Friday, 7 February 2014

Vehaen: Satu Cerita (Bab 4): Ainul Farihah

Sengketa dan kesilapan
Itulah fitrah Yang Esa
Kata dan teguran
Itulah pedoman
Tangis gembira saat bahagia
Moga kan kekal menuju ke syurga

[Kau Bagai Cahaya – Saujana]

Pagi Isnin.
Hari ke sekolah sudah kembali, selepas dua hari yang boleh dikatakan masa untuk insan bergelar pelajar sekolah berehat seketika. Bagi Imran, ada aura baru yang membuatnya terlebih semangat untuk ke sekolah hari ini. Hehehe…tunggu hari last sekolah laa baru aku semangat macam ni ; Itu bicaranya dulu.
“Im!”
Dia mencari arah punca panggilan suara itu. Bukan suara ayahnya yang sering berteriak memanggilnya supaya bergegas menaiki kereta supaya tidak lambat untuk dihantar ke sekolah.  Bukan juga suara abangnya yang sering membebel kerana tidak basuh pinggan selepas sarapan. Jauh sekali suara adik-adiknya yang berteriak kemarahan kerana disepak jauh-jauh olehnya kasut sekolah mereka.
Hari itu, dia bersiap awal. Bagaikan hari-hari sebelumnya dia tidak pernah lewat.
“Im!” Suara itu memanggil lagi. Kali ini, dia dapat mengesan dari mana datangnya suara tersebut.
“Rif!” Imran membalas lambaian Rif’at. Dia berlari-lari anak mendekati Rif’at.
“Semangatnya kau hari ini,” Rif’at menegur.
Imran tersengih. “Biasalah… keyboard Casio aku memanggil-manggil,”
Rif’at ketawa. Perlahan dia menumbuk dada Imran. “Ingat, ikhlaskan niat. Belajar kerana Allah, bukan kerana keyboard semata-mata,”.
“Yelah..”
Rif’at meneliti Imran dari hujung rambut sehingga hujung kaki. “Setiap hari kau pergi sekolah macam ini ke?”
Imran mengangguk. “Yelah. Kenapa?”
“Selekeh, kau tahu tak,” Rif’at mengomel. Dia menarik Imran merapatinya. “Sinilah,”.
Eee…apa ni…” Imran seperti biasa, tidak suka dirinya disentuh. Sensitifnya terhadap sentuhan mengalahkan perempuan.
Rif’at tidak mengendahkan Imran. “Pelajar muslim yang osem, mesti kemas penampilannya,”.
Dia membetulkan kedudukan tali leher dan mengemaskan kolar kemeja Imran.
“Dah macam arwah mak aku, dulu,” Imran mengujar perlahan. Rif’at hanya tersenyum, ligat tangannya membetulkan posisi pemakaian tali leher Imran.
“Tapi, kawan-kawan aku di sekolah, tiada yang pernah tegur cara pemakaian aku pun,” Imran mengomel lagi. “Kau je yang lebih-lebih…”
“Abang kau? Ayah kau?”
Imran menepuk dahi. “Alaa…tu tak kira lah. Tu bukan kategori kawan..”
 “Aku kan sekarang kawan kau, sahabat kau. Kau ingat aku suka tengok kau selekeh macam ini?” Rif’at membalas. “Macam..um…macam tulah,”. Tak tahu mahu disamakan dengan apa. Samseng jalanan? Macam kejam bunyinya. Penyangak? Teruk sangat. Jawapannya; umm..macam tu lah.
“Tapi kan…” Imran tersengih nakal. “Siapa nak jadi sahabat kau?”
Rif’at ketawa kecil lantas menolak Imran. “Pergi sekolah la,”.
Imran melambai menjauhi Rif’at. “Terima kasih, Rif”.
“Tunggu,” Rif’at mengeluarkan sesuatu dari begnya. “Nah,”.
Buku Sinergi dihulur. Imran meneliti dan membelek buku tersebut.
“Tapi… mana boleh bawa novel pergi sekolah,” Imran mengamati novel tersebut. “Itu first. Secondly, kau ingat aku baca benda-benda macam ni? Come on laa, macam perempuan,”.
Rif’at ketawa kecil. “Firstly, aku ingat kau tak tahu langsung peraturan sekolah. Secondly, memang kau macam perempuan. Sensitif,”.
Imran sengih, namun penumbuk tetap diacah.
“Ada masa kau baca lah..Tak perlu rushing,” Tangan berjabat.
Ungkapan salam menjadi pengakhiran bicara dua sahabat di pagi itu.
“Imran, jom. Nanti lewat,” nada Encik Rosli memanggil Imran pada pagi itu kedengaran agak berbeza. Lebih sedap didengari daripada sebelum ini.
Encik Rosli, pada pagi itu turut mengeluarkan aura baru yang lebih positif. Jika sebelum ini, hampir setiap pagi aura ke’singa’annya menjamah keceriaan pagi setiap orang hanya kerana Imran yang seringkali membuat perangai di pagi hari. Namun tidak pagi itu. Encik Rosli turut terkesan dengan perubahan positif yang boleh dikatakan drastik pada anak keduanya itu.
Di dalam kereta, Afiq, Luqman dan Iqbal ber ‘Hi-5’ tanda gembira.
                                                                  ^_^
“Bagi balik buku aku,”.
 Teriakan seorang pelajar bernama Fariz Najib tidak diendahkan mana-mana pelajar dalam kelas 3 Ikhlas. Masing-masing sudah lali dengan perangai Khairi dan kawan-kawannya, Musa, Sayuti, Imran, dan Syazwan yang gemar mengganggu ketenteraman dan awam serta keamanan sejagat di kelas tersebut. Bukan setakat kelas, mereka samseng peringkat sekolah.
Namun pada hari itu, Imran tidak pula menyertai keseronokan teman-temannya menyakat orang. Ada juga bisikan-bisikan yang bertanyakan tentang perangai pelik Imran pada hari itu. Sedari tadi, Imran hanya duduk di tempatnya. Khusyuk mengulangkaji pelajaran meskipun guru yang mengajar belum masuk ke kelas.
Hipo..Hipokrit je tu..”
“Mentang-mentang tahun ni PMR,”.
“Kenalah turunkan  level dosa sikit..”
Pergh…pedih.. Di sebalik buku yang sengaja diangkat menutupi wajah, Imran menggetap bibir. Menipis telinganya mendengar bisikan-bisikan negatif itu.
“Biar orang buat kita, jangan kita buat orang,” Suara pelakon Shaheizy Sam memberi nasihat di radio Era.fm yang berulangkali didengarinya membuatkan dia menurunkan level kemarahan yang membuak dalam hati. Dia sengih. Kalau dahulu, pesanan itu tidak pernah memberi kesan pada dirinya.
“Kalau level hidayah yang menyinari hati kau bertambah, esok lusa kau bertukar pulak pada IKIM.fm,” Rif’at berkata. “Banyak hiburan mendidik jiwa,”.
Imran sengih mengenangkan kata-kata Rif’at yang itu.
“Musa, bagi aku,” Suara Sayuti yang berdesing amatlah mengganggu tumpuan. Tangannya menyambut buku latihan Geografi kepunyaan Fariz yang dicampak ke arahnya.
Tawa Khairi yang bingit mengisi seluruh ruang kelas tersebut.
“Bagi aku pula,” Suara Syazwan pula kedengaran. Dah rasa macam belajar di tengah-tengah court bola jaring atau basketball.
“Hoi, dah lah. Aku nak belajar. Lepas ini kelas Geo lah,” suara Fariz seakan-akan sudah berputus asa. Namun, apakan daya, dia harus berusaha mendapatkan bukunya itu atau dia akan dimarahi kerana tidak menyiapkan tugasan yang diberi. Bala…
Khairi merampas kasar buku tersebut dari tangan Syazwan sehingga renyuk buku tersebut. Wajahnya didekatkan dengan wajah Fariz. “Ada. Aku. Kisah?” Lidah dijelir.
Sakan benar dia melihat muka Fariz yang sudah kelat menahan malu kerana dibuli.
“Imran, sambut!” Khairi, tanpa sebarang isyarat mencampakkan buku tersebut ke arah Imran.
Imran tersentak. Dia memandang sepi buku Geografi Fariz yang mendarat betul-betul di hadapan kakinya. Malasnye…
“Im, cepatlah. Kau malas nak campak pun, kau sepak lah sini,” Khairi berteriak. Dia dan Imran. Dua taiko berprestij di sekolah itu. Imran berdiri. Sangka mereka, Imran benar-benar mengambil posisi untuk menendang buku tersebut ke arah Khairi. Dan sangkaan mereka meleset.
Imran tunduk mengutip buku tersebut, lalu mengesat habuk akibat terseret di lantai. Dia merenung buku itu dan Khairi silih berganti.
“Ini,..” Buku tersebut didekatkan ke wajah Khairi. “…ilmu. Ilmu itu cahaya. Jangan kau campak-campak ilmu yang akan suluh kegelapan dalam diri kau. Nanti tak berkat,”.
Buku tersebut dipulangkan kepada pemiliknya. Senyuman manis dilontarkan kepada Khairi. Aku ikhlas der..
“Kau kena sampuk dengan bomoh Thailand ke Jawa ni?” Khairi bertanya. Sedikit terkejut dengan tindakan Imran.
Bomoh jiran sebelah…hehe, ampun, Rif. Sengih menghiasi wajah selamba Imran. “Tak ada lah. Kitakan nak PMR tak lama lagi, kenalah kurangkan buat dosa,”.
Khairi terpana dengan perubahan drastik Imran pada hari itu. Bukan dia seorang sahaja terpempan, malahan satu kelas. Bagai ada fenomena pelik yang melanda kelas 3 Ikhlas tersebut, semua menjadi senyap. Imran, terus dengan muka toya tidak berperisanya menyambung ulangkaji pelajaran.
                                                                  ^_^
“Hoi, kau apahal hari ni?” Khairi menepuk bahu Imran dari belakang.
Imran memperlahan langkahnya, agar dirinya dan Khairi berjalan seiring. “Aku? Tarapappa. Sihat je,”.
“Tipu,” Khairi menolak pipi Imran. Imran pantas menepis. Khairi ketawa, sudah tahu akan tindakan refleksi daripada Imran akibat perbuatannya tadi.
“Kenapa kau tanya?”
Khairi mengukir senyum segaris. “Tak adalah. Aku nampak kau dah macam cikgu yang nak naik pangkat jadi guru besar. Kemas semacam,”.
“Hensem, kan?” Imran membuat gaya macho. “Tapi guru besar jugak sebaik-baik perumpamaan kau bagi aku..”
Khairi mencebik. “Kau ni. Apa pun, aku harap kau tak tinggalkan aku. Kata kawan,”.
Imran ketawa kecil. “Mestilah tak. Takkan aku nak pergi syurga sorang-sorang, bosanlah aku nanti,”.
Khairi menepuk dahi. Aduh, nampak gaya macam Imran dah kena sampuk hantu taubat mana, dia sendiri tidak tahu. Siapa lagi nak jadi temannya yang gila-gila kacau orang, lepak-lepak, dan sebagainya?
Imran, kau jangan tinggalkan aku. Kata-kata hatinya mengiringi pandangannya yang mengiringi langkah Imran menuju ke arah musolla.
                                                                  ^_^
Imran merebahkan dirinya di atas sofa yang lembut itu.
“Hah..” Helaan nafas kelegaan diiringi tahmid meskipun hanya perlahan. Penat menyiapkan kerja sekolah. Dia langsung tidak bercadang untuk keluar rumah pada petang itu. Rif’at pula tidak kelihatan pada petang itu.
Barangkali masih di kelas pendidikan khas. Kebiasaan bagi Rif’at, kelasnya pada hari minggu akan berakhir agak lambat. Kerana itu, dia sering bertemu Rif’at hanya pada hujung minggu.
Anak Gaza itu, hati menggumam. Kehadiran Rif’at dalam hidupnya mengajar banyak perkara yang menyedarkan dirinya tentang hakikat kehidupan. Tanpa  berat hati, tanpa banyak rungutan, dirinya terasa amat mudah untuk melakukan perubahan. Sama ada dari segi akhlak mahupun kepercayaan atau dalam ‘bahasa Rif’at’ same as aqidah.
Paling penting yang dia ketahui, itu semua disebabkan kehadiran Aamir Rif’at sebagai sahabatnya. Namun, segalanya kembali kepada Allah, sang pengatur pertemuan manusia. Titian persahabatan yang sedang dibina bersama Rif’at merupakan sesuatu yang berharga dalam hidupnya. Naik dah aura kerek jiwang kau, Im…
Senyum segaris terukir, namun hilang begitu sahaja apabila mendengar bunyi hon dan deruman enjin motor yang singgah di hadapan rumahnya. Dia bingkas bangkit lalu menuju keluar rumah. Dia mendekati pemuda-pemuda bermotor itu. Not this time..
“Bro, sorrylah. Tapi  ayah aku tak bagi keluarlah,” Imran memandang mereka, membuka bicara.
“Bukan sejak dulu bapak kau memang tak bagi keluar ke? Sejak bila kau jadi anak soleh ni?” Pemuda yang paling tua dalam kalangan mereka yang dikenali sebagai Zul bersuara dalam nada memerli.
Imran hanya senyum. “Sejak aku sedar yang dari dulu lagi aku sepatutnya jadi anak soleh,”. Selamba dia menjawab. Muka, as usual, toya.
“Dia memang pelik sikit, sejak kebelakangan ni, Zul,” Khairi menyampuk. Tangannya menyeluk poket. Imran sudah dapat mengagak apa yang mahu dikeluarkan dari poketnya. Lekas tangannya menahan tangan Khairi.
“Simpanlah, Khairi. Aku dah tak berminat dengan benda itu,” Imran berkata. “Haram. Memudharatkan kesihatan,”.
Khairi  hanya merenungnya dan kembali menyeluk poketnya. Buntang matanya memandang Rif’at.
“Suka hati kaulah, ustaz,” Seorang lelaki yang senyap sedari tadi sengaja menggerakkan motornya ke hadapan sehingga Imran terjatuh akibat terdorong oleh tayar motor tersebut.
Dia lekas bangkit, merapatkan tubuhnya dengan lelaki tadi lantas menggenggam kolar bajunya.
“KAU APASAL NAK CARI GADUH?!” Imran berteriak. Sabarnya menipis. Barannya membara.
Genggaman tangannya ditepis kasar. Lalu satu tumbukan hinggap di wajah lelaki tadi.
“Itu kurang ajar namanya,” Lelaki itu turun dari motornya dan melayangkan satu sepakan kepada Imran. Pergaduhan terjadi.
“HOI! Jangan nak buat hal di sini lah,” Satu suara bergema bak halilintar, menyebabkan pertarungan terhenti.
Afiq Hafiz menarik Imran menghampirinya.
“Adik kau mula dahulu lah,” Lelaki tadi mengesat luka di bibir. Khairi dan seorang lagi pemuda menarik lelaki itu agar menjauhi Imran.
“Siapa kisah? Jangan datang ke sini lagi,” Afiq mengingatkan. “Kalau tak, aku tak hairan esok lusa ada yang patah tulang,”. Dia mengetahui kekuatan Imran. Pernah sekali digantung sekolah kerana menyebabkan seorang pengawas patah tangan dalam satu pertarungan. Mujur tak dilaporkan pada pihak polis.
 Tanpa berlengah, kesemua pemuda bermotor tadi termasuk Khairi segera beredar. Imran memandang abangnya.
“Terima kasih,” Imran tunduk, mengibas bajunya daripada tanah.
Afiq hanya sengih. “Dah pandai berterima kasih nampaknya,”.
“Aku patuh rukun negara kelima lah. Kesopanan dan kesusilaan,” Imran menjelir lidah.
Afiq hanya mencebik. “Apapun, aku bangga kau dah sedar untuk tak sertai mamat-mamat  tu lagi.  Kalau tak, aku biar je tadi kau kena belasah,”.
“Kurang asam,”.
“Aku pasti dia pun bangga dengan kau,” Afiq mengangkat kedua-dua belah keningnya.
“Dia?”
Afiq memuncungkan bibirnya ke satu arah. Imran mengangkat muka. Serta-merta wajah Rif’at menyapa pandangannya, sedang berteleku di bahagian beranda rumahnya. Rif’at tersenyum sambil mengangkat tangan.
“Dia tengok dari awal tadi,” ujar Afiq sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.
                                                                  ^_^
September 8, 2029
Hari pertama PMR.
 Rif’at telah diluluskan untuk menyertai pelajar Malaysia lain dalam menduduki PMR. Dia akan mengambil peperiksaan tersebut di sebuah sekolah menengah berhampiran. Imran pula, sudah tidak sabar-sabar mahu menduduki peperiksaan besar itu. Itu kali pertama seumur hidupnya berasa tidak sabar untuk menduduki peperiksaan.
Berbekalkan usaha dan ilmu yang dipelajari, dengan penuh semangat dia bersedia pada pagi itu. Lebih menambahkan semangatnya adalah apabila dia dapat melihat ayahnya sudah ‘menurun’kan keyboard Casionya dengan meletakkannya di bilik tidur ayahnya.
Beg diletak di bahagian belakang kereta. Pada hari itu, ayahnya akan menghantar dia ke sekolah awal, manakala adik-adiknya akan ke sekolah menaiki motor abangnya. Imran berjalan mendekati adik-adiknya.
“Doakan abang,” Imran mengusap kepala Luqman. Tak pernah-pernah.
“Ya..” Luqman  sengih.
“Itu sahaja?”
Luqman mencebik. “Habis itu, nak apa lagi?”
Imran mengetuk perlahan kepala Luqman. “Pergi lah, kau. Tak sayang abang, kan. Iqbal mana?”
Luqman hanya ketawa sambil menyarungkan helmet ke kepala. Iqbal menghampiri Imran lalu menghulurkan tangan. Imran menyambut huluran tersebut dan mengulang perkara yang sama yang dikatakan kepada Luqman sebentar tadi.
Akhir sekali, dia menghampiri Afiq. Kedua-duanya kaku, mengharapkan diri masing-masing menghulurkan tangan terlebih dahulu.
“Cepatlah. Siapa yang nak PMR ni? Kau ke aku?” Afiq memecah sunyi.
“Akulah. Ya, aku minta maaf, minta ampun, banyak buat salah pada kau,” Imran bersuara, membuat gaya seperti menyerah diri. Afiq tersengih.
“Kau kena bagi satu contoh kesalahan yang kau buat, baru aku ampunkan,” Afiq tersenyum sumbing.
“Cis, banyak songeh lah” Imran menggetap bibir. “Aku letakkan garam dalam teh’ O kau. Yelah, nanti kalau aku dapat straight A’s, aku buatkan kau teh’ O,”.
Laju Afiq menggeleng. “Aaah…tak payah susah-susah. Hari tu kau letak garam, esok lusa entah belacan ke apa-apa pulak kau taruh..”
Imran mengangkat sebelah kening. “Nice idea..”
Ketawa Afiq berderai. “Macam inilah baru adik mithali namanya. Dah, pergi sana. Ayah dah tunggu. Good luck and wish you all the best, little bro,”.
Little laa sangat. Aku dah besar lah,” Imran berlari-lari anak ke arah kereta sambil menjelir lidah kepada Afiq. Dia memastikan tiada apa yang dilupakannya untuk dibawa.
“IC ada?”  Encik Rosli bertanya. Imran angguk.
“Slip peperiksaan?” Angguk lagi.
“Alatan tulis cukup?” Angguk lagi, namun otaknya ligat berfikir. Seakan ada sesuatu yang amat penting yang dia terlupa.
“Ahah!” Jari dipetik. Dia sudah ingat. “Ayah, 5 minit, ya,”.
Encik Rosli memandang jam tangan. “Cepat sikit,”.
Imran berlari mendekati pagar rumah jirannya.
“Lupa aku, ya?” Rif’at tersenyum, menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi. Sedari tadi dia memerhati Imran.
“Mana mungkin aku lupa,” Imran bersalaman dengan Rif’at.
Rabbuna Yusahhil. Semoga Allah permudahkan. Ingat, apa-apa pun, usaha habis-habisan. Kemudian, serahkan pada Allah,” Itulah Rif’at yang dikenalinya sehingga hari ini. Tidak pernah lekang dengan nasihat. Senang hatinya.
“Insya-Allah. Doakan  aku,” Imran senyum.
Senyum dibalas, “Selalu, sahabat,”.
                                                                  ^_^
“Khairi, good luck,” Imran menunjukkan tanda thumbs-up kepada Khairi dan Musa. “Musa pun,”.
“Senyaplah kau,” Khairi menjeling. Dia dan rakan-rakan lain mula bersikap dingin terhadap Imran sejak beberapa bulan lalu, bermula sejak peristiwa Imran membongkarkan perbuatan mereka meniru dalam peperiksaan percubaan dengan memberitahu kepada guru bertugas. Dia tidak punya pilihan lain melainkan melaporkan perkara tersebut kepada guru meskipun dia tahu Khairi dan rakan-rakan lain akan membencinya setelah itu.
Imran terdiam. Ujian, Im..
                                                                  ^_^
“Barang dah siap?” Dr. Abu Khairuddin bertanya. Rif’at memandangnya.
“Sudah. Cuma ada beberapa benda dan pakaian yang nak digunakan yang Rif belum kemas lagi,” ujar Rif’at.
“Imran dah tahu?” Dr. Amina pula bertanya.
Rif’at menggeleng perlahan. “Takut perkara ini akan ganggu konsentrasinya, lagi-lagi sekarang ini musim PMR. Rif ingat, nak bagi tahu esok, selepas paper terakhir,”.
Dr. Abu Khairuddin menghela nafas. “Sebolehnya, bagilah tahu dia secepat mungkin, takut nanti tak sempat,”.
Rif’at mengangguk. “Abi, Rif belum boleh miliki handphonekah?”
“Dah tak sabar?” Dr. Abu Khairuddin ketawa kecil. “Belum masanya, Aamir Rif’at,”.
Rif’at mengangguk memahami. Abi dan umminya benar-benar menjaga dan memeliharanya sehingga dirinya tidak dibenarkan memiliki telefon bimbit mahupun akaun-akaun dalam laman web sosial di internet.
Rif’at sendiri tidak pernah merungut mahupun banyak soal, memandangkan dia benar-benar memahami tujuan abi dan umminya berbuat demikian. Lagipun, dia sendiri tidak punya tujuan tertentu untuk memiliki semua itu. Mengikut peredaran zaman? Bukan alasan.
Namun, apa yang mengganggu fikirannya tentang perkara itu adalah apabila suatu hari nanti dia terpisah dengan Imran, dia tidak tahu bagaimana mahu menghubunginya.
Apapun, bagi orang-orang beriman yang bersahabatnya mereka berlandaskan keimanan, cukup bagi mereka doa sebagai penghubung. Hatinya lega kembali.
                                                                  ^_^
“BAM!!”
Pintu bilik air itu dihempas kasar.
Imran terpempan. Dia dipanggil oleh Sayuti yang mengatakan ada sesuatu yang berlaku di tandas tersebut. Tanpa banyak soal, segera dia bergegas. Kini dia tahu bahawa dia terperangkap apabila dia dikelilingi Khairi dan rakan-rakan yang lain.
“Ini semua kerja kau, kan, Imran?” Suara Khairi melenting menggetarkan gegendang.
Imran hanya diam.
“Kau yang laporkan pada guru disiplin kan?” Khairi merapatkan dirinya pada Imran sehingga dia tersepit. “Kau memang dengki dengan kita orang semua dari dulu lagi,”.
“Kau ingat meniru tu tak salah laa?” Imran bersuara. “Holla, ini PMR, kau sedar tak?” Holla? Diteguk liur. Dah macam DJ Dina Nadzir dalam Era.fm pula gayanya. Sumpah balik nanti kena khatam pula gaya bicara DJ Faiz Hj. Othman dalam segmen Santai Malam di radio IKIM. Aaah…bantai je..
“BAM!” Pintu tandas bersebelahan hampir retak disepak Khairi penuh amarah.
“Kata kawan. Aku nak selamatkan kau, Khairi, dan kawan-kawan lain juga,”  Imran menahan amarahnya. Sifat barannya mula menyala.
“Kawan apa, jahannam?” Khairi menolak tubuh Imran dengan kasar. Jiwa mudanya tercabar.
Imran berdiri tegak. Tubuhnya yang tegap dengan mukanya yang membengis menggetarkan kawan-kawan Khairi yang lain. Gaya yang sudah lama tidak ditunjukkan oleh Imran setelah sekian lama. Hari ini, taiko of the taikos kembali menunjukkan belang. Khairi sudah sedia dengan posisinya. Sayuti, Syazwan, dan Musa sudah mengelilinginya.
Nampaknya pertarungan dahsyat akan tercetus.
                                                             ^_^
“Apa?” Cepat-cepat bibirnya menggumam istighfar. Diri yang masih lagi dalam keadaan terkejut menerima berita itu ditenangkan dengan istighfar.
“Apa pula lah yang Imran buat?” Dr. Amina menggumam. Dr. Abu Khairuddin turut tidak percaya dengan berita yang didengarnya tadi. Mengenangkan masa silam yang pernah dilalui Imran, dia cuba untuk memahami.
Masa semakin suntuk. Dia sendiri belum sempat bertemu Imran seperti yang dihajatkannya malam tadi. Jika benar apa yang disampaikan Afiq sebentar tadi….haih..tak sempatlah..
“Abi, izinkan Rif jumpa abang Afiq sekejap,” Rif’at meminta izin. Dr. Abu Khairuddin mengangguk.
“Tapi jangan lama-lama,” pesan Dr. Abu Khairuddin. Rif’at mengangguk akur. Segera dia mencapai sweater Cheetah berwarna maroon yang tergantung berhampiran. Langkah diatur. Hujan lebat diredahnya. Ke rumah jiran sebelah je, bukannya jauh mana pun.
“Assalamua’laikum, abang Afiq,” Rif’at menyapa Afiq Hafiz yang duduk mengambil angin di luar rumah. Afiq menjawab salam. Perlahan sahaja suaranya.
“Apa yang terjadi? Macam mana Imran…” Rif’at duduk setelah dijemput, namun mulutnya tidak dapat ditahan daripada bertanyakan tentang sahabatnya itu.
Afiq menghela nafas panjang sebelum memulakan cerita.
                                                              ^_^

3 Minggu kemudian…
Imran menjinjing beg bajunya sambil berpaling ke belakang. Brr…seram…
Sumpah, dia tidak akan jejak tempat itu lagi. Kejadian tempoh hari benar-benar memberinya pengajaran agar mengawal sifat panas barannya itu dengan kesabaran yang tinggi.  Nasib Khairi paling teruk, dan dia sendiri tidak tahu khabar Khairi sekarang.
Dengan senyuman segaris yang tawar, dia berlari perlahan mendekati kereta Proton Inspira 7.0 yang dipandu Afiq. Afiq menyambutnya dengan senyuman. Di tempat duduk belakang, Iqbal dan Luqman melambai dengan gembira, menyambut kepulangannya.
Tali pinggang keledar disarung.
“Alhamdulillah, kau dah keluar. Budak-budak ni rindu pada kau, Im,” Afiq menggumam sambil menumpukan tumpuan terhadap pemanduannya.
“Eleh..abang Afiq yang sebenarnya yang rindu abang Imran,” Luqman yang menyampuk.
Afiq sengih. “Tunggu sehari sebelum qiamatlah jawabnya,”.
“Dahlah, tukar topik. Tak kuasa aku nak layan topik rindu-rindu ni,” Imran memandang ke luar tingkap.
“Nasib baik kau hanya 3 minggu di sekolah juvana ini,” Afiq memulakan topik baharu. “Lain kali, kawal sikit amarah itu. Habis anak orang kau belasah, Im,”.
Imran senyum segaris. “Benda dah lepas, lah, abang Afiq. Kalau boleh ubah, tak apa lah kau sebut-sebut. Diorang yang cari pasal dahulu,”.
Afiq hanya ketawa. Imran teringat akan sesuatu. Rif’at.
“Abang, apa reaksi Rif’at bila dia tahu pasal perkara ni?” Imran memandang Afiq.
“Pertama, mestilah dia terkejut. Kedua, dia sedih sangat sebab tak ada di sisi kau, saat kau hadapi detik-detik sukar untuk kawal amarah kau tu. Dia pun tahu kau ni problem sikit bab control perasaan baran kau..” Afiq mengecilkan mata, fokus pada jarak keretanya dengan kereta di hadapan. “Ketiga, dia sedih sebab tak…”
Sepi.
“Sebab apa?” Kalau tak ditanya, agaknya sampai rumah nanti baru Afiq menghabiskan ayatnya.
“Aku tak habis cakap lagi lah,” Afiq berkata.
“Kau cakap slow sangatlah, abang Afiq,” Imran memerli. “Tak sabarnya nak balik jumpa Rif,”.
“Im…”
“Kau bawa laju sikit boleh tak, abang Afiq?” Imran mencuit bahu Afiq. “Biar aku pula yang pandu,”.
Afiq menepis tangan Imran. “Mimpi je la. Kalau kena saman, lambat juga kita sampai rumah. Apa kau ingat ni Ferrari nak pecut-pecut?”
“Rif tahu tak aku balik hari ni?” Riak gembira terpancar di wajahnya. Nak kata rindu, tipu kalau kata tak langsung. Tapi tak nak mengaku. Well, ego~…. Rindu juga pada bebelannya dan semua kerenahnya. Yang dia pasti, Rif’at kecewa dengan perkara yang dilakukannya tiga minggu lepas.
Afiq menggeleng perlahan. “Tak, dia tak tahu,”.
Yeah..”.
“Imran,” Afiq  menyeru namanya perlahan. Imran kelihatan tidak mendengar panggilan tersebut.
“Bagus, boleh lah aku buat kejutan untuk dia,” ujar Imran.
“Imran Fatih bin Rosli,” Afiq menyeru lagi.
“Ya, abangku Afiq Hafiz bin Rosli,” Imran menyahut. Wajah si abang dipandang dengan kening terangkat sebelah.
Afiq menjeling sekilas wajah si adik. Melihatkan senyuman lebar yang hampir mencecah telinga dek kegembiraan yang menghiasi wajah Imran Fatih membuatkan Afiq serba salah untuk menyambung ayat seterusnya.
Imran menanti dengan nafas tertahan-tahan. Nak cakap ke tak ni…
“Imran, Rif’at dah pergi… seminggu selepas kau masuk sekolah juvana itu,” Afiq menghela nafas.
Pergi?

No comments:

Post a Comment