Di kota Malaya, dia jatuh cinta. Ada sahaja kawan-kawannya
yang pulang membawa cinta hati, isteri yang nampak eksotik. Dibandingkan gadis
Melayu dengan yang di Perancis, memang ada perbezaannya tapi bila sampai sana
ada yang lupa agama dan budaya. Kalau di Malaysia, semuanya Melayu sampai ke
akar umbi, tiba di Perancis, ada yang macam dilahirkan disini. Terus lupakan
apa yang sepatutnya sudah sebati dengan diri sendiri sedari kecil. Untuk
menjadi Parisien, mestilah ikut adat dan budaya mereka, baru ada gaya dan
kelas.
Tapi dia, dia bukan pulang dengan cinta hati tetapi dengan
sesuatu yang hakiki. Mengenali Islam, membuka dunia yang baru buat dia.
Mempelajari bukan sekadar agama tetapi sejarahnya. Indahnya Islam, sayang
sekali selalu disalah erti. Agama yang penuh toleransi lebih dikenali sebagai
agama yang ganas. Media yang negatif tidak begitu membantu imej Islam.
Tatkala mengenali Islam, dibuka hatinya hanya untuk agama
itu. Hidup yang kosong terasa lebih terisi. Lebih membahagiakan dari perasaan
cinta yang pernah dirasakan suatu ketika dahulu. Tidak pernah terbayang, Islam
dapat mengisi ruang hatinya.
Dan kini, hatinya terbuka lagi buat perempuan di dalam gambar
itu. Baru dia tahu erti jatuh cinta pandangan pertama bila bertentangan mata
dengan si empunya badan.
Kalaulah hati ini mampu dikeluarkan dari dalam badannya, mahu
sahaja diberi pada si dia. Ambillah! Ambil hati ini dan jaga ianya dengan baik.
Hati ini bukan lagi milik saya tetapi milik kamu. Kamu, yang sangat manis!
Ah! Lambatnya matahari mahu naik, tidak sabar mahu bertegur
sapa sekali lagi dengan si dia.
Roti kirai, kata orang
Singapura. Kalau ke seberang tambak, namanya roti jala tapi bukan jala emas, ya!
Jala emas itu kuih lain!
Tersenyum-senyum Mira
keseorangan di dapur, dari tadi gigih mengirai untuk Aliah dan Jeremy. Tak
sia-sia dia beli botol acuan untuk mengirai, mudah! Kalau umi nampak dia laju
saja mengirai dengan cantik, mesti bangga. Dulu, umi selalu bising, bunganya
tak cantiklah, lubangnya besarlah. Alah..apa kisah, yang penting bila sudah
dilipat, tiada siapa nampak bunganya ke, lubangnya ke, semuanya sedap masuk
mulut. Itu yang penting tapi pada umi, mengirai juga satu seni. Harus dibuat
dengan halus, bila dihidangkan juga nampak cantik.
Sepeket daging cincang
sudah dikorbankan buat kari yang pekat likat. Kari kalau tak pekat, haih memang
tak sedap makan dengan roti kirai! Kari yang pedas-pedas masam, dengan daging
cincang sudah jadi macam keema untuk makan dengan capati pula. Nampak saja sama
tapi rasanya berbeza. Kari yang pekat ini, selalu membuat mereka dua beradik
makan sehingga menjilat jari kalau umi yang masak.
Usai mengirai, disusun
cantik-cantik roti kirai atas piring. Dibongkar peti sejuk mencari-cari kalau
ada daun salad tapi yang dijumpai hanya lebihan ‘corgette’. Ah tak apalah, ini
pun boleh! Dihiris nipis, diatur sekeliling piring. Sebiji tomato dibelah
bahagian atasnya, berlekuk-lekuk seumpama mangkuk, di letakkan di tengah-tengah
susunan roti kirai. Tidak mahu membazir, sebahagian tomato yang dipotong tadi,
didadukan lalu di masukkan kembali dalam tomato tadi. Ecewah! Ini sudah boleh
jadi macam cef! Puji Mira, dalam hatinya sendiri.
Buku resipi umi
dibersihkan dari debu tepung ketika menyukat adunan roti kirai.
Kertas-kertasnya sudah berwarna kekuning-kuningan. Tulisan jawinya masih jelas
untuk dibaca oleh Mira cuma masalahnya, umi menulis dengan ‘shorthand’. Kadang-kadang
merangkak-rangkak juga membaca buku resipi uminya itu. Apakan tidak, sin dengan
shin, kalau ditulis tak dapat dibezakan. Umi menulis adakala menulis huruf-huruf
jawi, tidak bergigi, hanya bertitik. Kenalah eja berulang kali untuk membezakan
huruf.
“Bonjour!”
Terkejut Mira bila di
depan pintu dapur, tercegat lelaki semalam yang dikatakan Jeremy jiran depan
rumah mereka. Haih, macam penduduk rumah ni saja, bukannya jiran! Macam
penunggu pun ya juga kalau asyik timbul macam ni. Tersenyum menyeringai pada Mira
yang sedang menyumpah di dalam hati, nasib baiklah saat ini, kepalanya disarung
dengan skaf kecil. Taklah kelam kabut macam semalam lagi. Bonjo..bonjo..apa dia
ingat ini dalam cerita P Ramlee ke?
“Mira right?” lelaki
itu bertanya, dengan matanya tepat pada Mira. Macam tak pernah nampak perempuan
pula, fikir Mira dalam hati.
Mira mengangguk. Mesti
abang iparnya memberitahu lelaki ini bila mereka berborak semalam selepas sesi
berkenalan secara terkejut. Tak ada pula Jeremy memberitahunya siapa nama
penunggu rumah mereka ni.
“I am Marc Francois.
Selamat datang ke Divonne Les Bains.” Marc menghulurkan tangan untuk bersalaman
tapi Mira tidak menyambutnya. Lelaki itu menarik kembali tangannya bila tidak
bersambut, terus diselukkan ke dalam kedua-dua kocek.
Si Marc Francois ni,
sama-sama belajar bahasa melayu dengan si Jeremy ke? Aliah dah sampuk orang
kampung sini untuk belajar bahasa melayu ke? Ke…dia buka kelas mengajar bahasa
melayu dekat sini? Tak ada pula dia bercerita buat kerja amal jariah sebegitu tapi…
berbanding dengan si muslim celup tuh, pertuturan lelaki ini lagi fasih. Yang
membezakan, adalah nada Perancis yang pekat. Bukan macam Jeremy yang berasal
dari London. Berbeza nada percakapan mereka berdua.
“Terima kasih..” jawab
Mira, acuh tak acuh. Senyum lebar memuji diri sendiri tadi sudah hilang sebaik
sahaja penunggu itu muncul depan mata. Kalaulah muncul malam-malam macam gini,
harus Mira jerit kasi satu ‘compound’
ini dengar.
Piring berisi roti
kirai di bawa ke ruang makan, hantu mi suah yang sedang meninjau-ninjau lauk
kari di dalam periuk membuat Mira rasa
kurang senang.
“This smells nice!
Curry?” soalnya lagi pada Mira, langsung tak faham, orang itu tak sudi nak
melayan lelaki yang tak dikenali.
“Hmm..” Kita masak
untuk kakak kita, si deknie pula yang menyibuk, bebel Mira di dalam hati lagi.
Mahu sahaja disinggul lelaki itu ketepi agar boleh disenduk lauk itu ke dalam
mangkuk. Mira tersenyum bila kedengaran suara kakak dan Jeremy. Kejap lagi
mesti muncul di dapur kedua-duanya itu. Bolehlah sarapan ala-ala Singapura!
“Bonjour à tous!” suara Jeremy bergema di dapur melihat sudah ada dua orang di
situ. Isterinya terlindung di belakang Jeremy. Nampak saja muka Jeremy, panjang
cerita si Marc Francois.
“Votre
invite est snob..
même as sourire!”
bebelnya, keningnya terangkat-angkat dengan mata memberi signal pada Jeremy
tentang tetamunya yang sombong, senyum pun tidak!
“Elle est comme ca a des
étranger.” Balas Jeremy dengan
tawa. Adik iparnya itu, kalau tak kenal orang memang tak banyak berbual, apatah
lagi dengan lelaki yang tak dikenali.
“Kak, cakap belit-belit apa dorang ni?” soal
Mira pada Aliah yang sedang mengeluarkan sekotak susu dari peti sejuk.
“Entah.”
“Tak baik kan dia
cakap bahasa dia depan kita?”
“Awak pun sama, Mira.”
Mira mengerutkan
hidung, benci betul bila Aliah menyangkal kata-katanya. Tak boleh menang kalau
dengan Aliah tapi Mira harus mengalah. Bukan umi juga selalu kata, mengalah bukan
bererti kita kalah?
“Mira buat roti kirai
dengan kari umi.”
“Wah..Mira macam
tahu-tahu saja kakak memang teringin nak makan roti kirai tau?”
“Mestilah, ini kan
kegemaran kita berdua.” Kakak teringin! Tak sia-sia dia mengikut gerak hatinya
untuk membuat roti kirai. Melihat senyuman Aliah, Mira rasa gembira. Tiada apa
yang mahu dilakukan selagi dia berada di sini tetapi untuk menyenangkan hati
Aliah. Sebelum kena berpantang larang
nanti, baik makan yang sedap-sedap dulu!
“Guys, mari makan.” Aliah
mengajak suami dan jirannya yang masih lagi rancak berbual di tengah-tengah
dapur ke ruang tamu.
“Oui!” serentak Jeremy
dan Marc Francois bersuara. Makan. Bahasa melayu yang paling mudah untuk
diingati, difahami dan disukai.
“Kak, orang sini,
sebut nama deknie macam mi suah kan?” bisik Mira pada kakaknya sambil menatang
mangkuk kuah kari ke depan.
“Mira ni..tak baik
tau.”
“Betul! Tadi dia sebut
nama dia, Marc Fransuah! Hah, suah tuh kena sebut betul-betul.Kalau mengaji ni,
mesti mak guru suka dengar kita sebut ikut sebutan yang pekat gitu.”
“Dia baik tau. Kalau Mira
kenal dia, you will like him.”
“Hah? Macam hantu
asyik timbul depan kita. Takut Mira!” Mira meletakkan mangkuk kari
ditengah-tengah meja. Sukakan si hantu mi suah ni? Tak apalah..terima kasih
sahaja!
“Marc, pernah rasa
roti kirai di Malaysia dulu?” Pinggan Aliah sudah banjir dengan kuah kari di
atas dua keping roti kirai. Orang lain mungkin suka makan roti prata banjir
tapi buat Aliah, roti kirai banjir lagi sedap! Nikmat dunia!
“Pernah tapi yang ini
lagi sedap!” Marc menjawab soalan Aliah dengan senyum lebar, belum sesuap masuk
ke mulut, pujiannya sudah melambung.
“Amboi, belum makan dah
memuji! Kalau Mira nak tau, Marc ni pernah berkerja di Malaysia lebih kurang 5
tahun. Dia baru saja balik ke sini tahun lepas.”
“Yup, yup. Beautiful
country, colourful. Banyak manusia dari sini.”
Mira hampir tercekik
roti kirai yang sedang ditelan. Banyak manusia dari sini? Apa punya penerangan
tuh? Matanya mengerling pada kakaknya yang macam tak perasan pula apa si Marc
Francois tuh cakap. Ke Mira yang salah dengar sebab asyik sangat makan roti
kirai dengan kuah karinya yang maha sedap itu? Hai umi..tak sia-sia Mira
menuntut ilmu dengan buku resipi umi. Terima kasihlah kerana menulis segala
sukatan dengan betul, agar anak umi ni, tak tersalah menyukat. Walaupun tak
sama seperti masakan umi, namun tetap sedap untuk dimakan!
“Mira nak pergi
Geneva? Jeremy can drop you off. Nak balik nanti, tunggu saja depan bangunan
UN. Nanti Jeremy ambil.”
“Tak nak, Mira nak rehat saja niari, masih
terasa penat! Nak kemas barang-barang Mira dulu.” Dan nak qada’ tidur! Rasa
penat berbelas-belas jam dalam kapal terbang masih belum hilang, nak meronda
negeri orang? Tak larat!
“Saya pun boleh bawa Mira
jalan-jalan.”
“No, thanks.” Pantas
saja Mira menolak tawaran si Marc Francois. Kenal pun tidak, nak jadi tukang
tunjuk jalan pula.
“Okaylah tuh Mira,
Marc pun selalu keluar masuk ke Geneva. You could bring her along anytime Marc.
Dapat Mira tengok tempat-tempat lain di sini.”
Mira berdiam diri,
kakak ni. Senang sahaja dia menerima tawaran si Marc Francois. Kalaulah dia
bawa lari adik kakak yang satu-satunya ini, menangis tak berlagu karang!
“Be careful Marc. Mira.
Garang!” usikan si Jeremy, mengundang jelingan maut dari Mira. Patut tadi roti
kirai untuk kakaknya saja. Dua-dua tuh, sepatutnya sarapan saja dengan roti
sapu jem ke, mentega ke. Dah dapat makan sedap-sedap, lagi nak mengusik orang. Yang
satu tuh, belajar bahasa melayu yang mengutuk orang saja agaknya. Yang
berfaedah mesti tak ada dalam otak si Jeremy tuh!
Mira memerhatikan
Jeremy ke dapur untuk mencuci tangan sebelum kembali ke ruang tamu. Sekeping
sahaja roti kirai yang dimakan. Tak sedap ke?
“Is that it? You only
ate one?” soal Mira, penat-penat dia mengirai, makan satu sahaja? Tetamu yang
tak diundang tuh sudah makan tiga keping! Makan salah, tak makan salah wahai
Cik Mira!
“I am on diet!”
jawapan Jeremy membuat Mira tertawa. Bukannya gemuk sangat, nak menguruskan
badan pula. Kalah perempuan!
“Aliah, I’m off. If
anything, call.”
Melihat Jeremy
mengucup kepala isterinya, Mira terasa iri hati. Hidupnya sendiri selama umi
tiada, hendak bermanja dengan Aliah, jauh dari dirinya. Sedangkan Aliah sudah
punya keluarga, Mira hanya bersandar pada memori lama. Entah bila jodohnya akan
sampai, ada seseorang untuk menjaganya seperti abang iparnya kepada Aliah. Ya
Tuhan, bilalah hendak kau kurniakan Fahrin Ahmad sebagai jodoh aku?
+orang Perancis sarapan apa hari ini?
-roti kirai dengan kari beriani!
+wah, kalah dengan menu orang sini.
-mestilah!
Seinfeld. Friends.
West Wing. Tajuk-tajuk dvd drama bersiri yang bersusun di rak kecil tepi televisyen
dibelek. Mahu menonton sesuatu sambil mengemas kain baju ke dalam almari. Salah
satu dvd Seinfeld di pasang, lalu sesi mengemas pun bermula. Demi keselamatan,
separuh bahagian ‘metal sliding door’ diturunkan. Separuh bahagian lagi,
membenarkan cahaya di luar sana menerangi biliknya. Susah juga macam ni, Mira
sukakan cahaya matahari yang menyinar ke dalam rumah tetapi rumah itu terlalu
‘terbuka’. Bukan macam rumah flat, kita di dalam rumah, buka segala tingkap
tiada yang nampak penghuni di dalamnya.
“Mira..rimas tau duduk
dalam gelap ni?” tegur Aliah sambil menyusun bantal untuk bersandar. Mahu
berehat sambil menemani Mira mengemas.
“Alah..ini macam
tengok movie gitu. Ada cahaya sikit tuh kan? Kalau buka semua, nanti silau
dengan matahari. Kalau gelap-gelap gini kakak nak lelap pun selesa.” Pandai
sahaja Mira memberi alasan, walhal sudah seriau kalau hantu mi suah tuh
tiba-tiba menjengul saja. Takkan nak cakap, nanti Mira yang rimas asyik nak
bertudunglah pula kalau dibuka pintu biar orang luar semua nampak ke dalam. Mira
pula yang susah tak fasal-fasal tapi alasan itu juga akan membuat Aliah merajuk
lagi. Orang mengandung ni memang hormone sensitif sangat agaknya.
“Kak, orang tua-tua
kata kalau mengandung malas-malas nanti anaknya malas.”
“Eh..mana ada
malas-malas? Tadi kakak dah kemaskan dapur tau?”
“Itu tadi..sekarang ni
apa kata kakak tolong lipat kain baju ni..lebih afdhal gitu dari terbaring je
macam paus tau?”
Satu bantal kecil
dicampak ke arah Mira, bukan main lagi dipanggil kakaknya macam paus.
“Nanti Mira macam ni,
baru tau!”
“Eh..kalau Mira nanti,
mestilah nampak bergaya. Berseri-seri!”
“Eleh..awak tak
tahu..ada orang mengandung nampak cantik..Ada yang kalau boleh nak sembunyi je
dalam rumah.”
“Jangan risau,
walaupun macam paus, kakak tetap nampak cantik. Jeremy belum lari lagi maknanya
masih cantiklah tuh.”
“Eiii mulut tak ada
insuranskan? Bak sini baju-baju tuh, kakak lipatkan. Yang bawa buku
banyak-banyak buat berat beg ni kenapa?”
“Tak banyak pun. Just
a few.”
Buku-buku diaturkan
diruang bawah meja kecil yang terletak di tepi katil. Kalau diperhatikan bilik
ini, lebih kurang macam biliknya sendiri juga. Sebuah meja kecil di tepi katil,
televisyen di depan katil tapi kalau di rumah, dvd semua teratur di rak di
bawah televisyen. Yang ini, rak dvd di tepi tembok,atas televisyen pula ada
sepasu bunga kecil.
“Kak, bilik ni sikit
lebih kurang macam bilik Mira kan?” Mira mengamati biliknya sekali lagi,
bezanya, bilik ini lebih kecil sahaja dan punya kamar mandi.
“Ya..Jeremy memang
kalau boleh nak siapkan macam bilik Mira. Siapa tahu, mungkin Mira tukar
fikiran, nak duduk sini lama. So you will feel like home.”
“Baik betul Jeremy
tuh. Ingat pula bilik Mira macam mana. Baik hati walaupun mulut tuh macam nak
kena cili-cili je.”
“Sama je dua-dua.”
“Kakak ni..satu je kurang
dalam bilik ni.”
“Apa?”
“Ni!”
Mira mengangkat
bingkai gambar mereka berdua ketika kecil di taman permainan. Kedua-dua sedang
duduk di ‘enjut-enjut’. Banyak-banyak gambar ketika mereka kecil, yang ini juga
Mira paling suka. Aliah tersenyum melihat apa yang Mira tunjukkan.
“Gambar ni pun kakak
ada, cuba Mira tengok kat atas, dekat rak-rak buku besar di ruang tamu. Di
tengah-tengah Jeremy susun segala bingkai gambar dengan keluarga kami. Gambar
ni pun ada.”
“Iya ke?”
“Iya! Tak caya pergi
tengok sekarang.”
Berlari Mira naik ke
atas, baru dua hari di sini masih belum sempat untuk melihat seluruh rumah ini.
Semalam pun, ketika menonton televisyen di atas, tidak perasan pula
bingkai-bingkai gambar bersusun seperti yang kakak cakap. Mira tersengih
melihat gambar yang serupa dengan yang dibawanya terletak ditengah-tengah
susunan yang lain.
“Beautiful girls.”
Meremang bulu roma Mira
bila siapa lagi kalau bukan suara hantu mi suah dari belakangnya. Terasa
meremang bulu roma!
“Kakak!!!!!!!!!”
Jeritnya sekuat hati dan terus berlari kembali ke bawah, meninggalkan si Marc
Francois mengekek ketawa sendirian.
“Kenapa jerit-jerit
ni?” terkejut Aliah mendengar suara Mira menjerit-jerit macam nampak hantu.
“Kakak! Si hantu mi
suah tuh, betul ke dia jiran kakak? Ke dia tinggal kat rumah ni? Tiba-tiba je
ada kat atas.” Walau termengah-mengah, panjang lebar soalannya pada Aliah
sambil mengurut dada. Aduh, memanglah! Hantu mi suah tuh boleh buat dia sakit
jantung kalau hari-hari begini.
“Ahh..Marc memang
selalu saja keluar masuk sini. Lebih-lebih lagi kalau dia sedang kerjakan
pokok-pokok bunga sekeliling rumah ni.”
“Dia tak ada kerja
ke?” Kerja apa keluar masuk rumah orang? Kakak ni, tak tahu ke kalau lelaki
yang bukan muhrim dalam rumah dengan kita, hah, akan ada orang ketiga. Orang
ketiga yang bertanduk, yang ada niat buruk!
“Tuh kerja dia..tukang
kebun.”
“Tukang kebun?” Mira
menahan tawa. Muka sikit punya lawa, jadi tukang kebun? Kalau model ke, pembaca
berita ke, takpun penulis buku ke..Mira percayalah tapi tukang kebun?
“Hmm..mana dia?”
“Kat ataslah agaknya.
Hai..susahlah gini. Tak boleh tau. Ketuklah pintu ke, tekan lonceng ke. Hantu
betul!”
Aliah meninggalkan
adiknya membebel-bebel seorang diri dan perlahan-lahan naik ke atas mencari
Marc. Nak kena pesan juga pada si Marc, adiknya itu lemah semangat. Mahu hilang
suara kalau asyik terjerit-jerit saja. Yang di rumah pun boleh sakit jantung
kalau asyik mendengar si Mira terjerit-jerit. Silap haribulan, ada yang
terberanak dalam rumah ini pun ya juga!
No comments:
Post a Comment