“Bismillahirrahmannirrahim!”
Eshan membaca doa makan sebelum menyudu kuah laksa ke dalam mulutnya. Sejak dia
masuk tadi dia sudah tercium bau yang menyengat hidungnya. Bila ada mama dekat
rumah ni seronok. Dapur rumah akan berasap. Rindunya dia pada Puan Marina dan
Encik Raphael.
Berkeroncong hebat
perutnya bergelora. Namun, ditahannya nafsu tersebut. Nanti mama bising sebab
balik sahaja daripada kerja terus terjah makanan. Membersihkan diri ala kadar,
dia duduk di meja makan sambil melemparkan senyuman paling manis buat Puan
Marina.
Kuah laksa yang sedikit
berasap itu dibawa masuk ke dalam mulut. Dan kuah tersebut terus merangsang
deria rasa. Tunas-tunas rasa seakan hidup dengan cecair itu. Seperti ikan
berenang-renang di dalam mulut. Melepasi kerongkong.
Matanya terus membulat.
Diceduknya kuah dan isi. Baru tengah hari tadi dia dan Fakhrul kempunan hendak
makan. Kali ini, memang rezeki Eshanlah. Banyak pula tu.
Allahuakhbar! Sedapnya.
Suap lagi. Dalam banyak-banyak laksa yang dia makan, inilah yang paling sedap
untuk tekaknya. Betul! Tak tipu. Rasa masam, pedas, keharumannya, kewangian dan
kelembutan mee laksa tersebut bersatu di dalam mulut. Kuah laksa yang sangat
pekat dengan rasa yang cukup hebat. Slurrp!!!
Eshan jilat bibir. Kepedasan kuah itu sedikit menyengat bibir.
“Amboi, lapar sangat ke?”
tegur Puan Marina apabila Eshan menambah untuk kali kedua. Penuh mangkuk!
“Terlampau sedap mama!...
The best in the world!” ucap Eshan.
Angkat dua ibu jari. Senyum sekejap dan terus menyambung makan. Tidak melihat
pun mamanya yang berada di depan mata. Nak kata lapar tidak juga sebab sebelum
balik dari pejabat tadi dia sudah makan roti canai dua keping.
“Mama beli kat mana?... Burp! Alhamdullilah!” sampai sendawa
Eshan dibuatnya. Penuh perutnya. Perutnya yang sedikit senak dipegang. Bahana
makan terlebih. Bersandar dia di kerusi. Bibirnya sedikit kemerahan apabila
terkena dengan kepedasan kuah. Lidahnya dikeluarkan sedikit. Menjilat sisa-sisa
rasa yang masih ada di bibirnya.
“Itulah makan tak ingat
dunia!” Puan Marina menuang segelas air sejuk dengan perahan limau tanpa gula
ke dalam gelas anaknya yang kosong. Tahu sangat air kegemaran anaknya ini.
Untuk mengelakkan rasa muak.
Eshan hanya tersenyum.
Tidak menidakkan kenyataan itu. Nak buat macam mana. Tidak terkata
kesedapannya. Dicapainya gelas tersebut. Membiarkan seketika air di dalam mulut
sebelum ditelan. Membawa bersama rasa yang tertinggal ke dalam perut.
Sebentar tadi, sebaik
sahaja makanan itu masuk ke dalam perutnya, Eshan dapatkan rasa jiwanya
bergetar. Memenuhi setiap inci pembuluh darahnya. Mengocak jantung yang selama
ini berdegup normal.
Seolah-olah ia dimasak
dengan penuh kasih sayang. Melimpah ruah. Malahan, sekilas dia dapat
membayangkan si tukang masak. Tinggi lampai, senyuman yang indah yang sedang
mencampurkan resepi cinta ke dalam kuah laksa yang sedang mendidih. Meninggalkan
aroma yang memenuhi ruang.
Bagaikan ternampak-nampak
ramuan dan bahan-bahan yang digunakan untuk memasak laksa tersebut. Bunyi
bawang yang dihiris apabila pisau terkena papan pemotong, bunyi periuk dibuka
dan ditutup begitu jelas kedengaran di telinganya.
Bentuk-bentuk hati jelas
berterbangan di udara sebelum turun memasuki periuk. Menjadikan kuah laksa
tersebut dilimpahi dengan rasa yang luar biasa enak. Dia senyum sendiri.
“Eshan?!!” panggil Puan
Marina. Kehairanan dengan Eshan yang termenung jauh dan sengihan di bibir
secara tiba-tiba. Sampai begini penangan laksa yang dia makan. Kemudian, ada
senyuman yang terukir pada bibir Puan Marina.
“Emir Eshan?!!” kali ini
tangan kanan anaknya disentuh. Sedikit tinggi suaranya.
Tersentak Eshan
dibuatnya. Serta merta dia kembali ke dunia nyata. Woah! Aku berangan ke tadi?
“Seriously delicious mama! Mama beli kat mana? Perempuan kan masak
laksa ni?” sekali lagi bertanya. Menghilangkan rasa malu yang bertandang. Mahu
dibelinya esok. Mungkin lebih sedap daripada Kedai Kisah Cinta tu. Eh! Kenapa
yang perlu dibandingkan dengan restoran tersebut. Bukannya dia pernah rasa pun.
Bibirnya dikesat dengan
tisu. Eshan memang tahu, laksa yang dia makan tadi bukan mama dia yang buat.
Kalau Puan Marina yang masak dia tahu rasanya lain. Maaf mama, bukan nak kata
laksa buatan mama tak sedap tapi ini, memang sangat-sangat sedap. Kudos untuk
cef laksa ini. Haha! Cef laksa. Comel pula gelaran ini.
“Mamalah yang masak.
Takkan beli pula!” Puan Marina masih berahsia. Tersenyum dia dibuatnya apabila
Eshan bertanya jantina si tukang masak. Sebelum ini tidak pernah tanya pun.
Semua dia telan sahaja. Sedap tak sedap belakang kira. Kalau sedap, dia habis
makan. Kalau tak kena dengan selera dia, Eshan tinggalkan, tapi dia tak pernah
kompelin.
“Yalah tu mama. Eshan
kenal sangat dengan laksa yang mama buat. Rasa dia lain!”
“Ye ke? Nak kata mama
punya laksa tak sedaplah ya. Sama je mama
rasa!” tidak terasa hati dengan pujian si anak pada makanan tersebut. Baguslah
jika Eshan suka. Lagi mudah.
“Ha… betulkan! Mama
beli.” Eshan tunjuk satu jari. Puan Marina tertawa mendengarnya. Memang tak
boleh nak menipu langsung. Cepat aja kena tangkap. Panas rasa telinga.
Puan Marina geleng
kepala.
“Jiran kat kampung yang
bagi!”
“Ohh…” terdapat sedikit
kecewa pada nada suaranya.
“… bukan beli kat sinilah
ya mama?” jauhlah pula kalau tiba-tiba tekak dia teringin nak makan. Nak
harapkan dia balik kampung pun jarang sekali.
Tak ada dijual di
mana-manalah tu, kalau dah jiran yang bagi. Entah jiran mana satulah agaknya.
Sudah lama kampung itu ditinggalkan. Sudah ramai yang dia tidak ingat. Sudah
lupa. Takkan dia nak pesan pula nanti. Perasaan kecewa menghambatnya.
“Mama dan babah jadi jugak balik kampung ke esok?”
“Jadi!” Eshan berpaling
ke belakang. Babahnya, Encik Raphael yang menjawab. Baru pagi tadi sampai sudah
sibuk hendak balik. Bukannya ada ayam itik hendak diberi makan. Kemudian Encik
Raphael menghilangkan diri ke ruang tamu.
Kuat betul tarikan
kampung asal babahnya itu. Entah apalah yang ada di sana. Babahnya, Encik
Raphael terus balik ke kampung sebaik sahaja bersara dua tahun lalu. Membawa
sekali ibunya, Puan Marina. Tinggallah dia dan Ben di dalam rumah ini.
Dulu puas dia memujuk
agar mereka tidak berbuat demikian. Nasib baik dia tidak menangis. Jika tidak,
tentu sahaja mama dan babahnya dapat menghidu kisah yang cuba dia sorokkan.
Kisah yang tidak mahu diceritakan. Kisah yang hanya Ben sahaja yang tahu.
Ada kisah yang dia tidak
mahu ingat. Baginya, kisah itu memalukan. Namun, dia sedar tidak mungkin dia
dapat menukar keinginan babahnya semata-mata hanya kerana dia.
“Eshan bila nak balik?”
soal ibunya.
“Mama dan babah dah
datang sini, lambat sikitlah kut.” Sedikit merengek suara Eshan.
“… nanti Eshan ambil cuti
panjang-panjang temankan mama dan babah ya?” Eshan tersenyum. Menabur janji.
Yang sebenarnya lebih kepada hendak mengelak. Cuti tahunan dia yang dua tahun
lepas pun masih belum habis.
“Kalau ambil cuti
panjang-panjang baik buat kenduri kahwin terus. Jimat!” Jawab Encik Raphael
dari arah belakang. Sekali lagi terpaling Eshan ke arah babahnya. Babah ni,
macam ada magis pulak. Muncul selalu
tepat pada masanya. Segaris senyuman tidak sampai ke mata diberikan. Tahu,
babah perli dia. Tapi yang babah kaitkan fasal kahwin tu kenapa? Peliknya.
“Betul tu bah!... Ben setuju!”
Karl Benjamin sudah tarik kerusi dan duduk bersebelahan dengan adiknya itu. Dia
menyokong pernyataan babahnya. Sudah! Yang seorang ini bila pula baliknya? Tadi
tak ada pun. Aduhai! Semua komplot nak mengusik dia ke ni?
Dia kenyit mata pada
Eshan. Rahsia Eshan ada pada dirinya. Dalam poket! Huh! Tahu sangat kenapa
Eshan jarang mahu pulang ke kampung. Penakut! Balik jelah. Bukannya pernah jumpa pun. Sudah dua tahun keluarganya
pulang ke kampung itu, tapi tak pernah terserempak pun. Jangankan tuan punya
badan, batang hidung pun tak pernah bersua.
Eshan sepak kaki Ben dari
bawah meja. Tapi abangnya itu, tetap selamba sambil berbual-bual dengan orang
tua mereka. Eshan mendengus geram. Sahajalah tu. Asyik nak menyakat dia.
No comments:
Post a Comment