Wednesday 28 January 2015

Si Dia dari Boston (Bab 4) ~ Norliza Baharom

“Apa yang nak ku cakapkan pada abah aku ni, Ainun? Aku takut dia tak bagi…”
Haninah mengadu, ketika dia sedang duduk melepak di depan tangga rumah Ainun. Kain batik emaknya yang dijadikan tudung kepala diselimpangkan hujungnya ke atas bahu. Dia suka mengenakan kain itu sahaja jika sekadar ke rumah Ainun; baginya kain batik lama memang sejuk dipakai di kepala dalam cuaca yang panas begini.
Sudah beberapa kali dia cuba meminta izin dari abahnya, tetapi dek kerana darah gemuruh ditelannya semula ayat-ayat yang sudah lama dikarang di dalam kepala dan ditangguhkannya. Mungkin kerana hari demi hari dia semakin menaruh harapan untuk dapat pergi ke Boston, maka makin risaulah dia jika abahnya tidak mahu membenarkan.
            Ainun yang duduk di sebelahnya sedang memegang kucing peliharaannya di atas riba. Kucing berbulu belang kelabu dan hitam itu mendengkur manja ketika diusap-usap belakangnya.  Pada masa yang sama, dia juga bekerja kuat memikirkan cara yang terbaik buat sahabatnya itu.
“Apakata, jika kau beritahu emak kau dulu? Kemudian kau minta dia sampaikan kepada abah kau.” cadang Ainun.
Haninah mengangguk-angguk kepala separuh bersetuju, sambil terus berfikir.
“Cuma kalau mak aku yang bercakap dengan abah, lambat laun aku juga dipanggilnya untuk menjelaskan. Entah mak aku tahu ke tidak menyebut ‘Boston’ tu nanti. Nanti makin keliru abah aku dibuatnya.”
Ainun tergelak kecil. “Betul juga tu. Kalau disebutnya “Bota”, tak ke Perak kita nanti?” Ainun berjenaka. Haninah ikut tergelak. Lesung pipit berlekuk dalam di kedua-dua belah pipinya.
“Iyalah, Ninah. Aku rasa kena kau juga yang beritahu abah kau. Jangan risaulah, Insya-Allah dia mesti benarkan. Tak usah fikirkan sangat. Bila ada masa nanti, dia di rumah sedang berehat, kau terus beritahu. Lagipun kau pergi dengan aku, menemankan aku. Bukannya dia tak kenal aku.” tambah Ainun lagi setelah beberapa saat dia termenung.
“Iyalah, betul juga tu. Nantilah, aku beranikan juga meminta izin. Sekurang-kurangnya aku dah minta izin untuk menemankan kau ke KL minggu ni, boleh kita uruskan soal passport dan visa di kedutaan nanti.” jawab Haninah bersemangat.
“Eh, baliklah aku, Ainun! Dah tengahari!”
Sedar tak sedar sudah lebih satu jam dia di situ.
“Ah, iya lah.” jawab Ainun.
            Haninah bangun memberi salam dan berlalu pergi. Selipar getah di kakinya berderap-derap berlaga dengan tumit kaki. Dia berjalan laju melalui jalan kecil yang dahulunya cumalah denai kecil bertanah merah dan berdebu; kini sudah berturap dan selesa digunakan oleh semua orang. Sekali-sekala ada motosikal yang melintasinya, kebanyakannya ibubapa membawa pulang anak-anak dari sekolah.
            Walaupun cuaca panas terik, angin yang bertiup dari sawah padi melegakan kulitnya yang rengsa. Pemandangan hijau sejauh mata memandang di kiri dan kanannya menyejukkan hati. Sudah separuh jalan dari rumahnya, kedengaran sebuah motosikal dari belakang menghampiri perlahan dan hon dibunyikan beberapa kali.
Haninah menoleh ke belakang.
            Hakim.
Benaknya seakan menjunam jatuh, dijentik rasa gelisah dan gelabah. Terkocoh-kocoh dia membetulkan kain batik di atas kepala. Dia berhenti untuk memastikan samada lelaki itu sekadar meminta diberi laluan atau mahu bercakap dengannya. Di hati kecilnya mengharapkan kemungkinan yang pertama, namun Hakim memberhentikan motosikal perlahan-lahan, betul-betul di sebelahnya.
“Assalamualaikum!” sapa Hakim. Wajahnya tersenyum lebar, tidak dipaksa-paksa. Ceria dan teruja.  Di belakangnya ada seorang kanak-kanak kecil. Adik lelakinya yang kini di Tahun 3, yang baru diambilnya dari sekolah.
Kali ini Hakim berpakaian biasa -  baju T berwarna hijau dan berpetak-petak, serta seluar panjang berwarna biru gelap. Dia juga hanya memakai selipar getah di kaki.
“Waalaikumussalam… Hai, Mohsin.” Haninah menyapa kanak-kanak kecil itu, lantas kanak-kanak itu tersenyum.
“Bagaimana dengan lauk mak hari tu, sedap?” tanya Hakim. Dia menggosok-gosok lengannya yang terdedah kepada sinaran matahari.
“Err.. Alhamdulillah, sedap.” jawab Haninah, hampir tergagap-gagap. Janggal benar rasanya bercakap dengan lelaki ini, fikirnya.
Pelik, memandangkan Hakim dulu adalah kawan karib sepanjang zaman kanak-kanaknya sehinggalah umurnya menjangkau 12 tahun. Biasa benar kalau setakat bertepuk-tampar dan ejek-mengejek sesama sendiri, tiada sesiapa yang ambil pusing.
Kini dirasakan sudah hampir tidak ada langsung kaitan antara masa silam dan sekarang bagi Hakim di mata Haninah. Sukar hendak dia membuat perkaitan. Masa itu sudah terlalu lama berlalu, dan situasi diri masing-masing pun sudah banyak berubah. Masing-masing sudah besar panjang, dewasa. Malu benar rasa dirinya berdiri tercatuk di hadapan lelaki itu.
“Bila nak mula bekerja, sudah ada peluang ke?” tanya Haninah tersekat-sekat, cuba untuk meneruskan perbualan.
“Peluang tu ada, Insya-Allah kalau boleh nak memohon di sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur sahaja. Senang, dekat dengan rumah. Balik hujung minggu tak ada masalah. Cuma buat waktu ni teringin nak duduk berehat dulu barang seminggu dua, nak duduk-duduk di warung kopi dulu.” Hakim terus tersenyum.
“Oh, baguslah kalau begitu…” balas Haninah, sedikit membalas senyum.
“Haninah pula bila nak habis belajar?” tanya Hakim pula.
“InsyaAllah kalau tak ada aral, tahun depan.”
Hakim mengangguk tanda faham.
Senyap seketika. Haninah terkulat-kulat, sekejap memandang ke sawah padi, sekejap tunduk memandang kakinya sendiri. Pipinya mula naik merah, dibantu oleh teriknya panas mentari.
“Oh, baiklah. Balik dulu ye, panas sangat ni. Nanti ada peluang kita sembang lagi.” cadang Hakim, seolah-olah membaca fikiran Haninah.
Haninah mengangguk setuju, melihat Hakim menghidupkan motosikalnya dan berlalu pergi. Lantas dia mempercepatkan langkah pulang ke rumah.



“Mak, Si Haninah tu tak ada sesiapa ke selepas arwah Zahid tu?” di rumah, Hakim memberanikan dirinya bertanya ibunya tentang Haninah.
Dia bersandar melunjur kaki di atas sofa sambil menonton televisyen. Perutnya kenyang hasil air tangan ibunya dan dia baru selesai menunaikan solat Zohor. Makcik Suri sedang menyusun jambak-jambak bunga di atas meja kopi ruang tamu rumah mereka.
Mulutnya mengukir senyum apabila mendengar pertanyaan anaknya itu.
“Ai, kenapa pula ditanya? Berminat ke?” usiknya. Tangannya tetap juga menguis-nguis jambangan bunga di hadapannya.
“Tidaklah sampai ke situ. Cuma saya tertanya-tanya, tidak ke Haninah tu cuba-cuba mencari orang baru mak? Dah lama dah rasanya arwah tunangnya tu meninggal. Setahun lebih rasanya.” Hakim menjelaskan, sambil pura-pura masih menonton televisyen dan memberi perhatian.
Makcik Suri mengeluh dalam.
“Hmmm.... entahlah si Haninah tu. Kalau dengar cerita dari Mak Ngah Rafidah kau tu, memang dia tak boleh lupa lagi dengan arwah Zahid tu. Setiap hari bermenung, bersedih hati. Nak dijodohkan oleh emak dan abahnya sudah berapa kali, tapi mati-mati dia tak mahu.”
Hakim mengerutkan dahi. Betisnya yang tak gatal digaru perlahan.
 “Kuat sangat cintanya pada arwah tu. Mudah-mudahan lembut juga hatinya tu nanti melupakan barang yang dah lepas tu.” tambah Makcik Suri.
Sekali dia mengerling sekilas ke arah Hakim.
            Setelah puas hati dengan jambang bunganya, Makcik Suri berlalu pergi ke dapur, mahu melihat apa yang boleh dimasak untuk minum petang nanti.
            Hakim masih lagi memandang kosong ke arah skrin TV di hadapannya. Apa pun rancangan yang diudarakan tidak diambilnya peduli. Fikirannya sedang asyik memikirkan tentang Haninah. Masih lagi segar di ingatannya, Haninah dan dia ketika kecil dulu. Paling nakal di kampung pada waktu itu.
Haninah lagaknya bagaikan seorang budak lelaki. Lasak. Kadang-kadang lebih lasak dari Hakim sendiri. Memanjat pokok, memancing ikan di parit sawah padi, menakutkan kawan-kawan ketika mereka balik belajar mengaji, semua pernah dilakukan oleh kanak-kanak yang kini sudah bergelar gadis itu. Hakim tersenyum sendirian.
            Dia tidak dapat menafikan bagaimana dia merindui Haninah setelah mereka mula ke sekolah menengah – terpisah kerana Hakim mula menuntut di sekolah kebangsaan di kampungnya sahaja sedangkan Haninah diterima masuk ke sekolah Sains berasrama penuh di Teluk Intan. Namun tiada sesiapa yang tahu. Dia tak pernah memberitahu. Kawan-kawan rapatnya sendiri tidak tahu di manakah letak Haninah di hatinya. Hakim orangnya suka menyimpan. Hinggakan Haninah sendiri tidak pernah tahu..
Semasa dia menyambung pengajian berada di UiTM dan Haninah pula di UKM, selalu sangat hatinya berdetik dan terkenangkan gadis itu. Kerana padanya, kenangan manisnya yang lalu semua berkait rapat dengan Haninah. Entah mengapa dia terlalu merindukan saat-saat dulu. Dia rindu saat dia dan Haninah selalu bersama. Kadang-kadang jika waktu cuti sekolah, mereka tidak akan duduk di rumah, dari pagi hingga ke senja.
Pernah sekali ketika dia berjalan-jalan dengan rakan-rakan sekampus di KL, dia terlihat Haninah di seberang jalan bersama rakan-rakannya sendiri sedang menikmati aiskrim sambil duduk menunggu bas untuk pulang ke hostel. Teringin benar dia hendak menegur pada waktu itu, namun tak sampai beberapa minit bas yang ditunggu Haninah itu tiba, lalu gadis itu hilang dari pandangannya.
Tidak ada perkataan lain yang mampu menerangkan tentang perasaannya di saat itu, melainkan rindu. Cuma kini dia tertanya-tanya samada Haninah pernah merinduinya seperti itu, walaupun sekelumit.
            Sedangkan selepas dia tahu bahawa Haninah sudah mempunyai calon suami, dia masih lagi, entah bagaimana, mengingati Haninah. Tidaklah terlalu kecewa akan berita itu, sebaliknya mendoakan yang terbaik untuknya. Dia juga turut terkejut dan bersedih mendengar berita kematian kekasih Haninah itu. Cuma setelah apa yang berlaku ini, hatinya kembali kuat memikirkan gadis itu. Tambahan lagi kini dia berada di kampung dan Haninah juga berada di kampung. Bukan susah hendak terserempak dengannya, seperti yang terjadi hari ini.

                        Hakim termenung sendirian, melayan karenah fikirannya. Tanpa disedari, dia terus terlelap dan tidak lama kemudian terus berdengkur dengan nyenyaknya.

No comments:

Post a Comment