Thursday 26 March 2015

Saat Bulan Jatuh ke Riba (Bab 1) ~ Naurah Iman

Dua tahun kemudian.
                Ian hanif menekan butang lif angka enam belas. Dia berundur setapak ke belakang. Menjadikan dinding lif sebagai cermin, dia membetul-betulkan tali lehernya yang bercorak polka dot itu. Sedikit senget, lalu dibetulkannya kembali sehingga simpulan itu berada di tengah-tengah. Rambutnya yang sudah pendek itu dibetul-betulkan dengan hujung jari.
                Hmm... lawa! Dia senyum pada refleksi wajah sendiri.
Hari ini, dia ada mesyuarat dengan beberapa orang klien. Jadi dia perlu pakai kemas-kemas sedikit. Selalu tu, dia lebih suka pakai jeans dan baju T leher V sahaja atau baju berhud. Sampaikan Jay sudah tidak larat hendak menegurnya. Janji kemas sudahlah! Jawab Ian pula selepas itu. Ian lebih suka bekerja di belakang tabir. Jika tiada keperluan, dia lebih suka Jay yang tampil ke hadapan.
Dia melirik pada jam tangannya. Jam 8.30 pagi. Hmm… Bagus. Lif ini hanya untuk dia seorang sahaja. Mesyuarat akan bermula pada jam 11.30 pagi nanti. Masih awal lagi ni. Getusnya. Kemudian, kedua-dua tangannya memegang tangkai briefcase. Menunggu lif membawanya ke destinasi. Kaki kanannya dihentak perlahan-lahan mengikut irama lagu yang sedang dinyanyikan olehnya.
Ting! Pintu lif terbuka pada tingkat tiga pada ketika dia hendak tarik suara pada korus lagu tersebut. Potong betullah! Mulutnya yang sedang terbuka luas itu segera dikacip.
Menyedari keadaan itu, Ian berhenti menyanyi. Dia berdeham, membetul-betulkan suaranya. Menegakkan postur berdiri. Kena maco beb. Takkan nak bagi orang dengar dia menyanyi lagu jiwang pulakkan. Walaupun dia tahu, dalam hatinya sentiasa ada taman.
Dia menunggu gerangan yang menunggu kotak bergerak itu tadi untuk masuk. Lelaki ini mudah mesra. Maka pada wajahnya sudah terbit senyum manis untuk diberikan. Berpagi-pagi begini eloklah jika dimulakan dengan memberi. Dapat juga pahala. Jadi dia senyum lebar.
Senyuman lebarnya terus mati tatkala menyedari siapa yang masuk ke dalam lif tersebut. Spontan, dia bersandar terus pada dinding lif. Tali leher yang kemas tadi kini terasa mencekik batang leher, lantas segera dilonggarkan.
Udara yang disedut terasa tidak mencukupi untuk paru-parunya. Terasa tercecik. Rasa sesak nafas tiba-tiba. Tangannya terus berpeluh sejuk. Tidak! Tak mungkin. Ini tak mungkin berlaku. Otaknya menafikan apa yang di hadapannya. Renek peluh sejuk mula terbentuk di dahi. Ian betul-betul rasa tidak sihat sekarang ini. Dia rasa hendak demam!
Alamak! Macam mana ni? Ian berfikir sendiri. Dia ketap bibir apabila melihat jari itu menekan butang dua puluh. Tingkat terakhir bangunan itu. Mereka akan bersama-sama sehingga dia sampai ke pejabatnya. Oh Tuhan! Matilah aku macam ni! Air liur ditelan terasa pahit.
Ian terus pejam mata.
Dia mungkin boleh tahan jika hanya seorang, tapi ini melebihi daripada apa yang dia mampu tangani. Perutnya rasa bergelodak tiba-tiba. Hendak termuntah di situ juga. Malah, rasa itu sudah sampai ke ruang tekak. Dia cuba tarik nafas panjang. Urgh! Tak boleh! Tak boleh! Ian tekup mulut. Tahan Ian, tahan! Suara hatinya cuba menguatkan fizikal tuannya.
“Encik tak sihat ke?” suara halus salah seorang perempuan itu menerjah gegendang telinga.
“Encik?!!”
Ian buka mata. Ah! Silap besar! Bulat terus matanya apabila menyedari kedua-dua wanita itu sedang memerhatikannya dengan wajah pelik. Terus tubuhnya rasa panas. Dia sedang berhiperventilasi dan dia perlu segera keluar daripada situasi ini.
Tanpa diperdulikan suara dan wajah kerisauan mereka, Ian terus memicit mana-mana butang lif. Kalut! Dia sudah tidah kesah. Yang penting, janji dia dapat keluar daripada situasi yang menyebabkan tenaganya berada terus pada tahap zero. Ting!.., Dia diselamatkan daripada memalukan dirinya sendiri apabila lif terbuka pada tingkat sepuluh.
Ian terus meluru keluar dan semua isi perutnya terus terhambur keluar pada seseorang tanpa dapat ditahan-tahan. Ketul-ketul makanan yang hampir tercerna itu meluncur daripada mulutnya.  
Seperti filem yang diperlahankan, dia dapat melihat dengan jelas sarapan paginya iaitu roti bakar dan jus oren yang sudah bercampur di dalam perut bersama jus asid habis melekat pada dada yang Ian tidak tahu siapa. Sempat juga dia berpaut pada lengan seseorang sebelum dia membawa orang yang dipautnya itu sama rebah ke lantai.
Buk! Ian terus jatuh! Jatuh pada sesuatu yang lembut. Dia sudah tidak sedar apa-apa. Pandangannya jadi gelap.
                Dan seseorang itu, terjerit sama apabila punggungnya terhentak pada lantai marmar. Segera dia bingkas membetulkan tubuh yang menghempapnya tadi. Urgh! Beratnya. Bau masam segera terhidu namun dia tidak pedulikan itu semua. Dia terkejut buat kali kedua.

                “ Doc? Ian?”

No comments:

Post a Comment