Tuesday, 27 May 2014

Warkah Pengikat Hati (Bab 1): Aylanins

KALAU di rumah orang, kepala udang ini kena buang,” pesan Puan Maimon, menunjuk pada udang di dalam singki.
“Yalah… tadi nak cepat. Lagi pun udang ni besar, otak udang kan sedap… sayang nak buang,” jawab Najiha lirih.
Dia bukannya tak tahu yang kepala udang itu harus dibuang, tapi sayanglah sebab nanti kalau kupas kulit kepala udang tu, mesti kadang-kadang akan terbuang tanpa sengaja kepala dengan otaknya sekali. Oh, sedap sungguh udang masak lemak cili api. Pesan emak dengan frasa ‘rumah orang’ itu macam lain saja. Rumah siapa tu emak. Rumah emak mentua ya haha, Najiha mengusik di dalam hati.
Kalau cuti sekolah begini apa lagi yang harus dibuat kecuali mengikut kelas memasak anjuran emak tersayang. Selepas itu ada kursus mengemas rumah, kursus jahit-menjahit, pendek kata kursus mengurus hal ehwal rumah tanggalah. Hendak membaca buku cerita dan menonton drama Korea kegemarannya itu pun hampir tiada masa.
“Serius nak masukkan Rafiq ke sekolah tu?” tanya Puan Maimon yang muncul kembali di pintu dapur sambil membawa seplastik besar bawang.
“Sayanglah mak kalau tak masukkan. Ni dah dekat nak habis juzuk Amma dia hafal. Duit tu boleh diusahakan,” jawab Najiha sambil tangannya ligat membuang kepala udang.
Dah penat membuang kepala udang ini, malas pula mahu memasaknya. Alih-alih nanti dia cuma tumis bawang, masukkan udang, campur Secukup Rasa Maggi sudah. Itu resepi menipu, kalau emak tahu memang kena leter. Emak kalau masak mesti cukup segala rencah. Ada rupa, ada rasa.
“Cukup tak budget tu? Siapa yang nak bayar?” soal Puan Maimon sambil tangannya. “Berniaga butik ni bukan selalu ada pelanggan yang meriah Jiha. Ikut musim. Musim raya ramailah yang datang membeli. Takut nanti mak tak mampu nak tolong bayar bulan-bulan.”
“Jiha bayarlah mak. Jiha dah kira belanja bulan-bulan. Biasiswa pinjaman Jiha dulu dah nak habis bayar, ada baki duit gaji sikit. Bolehlah…” Najiha ambil pula kuali dan letak atas dapur. Betullah tu dia dah malas nak masak yang remeh, alih-alih udang ni tumis goreng saja.
“Mak tak nak cucu mak jadi golongan huffaz? Budak kecil macam Rafiq tu mudah nak menghafaz mak…” pancing Najiha lagi.
“Ikut kamulah. Mak cuma takut kita tak mampu nak bayar yuran saja. Mahal betul yuran sekolah tu, macam nak masuk universiti,” jawab Puan Maimon.
“Jiha ada simpan bulan-bulan dalam Tabung Haji, potong gaji. Boleh buat backing yuran Rafiq.” Sambungnya lagi. Rencah sudah ditumis di dalam kuali. Bau bawang, halia dan cili kering yang dilumatkan harum semerbak menguasai dapur.



NAJIHA mengisi borang pendaftaran ke taska tahfiz dengan hati-hati. Borang itu cuma satu, tidak ada salinan, dan untuk dapatkan borang itu kena beratur panjang. Ramai rupanya ibu bapa hendak hantar anak-anak masuk ke taska tahfiz itu, detik hatinya. Syukur Alhamdulillah dia dapat juga ambil borang untuk Rafiq.
Taska tahfiz itu adalah sebuah taska yang menjadikan hafazan Al-Quran sebagai asas kurikulum mereka. Pengambilan bermula seawal usia 4 tahun, dilanjutkan sehingga 5 dan 6 tahun. Darjah 1 sudah ada, tapi cuma 2 buah kelas sahaja. Dan sekolah tahfiz itu sudah didaftar dan diiktiraf sebagai sebuah sekolah swasta di sini. Rafiq itu memang sekolah di situ tahun ini, kelas untuk yang berusia 5 tahun. Tahun depan Insya Allah, Rafiq yang comel itu masuk usia 6 tahun, tapi kemasukan tidak secara automatik. Kena isi borang juga sebab ramai sangat yang hendak daftar masuk.
Butir-butir peribadi Rafiq dia isi ke dalam borang itu. Kalau Rafiq dapat teruskan pembelajaran di sekolah ini, tidaklah susah kerjanya hendak meng’hafiz’kan Rafiq sebab ada bantuan secara tidak langsung dari sekolah tahfiz itu. Lainlah Lutfi. Lutfi sekolah kerajaan biasa. Terpaksa Najiha ini sendiri yang usaha untuk meng’hafiz’kan Lutfi. Hendak masukkan Lutfi ke sekolah yang sama macam sekolah Rafiq, sekolah Rafiq itu kohort paling tua ialah Darjah 2 sedangkan Lutfi sekarang Darjah 3.
“Jiha…” tiba-tiba terdengar suara Kak Mirah di muka pintu kelas.
Najiha mendongak. Terhenti seketika kerja mengisi borang itu. Sesi persekolahan hari itu sudah tamat, dan sementara menunggu Rafiq habis kelas Fardhu Ainnya, dia habiskan masa dengan meneliti borang itu.
“Ya kak. Masuklah…” pelawanya.
Kak Mirah sudah tanggalkan kasutnya dan melangkah masuk ke dalam kelas Najiha. Kak Mirah itu kerani sekolah, kalau dia datang ke tingkat tiga ini mesti ada surat rasmi yang hendak diberi pada Najiha ini. Bukan senang dia hendak terhegeh-hegeh panjat anak tangga sampai ke tingkat tiga bangunan sekolah ini kalau tidak kerana ada urusan penting.
“Jiha jadi tak masukkan Rafiq ke pra sekolah sini tahun depan? Puan Harisah nak hantar nama-nama budak yang masuk senarai lewat ke PPD,” kata Kak Mirah mengambil tempat duduk di hadapan Najiha.
“Tak jadilah kak. Saya dah nak daftar nama dia masuk taska tahfiz. Ni baru dapat borang. Tak cukup 25 orang lagi ke?” tanyanya pada Kak Mirah.
Hari itu, dia ada isi borang hendak masukkan Rafiq itu ke pra sekolah di sini untuk kemasukan tahun hadapan, tapi Kak Mirah kata semua borang sudah dihantar ke PPD. Kena tunggu tarikh kemasukan kedua iaitu pendaftaran terlewat. Tunggu punya tunggu, borang taska tahfiz ini sudah keluar. Selepas beberapa kali dia solat istikharah, hatinya kuat menyatakan dia harus isi borang ini dan bukannya menunggu kemasukan ke pra sekolah.
“Tak apalah. Nak confirm. Ada lagi kosong tiga tempat. Ini ada surat dari PPD. Minggu depan Jiha ada taklimat guru data…” kata Kak Mirah sambil hulur sekeping surat rasmi berlogo Pejabat Pelajaran Daerah Kuching.
“Ok… terima kasih kak,” Najiha sambut surat itu.
Dia membaca surat itu sekilas, minggu depan hari Selasa, jam 2:30 petang taklimat di PPD. Harap-harap taklimat habis awal, sebab nanti nak ambil Rafiq dari sekolah tidak boleh lewat barang seminit dua sebab Rafiq itu manja sangat. Ambil lewat wajahnya mesti tercebik-cebik hendak menangis. Senyum sendiri dia mengingatkan anak saudara kesayangannya itu.

No comments:

Post a Comment