“KAMU
hendak yang macam mana Umar?” tanya Hajah Khairiyah malam itu dalam
telefon. “Yang cantik, yang berpendidikan tinggi, jenis ustazah-ustazah ke, ada
ijazah ke, ada diploma ke, atau kamu nak yang jenis jadi suri rumahtangga?”
“Mak…” Umar tergelak kecil.
Emak ini mentang-mentanglah abang Hakim
itu baru kahwin tahun lepas, dia yang muda dua tahun dari Hakim itu emak hendak
bereskan cepat-cepat. Padahal bukan emak tidak ada menantu. Masuk isteri abang
Hakim itu, emak sudah ada tiga menantu.
Kakak sulung dan kakak keduanya
masing-masing sudah kahwin dan ada anak, tambah pula dengan Kak Huda yang baru
kahwin dengan Hakim tahun lepas, nah, menantu emak sudah tiga. Tapi begitulah,
hati emak itu sentiasa risau padanya
yang masih menyendiri.
“Kamu nak pilih sendiri ke?” tanya emak
lagi dalam telefon.
Hajah Khairiyah itu susah hati betul
dengan anak terunanya itu. Sudah masuk usia 30 tahun, hati ibu mana yang tidak
risau. Sudahlah jauh di rantau orang. Sepatutnya orang yang kerja ustaz macam
Umar itu sudah awal-awal lagi kahwin.
“Mak… saya cuma nak orang yang faham saya,
yang sanggup bersusah-payah sama-sama saya, sebab kalau boleh saya nak bakal
anak-anak saya nanti bakal huffaz, Insya Allah. Mak doalah saya jumpa orang
yang begitu ya,” kata Umar dengan nada memujuk.
Dia geli hati juga dengan emak itu, nanti
lepas dia kahwin nanti tentu emak sibuk hendak kahwinkan Habib, adiknya yang
muda tiga tahun darinya itu.
“Yalah… macam-macam kamu ni. Kahwin
siapa-siapa pun sama Umar, kamu kan ‘hafiz’, kamu boleh didik sendiri anak-anak
kamu nanti. Tak perlu tunggu isteri kamu pun,” komen Hajah Khairiyah di hujung
talian.
“Iya… tapi hendak kekal jadi huffaz seumur
hidup itu banyak cabarannya mak,” kata Umar pula. “Mak doakan saya ya, agar
jumpa pilihan hati saya…”
“Iya... iya… mak doakan agar kamu jumpa
pilihan hati kamu nanti. Ke dah ada? Orang sana ke?” tanya Hajah Khairiyah
serkap jarang.
Sejak Umar itu memilih untuk jadi guru
tahfiz di Kuching, Sarawak, dia jadi susah hati. Susah hati soal makan minum
Umar, dan lebih-lebih lagi susah hati dengan Umar yang sampai sekarang masih
belum ada pasangan hidup.
“Belum… belum jumpa. Dia tersalah naik flight kot mak, tu yang asyik tak
berselisih hehe…” Umar tergelak.
“Macam-macam kamu ini,” Hajah Khairiyah
sudah tersenyum-senyum di sebelah sana. Umar ini memang ada-ada saja.
SAMPAI
di hadapan tangga besar masjid, Najiha parkir kereta betul-betul di hadapan
tangga. Keluar dari kereta, dia mendongak memandang kamera CCTV yang dipasang
di sudut tiang. Entah kenapa ada tabiat sebegitu. Sejak dia tahu ada banyak
kamera CCTV dipasang di segenap penjuru masjid ini, dia jadi suka memandang
kamera itu. Terasa selamat dan sentosa berada di masjid, wah… ayat kamu Najiha.
“Rafiq... mari. Dah sampai...” Najiha buka
pintu kereta.
Rafiq ini memang manja. Kereta mesti
diparkir betul-betul di hadapan tangga. Jadi dia tidak perlu berjalan jauh.
Macam mana mahu jadi mujahid ni Rafiq? Awal-awal lagi sudah begitu manja malas
berjalan jauh.
“Eh… kuncilah. Pintu tak buka…” kata Rafiq
bila melangkah keluar dari kereta. Wajahnya melihat ke arah pintu aras bawah
masjid yang bergril, selalunya memang dibuka. Oh, yalah. Najiha tak perasan.
Selalunya kalau jam 8:20 pagi macam ini, sudah buka. Mungkin ada orang mandikan
jenazah pagi ini, sebab itu pintu sebelah sini ditutup, padahal selalunya kalau
ada jenazah pun, pintu itu tetap dibuka.
Mungkin pakcik pengawal lupa mahu buka.
Kelas Rafiq betul-betul bersebelahan dengan bilik yang dikhususkan untuk
mandikan jenazah.
“Kita pakai pintu satu lagi…” Najiha tarik
tangan Rafiq lembut.
Anak ini comel betul. Wajahnya yang mulus
dan tampan itu memang memikat. Bohonglah kalau orang kata Rafiq tidak tampan.
Kecil-kecil lagi sudah nampak tampan dan berseri-seri. Mungkin orang yang
menghafaz Al-Quran memang wajahnya berseri begitu.
Pintu satu lagi ialah di bahagian tengah.
Yang ini agak meriah dengan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sini. Lepas
itu di atas perkarangan masjid itu ada apa ya? Ya, hari ini kan hari Jumaat.
Oh, mungkin ada tazkirah pagi untuk staf masjid ini. Baru hari ini Najiha
perasan ada sekumpulan lelaki di perkarangan masjid sebelah sini. Ada 3 orang
lelaki sedang beri taklimat lagaknya di hadapan mereka. Mungkin bacaan Yasin
awal pagi sebab macam ada buku kecil di tangan lelaki-lelaki itu.
Menyedari pandangannya ke sisi atas masjid
itu mendapat perhatian seorang dua lelaki di situ, Najiha cepat-cepat memandang
ke hadapan. Oh, malunya kalau ada yang perasan dia sengaja meninjau-ninjau ke
atas tadi, dengan niat mahu meneropong wajah-wajah tenang di situ. Entah kenapa
dia suka pandang wajah staf yang bekerja di masjid itu, semuanya tenang belaka.
Bila waktu azan berkumandang, rata-rata mereka bergegas ambil wuduk untuk
menunaikan solat di awal waktu. Rasa hendak berhenti kerja dan mohon masuk
kerja di masjid ini. Biar hati setenang ini.
RAFIQ
dihantar sehingga ke pintu kelas. Nampak beberapa orang lelaki keluar masuk
dari bilik jenazah di sebelah kelas itu. Dulu bila dapat tahu kelas Rafiq
betul-betul bersebelahan dengan bilik jenazah, Najiha terasa takut juga. Dia
takut Rafiq ternampak benda yang bukan-bukan. Macam tahun lepas, ada seorang
murid yang pernah belajar di kelas itu, mohon keluar dari sekolah itu sebab
asyik ternampak sesuatu. Sesuatu yang tidak sepatutnya tidak dilihat dengan
mata kasar. Entahlah, tapi budak-budak ada juga yang boleh nampak benda ghaib
begitu.
Itu yang Najiha selalu guna pintu tengah
masjid. Sekarang, dah biasa, dah masuk 3 bulan Rafiq di situ, dia lalu saja
bilik jenazah itu macam biasa. Rafiq pun tak ada apa-apa masalah. Malah dia
pandang bilik mandikan jenazah itu macam kelas-kelas yang lain juga.
Sebelum Rafiq dilepaskan masuk ke dalam
kelas, harus dipeluk cium dulu budak berusia 6 tahun itu. Anak bongsu memang
manja. Kalau tak dipeluk cium, muka semacam saja. Jadi semua yang lalu-lalang
di situ mesti ingat Najiha ini ibunya, sedihnya selalu sahaja sahamnya merudum
jatuh gara-gara selalu bawa Rafiq dan Lutfi ke sana-sini.
Tapi selepas itu tambah 10 markah sebab
orang mesti akan cakap pada dia, comelnya anak-anak awak. Kembang hidung Najiha
bila orang puji begitu walaupun dia cuma ibu saudara Rafiq. Nak kata Rafiq tu
comel macam awaklah ya Najiha.
KUNCI
di tangan dipegang erat. Ustaz Umar berjalan pantas melewati pejabat
pentadbiran am masjid dan kelas-kelas tahfiz menuju ke bilik jenazah. Ustaz
Salleh menelefonnya tadi meminta bantuan untuk mandikan jenazah yang baru
sampai awal pagi tadi. Kalau tidak kerana Affendi itu demam dan Fazli pula cuti
dua minggu, kemudian ada pula waris jenazah di Taman Permata yang malam tadi
sudah menelefon meminta bantuan staf mereka untuk uruskan, tentu Ustaz Salleh
itu tidak kalut begitu. Staf tidak cukup, kata Ustaz Salleh. Terpaksa minta
tolong cikgu tahfiz yang tidak ada kelas.
Taman Permata tidak ada surau sendiri,
kalau ada pasti mereka ada staf sendiri yang menguruskan jenazah. Jadi staf
bahagian jenazah yang tinggal di masjid, setelah dipinjam ke sana-sini, cuma
tinggal 4 orang sahaja. Pagi ini pula ada dua jenazah yang menunggu giliran.
Itu yang Ustaz Salleh terpaksa minta bantuan dia.
Walaupun dia ini bukannya staf bahagian
urusan jenazah, dan cuma guru tahfiz di sini, tapi kadang-kadang khidmatnya
diperlukan juga untuk urusan begini sekiranya keadaan betul-betul memerlukan.
Tak apalah, detik Umar dalam hati. Fardhu kifayah.
Pagi itu, usai saja tazkirah pagi tadi, nasib
baiklah dia tidak ada kelas hafazan dengan pelajar tahfiz. Semua murid tahfiz
yang berusia 4 dan 5 tahun ada lawatan sambil belajar di Kem Tentera. Yang
tinggal cuma murid tahfiz yang berusia 6 tahun sahaja.
Dari jauh lagi Ustaz Umar nampak Rafiq
dicium oleh seseorang di hadapan kelas Ibn Khaldun 6. Pasti ibunya. Dia
menggeleng kepala. Memang dia kenal Rafiq yang kuat menangis itu. Siapa tidak
kenal Rafiq. Anak muridnya itu, pantang dipaksa menghafaz secara solo, mesti
menangis.
Itu belum lagi dengan kisah murid-murid
yang berusia 4 tahun dan 5 tahun. Yang itu memang mencabar jiwa dan raga
mengajarnya. Mujur rata-rata yang masuk ke sekolah ini terang hati belaka.
Mungkin khasiat menghafaz ayat-ayat Al-Quran.
Bilik jenazah di hujung sekali, sebelah
kelas Ibn Khaldun 6. Melewati Ibn Khaldun 6, Ustaz Umar menjeling sekilas pada
ibu Rafiq yang masih berdiri di hadapan pintu kelas. Padanlah hari ini Rafiq
tidak menangis pagi-pagi, ada ibunya menghantar sampai ke pintu, siap peluk
cium berkali-kali.
Rafiq pula tersenyum-senyum suka. Kalau
tidak dipeluk cium begitu oleh Najiha, nanti dia menangis. Mujur ada kawannya
di dalam kelas itu sudah menggamit Rafiq supaya cepat-cepat masuk ke dalam
kelas. Najiha terasa cuak juga, takut kalau-kalau Rafiq itu buat hal lagi.
Selalunya, kalau dia yang hantar Rafiq ke sekolah, mesti Rafiq yang terlebih
dos manja itu menangis meraung-raung hendak ikut Mak Usunya ini balik macam
tahun lepas. Ini sudah masuk tiga bulan
di taska untuk budak-budak usia 6 tahun, jarang Rafiq buat perangai tak senonoh
begitu lagi.
“Assalamualaikum Ustaz…” tegur Rafiq ceria
ketika Ustaz Umar lalu di hadapan pintu kelas.
“Ya… waalaikumsalam…” senyum Ustaz Umar
gembira. Memang murid-murid di situ sudah dilatih agar sentiasa memberi salam
ketika berjumpa dengan guru-guru mereka.
Najiha mengangkat muka memandang Ustaz
Umar sekilas. Amboi Rafiq, sukanya kamu pagi ini ya. Ada Mak Usu kesayangan
kamu menghantar sampai ke pintu. Kalau Tok Man yang hantar, muka Rafiq asyik
masam mencuka.
Yalah, Tok Man mana pandai sangat nak
peluk cium budak-budak. Tok Man kan peguam. Tentulah tegas memanjang dengan
misai melintang yang bikin tambah wajahnya jadi garang. Tersenyum Najiha
mengingatkan ayahnya itu. Hari itu dia minta cuti, sebab itu dapat hantar Rafiq
ke sekolah. Selalu ayahnya yang akan menghantar Rafiq ke sekolah. Tapi hari ini
ayah ada urusan di luar daerah pula.
Ustaz Umar menghampiri pintu bilik jenazah
yang tertutup. Mudanya ibu Rafiq, detik hatinya bila terpandang wajah manis itu
sekilas. Kahwin muda agaknya.
Ustaz Umar menguak pintu bilik jenazah.
“Assalamualaikum Salleh…” serunya.
"Saya buka pintu sebelah sini dulu ya. Van jenazah nak sampaikan?"
No comments:
Post a Comment