Thursday, 15 May 2014

Vice Versa (Prolog): Ednin

UZAIR menolak perlahan stroller sambil mengikut Hanisah dari belakang. Kakak sulungnya itu mahu singgah sebentar di Tesco Shah Alam untuk mencari bahan-bahan untuk memasak mee rebus malam nanti. Dia yang masih kepenatan mengharungi perjalanan sepuluh jam dari London ke Kuala Lumpur itu hanya mampu mengikut saja kakaknya yang sudah laju berjalan di hadapan. Mata yang sudah kuyu itu digonyoh lembut sebelum menyambung kerja sebagai nanny tak bertauliah kepada Fahmi, anak Hanisah yang sudah berusia setahun lebih itu.
Pantas pipi tembam Fahmi itu dicuitnya lembut. Mata bulat itu terkebil-kebil memandangnya. Mungkin bayi itu masih tidak mengenali bapa saudaranya yang jarang-jarang sekali ada ini.
Nasiblah kau, Uzair! Itulah bayaran yang dia perlu ambil bila bekerja di atas laut ini. Berbulan-bulan tidak dapat berjumpa dengan ahli keluarga dan orang tersayang. Yellah kali terakhir Uzair berjumpa dengan Fahmi pun adalah lima bulan yang lepas; sebelum dia sign on di Jepun dahulu dan sekarang bila sudah turun ke darat balik, Fahmi sudah pulak dah bertambah besar. Sudah setahun tiga bulan. Mana mungkin Fahmi nak ingat pak ngahnya yang jarang-jarang sangat ada di rumah ni kan?
               “Hish angah ni. Habislah pipi anak along. Kesian tau! Every time orang jumpa dia je mesti pipi gebu tu yang depa nak pegang dulu.” Suara Hanisah menjamah telinganya. Uzair mengangkat muka. Tidak sedar pula kehadiran Hanisah di sebelahnya. Ralit sangat bermain dengan anak kakaknya ini.
               “Siapa suruh Fahmi comel sangat kan?”
               Hanisah menggeleng kepala. Sifat penyayang Uzair rupa-rupanya tidak hilang lagi setelah peristiwa sepuluh tahun lepas itu. Entah kenapa dia sedikit tersentuh melihat adegan di hadapannya ini. Lega bila melihat Uzair sudah boleh tersenyum macam dulu. Sebelum kehadiran Fahmi dulu, tiada sedikit pun senyuman yang terlarit di wajah itu.
               Uzair tersenyum. Dia kembali tunduk memandang Fahmi lalu pipi tembam itu dipicitnya lagi. Geram betul!
               “Sudah, angah pergi ambilkan spaghetti kejap. Along jaga Fahmi. Kalau biar angah yang jaga, nanti berat sebelah pipi Fahmi angah cubit.”
               Uzair menayang muka cemberutnya. Tidak puas hati dengan cadangan kakaknya. Dia kembali tunduk memandang Fahmi yang sedang memandangnya terkebil-kebil itu.
“Baru saja pak ngah Fahmi nak lepaskan rindu dengan Fahmi.” Jeda. “Ini mama Fahmi dah suruh pak ngah pergi cari spaghetti pulak. Dia cemburulah tu… tak nak kasi Fahmi nak berkasih sayang dengan Pak Ngah.”
               Hanisah membuat muka. Matanya mencerun pada Uzair yang sememangnya mana pernah takut padanya. Uzair itu lagi bersikap ‘abang’ dari dia yang sepatutnya bersikap ‘kakak’ ini. Ini semua kerana Uzair sudah terbiasa menggalas tanggungjawab sebagai ‘abah’ dan ‘abang’ bila abah pergi mengadap Ilahi dulu. Semua yang dia buat, mesti Uzair kena tahu. Lagipun perbezaan umur mereka tidaklah jauh sangat. Dia berumur 31 tahun manakala Uzair pula berusia 29 tahun.
               “Ye la, ye la angah pi ambik. Haa kat mana spaghetti tu?” Uzair sudah menegakkan badannya sambil memandang sekitar Tesco yang tidak ramai orang itu. Dia bukan pandai sangat dengan kawasan ini. Silap hari bulan boleh tersesat dia mencari paket spaghetti. Sudahlah besar Tesco ni. Agaknya sebab itu dia lebih selesa membeli-belah di kedai runcit pak Abu saja. Senang! Kecil pun kecil. Murah pun murah!
               “Ambil yang besar tau. Ingat nak panggil orang datang makan.”
“Ye ye, angah ambil dua pek boleh?”
“Seems good.”
“Haa dah tu? Mana dia tempatnya?”
Hanisah menepuk dahi. Lupa pulak apa yang disoal oleh Uzair tadi.
“Itu haaa kat rak yang sebelah dengan…” Kak Hanisah tiba-tiba saja memberhentikan ayatnya. Ayatnya tadi terberhenti sendiri di saat matanya memandang dua objek di hadapannya.
               “Dengan apa along?” Uzair mengerutkan kening. Sekaligus dia menoleh, mengikut arah tuju seperti yang kak Hanisah tunjukkan tadi.
               Gulp.
               Dunia seakan berhenti berpusing.
               Tiba-tiba darah menyirap naik ke muka Uzair bila dia melihat ke arah kedua pasangan yang sedang berjalan di rak yang Hanisah tunjukkan. Si suami sedang elok menyorong troli yang sarat dengan barang-barang dapur manakala si isteri pula sedang tersenyum mesra sambil memeluk erat tangan suaminya.
               Dari jauh, Uzair dapat melihat mata yang sentiasa tersenyum itu.
Uzair menggengam tangannya. Automatik.
Jelas sejelas-jelasnya yang kedua pasangan itu sedang bahagia.
               “Jom balik.” Hanisah sudah menarik tangan adik lelakinya. Kesal melihat perubahan pada wajah Uzair. Muka Uzair yang baru saja tersenyum ceria tadi sudah kembali pada Uzair yang sepuluh tahun dulu. Yang kelam, yang gelap tanpa sinar.
               Uzair tidak sedikit pun berganjak.
“Angah…” Tangan itu ditariknya. Dia tidak mahu adiknya itu hidup dalam keadaan sedih begitu lagi. “Jom…” Panggilnya lagi.
               “Kenapa dia boleh hidup bahagia tapi bukan kita akak?”
               Khali.
               Hanisah tiada jawapan untuk itu.



TONGKAT motor diturunkan ke bawah, helmet yang tersarung di kepalanya ditanggalkan. Perlahan-lahan dia melangkahkan kakinya ke tempat yang ingin dituju walaupun dia tahu bila-bila masa saja kakinya ini boleh terkulai layu. Namun dia gagahkan dirinya juga untuk meneruskan langkah mengikut papan tanda ke Rumah Mayat di Hospital Besar Alor Setar itu.
Panggilan telefon daripada ibu tadi benar-benar menyayat hatinya. Hampir terjatuh dia dari bangku yang sedang didudukinya di Warung Che’ Mat bersama Apis dan Aki. Ketika itu, badannya terasa lumpuh, lembik dan lemah. Nasib baik Apis sempat menahannya.
Kakinya terhenti seketika apabila dia ternampak perkataan Bilik Mayat pada papan tanda itu.
Bilik mayat? Dia telan air liur.
Seumur hidupnya dia tidak pernah langsung terfikir yang dia akan masuk ke sini. Apatah lagi terfikir yang dia akan datang ke sini untuk melihat atau menuntut jenazah orang yang disayangi. Sumpah, dia tidak pernah terfikirkan semua itu. Tapi siapalah dia kalau nak dibandingkan dengan Yang Maha Esa. Qada’ dan Qadar itu ditangan-Nya. Kita hanya merancang, Dia yang menentukan segalanya.
Tangannya digenggam erat untuk membekalkan kekuatan. Kekuatan untuk menerima berita yang bakal disampaikan oleh pihak hospital dan pihak polis serta kekuatan untuk melihat sekujur tubuh yang terkulai layu di dalam bilik yang menyayat hati itu.
Sampai saja di hadapan bilik mayat, kelihatan ibu sedang menangis di bahu kak Hanisah, opah Cik sudah jatuh terduduk di tepi bangku ibu, Pak Mail yang berwajah suram dan Haikal yang masih terpinga-pinga. Adiknya yang bongsu itu masih belum memahami apa yang terjadi.
“Uzair?” panggil Pak Mail yang entah bila datang menghampiri. Mungkin setelah melihat dia hanya terdiam, tak bergerak di luar perkarangan bilik mayat itu.
“Mana Ir... dia?” Uzair menelan air liur. Pahit. Ya Allah, kau berikan hambaMu ini kekuatan.
Pak Mail diam. Hanya tangannya saja yang menunjuk ke arah bilik mayat itu.
“Uzair masuklah. Depa habaq kita dah boleh bawak balik jenazah.”
Jenazah? Uzair menelan air liur. Memori Hazirah pada petang tadi bermain-main di kepalanya. Sungguh dia tak sangka rupa-rupanya itulah detik terakhir dia dengan Hazirah.
“Uzair...” Lengannya disapa lembut oleh Pak Mail. Lelaki itu beriak keruh. Mungkin simpati dengan takdir yang menimpa Uzair sekeluarga. Uzair di hadapannya ini sudah seperti orang yang kehilangan separuh daripada nyawanya. Kusut sungguh muka anak muda yang berusia 19 tahun ini. Biasanya, raut itu sentiasa kelihatan manis dan mengukir senyuman tapi malam ni raut wajah itu penuh dengan kesayuan dan kesakitan.
“Bertabahlah nak. Ini semua takdir dari Allah...”
Uzair mengangguk lemah. Perlahan-lahan kakinya mengorak langkah menuju ke dalam bilik yang sunyi tanpa satu suara pun. Petugas bertugas yang seakan-akan sudah tahu sebab kedatangannya itu hanya mengangguk lalu membawanya ke satu tempat.
Perlahan-lahan selimut putih disingkap oleh Uzair. Dia melihat tubuh Hazirah terkulai layu di situ. Ya Allah! Uzair menutup mata. Tak sanggup melihat adik kesayangannya terkulai layu seperti itu.
Mana muka comelnya?
Mana senyuman yang selalu ada di bibir itu?
Mana mata yang bercahaya setiap kali berbicara tu?
Mana?!
Fikirannya melayang jauh mengingatkan peristiwa petang tadi.


ABANG sayang Irah tak?”
“Tak ingin... comot macam ni, tak akan adanya orang nak sayang.” Uzair menjelirkan lidah. Mana mungkin dia tak sayangkan adiknya yang comel ni. Sayang sangat-sangat. Tambah lagi dengan sikap manjanya itu. Bertambah-tambahlah sayangnya.
Hazirah menjelirkan lidah. Abangnya ini kadang-kadang egonya tak bertempat. Masakan nak ucap sayang pun malu-malu. Walhal Hazirah tahu yang Uzair sangat sayang padanya. Malah melebihi sayangnya pada Haikal, adik bongsu mereka yang masih kecil itu.
“Tak pa.... Ezzaq sayang Irah. Kan Ezzaq, kan?” kata Hazirah sambil menunjukkan muka bangganya.
Ezzaq mengangkat tangan. Mengaku kalah. Dia tidak mahu terlibat dalam permainan ‘sayang-menyayang’ antara adik-beradik ni. Ketika ini, dia lebih gemar menikmati nasi lemak buatan neneknya.
Uzair yang ketika itu sedang membasuh tangan di anak sungai itu terus memercikkan air ke muka Hazirah yang sedang menjamah nasi lemaknya itu. Muka yang tadinya tersenyum bangga mula berubah garang. Marah barangkali bila dipercikkan air.
“Eee habislah basah muka Irah.” Hujung lengan bajunya ditarik ke mukanya. Percikan air itu dilap lembut sambil matanya menjeling ke arah Uzair.
“Irah cakap ibu nanti...”
Gulp.
Senyuman di bibir Uzair hilang. Dia bingkas bangun sambil mengetuk-ngetuk kepalanya. Aduh, dia betul-betul lupa.
“Eh.... Ya Allah. Abang lupa ibu suruh ambikkan baju dekat rumah Cik Ngah. Lupa sungguh... boleh pulak ikut hangpa dua orang ni. Mampus la ibu bising nanti.”
“Salahkan kami pulak... padahal dia yang salah. Alah... Irah tak habis makan lagi ni.” Hazirah menunjukkan nasi lemak yang dibekalkan oleh opah yang masih berbaki separuh.
“Ezzaq kau bawak Irah baliklah macam tu. Aku nak chaw dulu.” Uzair berjalan menuju ke motornya yang diparkir di sebelah motor Yamaha biru gelap Ezzaq. Motor baru kesayangan Ezzaq, hadiah dari ibu bapanya sempena dia mendapat lesen motor minggu lepas.
Ezzaq mengangguk. Ibu jarinya diangkat tanda setuju.
Bawak motor jangan laju-laju sangat. Kau ni bawak macam pelesit tahu?!” Jerit Uzair dari motornya. Ezzaq ni bawak motor macam jalan raya tu dia yang punya.
“Macam la lu tak biasa dengan gue.”
“Alah... relaks la abang. Selalu dia bawak selamat je....”


SELALU dia bawak selamat je....”
Sungguh dia tak sangka itulah ayat terakhir yang dia dengar daripada bibir mungil itu.
“Selalu dia bawak selamat je....”
Arghhh.

Uzair menumbuk dinding di sebelah kanannya. Air mata yang ditahan tadi terjatuh juga. Katalah dia tak maco, lemah, lembut, apa pun dia tak kisah. Dia hanya mahukan Hazirah kembali dalam hidup mereka sekeluarga.

No comments:

Post a Comment