Monday 6 April 2015

Saat Bulan Jatuh ke Riba (Bab 2) ~ Naurah Iman

Hanna menunggu dengan sabar sampai lelaki itu buka mata. Harus dia akan mengusik Ian apabila dia bangun nanti atau bila-bila masa yang dia rasa perlu. Dia ketawa tutup mulut.
                Lelaki yang pernah membuatkan dia memperbodohkan diri sendiri, rebah dekat kaki Hanna. Mana kau mahu lari Ian? Takkan ku lupakan saat-saat berharga seperti ini. Hanna mengeluarkan telefon bimbitnya dan mengambil beberapa keping gambar untuk kenangan atau juga untuk ugut Ian Hanif nanti. Bila perlu! Dia angguk kecil. Lagi sekali Hanna tertawa kecil.
                Hanna terus menarik kerusi mendekat dengan katil Ian. Tak sedar-sedar daripada tadi! Lama betul pengsannya! Tukas Hanna. Dia geleng kepala. Hanna ambil kesempatan untuk melihat wajah lelaki yang tenang berehat itu.
Tak pernah tengok daripada dekat pun. Dulu, kalau Hanna curi-curi tengok pun, mesti Ian perasan. Tak pernahnya tak perasan. Ada mata ke tiga ke apa lelaki ini? Pasti lelaki itu seronok ketawakan dia. Sekarang, dia rasa ingin tahu apa yang perempuan-perempuan selalu tengok pada lelaki bernama Ian Hanif ini.
Jujurnya, dia tidak pernah melihat lelaki ini daripada jarak dekat walaupun mereka ini sahabat. Tidak pernah diteliti pun. Ian, baginya seorang lelaki yang sangat menarik. Namun, bukan hanya fizikal lelaki itu yang dia suka, ada sesuatu yang lain padanya yang tiada pada lelaki lain.
Kalau Ian tahu ni, harus dia kena sembelih. Argh! Lantaklah. Bukannya Ian tahu pun. Hanna bawa mukanya rapat pada wajah lelaki itu. Sekali lagi dia ketawa kecil dan terus tutup mulut. Hendak ketawa besar-besar nanti terbangun pula lelaki ini. Dia baharu tahu, bulu mata Ian macam bulu mata perempuan! Panjang dan lentik. Oh! Padanlah mata dia nampak besar. Kalau letak maskara tentu lagi bulat mata dia. Kening dia lebat dan tersusun kemas. Ian ni, kening pun dia sikat ke?
Hidung Ian tajam mancung. Ada sebiji tahi lalat di cuping telinga kanan. Orang kata kalau ada tahi lalat dekat telinga tu, degil! Betul ke? Agaknyalah! Mana Hanna tahu. Lelaki ini juga ada dua biji tahi lalat kecil yang kalau tidak diperhatikan dengan betul memang boleh tak perasan berada di bahagian atas hujung bibir kiri dan di bahagian bawah hujung bibir kanan. Nampak sangat manis. Bibir dia… seksi! Nak cium boleh?
                Eh! Eh!... Hanna! Bukan main lagi anak dara seorang ini! Satu suara sudah beri amaran pada dia. Jangan nak menggatal kat sini ya. Tak ingat dosa pahala pula kau ya! Hanna rasa nak tampar-tampar diri sendiri.
Allah, terlupa! Tak tahulah kenapa, bila dia berada hampir dengan lelaki ini, semuanya terjadi secara spontan. Hanna akan jadi ‘senget’ bila dengan Ian. Tapi serius, Hanna rasa nak bawa balik sahaja mat yang seorang ni. Kunci dia dalam rumah. Tak bagi keluar langsung.
                Kalaulah Ian tahu, Hanna ni ada sifat ingin tahu seperti seekor kucing, habislah dia! Mati kejunglah Hanna digelakkan. Ian kalau dapat dia ketawa, bukan dia kira dekat mana. Ketawa sungguh-sungguh dia. Depan orang ramai pun jadi. Sampaikan orang yang kena gelak itu sudah rasa seperti seekor semut. Begitu kerdil rasanya. Dengan Hanna, sudah tak terkira berapa kali dia ditertawakan begitu. Yang hairannya, walaupun gurauan itu kasar, Hanna seperti tidak kesah. Seperti merelakannya sahaja. Yalah, kadang-kadang pun, Hanna ada juga buat begitu pada Ian. Jadi, adillah kan.
                Hmm… namun, kemudiannya satu nafas kasar berupa keluhan dilepaskan. Dia bangun menuju ke arah tingkap. Menyelak langsir di dalam bilik itu. Memerhatikan dedaun pokok yang bergerak-gerak ditiup angin pagi. Kenangan lalu segera menerpa dilayar minda.
                “Kenapa kau tak faham-faham Ian. Aku kata aku tak mahu. Aku tak mahulah! Aku tak suka. Tahu tak!” bentak Hanna. Benci sungguh dia dengan Ian ketika ini. Kenapa Ian asyik mahu memaksanya?
                “Aku buat semua ini, untuk kebaikan kaulah. Aku dah berjanji. Cuba faham boleh tak!” Suara Ian sudah tinggi.
                “Aku nak faham apa! Aku tak sukalah dengan semua ini. Jangan sampai kau menyesal dengan apa yang kau buatlah Ian! Asyik janji! Janji! Janji! Aku bosan!” Hanna beri amaran. Namun amaran itu Ian tidak endahkan. Ian buat juga perkara yang Hanna benci. Dan Hanna tiada cara lain. Dia terpaksa.
                Dia terpaksa tinggalkan Ian. Walaupun hatinya separuh rela.
                Jauh dari mata.
                Tapi dekat dengan hati.
               

Ian menggerakkan kepalanya. Kiri dan kanan. Kelip-kelip mata juga. Memerhatikan keadaan sekeliling. Semuanya putih. Hairan. Tadi bukan dia dalam perjalanan nak pergi ofis ke? Dia memerlukan beberapa saat sebelum semuanya klik pada yang asal.
                “Ohh!” Ian mengerang sambil pegang kepala. Bukan sebab sakit kepala tetapi lebih kepada tak seronok. Kepalanya dihenyakkan kembali ke atas bantal. Dia dah ingat. Habis merudumlah saham dia lepas ni. Ni semua fasal perempuan dua orang tulah. Menyalahkan dua orang wanita tadi. Yang naik sama dengan dia sekali itu buat apa? Sempat dia merungut. Membebel sendirian.  
Isy! Tak tahulah lepas ni dia nak letak muka kat mana. Tak tahulah berapa ramai orang yang dah kerumun dia tadi. Lagi satu, entah atas badan siapalah yang dia jatuh. Rasa macam nak ambil beg kertas, tebuk dua lubang untuk nampak biji mata sahaja. Pakai untuk seminggu. Urgh! Sekali lagi dia mengeluh. Kemudian dia teringat. Dia ada mesyuarat yang perlu dihadiri. Tak boleh jadi! Dia hayun kaki ke bawah dan…
Matanya kemudian tertancap pada seorang perempuan yang sedang membelakanginya. Berkerut mukanya. Seperti dia kenal dengan susuk tubuh itu. Terus dia terlupa dia ada mesyuarat penting yang perlu dihadiri. Membetulkan bantal di belakang badan lalu dia bersandar. Nak kata jururawat, dia pakai baju biasa dan sedang dia duduk berfikir-fikir itu, wanita tersebut berpaling dan dia terus bulat mata.
“Assalamualaikum Ian!” Hanna tersenyum pada kejutan yang jelas di wajah lelaki tersebut. Tapi tak tahulah kalau Ian Hanif ini ingat rupa dia ke tidak. Sebabnya, secara fizikal sudah banyak perubahan yang dia lalui.
                “Hanna?...” perlahan suara itu keluar. Bagai tidak percaya. Lama dia simpan kerinduan pada wanita di hadapannya. Wanita ini menghilangkan dirinya sejak dua tahun yang lalu dan kali ini tiba-tiba sahaja muncul kembali dan berada satu bilik dengannya. Dalam wad pulak tu. Hanna ke yang dia paut tadi?
“Hanna!” kali kedua nama itu meniti di bibir terus dijeritnya nama tersebut. Dia dah kenal. Itu memang Hanna. Tapi kenapa kurus sangat? Dulu, dia tidaklah kurus seperti ini. Tubuhnya agak berisi.
Wanita itu tersenyum. Ian rasa mahu melompat. Dia kenal sangat dengan senyuman Hanna. Hanna sahaja yang ada senyuman macam tu! Dan dia selalu suka berjenaka semata-mata kerana hendak tengok senyuman tersebut.
Hanna tutup telinga. Kuat betul lelaki itu menjerit. Tak ingat ini hospital ke apa? Siap depang dua-dua tangan lagi. Nak peluk? Orang lain boleh. Dengan dia… sorry naik lori. Ian daripada dulu lagi Hanna sudah perasan, pantang Hanna alpa sedikit sahaja, mulalah tangan dia hendak merayap.
Bukanlah merayap itu, maksudnya meraba-meraba, tapi sesuka hati dialah sahaja hendak mendaratkan jari jemari dia. Kadang-kadang Ian suka cuit-cuit tangan Hanna dengan telunjuk kalau dia mahukan sesuatu. Kadang-kadang tarik-tarik rambut dia kalau Hanna buat tidak endah. Sampai Hanna tak larat hendak tepis. Jegil mata macam nak terkeluar pun, buat tak reti sahaja mamat mata hijau ni. Jadi, kepala lelaki itu selamba sahaja Hanna sekeh. Padan muka dia!
Ian tanya juga walaupun sudah pasti wanita di hadapannya adalah sahabat dia yang dulu. “Kau ke tu Hanna?...Ya Allah!… kau buat apa kat sini beb? Asal kau nampak lain?” terlupa sebentar Ian dia berada di mana. Teruja sebenarnya apabila berjumpa semula dengan teman lamanya. Dia menjatuhkan tangannya semula apabila tiada respon daripada Hanna. Wanita itu hanya sekadar berdiri di situ.
“Tahulah teruja dapat jumpa aku. Tapi boleh tak, jangan menjerit sampai macam tu sekali! Cair tahi telinga aku ni ha.” marah Hanna pula. Dia menghampiri Ian yang sudah duduk bersandar itu. Wajah yang pucat lesi tadi sudah kembali merah. Bibir seksinya mengukirkan senyuman yang mampu menggugat rasa.
Wei, kau pergi mana? Tiba-tiba aje hilang. Aku rindu dengan kau tahu tak?”
“Eleh! Ya ke rindu?” Hanna mengusik.
“Yalah!” tegas Ian.
“Tak percayalah! Tak ada maknanya kau tu nak rindu dengan aku. Bukannya kau cari aku pun.” Aku bukan siapa-siapa pun untuk kau Ian. Sambungnya di dalam hati. Dia senyum.
“Eh! Betullah!” dia bela diri. Dia tidak tipu.
Hanna geleng kepala.
“Tak percaya sudahlah!” cemik Ian kemudiannya. Nak merajuk boleh? Tapi Hanna nak pujuk ke?
“…kau tak rindu aku ke?” dia tanya lagi sambil senyum sampai ke telinga.
“Tak!” geleng Hanna.
“Tipu! Tak percaya!”
“Ya!” dalam hati Hanna sudah ketawa kuat-kuat. Tipu sebenarnya. Dalam setiap doanya, nama lelaki itu tidak pernah lupa untuk disebut. Jangan ditanya erti rindu jika tidak pernah tahu rasanya kehilangan. Jangan ditanya ertinya sayang jika tidak pernah merasa.
“Maknanya, aku seorang sahajalah yang rindu dekat kau. Habis… kau tak rindu kat aku nilah ya? Sampainya hatimu!” sempat Ian melagukan dua patah kata yang terakhir itu. Bila dia kata dia rindu, ia memang lahir daripada jiwanya. Jiwa yang hampir musnah kerananya. Dia hampir gila mencari wanita itu. Ceruk mana yang tidak dia selusuri, jalan mana yang tidak dia lalui, namun Hanna hilang tanpa jejak. Gagal ditemui.
Tubuhnya susut mendadak lantaran mencari Hanna. Sampaikan abangnya, Yusha Ali, adiknya Intan Nilam ingat dia ambil dadah. Bukan! Bukan! Dia jadi begitu semata-mata kerana ingin memohon maaf di atas perbuatannya. Setahun dia mencari Hanna yang menghilangkan diri secara tiba-tiba sebelum dia berputus asa. Menamatkan pencariannya. Hidup mesti diteruskan dan jika Hanna ingin dia menemuinya, Hanna pasti akan muncul depan mata dia. Pasti Hanna akan meninggalkan jejaknya. Dengan bersusah payah, Ian bangkit semula.
Dan kini, wanita itu berada di sisi. Sedang tersenyum memandangnya. Mengembalikan semula perasaan tersebut. Dia ingat Hanna faham, tapi Hanna tidak endah pada pengakuan rindunya. Tapi dia lelaki. Dia ada ego.
Ah! Kenapa Hanna muncul sekarang? Dia tidak boleh kalah pada perempuan, terutama sekali pada Hanna Mariah binti Isa. Nama penuh wanita itu sentiasa dia ingat. Nak jabat tangan tok kadi nanti senang. Eh? Apa ni? Ian tidak faham. Pelbagai rasa datang serentak.
Ian pamer muka sedih, tapi Hanna dah faham benar riak wajah tersebut. Muka minta dikasihani. “…tapi mana kau tahu aku tak cari kau. Aku ada carilah. Cuma tak sungguh-sungguh je.” Bohongnya. Biarlah, dah Hanna tidak percaya.
Daripada menghujani temannya itu dengan soalan yang memang dia perlukan jawapan, dia menuturkan pengakuan tersebut. Pencarian itu tidak segera dikhabarkan kepada Hanna. Nanti Hanna kata dia menipu. Jarang sangat Hanna nak percaya cakap-cakap dia. Yalah! Dah selalu sangat Ian usik dia, mana Hanna nak percaya dengan begitu sahaja.
Tengok! Betulkan? “Huh! Yalah tu. Kan betul aku cakap. Bukannya kau rindu pada aku pun!”
                “Tak kisahlah kau rindu pada aku ke tak? Janji kau cerita kau hilang ke mana?” manisnya mulut Ian bersuara dengan badan separuh tersandar seperti itu. Tubuhnya dipeluk. Menghalang diri sendiri daripada terjun daripada katil dan memeluk wanita itu erat-erat. Dan menyatakan kekesalannya kerana berbuat begitu dahulu. Emosinya bercampur baur. Hanna baik, Hanna selalu ada untuk dia, dia sahaja yang… Ah! Ian pejam mata seketika.
                “Kau dah kahwin ke belum?” sambungnya lagi. Dia sengih. Rambutnya yang pendek itu disauk dengan jari. Tengok tu, tak sempat-sempat bertanya soalan. Kemudian matanya liar melihat sebarang cincin di jari-jari Hanna. Kosong! Mesti belum kahwin. Pantas Ian membuat konklusi. Dan dia rasa lega. Sangat-sangat lega.
Hanna geleng kepala. Ian dan sifat ingin tahunya. Hanna hanya angkat bahu. Belum mahu menceritakan dia ke mana. “Belum jumpa orang yang sesuai.” Jawab Hanna mengenai status dirinya. Yang itu dia malas hendak pusing-pusing. Lebih baik berterus terang sahaja.
“Oh!!!” Ian angguk-angguk perlahan. Entah apa yang dia faham tak tahulah. Kalau tadi dia rasa lega, tapi kini dia rasa tenang. Tapi dia sudah senyum meleret. Dia masih ada peluang itu. Tuhan! Terima kasih.
“Kau ada hutang dengan aku!”
“Hutang apa?” terkejut Ian. Bila masa pula dia berhutang dengan Hanna.
“Kau hutang baju dengan aku ni tau tak!” ujar Hanna. Mengejutkan Ian yang sedang leka memandangnya. Tidak betah dipandang begitu. Apatah lagi renungan daripada seorang ajnabi. Ian kena belajar merendahkan pandangan. Menjinakkan pandangan matanya.
“Hutang baju? Bila masa aku janji…” tak habis Ian bersuara Hanna sudah memotong.
“Ewah-ewah! Banyak lawa muka kau. Buat-buat lupa pulak dia ya. Sudahlah muntah dekat orang. Masam pulak tu. Hisy… Suka-suka hati kau aje nak mendarat kat badan orang kan? Sakit punggung aku ni tahu tak! Urgh! Busuk gila!!!” marah Hanna. Sesekali bau masam muntah Ian yang hanya sempat dibasuh dengan air itu menjengah hidung. Macam nak loya dibuatnya. Rasa macam dia pula mahu berbaring di atas katil itu menggantikan Ian.
Berkerut muka Ian. Cuba mengingatkan.
“Ha?....Ohh… Kau ke perempuan tadi. Padanlah badan aku tak sakit. Jatuh atas tilam yang lembut rupanya.” Ian ketawa-ketawa. Dia sudah ingat. Rupa-rupanya ‘Hanna dia’ sendiri yang ‘sambut’ dia. Ai! Bertuahnya badan!!!
Hanna dia? Eh? lagi sekali Ian bingung.
Hanna dah buat gaya penumbuk nak belasah Ian, lelaki itu pula hadang muka dengan tangan. Serius tak sangka, perempuan yang sambut dia tadi adalah sahabat dia sendiri. Bahagianya sungguh hati ini.
“Apa sengih-sengih? Nak jadi mat sengih pulak ke? Nak ganti ke tidak baju aku ni?” Hanna tunjuk baju kurung yang dia sedang pakai sekarang ini. Bergetar dadanya tatkala pandangan mata mereka bersabung. Dia tidak tahu mahu cakap apa dengan Ian. Dua tahun tidak jumpa, wajah Ian nampak lebih matang. Dia nampak lebih dewasa. Dan Hanna suka nak tengok muka Ian lama-lama. Ah! Sudah. Mengada-ada pula hatinya ini. Masih belum luntur lagi perasaan itu?
Ian sekadar mencemik. “Sengih pun salah sekarang ni ya Hanna? Kau ni kan...,” membetul kedudukannya. Kakinya dan tangannya bersilang.
“...dari dulu lagi tak berubah-ubah pun perangai. Garang betul. Itu fasallah tak ada orang nak kat kau. Dengar suara kau aje, sebatu mereka dah lari. Nak dekat aje, kau dah buat perangai macam tu. Macam rupa nak baham orang. Dah garang serupa singa kau tahu. Kira kau bertuahlah, sebab aku aje yang boleh tahan. Tak boleh ke kau cuba jadi perempuan sikit?” Ian tumbuk bahu kanan yang rasa lenguh. Kononnya mahu beri nasihat tapi sempatlah juga dia melemparkan sindiran pedas berbau kutukan terhadap temannya itu.
Melopong Hanna mendengar teguran tersebut sehingga dia terdiam tak tahu hendak balas apa.
“Cubalah bercakap macam perempuan, berjalan macam perempuan dan berperangai seperti seorang perempuan!” Ian sambung sikit lagi setelah Hanna hanya senyap bisu.
Huh! Panas hati dan berdesing telinga Hanna dibuatnya. Macam ada asap sahaja yang nak keluar daripada badan wanita itu. Nak menangis pun ada juga. Ian cakap dia berjalan macam lelaki? Sabarlah wahai hati. Bercakap dengan Ian ini, memang perlukan ketabahan yang tinggi.
“Mulut kau tukan, memang…” Hanna tuding satu jari ke arah lelaki itu.
Ian kalau dapat bercakap dengan Hanna, main lepas sahaja. Tak fikir langsung. Dengan kawan-kawan perempuan lain, boleh pula Ian cakap baik-baik. Tahu pula dia ‘bersopan santun’. Asal kalau dengan dia sahaja Ian suka nak cari fasal? Suka nak cari gaduh. Maka, disebabkan perangai Ian yang tak reti nak kawal mulut tulah, Hanna juga lepas mulut dengan lelaki ini. Padan muka dia. Adil. Sama-sama sakit hati.
“Apa? Mulut aku mulut akulah. Eleh!...” Ian mencemik. Menambahkan lagi rasa sakit di hati Hanna. “Baju yang harganya takat RM60-70 tu pun nak kecoh. Basuh ajelah. Bukannya susah mana pun. Kalau malas nak basuh, kau pergi hantar dobi! Senang! Selesai masalah. Lagipun aku tengok baju kau tu pun macam baru keluar kedai aje.” Sambungnya kemudian. Ha…, inilah perangai sebenar Ian Hanif bin Iskandar, semua benda dia ambil mudah. Perasaan orang tak reti nak jaga langsung.
“Kedekut! Duit berkepuk-kepuk banyak pun, berkira tak nak ganti!” Hanna bersungut kecil. Muncungnya dipanjangkan sedikit seperti merajuk dengan Ian yang tidak sensitif itu. Seperti berfikir akan sesuatu, terangkat kening kanan Hanna. Dia mendekat pada Ian Hanif yang sedang peluk tubuh itu. Hanna pegang hujung cadar. Sambil senyum-senyum.
Ian lepaskan pelukan di badan sendiri. Dia dah pandang perempuan di hadapannya dengan muka pelik. Selalunya kalau muka Hanna macam tu… “Kau nak buat apa kalau aku tak ganti?” wah! Soalan menempah maut namanya tu Ian. Bersahaja dia mengeliat sambil pegang kepala katil. Bersedia. Bersedia untuk apa dia pun tak pasti.
“Kau tak nak gantilah ni ya? Ian?...” Hanna tanya sekali lagi apabila Ian sekadar sengih tayang gigi. Untuk memastikan.
Ian angkat bahu. Dan dia geleng kepala. Tanda dia tidak mahu. Lamanya dia tidak menyakat Hanna. Rindu sungguh! Dia senyum lagi. Suka tengok wajah Hanna yang merah padam itu. Dia boleh pandang lama-lama.
“…tak nak ganti tak apa. Aku tak rugi apa-apa pun, tapi…” ambil kau Ian Hanif! Dengan sekuat tenaga Hanna tarik cadar sehingga Ian hampir tergolek ke lantai. Mujur lelaki itu sempat berpegang pada kepala katil. Huh! Betul telahannya tadi. Hanna Mariah binti Isa ni memang kepala dia miring. Tak pernahnya betul.
“Uit! Mak! Beratnya kau. Macam anak gajah!” Termengah-mengah Hanna dibuatnya. Disebabkan tak berjaya menggolekkan Ian ke lantai, Hanna ambil bantal dan cuba menghempuk kepala lelaki itu dengan bantal tersebut. Geram.
Ian tepis dan bantal itu mendarat ke lantai. “Kau ni gilalah Hanna! Kan aku tengah sakit ni.” terkejut Ian dibuatnya. Cepat-cepat dia memberatkan badannya agar Hanna tidak boleh menjatuhkan dia semula. Tu, nampak macam gaya nak buat kali kedua je. Malang betullah lelaki yang dapat dia ni sebagai isteri. Bukan macam singa lagi, ini memang dah serupa singa pun! Singa betina dah keluar kuku.
Bantal yang sudah tercampak ke lantai tidak di ambil. Dahlah Ian tak berapa nak sihat, kena tolak pula macam ni. Satu jelingan tajam diberikan pada Hanna. Tapi dia tak marah pun. Dia cuma tidak puas hati sahaja.
“Haah…, aku gila bila dekat dengan kau je… Kau  aje yang selalu buat aku naik darah. Dahlah! Aku nak balik! Buang masa ajelah layan kau ni.” Hanna terus berlalu meninggalkan Ian yang terpinga-pinga dengan perangainya sebentar tadi. Baharu sahaja jumpa, dah buat semula perangai gila-gila mereka.
“Hannaaaa!” panjang sungguh namanya dilagukan oleh lelaki itu. Lembut pula panggilan tersebut.
Hanna tersenyum dengan nada suara itu. Mana mungkin dia tidak menjawab panggilan lelaki ini. Dan apabila dia menoleh semula mukanya sengaja digarangkan.
“Apa?” tiada nada suara bernama manja apabila menyahut panggilan Ian. Tapi tidaklah sampai menengking. Suara Hanna ni halus sahaja sebenarnya. Itu yang apabila dia bercakap, memang Hanna terpaksa kuatkan suara dia supaya orang lain boleh dengar suaranya.
“Tengok tu! Kau ni betullah tak makan nasihat. Cuba lembutkan sikit suara tu. Baharulah sedap sikit telinga aku ni mendengarnya. Ni tidak, asyik nak memetir sahaja suara tu.” Tegur Ian lagi. Tidak puas hati kerana Hanna tidak dengar akan nasihatnya sebentar tadi.
“Suka hati akulah. Kau panggil aku ni, kau nak apa? Kalau sekadar kau nak dengar suara lemah gemalai aku ni tak payahlah kut.” Hanya Ian sahaja yang berani menegurnya begitu. Sebelum ini, bukan dia kesah pun dengan suara Hanna yang kuat itu. Tapi…, Ian kan begitu orangnya. Jadi, Hanna terima sahajalah teguran membina teman kau tu.
“Aku tegur pun salah ke?” bulat matanya memandang Hanna.
“Tak salah, kan kau dah biasa dengar suara aku. Dah kenapa tiba-tiba nak aku tukar mod suara lemah gemalai pulak? Tabiat?”
“Tak adalah, saja! Teringin jugak nak dengar suara luar alam kau tu.” Dia sudah terkekeh-kekeh ketawa. Belum pernah lagi dia dengar Hanna mengada-ada dengannya. Hanna bukan sahabat yang menjengkelkan. Dia adalah sahabat kesayangan. Insya-Allah dunia akhirat.
Sah tabiat orang tua ni! Baharu pengsan dua jam, wayar dalam kepala dia sudah banyak yang putus. Tak betul! Layan Ian ini, memang dia pun boleh jadi sewel dibuatnya.
“Mengada kau eh!.. Kalau kau rasa nak dengar suara lemak merdu lemah lembut aku, tunggu kau jadi suami aku baharu kau boleh dengar. Kalau tak jangan haraplah!” Hanna sudah menjegilkan matanya.
Mendengarkan perkataan suami dalam ayat Hanna terus Ian geleng kepala. “Tak apalah kalau macam tu. Tak dengar pun tak apa! Mahu muntah hijau aku nanti.”
Hanna mencebik. Tahu takut!!! Tadi dia juga yang beria-ia nak dengar.
“Dahlah! Aku nak balik.” Ulang Hanna lagi.
Hmm… macam mana nak hubungi kau?” laung Ian. Tidak mahu kehilangan temannya itu lagi. Cukuplah yang sekali itu. Kehilangannya yang begitu dirasai. Mujurlah kehilangan Hanna bersifat sementara. Kalau ‘hilang’ betul-betul, dialah manusia yang paling akan terasa. Entah dapat jumpa atau tidak di ‘sana’ nanti.
“Aku telefon kau nanti, tapi tengoklah macam mana! Aku ada banyak kerja nak buat. Nak basuh baju ni lagi. Nak buat kerja rumah lagi. Kalau aku rajin, aku telefonlah kau nanti dan kalau aku tak sibuk selamat tinggal!!!” Dan Hanna terus menghilang. Tak toleh belakang pun.
Selamat tinggal? Kenapa ucapan itu, Ian rasa macam Hanna sedang ucapkan, aku juga rindukan kau, Ian. Dan kita akan jumpa lagi. Ian masih pandang pintu walaupun Hanna sudah tiada di dalam bilik tersebut. Terkebil-kebil dia memikirkan apa yang berlainan benar dengan Hanna kali ini. Sekali lagi Ian membulatkan matanya apabila dia sedar sesuatu.
Patutlah Hanna nampak lain. Patutlah Hanna tak layan, masa dia depang tangan nak peluk wanita itu tadi. Dia sahaja yang lebih-lebih. Hmm… Ian mengangguk-angguk perlahan. Rambut Hanna yang hitam berkilat dan yang panjang mengurai melepasi punggung itu sudah tersimpan kemas dalam sehelai selendang yang elok dirapikan pada kepalanya. Masih panjang kut? Entah! Ian tidak tahu. Harap-harapnya dia tak potonglah. Lawa kut rambut dia!
Dulu-dulu, jika ada pementasan teater (cerita hantu) yang memerlukan pada rambut panjang, Hanna akan dipaksa rela untuk melakukannya. Dia tidak peduli, jika Hanna marah dia pun. Sebagai balasan, dia kena dengar Hanna bercakap pula selepas itu. Tidak kesahlah. Orang sudah memberi, kita kenalah pandai berbahasa.
Perkara yang Hanna suka bercakap tentulah fasal bulan. Sebab Hanna suka bulan. Semua pasal bulan dia tahu. Biarlah. Dia suka. Ian sanggup pinjamkan telinga. Dan mereka pernah berkaroeke dalam kereta lagu Engkau Laksana Bulan, nyanyian Tan Sri P. Ramlee itu.
Dia selalu sahaja menarik rambut Hanna yang panjang itu kalau dia bosan dalam kelas. Dia suka duduk belakang Hanna untuk tujuan tersebut dan Hanna akan jeling atau tunjuk penumbuk pada dia. Kalau tengok pada perangai macam masih sama sahaja, tapi… dia tidak tahu. Dua tahun sudah cukup untuk mengubah seseorang. Dia dapat rasa, Hanna dah lain sekarang.
Dup! Ian pegang dada. Dia dapat dengar degupan jantung sendiri di telinga. Tiba-tiba dia jadi rindu. Semakin rindu pada Hanna walaupun sudah ada depan mata.
Terus dia rebahkan kepala atas bantal. Jemarinya perlahan-lahan ditarikan di atas dada. Senyumnya sampai telinga.
Jika Hanna yang dulu dia senang, tapi Hanna yang ini? Bagaimana? Ah! Dia sukakan Hanna yang ini.
Eh?
Ian tutup muka dengan bantal. Malu sendiri. Menjerit melaluinya dan dia tak ingat, dia ada mesyuarat penting yang perlu dihadiri.

Teruklah kena marah dengan Jay!

No comments:

Post a Comment