Seteko teh pudina,
potongan kek marble dan semangkuk buah ceri tersedia di atas meja bulat kecil
yang terletak di laman rumah Aliah. Minum petang dengan cuaca yang nyaman,
sudah seminggu di sini, Mira sangat menyukai cuaca musim luruh ini. Siang tadi
menjemur baju walau di bawah terik matahari, dengan angin sepoi-sepoi bahasa,
tak terasa panasnya.
Bila mengangkat baju
yang sudah kering dari ampaian, teringat pada umi. Umi bila sudah cuci bajunya,
akan dikanjikan dan digosok dengan rapi bila sudah kering. Baju umi, jarang
sekali renyuk. Orangnya tidak suka membeli kain yang mudah renyuk bila dipakai.
Lain dengan Mira, baju yang beli, selalunya jenis kain renyuk dan pemalas nak
menggosok! Buat malu umi saja!
“Kak..dekat mana kedai
terdekat dengan rumah ni?”
“Kedai? Ada. Dekat
pekan.”
“Pekan?”
“Ya..kalau nak, kakak
suruh Jeremy ajak Mira nanti. Tak jauh pun, tak sampai 10 minit dengan kereta.”
“Dekat juga..bolehlah
jalan kaki ya?”
“Jalan…setengah jam
agaknya?”
Pipi Mira
dikembungkan, dia memikirkan sama ada sanggup atau tidak untuk berjalan selama
tiga puluh minit.
“Kalau nak pergi,
jalan ok sikit. Nak balik yang seksa, jalannya berbukit. Nak naik bukit tuh..”
“Aisehbedah, nak naik
bukit, habis segala lemak-lemak Mira terbakar nanti!”
Aliah mencubit lengan
adiknya, nak kata pemalas, rajin juga buat kerja rumah. Nak kata rajin? Takut
kehilangan lemak-lemak pula!
“Mira nak cari apa
sebenarnya?”
“Saja, nak
jalan-jalan. Tengok tempat orang.”
“Dari jalan-jalan
dekat sini, baik Mira pergi Paris, naik train. Itu baru namanya jalan-jalan,
tengok tempat orang. Boleh tengok Eiffel Tower!”
Mira menggeleng-geleng
kepala. Tak setuju dengan saranan Aliah. Dia ke sini untuk menemani Aliah yang
menunggu hari sahaja. Ke Paris, nak ambil gambar dengan Eiffel Tower? Semua
orang tergila-gilakan Eiffel Tower tapi ianya tak menarik minat Mira. Ada yang
kata, Eiffel Tower itu lambang cinta maka berduyun-duyunlah kekasih-kekasih
dari merata dunia impikan bergambar di depan Eiffel Tower. Cuba tanya mereka
tentang sejarah Eiffel Tower? Dalam juta-juta yang telah mendaki Eiffel Tower,
mungkin hanya ratusan yang mengetahui latar belakang cerita Eiffel Tower.
“Kakak tahu tak,
sebelum Eiffel Tower dibina, ianya dibantah oleh orang-orang yang tidak mahu
kecantikan Paris terganggu dengan binaan struktur yang dikatakan pada masa akan
datang, sesuatu yang merosakkan pemandangan.”
“Hmm..tapi sekarang,
ianya sudah menjadi simbol cinta.”
“Itu yang Mira pelik!
Simbol cinta! Eiffel Tower, struktur yang dibina sebagai gerbang kemasukan
World’s Fair pada zaman itu dan juga pernah digunakan pada perang dunia
pertama.”
“Digunakan untuk apa?”
“Tentera Perancis,
meletakkan radio transmitters pada Eiffel Tower. Ianya menghalang German dari mengintip
Perancis. Ianya dikatakan salah satu faktor yang menghalang German dari masuk
ke Perancis.”
“Mana Mira tahu?”
Aliah kagum dengan pengetahuan Mira. Dirinya sendiri tidak berminat dengan
struktur besi itu walau sudah berkali-kali di ajak Jeremy untuk ke Paris. Mira
memang minat membaca tidak kira apa bahannya, asalkan yang menarik. Apa yang
dibaca, dikongsi dengan orang lain.
“Kita baca dekat
wikipedialah.”
“Kalau Mira taknak pergi Paris, pergilah
mana-mana yang Mira suka. Ambil peluang terlanjur ada di sini.”
Mira hanya tersenyum,
padanya, masa yang ada kini khas untuk Aliah. Peluang yang ada digunakan sebaik
mungkin untuk kakaknya. Rindu pada Aliah walaupun kakaknya itu di depan mata.
Apatah lagi rindu buat umi dan abah, tidak pernah surut, hanya doa buat mereka
yang sudah tiada. Umi, abah, setiap orang tua tidak akan pernah jemu doakan
buat anak-anak, kenapa tidak kita sebagai anak-anak lakukan yang sama? Bukan
hanya bila mereka sudah tiada tetapi selagi ada hayatnya, tak salah jugakan?
Matanya melirik pada Aliah, adakah kakaknya masih ingat untuk mendoakan kedua
orang tua mereka?
Lembu, lembu, lembu,
lembu. Toleh kanan, lembu. Toleh kiri, eh! Lembu lagi. Kelibat manusia tak
nampak pula. Sesekali, ada kereta yang menderu laju. Pelik betul kampung Dijon
ni. Tiba-tiba teringat pula apa hantu mi suah itu kata tempoh hari. Malaysia,
lebih banyak manusia dari Dijon. Baru dia faham sekarang ni. Nak tengok jiran
Aliah yang lain pun susah! Siang, ramai keluar berkerja. Malam, semua berkurung
dalam rumah!
Selain dari lembu yang
menarik perhatian Mira, dia rasa gembira melihat daun-daun yang berwarna merah
keemas-emasan. Walau berjalan jauh, tidak terasa panas kerana sepanjang jalan
dilindungi pokok-pokok besar. Kalau mendongak, bukan nampak langit tetap
rimbunan dedaun dari pokok-pokok. Cahaya matahari sahaja yang kelihatan
celah-celah rimbunan daun itu.
Mira tersenyum melihat
seorang tua sedang menunduk tertidur di bangku tepi jalan. Suratkhabar masih
terbuka, terletak di atas riba tapi kepalanya sudah menunduk, mata terpejam.
Melepasi orang tua itu barulah Mira nampak ‘golf course’ yang Aliah katakan
tadi. Itu landmark buat Mira bahawa
dia mengikut jalan yang betul. Takkan boleh sesat kalau setakat mengikut jalan
lurus hingga ke pekan.
Semakin dekat dengan
pekan, barulah kelihatan bangunan-bangunan yang setinggi empat lima tingkat
sahaja. Ada juga apartment di sini,
ingatkan rumah atas tanah sahaja. Terbayang dalam fikiran Mira,agak-agak pekan
Dijon ni, macam pekan cowboys dalam
filem dulu-dulu?
Jangkaan Mira itu
meleset bila melihat betapa cantiknya pekan Dijon. Melalui deretan kedai di pekan
itu, Mira memilih untuk membasahkan tekak di salah satu kafe yang ada di situ.
Penat juga berjalan dari rumah kakaknya, lagipun, kenalah merasa bagaimana jadi
orang Peranciskan?
Di dalam kafe, Mira
memesan croissant dan ice chocolate.Ada bermacam-macam jenis
pastry yang terjual, croissant juga yang dipilih. Kalau setakat nak makan
croissant,dekat Deli-France pun boleh makan. Kafe itu lengang, boleh dikira
hanya ada beberapa orang pelanggan sahaja di dalam. Sebelum mencari tempat
duduk, Mira mencapai sebuah majalah berbahasa Perancis. Tak mengapalah kalau
tak reti baca, kita belek saja!
“Mademoiselle!”
Matanya dipejam,
sungguh, kenapalah mesti dia muncul tatkala baru nak sumbat masuk croissant ni
ke mulut? Soal Mira dalam hati. Rasanya, seriau juga kalau kemana-mana asyik
terserempak dengan si Marc Francois. Hari-harinya seperti dihantui oleh hantu
mi suah itu.
“Seorang?” lelaki itu
berdiri di depan Mira.
“Taklah. Kenalkan,
kawan-kawan saya Aini, Ida dan Lili.” Mira menunjuk ke kanan dan kiri,
kawan-kawan yang tidak wujud. Imaginary
friends!
“Ohh..hello ladies! Lovely
to be joining imaginary ladies and you for tea...”
Mira menjeling, pandai
pula deknieh mengenakan Mira. Selamba sahaja dia menarik kerusi dan duduk di depan
Mira. Tak dijemput,tak diundang, eh, hantu mi suah ni mungkin ingat, kafe ini
dia punya. Boleh duduk mana suka walaupun ada saja kerusi lain yang kosong. Ada
saja perempuan lain yang lebih cantik, yang dia boleh kacau!
“Saya ingatkan orang
Islam tak suka croissant.”
“Kenapa pula?” Orang
yang tak suka, mungkin tak sukakan pastry, jawab Mira dalam hati.
“Ya, saya ada terbaca,
orang Islam tidak suka croissant kerana ianya lambang kemenangan Bulgaria ketika
menentang kerajaan Ottoman.”
“Eh? Tak pernah pula
saya dengar. Apa kaitan croissant dengan kerajaan Ottoman?”
“Bentuknya yang macam
anak bulan, bila tentera Eropah berjaya menakluki Turki mereka mengarahkan
dibuat roti berbentuk anak bulan. Kejayaan itu diraikan dengan memakan
croissant yang bentuknya sama seperti lambang bendera Turki.”
“Lah…macam budak-budak
pula! Jadi..sebab tuh orang Islam taknak makan croissant?” Mira tersenyum
sinis. Zaman sekarang, ada pelbagai undang-undang. Tak suka Jepun, jangan beli
barangan jepun. Tak suka cina, jangan beli barangan cina. Tak suka Islam? Makan
croissant!
“Mungkin..hmm.. Aliah
kata, saya selalu menakutkan awak. I’m sorry.”
“Err..it’s okay..”
Kenapalah Aliah beritahu pada si hantu mi suah ini? Buat malu saja.
“Lain kali kalau saya
nak masuk ke rumah, saya jerit dulu okay? Jadi awak tak perlu jerit-jerit.”
Renungan mata Mira
pada Marc Francois, seperti mahu menelan sahaja lelaki itu. Tak sampai sesaat
dia meminta maaf tapi sudah membuat Mira naik darah lagi.
“Okay?” soalnya lagi.
“Okay.”
“Awak lain dari Aliah.
She is friendlier.”
“Emak saya dulu selalu
pesan, jangan cakap dengan orang yang kita tak kenali. Lebih-lebih lagi yang
macam hantu.”
“Hantu? Hantu is ghost
right? Sini tak ada hantu, banyak lembu saja.”
Mira menahan tawa. Ya
betul, rasanya, kalau hendak di kira hantu di sini mungkin lembu lagi banyak!
Betul!
“Bila awak senyum,
cantik.”
Hai…Abang Fahrin
Ahmad, kenapalah ayat-ayat semanis gula ini bukannya datang dari abang tapi
dari hantu mi suah ini? Kenapa? Kalau Abang Fahrin Ahmad yang puji begini,
harus Mira sudah cair bak gula dibawah sinaran matahari.
“I am sure you say
that to all women.”
“Perempuan memang suka
dipuji.”
Pandai jawab,
pandaiiii sangat. Lebih pandai dari si Jeremy. Sama spesis agaknya dua-dua ni.
“Macam mana awak
berbual bahasa melayu dengan fasih ya?” Soalan itu wajib ditanya, agar otak Mira,
boleh berhenti berfikir kenapa bahasa melayunya fasih sekali. Lebih cerdik dari
Jeremy mungkin?
“Bertahun-tahun di
Malaysia, sia-sia kalau tak mempelajari bahasa yang mudah...”
“Jarang saya jumpa
orang asing yang berbual fasih seperti awak.”
“Kalau awak duduk lama
di sini, mungkin boleh pandai cakap Perancis pula.”
“Saya hanya di sini 3
bulan sahaja.”
“Cubalah duduk sini
untuk 3 tahun..”
Amboi! Senangnya
cakap, macamlah semua orang nak duduk di Dijon ni. Kalau untuk selama-lamanya,
mahu Mira mati kutu duduk di kampung ini. Nak buat apa? Tanam jagung? Pelihara
ayam? Petik sayur? Kedai bukunya macam mana pula?
“Saya sayang pulau kecil saya tuh..”
“Pulau kecil yang
macam gergasi.”
“Kata orang..kecil-kecil
cili padi, itulah Singapura. Bertahun-tahun awak di Malaysia, kerja apa? Mesti
kerja yang bagus-baguskan?”
Marc menghela nafas
yang panjang. Cawan kopi yang sudah kosong di tolakkan ke tepi, lalu dia
merapatkan dirinya dan meletakkan kedua tangannya di atas meja. Mira pula bila Marc terasa terlalu dekat
padanya, menyandarkan diri pada kerusi. Menjauhkan diri sedikit dari Marc
Francois.
“Jadi sukarelawan.”
“Iya?” tanya Mira,
matanya terbeliak sedikit, seolah-olah tidak mempercayai itu yang Marc lakukan
di Malaysia. Marc mengangguk.
“Saya rasa penat
sekali dengan kehidupan yang asyik berputar pada perkerjaan dan duit, duit,
duit.”
“Duitlah yang membuat
dunia ini berputarkan?”
“Mira..apa guna banyak
duit kalau hati kita tak tenang?”
“Dulu..awak kerja
sebagai pekebun juga?’
Entah kenapa, Mira
masih tidak percaya lelaki di depannya ini, yang masih muda adalah seorang
pekebun. Orang semua mahukan kerjaya yang bagus-bagus, lebih-lebih lagi buat
seorang lelaki. Perlu ada wawasan, setakat pekebun di kampung yang kecil ini,
apakah yang dapat dia capai? Mungkin pemalas! Mahu kerja yang senang jadi tak
perlu fikir banyak. Mungkin tiada bebanan dalam kehidupannya, boleh sahaja buat
kerja yang senang. Rasanya di pulau kecilnya itu, tidak pernah nampak orang
muda bekerja di bawah terik matahari. Selalunya orang tua atau makcik-makcik
yang bekerja memastikan keindahan pulau itu terjaga.
“Ayah saya punya
ladang anggur. Saya berkerja dengannya dahulu.”
“Oooooooo…” Marc
tersenyum melihat bibir Mira yang muncung sedikit bila menyebut oooo. Dalam
fikiran Mira pula, kalau ayah Marc ada ladang anggur, mungkin keluarganya
memang minat dengan bidang tanam-tanaman.
“Tapi..kenapa awak tak
berkerja dengan ayah awak lagi?” Mira masih tidak puas hati dengan jawapan yang
diberi. Kerja di ladang anggur sahaja
pun, boleh rasa penat ke? Ada banyak untung ke kalau Marc katakan asyik kejar
duit, duit, duit? Namun, soalan Mira tidak dijawab, Marc hanya mengjungkit bahu
dan menyandarkan badannya kembali pada kerusi.
“Oh ya..Aliah kata
awak menguruskan kedai buku ya?” Marc mengubah tajuk perbualan mereka. Tidak
mahu menyentuh soal bekerja dengan ayahnya.
Mira mengangguk. Kedai
milik arwah abah, yang diambil alih setelah umurnya mencecah 18 tahun. Sebelum
itu dijaga oleh kawan baik abah yang sangat-sangat amanah. Ami Mubarak menjaga
perniagaan kedai buku itu sepertimana yang abah wasiatkan. Itupun, Mira
mengambil alih kerana Ami Mubarak sudah mahu bersara. Dilatih Mira selama 2
tahun dan dalam tempoh itu Mira mengembangkan perniagaan itu melalui online
juga.
Untuk memajukan
perniagaan, haruslah mengikut peredaran zaman. Apatah lagi perniagaan Mira
lebih fokus pada buku-buku penerbitan bahasa Melayu. Berbanding dengan
Malaysia, di Singapura ramai yang lebih suka membaca novel Inggeris dari bahasa
Melayu. Mungkin mereka merasakan membaca novel melayu tidak ‘hip’ tetapi sama
sahaja seperti buku-buku Inggeris. Ada orang kata, baca buku yang bagus-bagus,
ada ‘class’. Buku yang tak bagus
seperti cerita perempuan yang suka shopping
adalah ‘trash’. Buku juga sudah
dijadikan seperti manusia, ada kasta! Manusia begini, tak sedar diri, class itu tidak boleh dibeli. Kalau
pakai baju ribu-riban, tudung ratusan harga, berlian sebesar ibu jari, kalau
perangai macam sampah, tetap trash!
Dan buku fasal perempuan yang suka shopping
itu, sedikit sebanyak mengajar yang lain untuk berjimat cermat. Ceritanya lucu
tapi ada pelajarannya juga.
Mira memerhatikan
lelaki di depannya yang sedang menghirup secawan kopi seolah-olah menikmati
kopi yang sangat sedap. Aromanya juga dapat dihidu oleh Mira, ada sesuatu
tentang kopi. Kenapa the tidak ada bau yang kuat begitu sekali? Kecuali daun
teh, kalau daun the dapat dihidu baunya juga.
Bila dia senyum, ada lesung pipit, Mira
terpegun. Handsomelah pula bila dia
tersenyum dengan bibir senget ke tepi, dengan dua lesung pipit! Ini lebih
mencairkan hati Mira dari pujian ayat semanis gula tadi. Pertama kali, Mira
betul-betul bertentang mata dengan lelaki itu. Kulitnya yang putih,
kemerah-merahan seperti baru dipanggang bawah mata hari. Mira mengamati
kulitnya yang cerah juga, fuh, nasib baik nampak biasa saja walau berjalan jauh
tadi. Sempat berbangga diri!
Diamati pula raut
wajah hantu mi suah itu, bulu keningnya melengkung dan lebat. Bila merenung Mira
dengan serius, kedua-dua kening itu seperti bercantum. Matanya..matanya kelabu
gelap. Berjambang nipis. Dibayangkan Fahrin Ahmad kalau berjambang sebegitu, Mira
geleng kepala sendiri dengan bayangan di dalam kepalanya. Tak kena, raut
wajahnya kini yang bersih dari segala jambang dan misai sudah cukup manis.
Lebih manis dari si penunggu depan mata saat ini.
“Fikir apa?” Marc
bertanya bila melihat Mira diam sahaja, seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Nothing.”
“You love your job?”
soalnya lagi.
Mira mengangguk.
Biarpun meguruskan kedai bukunya sendiri tidak terlalu mendatangkan keuntungan
tetapi Mira bersyukur dengan rezeki yang diberikan. Dia hanya perlu usaha untuk
meneruskan legasi peninggalan abah.
“I love my job too.”
Ya..kalau kita suka
perkerjaan kita, peduli apa yang orang fikir. Kenapa dia perlu risau Marc hanya
seorang pekebun, mungkin itu minatnya. Lebih baik melakukan sesuatu yang kita
suka, dari sesuatu yang hanya menyesakkan otak dan hati kita walau mendapat
duit berkepuk-kepuk. Hidup ini, setiap manusia melaluinya dengan penilaian yang
berbeza. Ada yang mahu kejar dunia, ada yang mahu kejar akhirat. Ada yang lalai
dengan dunia, ada yang terlalu taksub dalam hal agama.
“What do you think of
Dijon?” Kalau tadi Mira yang asyik bertanya soalan, kini giliran Marc pula.
“Sunyi. Memang banyak
lembu ya?”
Marc Francois
mengangguk. “Their livelihood. Orang muda banyak yang lebih suka berkerja di
bandar-bandar besar. Siapa yang mahu tinggal di kampung. Tak ada hiburan.”
“Awak tak macam orang
muda yang lain?”
“Saya dah tua.”
“Iya ke?”
“Yup. 36 this year.”
Wah..bukan sahaja
lebih tua dari Mira dan Aliah tapi dari Jeremy juga yang baru sahaja mencecah
33 tahun.
“Tak nampak macam 36.”
“You don’t look like
you are 27 either.”
“Eh?”
“Jeremy told me.”
Kepo. Memanglah abang
iparnya itu dasar menjaga tepi kain orang selain dari ada kontrak untuk
menyakat Mira seumur hidup. Entah apa lagi dia ceritakan dengan si hantu mi
suah ini.
“Apa lagi dia cerita?”
“You don’t like being
a tourist.”
Ya. Betul. Mira hanya
mahu menikmati pengalaman tinggal di sini sambil menemani kakaknya menunggu
hari.
“Dimana-mana pun,
walau reka bentuk berbeza, bangunan-bangunan mencakar langit, hutan batu..sama
saja.Tiada yang menarik.”
“Jadi nak duduk di Dijon saja untuk tiga bulan
ini?”
Mira hanya mengangguk.
Dejavu. Macam perbualan dengan Aliah semalam! Hadirnya di sini untuk menemani
Aliah bukan? Mira tak mahu kemana-mana. Cukuplah sekadar di Dijon sahaja.
Biarlah orang kata rugi, sudah pergi jauh-jauh tapi tak menggunakan peluang
untuk berjalan. Peluang yang ada untuk mengubat rasa rindu buat Aliah! Sikit
pun tidak merugikan.
“Baguslah,
sekurang-kurangnya lembu-lembu di sini ada kawan baru.”
“Yalah, mereka pun
mesti dah bosan asyik mengadap muka awak kan?”
Senyum-senget lagi
dengan lesung pipit. Hati. Mira. Terpaut. Hep! Abang Fahrin Ahmad nak letak
mana? Mira menggeleng kepala lagi, no, no, no, Abang Fahrin Ahmad tetap nombor
satu dalam hati!
“Awak okay?”
“Yeah.I’m okay.”
“Why you keep shaking
your head then?”
“Err..tak ada apalah.
Saya pergi dulu ya.”
“Nak ke mana?”
“Kedai.”
“Okay, did you drive
just now?”
Geleng kepala.
“Tak. Jalan.”
Marc Francois tertawa
besar, berani betul adik si Aliah berjalan seorang diri di tempat baru ni. Tapi
tiada apa untuk dipelikkan, perempuan sekarang semuanya berani belaka.
“Saya ikut awak, nanti
saya hantar balik.”
“Eh, it’s okay. Saya
boleh jalan balik sendiri nanti.”
“Nanti nak balik, lagi
susah nak naik bukit, dengan angkat barang-barang. Turun bukit memang tak
terasa penat.”
“Takkan beli banyak
barang pun.”
“Don’t be stubborn. We
should help neighbours. Macam dekat kampung, gotong royong.”
“Er..gotong royong tuh
berkerja ramai-ramai. Ini berdua je kot?”
“Lebih kurang saja.
Saling bantu membantu.”
Mira menarik nafas
panjang. Tak guna nak membantah dengan hantu mi suah ni, tak apalah, dia yang
nak ikut sangat. Ikut je lah, lagi baik dari jadi macam hantu tiba-tiba
menyergah kat mana-mana pula lepas ni.
“Bonjour!” tegur jurujual
di belakang kaunter dengan senyum lebar. Langsung tak hairan dengan si
pendatang baru yang bertudung litup.
“Bonjour!” Balas Mira
dengan nada ceria, sama seperti jurujual itu. Hah..macam nilah baru macam orang
Perancis! Orang tegur kita balas balik, konfiden saja!
“Comment ca va?”
Erk! Kenapalah pula
dia nak berborak-borak ni? Dah macam nyonya-nyonya di pasaraya NTUC, ada saja
nak berbual dengan Mira bila bersua muka. Apa agaknya komen sava ni? Si hantu
mi suah tuh dah keluar pula. Kalau tidak boleh dia tolong jawabkan. Nak tanya
dengan bahasa inggeris,dengar cerita orang Perancis tidak suka dengan orang
berbahasa inggeris. Aih. Susah ni. Perdebatan dalam hati si Mira berterusan
hingga jurujual itu selesai mengira dan membungkus segala pembeliannya.
“Merci!”
“Thank you!”
Di luar, Marc Francois
sudah sedia menanti di tepi keretanya. Kereta Peugeot berwarna perak. Dari jauh
nampak berdebu sangat, tak reti cuci kereta ke si hantu mi suah ni? Bila Mira
semakin menghampiri, pintu kereta dibukakan untuknya. Gentleman! Jerit suara
dalam minda Mira.
“Terima kasih.”
Sebaik sahaja Marc
Francois masuk ke dalam kereta, Mira terus bertanya apa itu comment ca va.
“Ah..itu lebih kurang
seperti mereka bertanya, apa khabar?”
“Ohh..ingatkan apalah comment cava tuh.. nak kena komen apa-apa ke…”
“Kalau ditanya comment ca va? Kita jawab ca va bien!”
“Taknak..nanti kalau
jawab gitu,dia ingat kita faham bahasa dia, lagi panjang lebar pula ayat dia.”
“Pekerja di sini tak
banyak cakap, setakat berbasa basi sahaja. Apatah lagi dengan orang luar.”
“Oh! Oh! Marc, betul
ke orang di sini, orang Perancislah..tak suka kalau kita berbahasa inggeris
dengan mereka?”
“Kami bangga dengan
bahasa kami. Kalau boleh bercakap bahasa Perancis lagi bagus. Kalau di Paris,
bercakap bahasa inggeris akan dilayan juga. Tapi kalau di daerah sini,
kadang-kadang mereka tak layan.”
“Iya?”
“Lebih senang, kalau
awak bertanya dalam bahasa ibunda awak. Mereka akan lebih ramah melayan dari
menjawab dengan bahasa inggeris. Bahasa isyarat juga membantu.”
“Bagus juga Jeremy
pandai berbahasa Perancis, ada juga yang dapat membantu kakak.”
“Tak juga..Jeremy
tetap orang asing pada orang sini. Dia berbahasa Perancis yang dipelajari di
sekolah, kadang-kadang tak diendahkan juga.”
“Kereknya orang sini!”
“Kerek?”
“Sombong.”
“Mungkin tapi orang Perancis,kami
semua memang bangga dengan adat, bahasa dan negara kita. Nothing beats the
French!”
“Bagus kalau bangga
dengan bangsa sendiri tapi jangan memandang rendah pada orang lain. Kalau ada
yang cuba menggunakan bahasa anda,haruslah dihargai bukan tidak diendahkan.”
“Correct. But don’t
worry, I am not like them.”
“Ya, si Perancis yang
fasih berbahasa melayu. Satu-satu di kampung yang banyak lembu ni..”
“Sebenarnya, siang
begini memang tak nampak ramai penduduk kecuali yang keluar membeli-belah
ataupun untuk makan tengahhari. Walau ada penduduk Dijon yang sudah berhijrah
ke bandar yang lebih besar, di sini masih ramai penduduk antarabangsa.”
“Sebab mereka kerja
macam Jeremy? Di Geneva?”
“Ya betul.. kos
kehidupan di Geneva agak tinggi, apa yang mereka bayar disana untuk sebuah
apartment, di sini boleh menyewa sebuah rumah.”
“Macam orang Singapura
yang duduk di Johor dan berulang-alik ke pulau itu untuk berkerja. Bezanya, di
sini tak perlu keluar subuh-subuh buta untuk meredah jam dan sebagainya.”
“Subuh buta?”
“In simple English,
blind morning.”
Mira suka mendengar
Marc ketawa, raut wajahnya nampak begitu terhibur dengan apa yang Mira katakan.
Betul kata Aliah, orangnya baik kalau sudah berkenalan. Macam Mira juga, bila
sudah ramah mesra, mudah saja tersenyum.
Lupa pula, dia kini di dalam kereta dengan hantu yang selalu saja
menyergahnya!
“Just what is blind
morning?” soal Marc, tawanya sudah reda tapi masih tidak faham dengan istilah
subuh buta mahupun blind morning.
“The Singaporeans
living in Johor, they would leave their house about 5 plus in the morning,
before the sun is up even to beat the traffic to get in to Singapore. Subuh
buta as my mom calls it. Subuh is our first prayer in the morning, maybe there
are those that even missed their prayer just so they could get to work or
school in time.”
“Ohhh..” Bila Mira
menjelaskan dalam bahasa inggeris barulah dia faham makna subuh buta.
“Marc, tengok orang
tua tuh. Tadi sewaktu saya lalu di sini, dia sedang tidur. Sekarang masih di
posisi yang sama. Is he okay?”
“Jangan risau, orang
tua itu memang selalu suka duduk di bangku itu, baca suratkhabar dan tidur.
Bila petang sikit dia sudah tak ada di situ. Mungkin bila perutnya sudah berbunyi
baru dia pulang ke rumah.”
“Ohh..”
Sekejap sahaja sudah
sampai di depan rumah Chemin de la Baronne. Marc hanya menurunkan Mira, menolak
ajakan untuk singgah ke rumah. Ada perkara yang perlu diuruskan katanya.
Melihat kereta Marc keluar dari perkarangan rumah, Mira membayangkan kalau itu
adalah Abang Fahrin Ahmad. Aduh Mira, kenapalah jauh beribu batu begini, Fahrin
Ahmad juga yang dia ingat! Hantu mi suah tuh lebih kacak dari Fahrin Ahmad.
Rambut ikal berwarna coklat perang, bulu kening yang cantik terletak, hidung
mancung, sesuai dengan muka bentuk hati itu.
Umi..benarkah hati
perempuan mudah saja dicuit? Mira rasa tak puas pula berbual dengan Marc tadi!
Assalamualaikum Mira,
Disini saya lampirkan artikel berkenaan perniagaan
awak.Kebetulan kakak saya membeli majalah Sutera dan saya terperasan ketika
membeleknya. Perniagaan awak bertambah maju, patutlah mampu bercuti lama di
sana bersama kakak awak. Semoga, pekerja awak di sini dapat menjaga perniagaan
dengan baik sementara ketiadaan awak buat masa ini.
Saya doakan awak sihat sentiasa dan jangan senyum dengan
lelaki tak dikenali ya!
Wsalam,
Isam Alghamdi
From :
Salams Isam!
Terima kasih kerana menghantar artikel itu ya! Mereka memang
menemuramah saya di pejabat sebelum ini. Majalah Sutera juga sudah sampai pada
saya di sini kerana saya sudah memberitahu tidak akan berada di Singapura
ketika artikel itu keluar. Ami Mubarak
membantu memantau kerja di sana sementara saya tiada..
Di sini tiada lelaki yang menarik untuk senyum-senyum tetapi
banyak lembu yang selalu menyengih! Semoga awak sihat-sihat sahaja Isam!
-Mira-
No comments:
Post a Comment