Monday, 5 May 2014

Dari Mata Turun ke Hati (Bab 3): Naurah Iman

“Eshan!... keluar makan jom!” jerit rakan sekerjanya yang sedang mengemas-gemas meja kerjanya.
Eshan angkat kepala. Dah sampai waktu makan ke? Dia lihat pergelangan tangan kanan. Sudah 15 minit berlalu daripada waktu makan. Terlupa sungguh. Leka buat kerja. Fakhrul menghampirinya. Menggeleng kepala.
“Rajin betullah kau ni! Masa makan pun boleh lupa. Asyik hendak diingatkan selalu.” Tegur Fakhrul. Boleh dikatakan hampir setiap hari dia akan mengingatkan Eshan tentang keperluan tersebut.
Eshan tersengih. Menutup komputer mejanya. Temannya sudah mendagu di atas kubikel tempat dia bekerja. Menunggu Eshan bergerak.
“Kat mana?... tak mahu jauh sangatlah Rul. Lambat masuk ofis pulak nanti.” Eshan bertanya. Tengok, belum makan lagi dah tanya nak balik bila. Selalunya ada sahaja tempat baru yang ingin dicuba oleh Fakhrul. Temannya ini, suka mencuba makanan baru.
“Alah! Dekat je lah… lima minit berjalan.” Fakhrul sedia maklum dengan perangai Eshan yang satu ini. Mahu menepati masa kerja. “… Aku pun tak rasa nak jalan jauh-jauh hari ni. Kita makan laksa Penang nak?”
Mata Eshan terus bercahaya. Tiba-tiba airliur rasa masam. Dia menelan liur. Sudah lama makanan itu tidak dijamahnya. Daripada seperti hendak tak hendak, terus Eshan capai beg silangnya. Perut rasa berkeroncong tiba-tiba. Lapar.
“…dengar laksa ligat terus kau ya!”
Sengih! “Restoran baru ke?”
“Taklah, dah lama. Aku je baru tahu.”
“Aik… lambat pulak kau mencuba!” Eshan membetul-betulkan begnya yang melorot ke bahu. Sedikit pelik dengan Fakhrul yang melambat-lambatkan caranya. Selalu tu, dialah nombor satu.
“Itulah kan. Cuma hari ni tekak aku nak makan masam sikit. Dengar kata laksanya sedap. Well… who knows. Lain orang lain tekaknya kan?”
Eshan hanya mengangguk. Bergandingan mereka berjalan kaki.


“Memang bukan rezeki kitalah nampaknya Rul.” Eshan pandang Fakhrul yang terhenti langkahnya. Dilihatnya sahabatnya itu sedang merenung restoran yang hendak dimasukinya itu.
Hendak tergelak pun ada juga Eshan dibuatnya melihat muka temannya. Fakhrul memegang perutnya. Lapar sangat kut. Muka Fakhrul macam hendak menangis. Alahai! Kesian pulak kawan aku ni.
Love Story Café. Perlahan Eshan membacanya. Tiada yang pelik. Orang sekarang nama macam-macam. Tapi baginya nama ini unik. Mungkin ada kisah disebaliknya. Ataupun mungkin pemilik restoran ini seorang yang berjiwa halus?
Di luarnya sudah digantung perkataan “sold out”. Beberapa pelanggan sudah ada yang keluar daripada barisan menunggu yang panjang. Tengok muka ada yang kecewa sangat-sangat. Ada yang jungkit bahu.
Hmm… interesting. Apa yang sedap sangat laksa ni sampai macam ni jadinya? Sampai melimpah-limpah orang keluar. Rasa ingin tahu mula membuak-buak. Tapi Eshan sendiri memang hantu laksa. Jadi, kedai makan ini memang akan dikunjunginya. Pasti. Takkan lari gunung di kejar kan?
“Kita beli roti je la Eshan. Dah tak ada mood nak makan.” Fakhrul melangkah lemah.
“Hei… macam tak pernah makan laksa.” Tegur Eshan melihatkan pada muka monyok temannya itu.
“… esok kita datang awallah. Tak pun kita buat reservation dulu!” cadang Eshan kemudiannya sambil tangannya mengambil nombor telefon restoran tersebut. Alahai buat muka kesian pulak kawan aku ni.
Hmm…” Fakhrul hanya mengangguk. Malas nak ambil tahu dah! Kempunan.             
Tidak tahu mengapa, Eshan menoleh ke belakang sambil pegang dada yang tiba-tiba sahaja berdebar, memerhatikan restoran yang dipenuhi dengan manusia itu.
Bagai ada rasa yang tertinggal.


“Huh!” Zaara mengelap meja terakhir. Ramainya manusia yang datang. Ida sudah terduduk di meja hujung. Walaupun penat, temannya itu angkat dua ibu jari.
“Ain, Imran, Devi…duduk dulu!...ambil nafas!” ujar Zaara. Dia menyeka manik peluh yang terbentuk di dahi. Kemudian dia bergerak ke arah pintu dan memusingkan tanda ‘tutup’. Hari ini kedai tutup awal. Dia menyertai pekerjanya yang bertiga itu. Lagi sekali nafas puas dilepaskan. Satu senyuman meleret.
“Hari-hari macam ni, mahu tercabut kaki tangan kita ni kak Zaara.” Ujar Imran. Dia sudah meletakkan kepala di atas meja. Keletihan. Namun tangannya masih menggosok-gosok perlahan meja yang sudah sedia bersih itu.
“Syukur alhamdulillah. Penat-penat pun berbaloi!”
“Tapi serius kak, macam mana akak boleh dapat idea macam tu? Diskaun 30 peratus untuk hari sahabat sedunia. Kongsilah.” tanya Devi. Ingin tahu. Kalau bukan sebab diskaun itu pun kedai ini memang mendapat perhatian. Sentiasa ada orang. Tapi hari ini, ramainya sampai tak menang tangan.
“Ha! Yang itu… kamu semua kena belajar dengan Cik Zaara ni.” Ida menjawab sambil menepuk bahu temannya yang keletihan itu. Kedai induk ini memang memerlukan masa dan tenaga mereka berdua.
“Ceritalah kak!” gesa Imran.
“Akak cuma praktiskan salah satu tip yang cikgu akak ajarlah. Turn every oppurtunity into profits.
Mereka mengangguk-angguk faham.
“Lepas ni… apa pula rancangan akak?”
“Tunggu dan lihat!...Sekarang ni, akak nak tutup akaun kita hari ini. Akak nak tanya pada pengurus-pengurus cawangan yang lain.” Zaara tepuk meja dan dia berdiri sambil hela nafas panjang. Hari ini, hari sahabat diraikan dengan memberi diskaun. Bukan sahaja pada kedai induk, malahan dipanjangkan kepada kedai cawangan.
Penatnya. Lenguh betul belakang badan ni. Kalau dapat kena urut seronoknya. Memandang ketiga-tiga pekerjanya yang merupakan bekas anak remaja bermasalah. Zaara memberi mereka ruang dan peluang untuk berubah.
Setiap manusia yang mahu berubah perlu diberikan peluang kedua. Lagipun ketiga-tiganya mempunyai kelebihan masing-masing. Imran mahir dengan komputer grafik, Ain pula dengan kata-kata atau tulisan dan Devi teliti orangnya terutamanya dalam pembelian bahan mentah.
Zaara ada kejutan untuk mereka bertiga nanti.
“Jom aku tolong kau. Yang lain tolong sapu kedai sebelum balik ya! Esok datang awal untuk sediakan bahan-bahan.”
“Okey!” sahut mereka bertiga. Kemudian memandang Zaara yang sedang mengelap peluh di dahi.
“Ohhh….” Ida buat muka apabila melihat nombor yang bersimpang siur itu. Resit jualan perlu disemak. Dia tutup muka dengan kertas-kertas yang bakal membuatnya pening kepala.
“…kenapalah kau berhenti kerja Min?” itulah yang Ida selalu sebut apabila hendak tutup akaun.
“Heh!... kau ni. Tak ada lain. Asyik mengeluh je kerjanya. Biarlah budak Min tu tenang tolong mak ayah dia di kampung. Ni tak, kau asyik sebut-sebut. Kasihan dia… asyik tersedak je kena sebut nama. Nanti kita cari yang lainlah!” pujuk Zaara buat sekian kalinya.
“Bilanya tukang kira-kira ni, kita nak dapat Zaara? Kau tahu tak… sejak budak Min tu berhenti kerja, susah nak dapat yang betul. Dah lebih lima orang yang kita temuduga, satu pun tak layak. Semuanya semacam je. Susah nak beri kepercayaan!”
“Aku tahulah Ida. Kan kita soal sama-sama. Sabarlah sahabatku!” jawab Zaara walaupun dia kadang-kadang sampai dua tiga kali kena ulang-ulang benda yang sama. Tak apalah susah sikit, sudah ini jalan yang mereka pilih, jadi teruskan sahaja tanpa rungutan.
          “Hmm…yalah!” Ida tarik kerusi dan mula mengira.

No comments:

Post a Comment