit hati.
“Macam tulah kawan!” ujar Ainun sambil menepuk bahu Haninah beberapa kali, gembira.
            Ainun meminta diri untuk pulang – hajatnya sudah disampaikan. Ibunya juga sudah berpesan mahukan pertolongan memetik pucuk ubi di belakang rumah, untuk dibuat makan tengahari.
Haninah cuba menyambung semula kerjanya yang terbengkalai, tetapi fikirannya kini terlalu ligat memikirkan tentang perkara yang baru sahaja menghuni benaknya. Teruja memikirkan bahawa dia mungkin akan melawat negara asing dalam beberapa hari ini. Sambil itu otaknya juga ligat memikirkan bagaimanakah caranya hendak meminta kebenaran dari emak dan abahnya, waktu bilakah yang paling sesuai.
Hujung pen yang dipegangnya meniti di pinggir bibir.



            Siang beransur-ansur menghampiri petang, menjurus kepada redupnya senja. Belum tiba waktu maghrib lagi, matahari sudah menyorok di balik pokok-pokok tinggi yang mengelilingi rumah sawah itu. Dari kejauhan kelihatan bangau-bangau yang datang berhijrah pada masa tanah sawah dibongkah. Mereka duduk segerombolan, mematuk-matuk lumpur yang menjanjikan cacing dan makanan-makanan kecil.
            Haninah duduk di beranda rumahnya, di atas sederet kerusi rotan, menikmati cuaca yang nyaman itu. Keadaan agak panas dan terik sebelumnya, memandangkan tanah sudah lama tidak bertemu hujan. Kipas tegak yang menghala ke arahnya dibiarkan menghembus lembut ke muka. Rambutnya yang lurus mencecah tengah belakang melambai-lambai lembut di tepi telinga.
            Tangan kirinya mengurut-urut tangan kanannya yang lenguh. Hari yang padat dengan kerja baginya. Sebahagian besar waktunya dihabiskan untuk kerja tugasan. Dia cuma berhenti seketika untuk membantu emaknya di dapur, dan sedikit masa diluangkan untuk solat dan makan tengahari. Leher baju kurung putihnya dijinjit dengan jari dan dikibas-kibaskan untuk membuang sisa panas badan yang tinggal. Mahu terus ke bilik air dan mandi selepas ini, fikirnya.
            Denai yang berjalur di hadapannya itu semakin redup dihampiri malam. Bila-bila sahaja azan maghrib akan berkumandang.
Baru sahaja dia hendak mengangkat punggung untuk masuk ke dalam rumah, matanya menangkap sesuatu di hujung denai, satu susuk tubuh yang sedang bergerak menyusuri jalan sempit itu, semakin menghampiri rumahnya.
Haninah mengecilkan mata, cuba mengamati siapa yang datang pada waktu sebegini. Cermin matanya tertinggal di bilik tidur. Dia merungutkan tabiat biasanya itu yang kini menyukarkannya.
Mungkin abahnya yang baru pulang dari warung Pak Hasbul di seberang sana, fikirnya. Siapa lagi? Tetapi tidak pula dia perasan warna baju ayahnya hari ini, memandangkan lembaga yang dilihatnya itu seperti sedang memakai pakaian berwarna serba putih. Selalu abahnya suka memakai baju-baju yang berwarna gelap dan kusam, fikirnya kemudian.
            Susuk tubuh itu sudah semakin dekat dan mata Haninah semakin mengecil, menggerinyit. Semakin dekat susuk itu, semakin dia merasakan yang ia bukan ayahnya. Dan bila sudah terlalu dekat dengannya, dan susuk itu sudahpun bersuara, “Assalamualaikum!”, barulah Haninah pasti bukan ayahnya. Melompat dia terjun dari kerusi  dan terus berlari ke dalam, menuju ke biliknya. Disambarnya cermin mata yang terbaring di atas katil dan tudungnya yang tersidai di atas kerusi di tepi dinding, lantas mengenakan kedua-duanya. Dia berdiri di hadapan cermin sebentar dengan nafas tercungap-cungap, memastikan yang tudungnya tidak senget.
Ditunggu sebentar dengan harapan emaknya di dapur mendengar salam yang diberi tadi lalu pergi menyambut tetamu itu mendahuluinya. Setelah salam kedua diberi, ternyata emaknya tidak mendengar. Haninah mengeluh hampa.
Dengan berhati-hati dia berjalan ke luar. Cuba diamati siapakah gerangannya yang datang pada waktu senja begini. Kelihatan seorang lelaki yang telah pun berdiri betul-betul di hadapan tangga rumahnya.
“Assalamualaikum.” sapa lelaki itu lagi. Dia sedang mengukir senyum.
“Walaikumussalam.” jawab Haninah, menggelabah namun menggagahkan dirinya menghampiri pintu. Sampai sahaja di hadapan lelaki itu, baru dia dapat mengecam wajahnya.
Rupa-rupanya Hakim, anak Pak Cik Syukri dan Mak Cik Suri - anak lelaki mereka yang baru pulang menamatkan pengajian di UiTM Shah Alam dalam bidang perakaunan, yang juga merupakan kawan sepermainan dengannya semasa kecil dulu.
            Lelaki bernama Hakim itu memakai baju jubah berwarna putih dengan ketayap putih bersih di atas kepalanya. Badannya nampak tinggi dan tegap, tidak seperti Hakim yang pernah dikenal Haninah semasa kecil dulu.
Dulu Hakim kurus melidi bagaikan cucuk sate. Saiz badannya kecil sahaja, bahkan lebih kecil daripada Haninah pada waktu itu. Di sekolah dia selalu menjadi bahan senda gurau kanak-kanak lain. Dia juga seorang yang agak pendiam, sehinggakan kadang-kala ciri-cirinya itu menjadikannya mangsa buli di sekolah oleh kanak-kanak lain yang lebih besar dan bising. Malah Haninahlah orangnya yang kadang-kala menghambat budak-budak nakal yang membuli Hakim dulu. Terfikir tentang itu, Haninah mengukir senyum tanpa disedarinya.
Melihat Hakim yang berada di hadapannya kini, Haninah tidak fikir bahawa ada sesiapa yang akan mahu membulinya lagi. Lelaki itu benar-benar sudah berubah. Juga ada kumis nipis di atas bibir dan sejemput janggut nipis di hujung dagu, membuatkan dia nampak benar-benar matang dan dewasa. Jika tidak dilihat dengan teliti, sudah tentu Haninah tidak dapat mengenalinya.
            Hakim yang masih berdiri di depan tangga itu sudah lama tersenyum lebar, lagaknya terhibur dengan gelagat si Haninah yang mengenyit-ngenyit mata cuba mengecamkannya tadi dan kemudian melompat dan berlari masuk seperti lipas kudung.
“Apa khabar, Haninah?” sapa Hakim.
“Khabar baik. Hakim.  Masuklah, emak ada di dapur memanaskan lauk. Abah mungkin terus ke surau sebab dia keluar awal tadi.” terang Haninah. Kekok rasanya bercakap dengan sahabat lama yang sudah bertahun-tahun tidak dilihatnya itu.
“Tak apalah. Saya pun nak ke surau ni. Mungkin boleh berjumpa Pak Ngah kat sana nanti. Emak yang suruh ke sini bawakan bubur kacang dengan gulai ikan tongkol. Pukul tujuh tadi baru dia siap masak. Lepas tu teringat pula dia yang Haninah ada di rumah. Terus saya dipaksanya ke sini.” jelas Hakim, sambil tersenyum.
Haninah membalas senyumnya. Dia menyambut bungkusan plastik yang dihulurkan oleh Hakim.
“Terima kasih, ya.”
“Sama-sama. Berapa lama cuti semester?” Hakim bertanya.
“Dalam tiga bulan.”
“Oh, lama tu. Saya baru saja habis di sana. Insya-Allah, duduklah di kampung ni dulu sementara mencari kerja.” jelas Hakim tanpa perlu ditanya-tanya terlebih dahulu. Haninah mengangguk-angguk tanda faham.
“Eh, balik dulu lah, ya. Dah lambat dah ni. Nanti boleh sembang lagi.” tambah Hakim. Senyum terukir di hujung bibir.
“Ah, ye lah.” jawab Haninah, lalu Hakim berlalu pergi, berjalan menyusuri denai dengan cepat lalu hilang ditelan gelap malam. Azan maghrib sudah kedengaran menembusi corong pembesar suara di surau.
            Haninah bergegas masuk menghantar lauk ke dapur lalu menunaikan solat maghrib bersama ibunya.



            Di meja makan, nasi di pinggannya baru sahaja bertambah. Selera menjadi-jadi jika lauk kegemaran berada di hadapan mata. Terima kasih Makcik Suri, detiknya di dalam hati. Abahnya, Pak Ngah Hamdan, juga sedang khusyuk mengunyah sambil mulutnya juga mengomel-ngomel tentang seorang jiran yang ditemuinya ketika di surau tadi, yang menawarkan untuk menjual sebidang tanah miliknya atas sebab masalah kewangan.
            Emak Haninah, Mak Ngah Rafidah sudah selesai makan dan sedang menuangkan jus oren sejuk ke dalam gelas, kemudian disuakan di hadapan Haninah dan suaminya.
“Bukan aku tak mahu beli, harga yang ditawarkannya pun memanglah murah. Tapi tanah tu separuhnya tanah paya. Apa sangatlah yang boleh ku tanamkan di situ. Hujan sikit, penuhlah air. Kalau ditanamkan sawit pun tak banyak buahnya.” rungut abahnya lagi, menzahirkan perasaannya yang di dalam dilema. Serba salah mengenangkan jirannya itu sangat-sangat memerlukan wang.
            Haninah berpura-pura menumpukan perhatiannya pada apa yang diceritakan oleh abahnya itu. Tetapi hakikatnya, benaknya sarat dengan masalahnya sendiri. Bagaimana hendak memberitahu dan meminta kebenaran dari abahnya itu dengan cara yang terbaik, fikirnya. Mungkin bukan sekarang. Saat abahnya sedang runsing.
“Abah, tambah lagi.” dia menawarkan sesenduk nasi. Tetapi Pak Ngah Hamdan menolak, menggeleng-geleng kepala – sudah kenyang.
            Haninah baru berkira-kira hendak bangun membasuh pinggan mangkuk bila abahnya bersuara lagi. “Kamu ni Ninah, boleh abah tanya?”
Haninah menoleh dan mengangkat kening.
“Macam mana dengan perancangan masa depan kamu? Pelajaran kamu sudah hampir habis.” kedua-dua emak dan abahnya memandang ke arahnya, menunggu jawapan.
Ada kira-kira hendak berkahwin?” tambah Pak Ngah Hamdan lagi, suaranya lembut dan perlahan.
Haninah hanya diam membatu. Suasana hening seketika. Mata emak dan abahnya tertumpu kepadanya.
“Jangan disebabkan yang sudah lepas tu kamu tidak mahu mencari lagi, Ninah. Urusan jodoh itu memang ketentuan Allah, tetapi mesti juga kita usahakan. Berusaha mencari jodoh tu sunnah Rasulullah. Kita jangan berputus asa.” abahnya memberikan nasihat. Wajah Mak Ngah Rafidah kelihatan sugul.
            Mendengar sahaja kata-kata itu hati Haninah menjadi kelam. Wajahnya yang sedikit ceria sebelum itu penuh dengan harapan dan angan-angan hendak ke Boston bertukar suram. Dia berusaha sehabis mungkin untuk tidak memikirkan soal itu sehinggalah abahnya membangkitkannya sebentar tadi. Tangannya terus menyusun pinggan-pingan kotor di atas meja.
“Nantilah dulu, Bah. Saya belum terfikir lagi…” jawabnya dengan bibir yang berat dan perlahan.
“Abah ni bukan apa. Risau juga memikirkan yang umur kamu sudah hendak menjangkau 30 tahun. Kalau tak mahu kahwin sekarang pun, sekurang-kurangnya bukakan hati tu, sudah mula mencari. Jangan sibukkan sangat diri dengan pelajaran sampai perkara lain tak boleh jadi. Kalau yang lepas-lepas tu penuh dengan aralnya, jangan jadikan alasan untuk kamu tak mencuba lagi. Lepas ni benar kamu boleh bekerja dan berdikari. Tapi kamu masih lagi perlukan pembela dan penjaga, kamu tu seorang wanita. Emak dan abah kamu ni takkan duduk di sini lama, kami dah tua.”
Haninah diam. Rahangnya terkunci.
 “Kalau tidak, biar abah saja yang mencarikan untuk kamu.” tambah Pak Ngah Hamdan. Dia berpandangan dengan Mak Ngah Rafidah, seolah-olah mereka sudahpun berbincang tentang perkara itu sebelum ini.
“Emak dan abah jangan buat apa-apa. Insya-Allah nanti kalau ada, adalah.” pintas Haninah pendek. Wajahnya semakin sugul.
            Pak Ngah Hamdan menarik nafas panjang, kepalanya digeleng kecil. Mak Ngah Rafidah juga menghela nafas, sambil matanya merenung ke dalam mangkuk kuah yang separuh berisi di atas meja. Jelas riak risau di wajahnya.
Ibu mana yang tidak risau melihat anak daranya yang seolah-olah terus berputus asa untuk mencari bahagia. Tidak sedikitpun menunjukkan sebarang perubahan, tetap degil dengan pendiriannya.
            Suasana menjadi sepi. Haninah bangun mengangkat pinggan-pinggan yang kotor ke sinki. Selesai dicuci, dia masuk ke dalam bilik tidur, mengunci pintu. Dihempaskan badannya di atas katil, baring dia meniarap. Kepalanya dipusing ke kiri, memandang laci di almari cerminnya yang sudah lebih setahun tidak disentuh dan dibuka.
Dia termenung lama. Beberapa nafas panjang dihela dan dilepaskan dan matanya masih tertumpu ke tempat yang sama.
            Entah mengapa, nalurinya seperti mengheret badan yang enggan setelah sekian lama, bangun menuju ke laci itu. Dicapai kunci yang sudah diselaputi habuk dan sawang, sebelum itu terletak tidak disentuh di para yang paling atas almari cermin itu. Tangannya memasukkan kunci di lubang laci dan memutarkannya.
            Dia menarik nafas dalam-dalam. Sambil melutut di atas lantai matanya dipejamkan seketika dan ditariknya laci itu keluar. Dia melihat ke dalam isi laci.
Masih tersusun kemas di dalam sebuah kotak kertas, surat-surat di dalam sampul berwarna biru, merah jambu dan putih. Sedikit terjejas warnanya oleh debu-debu kayu dari dinding laci itu. Namun selain itu, surat-surat itu masih terpelihara.
Tidak sesaat lewat, matanya kabur digenangi air jernih yang sudah lama mengasak ingin keluar. Tidak disekanya kali ini. Dibiarkan setitik demi setitik air mata yang suam meniti di atas pipinya, turun ke dagu, dan jatuh ke atas surat-surat itu.
            Kotak surat itu diangkatnya dan diletakkan di atas riba. Tangannya mencapai sekeping bingkai gambar yang juga berada di dalam laci itu. Diselubungi habuk - dikesat dengan hujung lengan baju kurungnya.
Dua wajah kabur yang tersenyum riang menjadi kembali jelas dan terang. Salah satu wajah di dalam gambar itu adalah miliknya dan satu lagi milik seorang pemuda.
            Kini Haninah terduduk dan menangis sebak, tersedu-sedu. Rindu yang teramat tidak dapat ditahannya. Rindu yang cuba dinafikannya. Didekatkan bingkai gambar itu ke dada dan dipeluk sekuat hatinya. Dia tidak tahu lagi bagaimana hendak melupakan insan yang sudah bukan miliknya itu. Wajah itu seringkali datang di dalam mimpinya, disertai dengan suaranya berbicara; seolah-olah dia benar-benar berada di samping Haninah.
Setiap kali bangun dari tidurnya, Haninah derita.
            Zahid bin Muhammad. Haninah berjumpa dengannya sejak minggu pertama mereka di universiti. Orangnya baik hati dan periang. Tidak pernah sekali Haninah merasa tidak gembira melihat wajah tenang itu.
Ada lesung pipit di pipi sebelah kirinya. Walaupun kulitnya lebih gelap dari kebanyakan anak-anak Melayu, tetapi wajahnya tetap nampak manis dan menenangkan. Sederhana, tetapi cukup untuk Haninah.
Mereka berhubungan sebaik sahaja tamat semester pertama, memasang angan-angan membina mahligai sebaik sahaja tamat pengajian. Bagi mereka tidak perlu bertunang segala. Hanya adat, bukan wajib agama, tambahan mengundang lebih fitnah kadang-kalanya; setuju mereka sesama sendiri. Maka janji termeterai, sudah dimaklum kedua-dua belah keluarga tentang hasrat mereka.
            Orangnya pandai bergaul dan aktif dengan  berbagai aktiviti di universiti. Sangat mudah berdikari.
Sedangkan Haninah seorang yang sangat pendiam dan pemalu - matlamatnya hanyalah mahu berulang-alik ke kelas, menelaah, menduduki peperiksaan supaya dapat menamatkan pengajiannya. Walaupun orangnya cantik dan kecil molek dengan matanya yang bulat dan bundar ditambah pula dengan hidung kecil tercatuk mancung dan bibir nipis merah semulajadi itu, tidak bermakna Haninah bangga dengan rupanya dan senang bergaul dan bersosial. Bukan senang dia mahu mendapatkan kawan baru; ‘lambat panas’ kata orang. Namun begitu teman dan kenalan yang sudah sedia ada sentiasa menyukai sikap dan tingkah lakunya.
Tambah-tambah lagi bila tiba soal lelaki, Haninah memang terlalu pemalu. Tidak biasa dia melayan lelaki sesuka hati, walau rakan sekelasnya sendiri.
Dia dibesarkan oleh emak dan abahnya yang tegas mementingkan sikap malu, nilai-nilai dan pegangan agama. Sikap tegas abahnya juga menjadi faktor tambahan menebalkan lagi fitrahnya itu. Maka Zahidlah orangnya yang sedikit sebanyak menggalakkan dia supaya lebih yakin diri dan tidak merasa terbeban dengan pergaulan, selagi ia masih dalam lingkungan batas.
            Zahid membuatkan hatinya terpaut dalam berbagai cara. Selain menjadi penyokong dan pembimbing kepada Haninah, lelaki itu juga punyai sikap setia, menghormati orang lain, terutamanya kepada orang tua. Sesiapa sahaja berada berdekatannya akan merasa senang. Sedangkan tukang sapu sampah di tepi jalan juga mampu dijadikannya kawan. Bagi Haninah lelaki itu adalah biasan keindahan akhlak Rasulullah.
Pada satu tahap sudah yakinlah di hati Haninah bahawa Zahid adalah calon yang paling sesuai untuknya. Bukannya senang untuk dia mengenali lelaki, apatah lagi lelaki yang baik budi pekerti.
Sehinggalah tiba pertengahan semester ke empat, ketika Haninah sedang mengharungi hidup di kolej seperti biasa dan Zahid sedang mengikuti program pertukaran pelajar di India selama sebulan. Hari ketiga dia di sana Haninah mendapat satu berita yang tidak dapat diterima akalnya.
Zahid sudah tiada.
            Pada mulanya, dia tidak langsung menitiskan airmata kerana cukup dia tidak percaya. Tidak mungkin Zahid meninggal dunia. Baru beberapa hari lepas dia berjumpa dengan buah hatinya itu, malah menghantarkannya terus ke lapangan terbang. Berbicara dan berjenaka, tiada yang mencurigakannya. Penuh bersemangat pemuda itu. Dia sihat sesihat-sihatnya, batuk dan selsema pun tidak. Satu ketika dia cuba mencari dalih menyongsang takdir – mungkin orang-orang di sekelilingnya sedang cuba bergurau dengannya.
            Menurut penjelasan kawan-kawannya, Zahid lemas ketika mereka mandi di sebuah air terjun di daerah Mumbai. Seorang daripada kawannya terperangkap di dalam lubuk pusar yang tidak diketahui ada berdekatan dengan tempat mereka mandi. Tanpa berfikir panjang, Zahid terjun untuk menyelamatkan kawannya kerana memikirkan dia lebih pandai berenang dari sahabatnya dan masih banyak menyimpan tenaga.
Lalu mereka berdua bergelut dengan arus air yang kuat itu, Zahid menolak kawannya ke tepi membuatkan kawannya itu mampu keluar dari pusaran dan berpaut kepada sebuah batu besar yang berhampiran. Sedangkan Zahid yang sudah terlalu penat, menyerah kalah kepada arus air pusar yang tidak pernah perlahan itu.
            Haninah seribu kali enggan menerima, tapi hatinya mengatakan itulah Zahidnya. Memang itulah orangnya yang tidak akan mampu duduk berdiam diri jika ada seseorang atau sesuatu berhampiran dengannya memerlukan sebarang bentuk pertolongan. Dia akan berbuat apa sahaja walaupun perkara itu membahayakan nyawanya.
            Setelah pulang dari menghadiri pengebumian jenazah, Haninah jatuh terjelepuk di atas tangga rumahnya, dipimpin oleh ibu dan bapanya masuk ke dalam, tidak sedarkan diri sehinggalah pagi berikutnya. Bermulalah episod di mana dia menangisi sebenar-benarnya pemergian arwah dan sepenuh hati dia tidak mampu meninggalkan kenangan bersama lelaki yang disanjunginya itu. Pengajiannya tertangguh selama satu semester.
            Ada satu ketika dia putus segala harapan dan merasakan dirinya sangat hampir hilang kewarasan, namun berkat pujuk rayu ibubapa dan teman baiknya yang tidak putus-putus, mampu dia menghamparkan sejadah hari demi hari, bersolat dan berdoa agar Tuhan membukakan pintu hatinya untuk belajar menerima takdir dan mencari hikmah di sebaliknya.
Setahun sudah berlalu.
Walaupun hatinya sarat dengan kedukaan, namun Haninah bersyukur sekurang-kurangnya kini mampu mengukir senyum di wajahnya buat menyejukkan hati ahli keluarga dan kawan-kawan yang  sentiasa risau dan mengambil berat akan keadaannya.
Dilihat lagi gambar dan surat-surat cinta itu buat kesekian kali sebelum dimasukkan semula ke dalam laci dan dikunci. Dihela nafas yang panjang dan dalam. Mulut Haninah mula bergerak terkumat-kamit, mengalunkan surah Al-Fatihah dengan perlahan, buat kekasihnya.

Air matanya masih berderai laju. Haninah nekad di dalam hatinya. Dia tidak nampak sebarang kemungkinan untuk dia membuka pintu hatinya lagi buat orang lain di dunia ini. Biarlah Zahid kekal ‘hidup’ di hatinya. Jika dia layak menapak di syurga, diharapkannya Allah akan menemukan mereka semula di sana.

No comments:

Post a Comment