Tuesday, 20 May 2014

Kutunggu Pinanganmu (Bab 4): Fisha

Keadaan dirumah riuh dengan kedatangan Mak Long sekeluarga. Masing-masing sibuk bercerita pelbagai kisah. Sudah lama mereka tidak bersua muka. Pak Long, abang mama yang berkahwin dengan orang Pahang dan tinggal di Perak sekarang agak kerap bertandang ke rumah mereka. Cuma dua tiga bulan ni pak long sibuk hingga tak sempat berkunjung ke rumah mereka.
“Tak kerja kamu hari ni Fawwaz?”
Pak long Amin memandang anak saudaranya yang santai menonton Tv. Nampak macam tak ke mana-mana hari ini. Kebiasaannya, jika mereka bertandang Fawwaz jarang ada dirumah. Kalau tunggu sehingga solat Isya barulah boleh bersua muka dan berbual dengan Fawwaz.
“Nak kena bising dengan mama kalau Fawwaz keluar ke ladang hari ni.” Perlahan dia menjawab. Bimbang kalau-kalau Puan Fazilah mendengar. Nanti kena lagi dengar tazkirah ‘pentingnya mengeratkan silatulrahim antara kaum keluarga’ kalau tak bercuti hari ini. Pedih telinga.
Tergelak Encik Amin dengan jawapan anak saudaranya yang jujur. Takut benar dengan adiknya itu.
“Sejak bila Fawwaz takut dengan mama ni? Selalu tak kisah langsung kalau mama tu membebel pasal kamu.”
“Bukan takut pak long, tapi malas nak dengar kuliah tak ada waktu ni. Pedih telinga berhari-hari kalau sekali kena.”
Rasa serik nak mendengar bebelan Puan Fazilah kalau dia tidak mendengar kata. Kadang-kadang dia dilayan macam budak 10 tahun oleh ibunya itu. Tapi dilayan juga bila teringat siapa lagi anak yang Puan Fazilah ada selain dia.
“Kahwinlah, mesti dia tak membebel dekat kamu dah. Silap-silap dekat kamu pun dia lupa bila dah dapat menantu.” Cadangan Encik Amin, faham yang adiknya sunyi dan teringin punya anak perempuan.
Berkerut Fawwaz mendengar cadangan pak longnya. Senang betul bercakap. Dia yang sememangnya tak ada kawan dengan mana-mana perempuan yang boleh dijadikan calon yang sakit kepala nak fikir walaupun cadangan itu agak bernas.
“Kalau ada calon dah lama Fawwaz kawin pak long.”
“Kalau nak ada calon kenalah cari, bukannya dia boleh datang bergolek. Ini asyik sangat dengan lembu, bilanya nak berdua.”
Fawwaz hanya tersenyum dengan komen itu. tak ada jawapan yang sesuai untuk diberikan pak paklongnya.
“Along, nak pinjam laptop.” Amir yang tadi senyap didalam biliknya sudah berdiri ditepi sofa. Pelik bila Amir mahu menggunakan komputer ribanya.
“Dah kenapa pulak? Ipad yang along bagi tadi mana?” ketika sampai tadi Amir meminta Ipad miliknya, sekarang mahukan komputer pula.
“Tak selesa la nak guna. Boleh tak?”
“Ambil sendiri atas meja dalam bilik tu.”
Senyum lebar Amir dengan jawapan Fawwaz. Along ni memang yang terbaiklah, langsung tak berkira barang-barang. Memang dia dah nampak komputer riba Fawwaz, sebab tu dia berani minta.
“Password?”
“Takdak.”
“Ok, thank you.”
Seronok Amir mendengar jawapan Fawwaz. Selamba sungguh sampai komputer pun tak ada kata laluan. Entah apa barang yang Fawwaz sayang pun dia tak tahu. Langkah kembali diatur ke bilik bila Fawwaz sudah memberi izin.
 “Ladang ternak tu macam mana?”
Encik Amin kembali bertanya bila anak bujangnya berlalu. Suka betul berbual dengan anak saudara yang rajin dan kuat berkerja macam Fawwaz. Berpandangan jauh pun ia jugak, sentiasa berdaya saing untuk maju.
 “Alhamdullilah. Dah berkembang sikit. Bolehlah nak tampung hidup Fawwaz sorang diri. Kenapa? Pak long nak lembu ke?”
Faham benar dengan sikap pak long ni, takkan bertanya kalau tak ada hal. Pasti ada yang hendak dibeli jika sudah bertanya begitu.
“Pak long nak dua ekor untuk korban nanti, boleh?”
“Ada rasanya, nak buat dimana?”
“Satu disini, lagi satu kamu kena hantar ke Peraklah. Kawan-kawan pak long nak berkongsi korban tahun ni.”
“Tak ada masalah. Nanti Fawwaz uruskan.”
Setiap tahu memang dia akan asingkan lapan hingga sepuluh ekor lembu untuk keluarga. Senang kalau ada yang tiba-tiba hendak mencari lembu korban atau kenduri. Malulah dia sebagai pengembala lembu kalau dengan saudara sendiripun tak boleh nak tolong.


“Nak pak long tolong carikan?”
Tercengang Fawwaz dengan soalan Encik Amin. Nak tolong carikan apa pulak. Rasanya dia tak ada hilang apa-apa.
“Cari apa pak long?”
“Jodoh.”
Pak long ni kadang-kadang boleh tahan juga merapunya. Nak tolong carikan jodoh macam nak pergi beli ikan dipasar. Mudah sungguh. Ingatkan dah habis cerita pasal jodoh ni. Rupanya Pak long masih berminat meneruskan perbincangan.
“Amboi pak long, dah mengalahkan mama dah ni. Sejak bila bula agensi cari jodoh ni?”
“Mana ada, taste pak long lagi A dari mama kamu tu. Dia punya taste mana masuk dengan selera kita. Cuba cakap Fawwaz nak cari yang macam mana. Senang pak long nak tolong screen test untuk kamu.”
“Pak long ni.”
“Sungguh la, kamu tu dah tua, dah kena kahwin. Takkan nak duduk bawah ketiak mama lagi. Waktu sekarang waktu bermanja dengan isteri bukan dengan mak. Kena faham dan ingat tu. Penting!”
“Nantilah Pak long. Ada jodoh nanti Fawwaz kahwin la.”
“Tak boleh berserah macam tu. Dekat kementerian tu berlambak anak dara Fawwaz. Tunggu pilih saja. Kalau dengan kamu ni banyak yang mahu. Kamu boleh pilih macam pilih baju.”
Fawwaz hanya mengiakan. Pak long bekerja dalam sektor yang ramai perempuan, jadi tak hairanlah kalau kenal ramai anak dara dan mak-mak dara. Tapi sungguh, sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercakap tentang jodoh.
“Nantilah.”
“Kalau nak nanti telefon pak long. Pak long carikan yang terbaik untuk Fawwaz.”
“Untuk Amir pak long tak carikan?” sengaja dia mengusik Encik Amir. Cukup-cukuplah bercakap tentang dia.
“Bagi dia belajar dulu. Jangan nak berangan nak kahwin selagi tak ada kerja tetap nak bela anak dara orang. Pak long tak mahu bela dia sekali dengan bini dia.”
Fawwaz hanya mengangguk. Bersetuju dengan pendapat paklongnya.
“Tak nak tidur sini ke Pak long?”
“Tak boleh la, ada kenduri sebelah rumah esok. Tak patutlah pulak nak tinggal macam tu. Kalau tidak memang nak lepak juga di sini, boleh ikut kamu ke ladang esok.”
“Tak sempat jumpa dengan abah la kalau macam tu. Abah pagi esok baru sampai sini. Fawwaz nak kena pergi ambil dekat pejabat abah.”
“Bukan rezeki nak jumpa dengan dia hari ni. Lain kali kami datang lagi tak pun kamu sajalah yang bawa dia orang ke sana. Bila lagi nak berjalan makan angin ke Perak.”
“InsyaAllah.”
“Along, tolong chat dengan kawan Mir kejap. Kesian dia bosan tak ada kawan nak sembang. Along pun bukannya ada benda nak buatkan.”
Amir sudah menghulur komputer riba pada Fawwaz. Sebelah tangan lagi sibuk memasukkan telefon bimbit ke dalam poket. Bimbang andai tertinggal nanti. Jangan harap abahnya nak berpatah balik kalau setakat tertinggal benda yang kurang penting tu.
“Tak naklah. Kawan Amir tu semua budak-budak. Mana masuk dengan kepala along yang dah tua ni.”
Tolak Fawwaz, apa barang sembang dengan budak-budak.
“Mana ada, yang ni confirm terbaik dari ladang. Kalau tak sebab abah dah nak balik mesti Mir nak sembang dengan dia lagi. Tolong eh.” Pujuk Amir. Masih berharap Fawwaz akan membantunya.
“Lelaki ke perempuan?” celah Encik Amin. Sejak tadi asyik mendengar tolak menolak antara Fawwaz dan Amir.
“Confirmlah perempuan. Kalau lelaki tak adanya Mir nak suruh along layan. Mana tau ada jodoh ke. ”
Menggeleng Fawwaz dengan gabungan dua beranak itu mengenakannya. Apa teruk sangat ke kalau masih membujang pada umur 33 tahun. Rasanya macam tak ada masalah sangat. Asalkan dia tak kacau orang cukuplah.
“Layan ajelah Fawwaz. Boleh juga dibuat kawan berbual daripada kamu duduk melangut depan tv tu.”
“Yelah, nanti along sambung.”
Fawwaz mengiakan juga. Malas nak dengar paduan pujuk memujuk anak beranak tu. Kalau tak masuk dengan hati nanti dia berhenti sajalah.
“Thanks.”
“Pergi panggil umi kamu Amir, kalau dibiarkan bersembang dengan mak cik kamu sampai ke subuh kita kat sini lagi.” Suruh Encik Amin bila melihat jam sudah semakin lewat.
“Baik bos.”
Lima minit kemudian Puan Fazilah beriringan keluar dengan Mak long Suria. Masih lagi bercerita entah apa. Nampak macam tak jumpa lagi titik noktah.
“Sudah-sudah la tu, nanti kita datang lagi. Jom cepat, makin lewat kita sampai ke rumah nanti.” Bebel Encik Amin bila isterinya masih bersoal jawab dengan Puan Fazilah. Banyak pula ceritanya malam ni.
“Balik dululah adik, bising betul mulut abang Amin kau ni. Tak boleh tengok kita sembang lama sikit.”
“Yelah, baik-baik memandu abang long.”
Kereta sudah melepasi pagar rumah bila kepala Amir terjengul dari tingkap. “Along, jangan lupa sembang dengan kawan Mir tu.” Pesan Amir, bimbang andainya Fawwaz terlupa dengan kakak Qisya yang masih ditalian.
“Yelah.”

Puan Fazilah hanya menggeleng melihat telatah Amir walaupun tidak faham apa yang dipesan pada Fawwaz. Macam-macam budak berdua ni.

No comments:

Post a Comment