Wednesday 18 March 2015

Saat Bulan Jatuh ke Riba (Epilog 1) ~ Naurah Iman

Epilog 1         
      
“Alhamdullilah! Allah satukan juga mereka berdua.” Itu yang dia tuturkan sebaik sahaja melihat tautan jari jemari kemas di hadapannya. Kemudian, bayi berusia lapan bulan yang berada dalam dukungannya itu diagah sehingga menampakkan dua batang gigi bawahnya.

                “Susah juga rupanya kan, kalau terjatuh hati pada sahabat sendiri.” dia berpaling untuk memandang dan menyatakan pendapatnya pada lelaki di sebelahnya. Lelaki yang juga sedang memandang pasangan tersebut. Pasangan yang mereka berdua pandang itu sedang ralit melihat bulan purnama. Menikmati hangatnya cinta anugerah Ilahi. Muzik irama 60-70-an kedengaran sayup-sayup.

                Lelaki yang diajak berbual itu tidak segera membalas. Berfikir sejenak sebelum menuturkan. Kemudian dia senyum. “Setiap ikatan hati di antara dua manusia itu, bermula dengan namanya persahabatan. Tidak susah dan tidak sukar sekiranya diikhlaskan kerana Allah. Allah tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambanya. Kenapa?... Menyesal eh sebab lepaskan dia pergi? Pergi untuk orang lain?” duga lelaki yang kini sedang meletakkan tangannya di atas penghadang balkoni. Tunak matanya memandang. Mengharapkan jawapan.

                Lelaki dengan bayi itu menggeleng kepalanya dengan laju. Dia senyum. “Taklah! Itu, adalah antara keputusan terbaik yang pernah aku buat. Mereka gembira dan aku turut merasa tempias bahagianya. Hati itu, sukar untuk dipaksa-paksa! Apatah lagi hendak jika hendak diperintah-perintah. Hati itu, kan raja kepada tubuh badan kita ni.” Dia berhenti seketika. Mengambil nafas panjang. Dia menggoyangkan tubuhnya apabila bayi dalam dukungannya merengek kecil.

 “Lagi pun... mereka itu sudah dijodohkan untuk bersama. Aku tengok kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain, walaupun perangai masing-masing, Ya Allah, macam anjing dengan kucing.” sambil angkat bahu dia tertawa kecil. Goyangan tubuhnya sedikit dilajukan. Anak kecil itu masih mengeluarkan bunyi. Lapar ke?
“Aku ada kau, aku ada sahabat-sahabat yang sentiasa mengingatkan. Aku nak kompelin apa? Hidup ini terlalu pendek untuk disibuk-sibukkan dengan perkara-perkara yang melelahkan.” Sambungnya sambil dia tersenyum. Anak kecil tadi sudah senyap. Tangannya menepuk-nepuk perlahan belakang bayi tersebut.
                Lelaki ini semakin mengerti dan memahami. Syukur pada-MU, Ya Rabb. Semoga Kau tambahkan pemahamannya dalam agama-MU. “Setiap perbuatan baik, akan Allah balas walaupun sebesar zarah saiznya. Jika tidak di sini, di sana nanti Dia pasti balas. Usah bimbang,... bidadari-bidadari syurga sedang mengintaimu dari sana. Insya-Allah, masa untukmu akan tiba tidak lama lagi. Rasa-rasanya, hidung ini sudah terbau-bau wanginya nasi minyak. Telinga ini, bagai sudah terdengar-dengar kuatnya tamparan bunyi kompang.”

                “Amin! Semoga Allah perkenankan.” Dia tertawa senang hati, sehingga pasangan tadi melihat ke arah mereka dan segera melambai. Dalam terangnya cahaya bulan itu, riak wajah dengan senyuman dapat dilihat dengan jelas. Dengan menggunakan tangan bayi tadi, dia membalas semula lambaian tersebut.

                “Patutlah Hanna sayangkan kau! Aku faham sekarang. Kau berbeza dengan teman-temanmu yang lain! Sampai ada orang tu cemburu!” sambungnya pula selepas itu. Bertuahnya dia, Allah kurniakan dia dengan insan-insan hebat bergelar sahabat. Tidak sia-sia pencariannya selama ini. Jiwanya benar-benar terisi.

                Lelaki itu hanya angkat bahu. Tapi di bibirnya ada senyuman. Hati sudah menyebut syukur, alhamdullilah. Haza min fadhli Rabbi. Ini kurniaan Tuhanku. Selayaknya, puji-pujian itu hanya untuk Dia. Bimbang ujub yang hadir seketika tadi itu menghampiri riak pula.

                Baru berniat nak sambung tengok bulan, tiba-tiba anak kecil dalam dukungannya sudah menjerit minta disusukan.
                “Hanna!” 

No comments:

Post a Comment