Saturday 10 January 2015

Si Dia dari Boston (Bab 2) ~ Norliza Baharom

Hari itu hari yang sangat sibuk bagi Andrew. Berpuluh-puluh helaian kertas terhampar di atas meja. Bersepah - serabut seperti kotak fikirannya. Dia duduk menyandar di kerusi, mengambil rehat. Satu kertas kerja telah siap, namun lebih sedozen lagi menanti untuk dihabiskan menjelang minggu hadapan.
Dia cuba mengemas dan menyusun atur semula semua benda sebelum memulakan kerja yang baru. Kepalanya yang sudah sedia kusut itu digosok-gosok laju menjadi bertambah kusut. Bilik pejabat yang dikongsinya dengan dua orang pekerja yang lain itu hari ini cuma dihuni oleh dirinya sendiri. Kawan-kawannya sedang ditugaskan di luar, ke kawasan-kawasan projek yang sedang berjalan.
            Telefon bimbit Iphone miliknya yang diletak di hujung meja asyik berbunyi sejak kira-kira sejam yang lalu tetapi tidak dihiraukannya. Malahan sekali-sekali dilontarkannya pandangan menyampah dan tidak sabar. Namun selepas beberapa ketika ia masih lagi berbunyi, dia mencapai telefon itu dengan harapan orang lain yang sedang cuba menghubunginya, lantas membaca nama yang tertera di skrin.
Jessica.
Sudah dapat dijangka. Digeleng-gelengkan kepala. Dilemparkan kembali telefon itu ke tempat asalnya. Sudah lemas melihat nama itu, apatah lagi memikirkannya. Bermacam-macam cara cuba di lakukan agar manusia itu tidak lagi menghantui, tetapi nyata gadis bernama Jessica itu sangat tegar memburunya.
Dia sudah nekad membuang nama Jessica jauh dari kamus hidupnya. Tidak nampak jalan lain lagi, demi satu penghijrahan diri. Namun Jessica tetap Jessica. Tak mungkin gadis itu dengan mudah dapat memahami apa yang dilaluinya dan apa yang sedang cuba dilakukannya kini.
Andrew sedang cuba untuk menumpukan perhatian kepada pembentukan sahsiah diri dan pendidikan dalam agama yang baru dipeluknya itu. Dalam masa setahun ini dia tidak lepas berulang-alik ke Masjid Alhamdulillah di Boston  pada hujung minggu, berjumpa dengan Imam di sana, bertatih-tatih belajar sembahyang, belajar bahasa Arab, mengaji, dan perkara-perkara lain lagi. Imam dan guru-guru di sana sangat membantu dan mengambil tanggungjawab mengajar sebaik mungkin. Dia diajar bagaikan seorang anak kecil oleh ayahnya. Lebih memberikan semangat, salah seorang Imam adalah seorang Mualaf sepertinya juga.
Syukur kepada Allah, dia sudah mampu membaca Al-Quran dengan sendiri walaupun masih belum sempurna. Dia sudah mampu bersolat, dan mengharungi satu Ramadhan penuh dengan bantuan guru dan kenalan-kenalan Muslimnya di Masjid. Dia sudah merasakan dirinya semakin sebati dengan Islam. Hatinya yang dulu tidak keruan dan derita walau tidak selalu zahir di wajahnya, kini sudah setenang air di Tasik Mystic yang selalu dilawatnya dikala duka dahulu.
Namun dia faham yang Jessica tidak akan pernah mengerti. Bekas teman wanitanya sepanjang lima tahun itu benar-benar sukar menerima. Hilang kekasih begitu sahaja, tanpa ada pergaduhan besar dan selisih faham, tanpa ada sesiapa yang mencurangi sesiapa. Tiba-tiba sahaja gadis itu tidak boleh menyentuh kekasihnya sendiri, tidak boleh membelai dan dibelai, tidak boleh lagi memanggil lelaki dambaannya itu ‘kekasih’.
Dia sudah pasti akan masih mampu bersama Jessica, jika gadis itu faham akan batas-batas seorang Muslim, jika dia faham akan batas-batas pergaulan. Jika Jessica mampu menghormati hukum-hukum itu walau hanya sebagai seorang kekasih, jikapun dia tidak mampu mengikut jejak langkah Andrew dalam menukar kepercayaannya. Sekurang-kurangnya itu mampu menjadi satu permulaan yang baik. 
Tetapi bukankah ianya kedengaran tidak masuk akal bagi gadis liberal dan tidak bertuhan itu, yang mahu kekal dengan dirinya dan mahu Andrew kekal dengan dirinya yang dulu?
Jessica tidak mampu menerima nilai-nilai baru yang terterap di dalam jiwa mualaf baru itu. Sungguh dia tidak mampu. Namun dia masih lagi belum berputus asa untuk membawa Andrew pulang ke ‘pangkal jalan’ - ke pangkuannya.
Masih lagi terbayang-bayang di ingatan Andrew akan pertengkarannya dengan Jessica beberapa hari yang lalu. Jessica menggunakan waktu makan tengaharinya untuk keluar memburunya, merayu-rayu buat acap kalinya di hadapan sebuah cafe tidak jauh dari tempat Andrew bekerja. Andrew cuba untuk mengajaknya duduk berbincang dengan baik di sebuah kerusi panjang di dalam taman yang tidak jauh dari situ, supaya tidak kelihatan janggal dan didengar orang yang lalu-lalang.
Tidak Andrew, kali ini aku tidak akan berganjak. Aku mahu kau sedar yang kau telah mensia-siakan perhubungan kita. Kau berlaku tidak adil kepada aku,” katanya dengan mata merah dan bengkak akibat terlalu banyak menangis, dan masih lagi menangis ketika dia sedang berkata-kata.
Jika agama kau mementingkan keadilan dan hak manusia termasuk wanita, kenapa kau berlaku tidak adil kepadaku?” tambahnya lagi, mencabar Andrew.
Gadis tinggi lampai berambut emas itu masih lagi mencuba walaupun benaknya sendiri memberitahu tiada harapan lagi untuk memenangi hati lelaki mualaf itu. Seolah-olah dia mengharapkan tiba-tiba Andrew akan tersentak dari amnesia dan mengingati semula bahawa dia mencintai Jessica lantas meninggalkan agama yang baru dipeluknya itu.
            Memang luruh hati gadis itu mengetahui perkembangan baru yang tak diduga itu. Andrew adalah lelaki terbaik yang pernah dijumpainya. Sudah berkali-kali dia jatuh cinta dan putus cinta diawal usia dewasanya, dan dia mahu seseorang yang komited, mahu membina keluarga. Dia tidak mahu mengulangi kesilapan kedua ibubapanya yang sudah tidak lagi hidup bersama.
Andrew adalah nafas barunya yang dirasakannya mampu memberikan semua itu. Dia berhenti mencari selepas itu, lelaki itu benar-benar buat dia rasa dihargai.
Siang dan malamnya hanya ada Andrew di hati. Lebih kurang tiga bulan sebelum Andrew memutuskan perhubungan, mereka sudah berkira-kira untuk tinggal di rumah yang sama. Berkongsi kereta, sewa, belanja, dan segala-galanya. Kemudian mereka akan merancang majlis perkahwinan di sebuah taman, menghilangkan diri seketika untuk berbulan madu di Itali dan terus cuba mendapatkan cahayamata bersama. Bukankah itu idaman semua wanita di atas muka bumi ini? Mengapakah Andrew begitu kejam untuk menidakkan semua itu baginya?
            Memang sebelum itu secara perlahan-lahan dia perasan Andrew semakin menjarakkan dirinya. Tapi bila ditanya, katanya soal kerja. Maka diberikannya lelaki itu ruang. Kawan-kawan dan ibubapanya juga menasihati yang sama, agar dia tidak kelihatan terlalu mengongkong.
            Sampai pada satu tahap, dia menyangka Andrew sedang curang kepadanya; hari demi hari makin tidak mahu dibelai ataupun disentuh, apalagi jika lebih dari itu. Tindak-tanduknya sentiasa cuba mengelak dan mencari alasan.
Maka Jessica mengupah penyiasat peribadi, seperti yang dilakukan oleh ramai orang apabila cemburu dan ragu-ragu mencubit di hati. Namun selepas beberapa minggu menunggu dan habis beribu dolar membayar khidmat, tiada apa-apa kesimpulan yang mencurigakan. Andrew hanya pergi dan pulang dari bekerja. Kadang-kadang dilihat duduk makan di restoran bersama kakitangan pejabat dan kawan-kawan lelakinya.
 Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa ini yang telah terjadi. Andrew sudah sesat. Sudah sesat! jerit benaknya. Masakan dia sanggup meninggalkan cintanya yang sesuci ini demi agama asing itu.
            Jessica berterusan menangis di kaki lima itu, melayan gelora jiwanya. Mengharapkan Andrew menyatakan sesuatu yang ajaib hari itu.
Andrew masih menunggu di situ walaupun dia tidak mahu. Dia boleh saja berlalu pergi setengah jam yang lalu, namun dia masih cuba menghormati gadis itu dan perasaannya. Walau apapun yang terjadi di hadapannya, adalah perkara terakhir baginya untuk melihat gadis yang pernah dicintainya itu bersedih dan merana sampai begitu sekali. Namun di lubuk hati dia jauh daripada mengubah pendiriannya. Dia cuba berdiri dengan tenang, dan pandangan matanya tegas memandang wajah Jessica. Kali ini dia mahu Jessica benar-benar memahaminya.
Dengar, Jessica. Aku tidak akan berterusan melayan kamu sebegini. Tidak adil buat engkau dan tidak adil juga buat aku. Aku menghormati kemahuanmu, tapi kemahuanmu itu bukan untuk diisi olehku. Aku tidak layak buat kamu. Carilah seseorang yang mampu. Aku doakan yang terbaik untuk dirimu.” jawab Andrew. Lantas dia melangkah ke arah bangunan pejabatnya meninggalkan sahaja Jessica di situ.
Kau akan menyesal Andrew, kau akan menyesal! Aku tak akan memaafkan kau!” laung Jessica, menghentak-hentak kakinya sekuat hati. Ribut tangisnya bermula kembali, lebih hebat dari sebelumnya. Beberapa kepala pejalan kaki yang lalu-lalang menoleh ke arah Jessica dan ke arah Andrew yang semakin nekad mempercepatkan langkahnya.
Di hati Andrew, dia berharap yang dia tidak akan bertemu dengan Jessica lagi.



            Deringan baru di telefon bimbitnya menyentak Andrew dari lamunannya yang sarat itu tadi. Dadanya berdegup pantas. Dia menyapu tangan di dahi yang dikunjungi titik-titik peluh dingin. Jam menunjukkan hampir pukul lima petang. Baru dia sedar sudah hampir tamat waktu bekerja. Dia mencapai telefon sekali lagi dan menarik nafas lega kerana kali ini bukan nama Jessica yang terpampang.
Telefon disuakan ke telinga. “Waalaikumussalam..” jawabnya lembut selepas itu, mulut tersenyum di hujung gagang telefon.
Apa khabar, ya Akhi. Mahu keluar?” sambungnya lagi.
Dia berhenti beberapa ketika mendengar jawapan di sebelah sana.
Ok, aku tunggu di bawah. Assalamualaikum.” jawabnya lantas meletakkan telefon. Andrew lekas mencapai kertas-kertas kerja dan menyusunnya di sebelah kiri meja. Pen dan alat-alat tulis yang lain dikaut semuanya sekali dan dimasukkan ke dalam laci meja. Sementara laci meja terbuka, dia mengutip beg duit dan kunci keretanya. Lantas dia berjalan keluar dari bilik, bertembung dengan beberapa rakan sekerjanya yang baru sampai ke pejabat lalu menganggukkan kepala dan mengucap selamat tinggal.
            Sampai sahaja di kaki lima pejabat, susuk badan biasa dilihatnya sudah berdiri tercatuk di situ. Seorang lelaki berkulit sawo matang, berambut hitam pekat - sedikit kerinting, berlesung pipit. Tingginya tidak lebih dari 5 kaki 3 inci. Dia memakai cermin mata berbingkai nipis, dengan pakaian pejabat biasa, tali lehernya sedikit senget ke sebelah kiri. Lelaki itu datang menghampiri Andrew sambil kedua-dua tangannya di dalam kocek seluar, wajahnya tersenyum lebar.
Sudah sejam aku tunggu.” kata lelaki itu, berjenaka. Tutur bahasa Inggerisnya ada sedikit loghat berbeza.
 Andrew tergelak besar.
Kau sampai di sini sejam yang lalu, tetapi kau telefon aku baru dua minit lepas. Memang pandai!” balas Andrew. Lelaki yang bernama Umar itu tersenyum lebar, menepuk-nepuk belakang Andrew.
Nak makan di mana hari ni?” tanya Umar bersahaja, memandang ke wajah kawannya. Andrew melipat lengan kemejanya ke paras siku- cuaca hari ini agak panas berbanding biasa.
 Sambil itu, keningnya berkerut memikirkan tentang di mana untuk makan. Mereka berdua sudah merancang lebih awal untuk bertemu hari itu; keluar berbual dan makan malam awal bersama, tambahan pula memandangkan esok cuti hujung minggu.
            “Jom aku bawa kau ke Restoran Darbar di Beacon Street, makanan Pakistan.” cadang Andrew setelah beberapa ketika. Umar mengangguk tanda setuju dan mengikut sahaja ke kereta Toyota Camry milik kawannya itu. Mulut mereka tidak berhenti berbual, diselangi dengan hilai tawa kedua-duanya.
            Umar adalah kawan Andrew sejak beberapa bulan yang lalu. Mereka bertemu di Masjid ‘Alhamdulillah’ yang selalu dihadiri oleh kedua-duanya terutama sekali setiap hari Jumaat.
Umar berbangsa Melayu, anak jati Selangor, di sebuah negara Asia Tenggara bernama Malaysia. Membesar dikelilingi oleh rumah-rumah kampung dan sawah padi. Dia tinggal di Amerika sejak 4 tahun yang lalu. Satu-satunya kawan berbangsa Melayu yang dikenali Andrew.
 Sejurus selepas memperolehi Ijazah Pembangunan Perisian di Boston University, Umar bercadang untuk terus di situ menyambung kerjayanya dalam bidang pengaturcaraan komputer. Bukan untuk terlalu lama fikirnya, sekurang-kurangnya beberapa tahun, cukup untuknya menimba pengalaman.
            Beberapa minit perjalanan, sampailah mereka di Restoran Darbar yang dicadangkan Umar tadi. Mereka disambut dengan bersemangat oleh pemilik restoran itu yang berbangsa Pakistan. Anaknya yang berumur sekitar 6 tahun juga ada di situ, berlari-lari sambil memegang sepotong ayam  tandoori, seolah-olah membantu ayahnya mempromosikan makanan mereka itu. Andrew dan Umar senyum terhibur.
Mereka memilih meja kosong di satu sudut di tepi dinding kaca dan mula melihat-lihat menu makanan dan minuman.
Bagaimana dengan dua minggu kebelakangan ni, ada apa-apa yang menarik berlaku?” tanya Umar dengan gayanya yang bersahaja setelah minuman yang dipesannya tiba. Dua minggu tidak bertemu Andrew baginya sudah cukup lama – rasa ingin tahu apa yang dilakukan Andrew sepanjang tempoh itu.
Minggu lepas mereka tidak berjumpa kerana Umar terpaksa bekerja lebih masa. Hujung minggunya terpaksa dikorbankan untuk menyiapkan tugasan yang terlalu hampir dengan deadline.
Tiada apa-apa yang menarik.” jawab Andrew pendek, namun sejurus dia teringat tentang lawatannya pulang ke rumah ibubapanya minggu lepas. Sambil menyedut air minumannya, dia menceritakan tentang pengalamannya itu.
Umar mendengar dengan penuh minat kerana dia sudah sedia maklum tentang masalah yang dihadapi Andrew semenjak dia bertukar agama. Tersenyum lebar dia, lega hatinya bagi pihak rakan karibnya itu. Faham benar dia tentang bagaimana rapatnya hubungan Andrew dengan keluarganya. Betapa dia menyaksikan resah dan gelisah wajah pemuda itu merindui ibu dan adiknya hari demi hari.
Alhamdulillah..! Mungkin suatu hari nanti kau boleh bawa aku berjumpa dengan mereka.” kata Umar tersenyum gembira.
InsyaAllah.”
            Andrew melontar pandangan ke luar tingkap restoran itu - cuaca sangat redup dan daun-daun pokok ditiup angin lembut. Dipindahkan pula pandangannya ke arah kawannya yang berbangsa Melayu itu. Sedang khusyuk menikmati nasi Biryani daging kambing kegemarannya. Rambut hitam di kepala lelaki itu sudah mula menipis di tengah, memperlihatkan samar-samar kulit kepalanya. Mungkin menunjukkan kepala itu sudah lama sarat dengan persoalan ilmu, falsafah, aturcara komputer, dan berbagai-bagai lagi perkara lain yang menghuni kehidupan, Andrew mengandai sendirian sambil tersenyum.
Hatinya sangat senang berkawan dengan Umar. Lebih kurang sebaya dengannya, berumur 30 tahun. Orangnya tenang, percakapannya selalu matang dan kelakar. Umar jugalah yang kerap membimbingnya dalam perkara berkaitan agama, soal ibadah, hukum, hati, dan lain-lain.
Setiap pertemuan itu ada hikmahnya, fikirnya.
 Dia mengagumi lelaki Melayu itu yang sanggup hidup bermusafir di tempat orang, berkelana di bumi Allah yang luas ini. Mungkin suatu hari nanti dia juga boleh berbuat perkara yang serupa, fikir Andrew lagi.
Jadi selepas ini, apa pula?” setelah habis nasi di pinggan, Umar mengemukakan soalan itu kepada Andrew. Gelas minuman ditarik rapat dan penyedut disua ke bibirnya.
Andrew memandang Umar. Keningnya diangkat, memperlihatkan garis-garis nipis di dahinya.  “Selepas ini, apa pula?” dia bertanya kembali soalan yang sama, sedikit bingung.
Umar ketawa kecil.
Ialah, sekarang sudah jumpa Tuhan pencipta.. Bila pula hendak mencari sang Hawa, tulang rusuk kiri, makmum ketika sembahyang di rumah, teman beraktiviti?” jelas Umar, sambil tersenyum lebar, sedikit riak nakal kelihatan di wajahnya.
Andrew membalas dengan ketawa kecilnya pula. Hampir dia tersedak air jus oren kerana kata-kata Umar itu. Kemudian dia cuma mengukir senyum, menggeleng-gelengkan kepala perlahan. Sejurus wajah Jessica terpampang di ingatan, namun dia faham itu bukan pilihan, cuma imbasan impian dahulu dan kenangan masa lalu.
Tengoklah nanti, kalau ada jodoh di dunia ini. Kalau tiada, aku berdoa pada Allah agar layak untuk dipasangkan dengan paling kurang seorang bidadari Syurga.” Andrew berjenaka di dalam benar kata-katanya. Umar ketawa, mengangguk-angguk tanda bersetuju. Belakang Andrew ditepuknya beberapa kali.
            Mereka menghabiskan sisa-sisa petang dengan bersembang-sembang kosong- termasuk berjenaka tentang sukan. Andrew sibuk bercerita tentang American football dan Umar pula dengan bola sepaknya. Mereka sibuk membanding-banding sukan yang mana lebih layak dipanggil football dan yang mana lebih seronok ditonton, sesekali diselangi dengan jenaka oleh Umar yang membuatkan Andrew menghamburkan tawa dengan lantangnya. Akhirnya Andrew terpaksa akur bahawa football sebenar adalah bola sepak, kerana permainan itu yang paling banyak menggunakan kaki.
            Maghrib hampir menjelang, kedua-kedua rakan itu bingkas bangun lalu keluar meninggalkan restoran itu sambil dihantar sehingga ke pintu oleh pemilik restoran dengan anaknya. Andrew memandu keretanya menuju ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, seperti yang telah mereka rancangkan bersama.
            Lebih kurang pukul sepuluh malam, Andrew menghantarkan Umar betul-betul di hadapan blok kediamannya. Sudah menjadi tabiat Umar pergi dan balik kerja dengan menaiki tren. Tempat tinggalnya betul-betul terletak berhampiran dengan stesyen perhentian. Dapat juga dia menjimatkan wang untuk petrol dan mengelak dari kesesakan jalanraya. Apatah lagi setelah berkenalan dengan Andrew, lelaki itu selalu bertegas untuk menghantarnya pulang tiap kali mereka bertemu.
“Assaalamualaikum.” Umar melambaikan tangannya setelah keluar dari kereta.
“Waalaikumussalam..!” balas Andrew lalu dia pergi meluncur laju menuju pulang ke rumahnya.



Umar duduk di hadapan meja tulis setelah selesai mandi dan solat Isyak. Sudah lewat, tetapi matanya masih belum mahu lelap. Mungkin kerana kopi yang diminumnya di Restoran Darbar tadi.
 Oleh itu dia menghadap komputer riba yang sudah lebih setahun dimilikinya, terletak tidak berganjak di atas meja tulisnya. Alat itu umumnya untuk memenuhi keperluan pekerjaannya. Di hujung minggu pula digunakan untuk melayari internet dan berhubungan dengan ahli keluarga, sahabat handai dan manusia yang rapat dengannya.
Teringat dia akan satu perkara penting yang perlu dilakukan sebelum minggu ini berakhir.
Maka jari-jemarinya sejurus ligat bersilat di atas papan kekunci, menaip satu mesej yang panjang tanpa henti. Sesekali dia tersengih-sengih sendirian, sambil dia memikirkan apa lagi yang perlu dituliskan. Kepalanya digaru-garu sekali-sekala mencari idea. Kira-kira dua puluh minit kemudian, dia membaca semula surat yang sudah siap dikarang, diperbetulkan mana yang perlu. Setelah berpuas hati, dengan cepat dia menekan butang ‘hantar’.
            Bermulalah perjalanan mesej yang panjang itu melalui alam maya. Bit-bit perkataan mengalir melalui jalur-jalur wayar telekomunikasi yang berjela-jela direntang merentasi muka bumi Amerika Syarikat, di pantul ke satelit di angkasa, kembali semula ke muka bumi dan menyusuri kembali jalur- jalur yang serupa, bagaikan musafir sepantas cahaya, sampai ke satu bahagian lain di muka dunia - sebuah rumah di pinggir sawah padi, berhadapan dengan pohon-pohon kelapa yang beralun lembut ditiup angin tatkala dinihari.
Rumah papan separuh batu itu masih lagi kelam, ditelan gelap subuh yang baru hendak bermula. Kelihatan cuma sedikit cahaya dari celah-celah dinding dan tingkap cermin sebuah bilik tidurnya. Kedengaran sayup-sayup bacaan ayat-ayat Al-Quran dari surau Kampung Haji Fadilah. Sesekali bunyi kokok ayam membantu menyedarkan isi-isi desa yang sedang tidur lena.
Sementara menunggu waktu solat tiba, seorang gadis yang sudah jaga dan sedang duduk di lantai kamar, memasung kepalanya di atas katil. Dia juga sedang menghadap sebuah komputer riba. Tangannya menari-nari di atas papan kekunci, memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaun e-melnya.
Ada mesej baru dari kekasih hati. Hatinya menjadi sangat teruja. Sudah lama dia resah menantikan. Dia membuka halaman surat elektronik itu lalu mula membaca.

Assalamualaikum Ainun,
Abang minta maaf banyak-banyak kerana sudah hampir seminggu kita tidak bersembang di Yahoo Messenger – terlalu sibuk. Rindu di hati abang ni hanya Allah yang tahu :).
Ainun tersenyum simpul, resah sudah berganti ceria.
 Masih sibuk lagi dengan projek yang belum selesai tu, Insya-Allah hujung minggu ni siaplah. Selepas itu abang  fikir nak ambil cuti beberapa hari sebelum sampai projek baru, untuk rehatkan otak yang sudah mula membeku ni.
Ada rancangan nak berjalan-jalan dengan kawan di sini, nak melawat tempat-tempat menarik yang belum dilawat.
Ainun menarik nafas lega. Umar ada mengadu kepadanya dua minggu lalu soal kerja yang sangat membebankan dan memeningkan kepala. Ada projek besar katanya yang perlu diselesaikan. Syukurlah sudah hampir selesai, fikirnya. Risau juga dia jika Umar selalu kedengaran tertekan, tambah-tambah lagi saat berada di rantau orang. Dia melihat jam di dinding. Sudah masuk waktu subuh. Pandangan matanya lekas menumpu semula ke skrin komputer, mahu menghabiskan bacaannya.
Emak dan abah Ainun apa khabar? Sampaikan salam abang pada mereka. Sambil-sambil tu, minta tolong jasa baik Ainun untuk jenguk-jengukkan ibu dan ayah abang, ya. Tak jauh, di hujung kampung sahaja :).
Ainun mengangguk-ngangguk kecil seolah-olah Umar berada di depan matanya.
 Alhamdulillah, rezeki abang dah semakin bertambah. Senang rasa hati bila dah mampu mengirim wang setiap bulan pada orang tua. Wang dalam simpanan abang pun dah bertambah. Doakan supaya rezeki abang sentiasa murah, supaya abang boleh masuk meminang sebaik sahaja Ainun habis belajar nanti. Rindu dengan semua di kampung - nak tunggu cuti raya, lambat sangat lagi rasanya, sekarang baru awal tahun.
Bercakap tentang cuti, abang ada satu cadangan – tak tahulah samada Ainun setuju atau tidak.
Ainun mengangkat kening.
Memandangkan sekarang Ainun sedang dalam cuti semester, apa kata jika Ainun datang melawat Boston? Mungkin untuk beberapa hari selepas hujung minggu depan? Ainun selalu kata teringin hendak melawat negara luar… Mungkin inilah kesempatannya.
 Insya-Allah, jangan risau tentang perbelanjaan dan penginapan, Abang akan tanggung semuanya. Waktu begini dapatlah Ainun menikmati musim bunga di sini. Cuaca pun tidak terlalu sejuk. Minta izin dulu dengan ibu dan ayah.
Ainun membulatkan matanya. Dibacanya lagi perenggan itu, tidak percaya cadangan itu datang dari Umar.
Jangan terkejut, dengarlah dulu. Abang belum habis menjelaskan lagi.
Umar seolah-olah membaca isi hati kekasihnya.
Bawalah seorang teman rapat Ainun atau saudara perempuan bersama, untuk keselamatan dan teman mahram, dan juga dapat menghilangkan risau kita dan ibu dan bapa kita. Boleh dia menemankan Ainun di rumah sewa atau ke mana-mana Ainun pergi ketika di sini nanti. Perbelanjaan kawan Ainun juga abang sanggup tanggung. InsyaAllah, tambang tiket kapal terbang, belanja makan, dan serba sedikit barang beli-belah untuk cenderahati, abang akan uruskan. Bagaimana?

Bibir Ainun kembali menguntum senyum, lebih lebar dari biasanya. Dadanya kembang dengan perkhabaran itu.
Bukan apa, sekurang-kurangnya dapat juga berlawan cakap dengan orang-orang Melayu juga di bumi Boston yang asing ni. Terasa sunyi dan sedih pula. InsyaAllah, pasti seronok nanti. Abang akan bawa Ainun berjalan-jalan di sini dan makan makanan halal import dari Pakistan dan macam-macam jenis makanan lagi. Sambil tu kita boleh berjalan-jalan melawat Zoo.
“Macamlah di sini tak ada Zoo!” balas Ainun sendirian sambil ketawa, tahu bahawa tunangnya itu berjenaka.
Harap Ainun balas e-mail abang ni secepat mungkin. Kalau setuju abang akan bantu uruskan soal penerbangan dan sebagainya.
Yang menyayangimu,
Umar.
            Air muka Ainun bertukar teruja. Hilang sudah rasa mengantuknya sejak dia bangun dari tidur tadi. Walau sudah setahun Umar bekerja di Amerika sebagai jurutera perisian komputer, tidak pernah terlintas pula di fikiran Ainun yang dia akan mampu melawat tunangnya di sana.
Mungkin kerana sebelum itu Umar hanyalah seorang penuntut selama beberapa tahun, belum bergaji dan Ainun sudah terbiasa dengan keadaan itu.
            Umar memang seseorang yang sentiasa bekerja keras, fikir Ainun. Sekarang cita-citanya boleh dikatakan sudah menjadi kenyataan. Terutama sekali dalam soal membantu ibu dan bapanya di kampung.
“Syukur Alhamdulillah, atas rezeki Mu,” bisik Ainun.
            Dalam kepalanya sudah terbayang yang dia sudah berada di Boston, bersiar-siar di persekitaran yang nyaman dan cantik, menaiki bas persiaran di sepanjang jalan Boston bersama Umar dan kawan-kawan mereka. Maka Ainun pun berguling-guling di atas katil sambil memejamkan mata, lagaknya seperti heroin di dalam filem Bollywood. Kedua-dua tangannya didepakan dengan senang hati.
            Tidak berapa lama berangan-angan, teringat pula dia akan satu perkara penting. Tanpa disedari tangannya mengusap dagu laksana seorang cendekiawan yang sedang berfikir sambil berpusing dan meniarap. Matanya menerawang ke atas, meniti palang-palang syiling yang sedikit bersawang itu.
“Siapa pula yang boleh menemankan aku ke sana nanti?” soalnya sendirian.
Sejurus memikirkan soal itu, hanya satu wajah yang muncul dalam fikirannya – Haninah.. kawan rapatnya semenjak kecil yang kini belajar satu universiti dengannya, yang tinggal hanya selang beberapa rumah darinya. Kalau hendak mengira seorang mahram wanita yang paling rapat dengannya, tiada orang lain lagi. Haninahlah orangnya.
Namun kemudian Ainun melepaskan keluhan.
“Bukan senang nak mengajak Haninah. Nak ke KL pun belum tentu lepas lagi..” fikir Ainun, sedikit runsing. Kalau ibubapa Ainun sendiri, senang sahaja. Hendak melakukan apa pun selalunya tiada halangan, asalkan berpatutan. Tambahan dialah satu-satunya anak di dalam keluarga.
Ibubapa Haninah itupun tidaklah banyak jauh bezanya, cuma ada sekali-sekala bapanya berkata tidak atas permintaan anak perempuannya. Lebih tegas berbanding ibubapa Ainun sendiri. Itu yang sedikit merunsingkankan Ainun; mahukah Pak Ngah Hamdan membenarkan Haninah pergi ke Boston menemankannya? Kedengaran seperti permintaan yang sangat berat nak disampaikan pada Pak Ngah Hamdan. Mungkin dia akan berasa tak selesa hendak melepaskan anak daranya itu ke negara asing.
“Tambah-tambah lagi kalau ada abang Azam di rumah tu. Semuanya tak boleh kalau dengan dia! Untunglah dia sudah berpindah ke Terengganu dengan keluarganya.” rungut Ainun, terfikir tentang abang kandung Haninah yang dikenalnya selama ini.
“Haninah pun sekarang ini bukan senang nak dipujuk, hatinya tengah merajuk...” keluh Ainun.
“Ah, belum cuba belum tahu!” kata Ainun lagi lantas menyedari jam sudah menunjukkan pukul 6.25 pagi. Sudah agak lewat untuk bersolat subuh.

“Astaghfirullah..!” lalu dia bergegas ke bilik air untuk mengambil wuduk.

No comments:

Post a Comment