Wednesday 4 March 2015

Ash (Bab 1) ~ RodieR

1
Headphone Boy
Pintu ditutup perlahan. Teman sebiliknya yang tekun menekan highlighter pada nota Pharmacognosy itu mengangkat kepala dari meja belajarnya. Berkerut sedikit dahinya melihat wajah keruh si kawan yang baru masuk itu.
            “Kau apa hal?” datar dia bertanya, tangan mencapai penutup highlighter dan pen itu diletakkan di atas meja.
            “Aku jumpa awek kau kat perpustakaan tadi, Zhar.” Sama datar dia menjawab, duduk di katil. Beg galas di belakang dirungkai dari bahu dan diletakkan di sebelahnya.
            Arif Zharfan mengangguk, tenang. “Ina cakap apa?” highlighter diambil semula dan diputar-putar di celah jemari sebelah tangan.
            “Fasal Mia.”
            Oh. “Dah tau cerita kenapa dia jadi macam tu?” Zharfan bertanya lagi. Hanya teman wanitanya, Arina dan segelintir rakan perempuan kelas mereka yang memanggilnya dengan nama Arif. Kalau geng-geng lelaki, nama Zhar atau Zharfan itu yang lebih lekat dengannya. Kadang-kadang dipanggil Zip-Zap Zhar. Basketball nicknames. Sebab dia memang selalu berlari laju macam lipas kudung sambil melantun bola dari hujung court ke hujung satu lagi. Itu kelebihan dia. Fast running. Ke kiri ke kanan. Zip-zap!
            Dia angguk.
            “Kenapa dia jadi macam tu?” Zharfan bertanya lagi. Ish, macam cakap dengan budak darjah satu la cakap dengan mamat sorang ni. Sepatah-sepatah kena ditanya! Tapi, memang persoalan yang satu ini lama dah bertandang di fikirannya. Apatah lagi di fikiran si rakan di depan yang dah lama menaruh hati pada si gadis itu seorang.
One particular girl named Amilia Aisya. Yang sejak buka semester baru ini macam baru lepas dijatuhkan balik ke bumi dek makhluk asing. Lain daripada yang dulu. Jauh sangat bezanya. Keceriaan dan keletah selamba gadis itu yang dulu, dah hilang bagai ditarik dek puting beliung. Dia lebih banyak senyap bungkam, tunduk, dengan muka keruh bagai ada awan gelap berarak di atas kepala. Banyak juga masanya dia mengesan mata gadis itu yang merah, bagai baru lepas menangis. Dan itu sangat pelik. Sebab satu kelas tahu betapa kerasnya hati Mia. Macam tak logik langsung emosi sedih itu ada dalam dirinya. Puas dikoreknya daripada Ina, tapi setia sungguh teman wanitanya itu seorang pada sahabat baiknya. Tak nak bercerita langsung. Atau mungkin baru sekarang Ina tau cerita? Mia tu bukan jenis perempuan yang senang nak bercerita hal perasaan atau apa sahaja. Selalu sangat dah dia mendengar komen yang satu itu daripada Ina.
            “Si mamat Copper... Kuprum Guy... what-the-heck-was-his-name tu tinggalkan dia.” Senada ayat itu menyapa telinga Zharfan.
            Copper? Kuprum? Oh. “Betul la dia ada apa-apa dengan budak tu?” budak medik, setahunya. Selalu belajar dengan Mia, tapi tak pernah digosipkan bersama. Sebab satu kelas tau Mia tu macam mana. Pantang diusik, digosip, mau sebulan dihadiahinya muncung sehasta. Tak kira pada siapa. It’s just not her thing, really. Tu yang si kawannya ini seorang dah tak boleh nak buat apa. Hanya boleh memendam perasaan, memandang dari jauh.
            Dia geleng. “Tak ada apa-apa. Budak tu baru nak approach dia pun, baru bagitau perasaan dia, dan Mia tolak.”
            That is so Mia! Tapi...
            Dahi Zharfan kembali berkerut. “Dah tu? Yang si Mia tu sedih senyap sekarang ni apa kena pulak?”
            “Dia menyesal.”
            “Dia menyesal?”
            Dia angguk. “Tapi budak tu pulak hilang tanpa berita. Kononnya pergi sambung belajar ke Australia.”
            “Merajuk?”
            “Mungkin.”
            “Ceh!” terkeluar sepatah kata itu dari bibir Zharfan, tak dapat nak ditahan. Kawan di katil menarik senyum nipis. “Maknanya Mia mungkin ada perasaan kat budak tu jugak la?”
            “Mungkin.” Dia mengulang lagi.
            “Dan itu sebabnya yang kau balik dengan muka tapai tak cukup peram macam tu?” selamba Zharfan menyambung.
            Laju dia mengangkat muka, merenung tajam sahabat di depan. “Ada ke muka tapai!”
            “Cuba kau pergi tengok cermin, muka kau sekarang. Sejibik-sebijik tapai!”
            Dia ketawa kecil, menggeleng kepala. “Ada je la kau ni, Zhar.”
            “That’s it then, right?” Zharfan kembali serius.
            “Aku cuma nak dia happy, Zhar. Aku tak sedap hati tengok dia sedih macam tu.” Tenang dia berkata, jujur.
            “Seeing it on the bright side, this might be your biggest chance.”
            Giliran dahinya pula yang berkerut. “Chance apakebenda pulaknya?”
            Zharfan dah galak menjongket kening dengan sengih nakal di bibir. “Nak cucuk jarum.”
            Dahinya terasa dah hampir berlipat dengan kerutan yang bertambah. “Bila masa aku ambik elective course belajar menjahit?”
            “Hoi!” sergah Zharfan. Budak ni... buat lawak tak kena tempat betul la. “Maksud aku, cucuk jarum tu maknanya wahai sahabatku yang seriously kena pergi belajar bahasa Melayu balik, mencuba nasib. Mana tau kut-kut Mia boleh terima kau.” Dia menjulingkan mata ke siling bilik. Betul la aku tengah cakap dengan budak darjah satu.
            “Oh.” Dia sengih kelat.
            “Oh?” Tu je dia ni boleh cakap? Punya baik aku bagi cadangan, oh je yang dijawabnya?
            “I’ll be her friend, alright. Always has been, anyway.” Sengihnya dah menjadi senyum nipis.
            “Dan mungkin boleh diusahakan untuk jadi lebih daripada itu?” Zharfan sengih nakal lagi.
            Dia menjongket bahu. “Aku takkan buat silap macam si mamat tu buat. I’ll take it slow.”
            “Mamat mana? Mr. Kuprum?”
            Dia tergelak kecil. “Cooper. Nama dia Cooper. Aku baru teringat.”
            “Apa-apa la.” Endah tak endah Zharfan membalas. “Nama betulnya apa?”
            Dia menjongket bahu lagi. “Entah. Tak pernah tahu dan tak mahu tahu pun.”
            “You might as well make it your business to know.” Serius sungguh nada Zharfan kali ini.
            “Apasal pulak?”
            “So, kau takkan tersalah sebut nama entah apa-apa and painstakingly reminds her of him.” Masih lagi serius Zharfan berkata.
            “Oh, ek?” Dia sengih tiba-tiba. “Painstakingly huh? Gitu rupanya ayat-ayat bunga yang kau guna nak mengayat Ina eh? Kelas!” Sengihnya dah menjadi tawa mengusik.
            Zharfan merengus, geram. Buat main pulak budak ni.

***

Headphone Girl
Kenangan itu…

“Nama?”
“Diyana Aishah Abdullah. You?”
Senyum kecil terukir di bibir. “Ashraf Abdul Hafiz.”
“Nickname?”
“Ash.” Serentak mereka berdua menjawab. Ketawa.
“You can’t be serious?” Dalam sisa tawa lelaki itu bertanya. “Panggil Ash jugak?”
Dia angguk. “Yup.”
“No, no... you can’t be called that too.”
Dia mencebik. “Chauvinist much?” Salah ke kalau nick dia tak macam perempuan biasa?
“Bukan.” Ashraf dah menggeleng laju. “Let’s call you Di.”
“Apakehal...”
“Since we’re going to be close, takkan nak seksa orang lain apabila panggil I, you yang menjawab, panggil you, I pun gatal berpaling jugak?” Dengan senyum nakal, lelaki itu membalas.
Berkerut seribu dahinya. “Huh? Close?”
“Yes, Di. Close.” Mata itu dah bersinar lain macam. “Nak sekelas untuk empat tahun ni, Di, mesti la kena close.” Lelaki itu sudah selamba mengisytihar nickname baru baginya.


Dan entah kenapa sesi perkenalan dia dengan Ashraf dua tahun dulu itu selalu saja bermain-main di fikiran, tak pernah dilupa. Sungguh, dia cuba untuk lupa, tapi setiap kali dia berjumpa lelaki itu, berlawan cakap dengannya, memang dia akan teringat kembali. Perbualan dua tahun dulu dan perkenalan mereka selama ini yang sehingga kini, masih membuat dia terseksa dek penangan entah apa rasa yang mencengkam dada.

No comments:

Post a Comment