Monday 23 March 2015

Saat Bulan Jatuh ke Riba (Prolog) ~ Naurah Iman

Prolog

“Air liur awak meleleh tu!” tegur lelaki itu. Mulut Hanna terbuka tatkala diperkenalkan dengan ahli kumpulannya. Melopong dia dibuatnya. Dia bukannya seorang perempuan yang mudah terpersona dengan insan berlainan jantina itu. Tapi yang ini..., Maha suci Allah yang menciptakan. Kalau orang kata Aaron Aziz itu kacak, lelaki depan dia ini berkali-kali ganda cantiknya.
Eh! Lelaki cantik? Segera dia tutup mulut namun pandangan matanya ternyata sukar untuk dialihkan. Hanna kesat tepi bibir. Mana ada air liur! Tipu! Walaupun ditegur begitu Hanna tetap lihat juga. Susahnya nak kalih pandangan! Cantik sangat!!! Benda yang sedap mata memandang, haruslah pandang lama-lama. Siap menongkat dagu lagi dia. Heh!
Dia bersumpah, dengan nama Allah yang 99 itu! Inilah pertama kali Hanna terpegun melihat lelaki ciptaan Tuhan. Dia cantik amat! Benar-benar cantik! Mengalahkan kecantikkan seorang perempuan. Agaknya kalau orang kerat jari dia pun, Hanna masih mampu tersenyum tanpa rasa sakit.
Bijak sungguh cara Zulaikha untuk mengiakan keindahan Nabi Yusuf a.s. Beri setiap tetamu dengan sebiji buah epal dan pisau. Kemudian panggil nabi Allah itu keluar. Sampai darah meleleh pun tak sedar gara-gara terpersona. Kalau Hanna, tentu dia pengsan tak bangun-bangun (komalah agaknya!).
Beginikah agaknya yang para undangan Zulaikha rasa tatkala terpandang Nabi Yusuf a.s buat pertama kali? Nabi ke sebelas yang terkenal dengan kecantikkan dan ketampanannya. Bukan setakat itu sahaja, baginda juga terkenal dengan kebijaksanaannya dalam mentakwil mimpi.
Oh! Inikah yang dinamakan cinta pandang pertama?
Sempat dia terfikirkan akan hal itu. Ah! Kau ni Hanna, kalau yang ada depan mata pun sudah cantik begini, tentulah pesuruh Allah itu berlebih-lebih lagi cantiknya. Masakan boleh disamakan begitu. Kalau ya pun, sudah tentu berduyun-duyun wanita mengekori lelaki depan matamu ini ke mana-mana. Mata kau sahaja yang nampak dia tu cantik! Orang lain nampak dia itu biasa sahaja tahu!
Hanna hembus nafas. Cantiknya dia. (Aih! Kau sebut lagi. Sudahlah tu! Si tukang tulis ni pun tak larat dah nak tulis perkataan tu tahu!) Tak pernah seumur hidup Hanna dia berkata begitu.
Lelaki itu ketawa kecil apabila Hanna tidak berkelip memandangnya. Ini yang susahnya bila rupa diri tak serupa dengan orang lain. Asyik mencuri tumpuan sahaja. Tapi nak buat macam mana. Sudah begitu kejadiannya. Dia terima dengan berlapang dada. Itu anugerah dan disebabkan itu juga, hidupnya tidak pernah sunyi dengan jantina bernama perempuan.
“Hanna Mariah binti Isa!” lelaki itu melihat fail di tangan. Namanya diseru. Hanna kelip mata apabila lelaki itu sebut nama dia. Bahunya ditegakkan. Eh! Dia tahu nama aku. Macam mana dia tahu? Tambah lima markah bonus untuk dia.
“Ya saya!” Hanna menyahut.
“Bagus, semua orang ada di sini. Baik, untuk tugasan kita...,” Ian masih memandang Hanna ketika dia bersuara.
“Awak orang sini?” potong Hanna. Baguslah tu Hanna. Bagus! Bodohkan diri sendiri. Tanya soalan yang tak berapa nak bijak itu. Mujur dia tak main pintal-pintal rambut. Renungan teman-teman satu kumpulan juga tidak dihiraukan. Hanna sudah terkena panahan asmara!
Lelaki itu geleng kepala sebelum menjawab. Anehnya soalan. Agaknya perempuan ini masih belum betul-betul sembuh. Dia perasan bibir gadis ini kelihatan kering. Mukanya sedikit pucat. Semalam gadis ini tiada semasa pembahagian kumpulan. Dia diberitahu, Hanna dapat cuti sakit tiga hari. Demam panas. Jadi, walaupun rasa hendak kata apa kau peduli, dia pilih untuk menjawab.
“Lahir dan dibesarkan di Malaysia. Mak dan ayah orang Melayu. Awak ada soalan peribadi yang lain lagi yang awak hendak tanya sebelum kita mulakan tugasan ni.” Jawabnya senada. Kadang-kadang penat juga hendak menjawab soalan-soalan begini. Secara teknikalnya, dia memang darah anak Melayu pun. Warganegara jalur gemilang. Tetapi susur galur sebelah mamanya ada darah orang Irish. Setelah beratus tahun, gen resisif itu kembali muncul dan diperturunkan kepadanya.
Hanna mendagu selepas menggeleng tanda dia tiada soalan hendak ditanya. Tunak matanya memandang lelaki yang sedang membahagi-bahagikan tugasan. Terasa tidak puas dengan hanya memandang. Dia mahu memahatkan wajah itu di benaknya. Hanna sudah terpaut hati.
Mata lelaki itu amat menarik minatnya. Di sebalik kaca mata old school itu, jelas warna anak matanya yang perang kehijauan. Rambutnya pula warna coklat gelap dan ada sedikit campuran merah di celah-celah helaian rambutnya. Kalau iris matanya sudah warna begitu, tentu sahaja rambutnya warna asli. Telah Hanna pula.
Hanna senyum. Lelaki tadi kemudian memandang ahli kumpulannya sebelum pandangannya kembali jatuh pada Hanna. Dia perasan gadis itu masih memandangnya. Kaca matanya ditarik melorot pada batang hidung. Sebelah kening diangkat seperti bertanya. Kenapa?
Puas hati dengan kesimpulan sendiri, Hanna tutur perlahan. “Awak cantik sangat!” spontan ia dikeluarkan.
Terpempan lelaki itu. Terjatuh langsung fail tugasan yang dia pegang sejak tadi. Hilang terus kosa katanya.
Yang terdengar hanyalah sorakan daripada rakan sekumpulan.
Gila! Dia berdeham dan memulakan tugasan mereka tanpa memperdulikan pada mata yang asyik merenungnya.


“Aduh! Penatlah aku nak tunggu! Cepatlah Cik Hanna oi! Kau nak cakap apa ni?” rungut lelaki itu. Rasa seperti hendak cekak pinggang pun ada. Sudah hilang rasa sabarnya. Daripada tadi tidak lepas-lepas juga. Dia ni, masih banyak lagi kerja lain yang hendak dibuat. Bukannya ada masa hendak menunggu-nunggu begini. Menunggu bukanlah kekuatannya.
“Aku rasa… aku suka pada kaulah! Kita kahwin nak Ian.” akhirnya terluah juga walaupun tergagap-gagap! Hanna tarik nafas lega. Terkelip mata lelaki itu apabila Hanna menuturkan kata-kata tersebut. Terdiam lelaki itu seketika. Hanna selalu berjaya membuatkannya terkedu dan terkelu begitu. Namun disebabkan sifat berterus terang dan keanehan Hanna yang inilah mereka rapat dan bersahabat.
Terbuka sedikit mulut lelaki itu. Dua saat! Tiga saat! Resah! Hanna tunggu jawapan. Tapi tidak lama, kerana tawa lelaki itu sudah memenuhi ruang dewan kecil tersebut. Beberapa kepala sudah terarah kepada mereka berdua. Mahu tahu apa yang menyebabkan lelaki itu pecah tawanya.
                Pipi Hanna terasa panas tiba-tiba dan dia tahu ianya juga sudah merah. Dia garu-garu kepala. Malunya!!! Namun, dia gagahkan juga untuk angkat muka. Diberanikan juga diri untuk memandang wajah lelaki yang sedang menampakkan keseluruhan giginya. Dia gelakkan aku. Huh! Hanna sengih serba salah.
                Sambil tahan ketawa lelaki itu berkata. Dia tekan perut sama. Satu tangan diletakkan pada dinding. “Ha… Hanna! Aku tahulah kau ni suka melawak. Tapi agak-agaklah. Takkan sampai benda macam ni pun kau nak buat bahan lawak jugak!” lelaki itu menggeleng kepalanya. Hud yang menutup kepalanya ditarik sedikit ke belakang dan dia terus pandang tepat pada Hanna yang sedang turut memandangnya.
                “Aku seriuslah Ian!”
                “Kau ingat aku tak ingat hari ni hari apa? Hmm…” sebelah kening sudah terangkat. Tak dipedulikannya pun luahan rasa yang gadis itu. Perasaan terkedunya sudah bertukar menjadi lucu pula. Dia anggap itu hanyalah salah satu daripada jenaka gurauan daripada Hanna.
                “Hari apa?” tulus Hanna bertanya. Mukanya nampak tidak bersalah langsung.
                Lelaki itu geleng kepala. Cubaan untuk memerangkap dialah agaknya. Dia takkan mungkin kalah pada permainan ini. Gelaran LAMPI (lambat pikap!) kepada Hanna ini memang kena sungguh! Bendul pun boleh jadi juga. Kadang-kadang Hanna memang selalu lambat tangkap. Tak tahulah bagaimana mereka ini boleh rapat dan bergelar sahabat.
Kemudian dia senyum. Matanya nampak bercahaya. Wajahnya serius menatap wajah Hanna. Daripada kedudukan bersandar dia peluk tubuh dan melangkah setapak mendekatkan diri menghampiri Hanna yang terpaksa mendongakkan wajahnya untuk memastikan hubungan mata itu tidak putus.
                Hanna terus telan liur. Berundur dia setapak ke belakang.
                Dengan jari telunjuk kanan, lelaki itu melorotkan kaca mata yang dipakai pada batang hidungnya. Satu tabiat yang dia suka buat jika dia beri sepenuh perhatian. Kepalanya ditundukkan sedikit, membawa wajahnya dekat  dengan Hanna. Matanya tepat merenung ke dalam bola mata gadis itu. Sebelah tangannya mengamit-gamit pada sesuatu.
                “Hanna…” lembut dia bersuara. Wajahnya serius.
                “Ya!” Hanna berdebar-debar menunggu.
                “Aku…, aku nak cakap…” dia sudah tersengih hingga nampak gigi.
                “April Fool!!!
                Serentak dengan itu, sejenis cecair yang telah dicampurkan dengan pelbagai benda yang berbau ‘selamat’ dicurahkan ke atas kepala wanita tersebut.
Dan Hanna hanya mampu menyapu wajahnya yang basah. Riuh dewan itu dibuatnya. Mengelilingi mereka berdua. Wajah basah itu bercampur dengan air mata yang sudah meleleh ke pipi. Luahan rasanya dipersendakan.
Hanna letak tangan pada dada. Allah! Sakitnya rasa ini!

No comments:

Post a Comment