TIA menolak juntaian rambut di dahinya ke belakang. Rambutnya yang diikat tocang
kuda dikemaskan dengan tangan kanan. Sesekali anak matanya akan mencuri pandang
pada blok sebelah sana – blok terletaknya kelas Rex. Mengingati wajah Rex dan
sebaris nama itu membuatkan dia jadi tak keruan. Tia tarik nafas panjang. Yang
aku ni pun, dok sibuk nak fikir pasal Rex tu kenapa entah? Ada apa-apa urusan
ke dengan dia?
Langkah kaki diatur kemas menuju
ke kelas. Anak matanya tertumpah pada jam dipergelangan tangan. 10.30 pagi.
Waktu rehat. Ingatkan sekejap je urusan kat pejabat tu. Sekali hambik kau lama nak mampus.
Tangan dah naik lenguh mengisi entah borang apa yang kerani
tu bagi. Tak cukup dengan tu, kena tunggu lama pulak tu. Tia tarik nafas
panjang sekali lagi. Penat. Tangan kanannya mengurut-urut pangkal tengkuk yang
terasa sengal.
Tia menarik nafas panjang sebelum menghembuskannya
perlahan-lahan. Sesekali telinganya menangkap bunyi burung-burung yang
berterbangan di kawasan sekolah itu. Beberapa gazebo di kawasan sekolah itu
juga tiada yang kosong – semuanya penuh dengan pelajar-pelajar sekolah itu yang
sedang duduk melepak. Yelah, waktu rehat pun.
“Weh.” Tia kerut dahi? Ada orang
panggil aku ke?
“Weh” Sekali lagi suara itu menyapa gegendang telinga. Tia
berpaling ke belakang apabila terasa suara itu seperti memanggilnya. Susuk
tubuh Rex menyapa mata. Eh? Baru je dok sebut nama dia dah muncul depan mata.
Jodoh ke? Wah wah, jodoh bagai.
“Rex.” Perlahan separuh berbisik.
“Dari mana?” Rex menyoal. Cuba
menjadi normal seperti yang disuruh Sam. Tapi, dia sedar ada nada kekok dan
beku dalam suaranya. Dia tahu dia tak mampu jadi normal macam yang Sam nakkan.
Sam ni pun satu.
Tadi mereka berdua atau lebih
tepat mereka berempat – dia, Sam, Joe dan Fadil sedang duduk lepak-lepak borak
kosong di salah satu gazebo yang ada di sekolah mereka sambil menikmati waktu
rehat mereka. Dalam tengah syok-syok berborak tu Joe yang menegur, cakap dia
macam ternampak Tia berjalan macam nak ke arah kelas.
Terus tiga pasang mata beralih ke arah yang Joe cakap tu.
Sam pulak waktu tu dah sibuk-sibuk tolak Rex suruh pergi kejar Tia. Dan di
sinilah dia berdiri sekarang, berhadapan dengan Tia Ameena selepas didesak
macam nak gila oleh Sam. Sam ni memang nak kena lepas ni.
“Dari pejabat.” Tia membalas
dengan kening terangkat. Dari gerak tubuh Rex dia tahu lelaki di hadapannya tu
tak selesa dengan keadaan mereka ketika itu.
Rex mengurut pangkal tengkuknya.
“Pejabat ada apa?” Ayat Rex dah jadi tak tersusun. Payah betul dia nak menyusun
ayat dan mengeluarkannya. Macam ni ke susahnya nak bercakap dengan orang yang
kau suka? Atau pun aku je yang rasa macam ni?
Tia gelak. Perlahan. “Ada urusan
sikit.” Senyuman terukir di bibir. Manis.
Rex terkesima. Dia gelak Rex. Dia gelak. Depan kau. Dia
gelak. Siap senyum lagi tu. Mak aih, cantiknya senyuman tu. Hatinya terasa
berbunga. Perasaan yang dibendung selama setahun macam luruh dari tempat
takungannya. Macam daun kering yang gugur dari dahan. Meledak dan terus meledak
dalam hati. Rex ketap bibir bawah. Dia perlu beredar dari situ dengan cepat.
Dia tak tahu apa yang perlu dibuat.
“Oh.” Hanya itu yang terpacul
dari mulutnya.
“Kenapa?”
Geleng. “Tak, diorang...err,
takde apa-apalah.” Rex menolak hujung rambut di belakang. Eh, jangan kacau
pandangan mata akulah rambut oi! Rex, sabar Rex. Tenang tenang. She’s there. Dia bukan gambar yang kau
tatap setahun lepas. Setahun lepas dia hanya bayangan dan mimpi kau. Tapi
sekarang dia realiti. Dia ada kat situ. Terpisah hanya tiga-empat tapak je dari
tempat kau berdiri.
“Betul?” Tia menyoal. Anak
matanya memandang tepat ke dalam anak mata Rex. Rex cepat-cepat melarikan
pandangannya ke arah lain. Terasa macam nak tercabut jantung saat Tia
memandangnya sebegitu. Segala urat saraf turut sama mengecut. Hati aku tak
cukup kuat. Sabar, sabar.
“Er, betul.” Rex menjawab. Gugup.
Ah, sudah! Sejak bila Muhammad Redza gugup depan perempuan ni? Selama ni
selamba badak je kau cakap macam orang tak berperasaan depan perempuan. Muka
memang kerek sentiasa, nada memang beku je semedang. Mana hilangnya Muhammad
Redza yang dulu?
“Okay.”
“Dah makan?” Rex menyoal. Tia
angkat kening. Amboi, banyak soalan pulak mamat ni hari ni. Kalau tak, nak
dengar suara pun payah sangat. Macam ada emas je dalam mulut tu. Yang jadi
peramah semacam ni kenapa?
“Belum.” Pendek Tia menjawab.
Tia mengerling jam di pergelangan
tangan. Waktu rehat hanya tinggal lagi 15 minit. Tak tahulah sempat ke tak nak
lari pergi kantin. Macam tak sempat je. Nampak gayanya tak makanlah aku ni.
Hmm.
“Err, jomlah lepak dengan
kitorang. Adalah roti kalau nak makan. Sam belanja.” Rex offer. Tia pandang Rex dengan muka pelik. Eh, eh? Ni ke Muhammad
Redza yang dia kenal masa awal-awal dulu? Apasal macam lain je ni? Dia ni kena
sampuk hantu saya-jadi-peramah-hari-ni ke hape?
Rex yang perasan pada perubahan riak wajah Tia terus jadi tak tentu arah. Dia
tak tahu nak deal dengan perempuan.
Tak termasuk adik-adiknya tu. Yang tu cerita lain.
“Tapi, kalau kau tak nak takpe.”
“Takpe. Aku join korang.” Tia memintas laju. Rex mengukir senyuman nipis tanpa
sedar. Tia terkedu. Dia senyum!
“Okay.”
Mereka sama-sama melangkah beriringan menuju ke gazebo
tempat yang menjadi port lepak mereka
tiap kali waktu rehat.
Sam sedang mengunyah roti yang dibelinya dari koperasi
sekolah. Joe dengan Fadil pulak masih lagi rancak berbual. Tak tahulah tentang
apa. Mungkin pasal budak kelas mereka. Yelah, mereka berempat berlainan kelas.
Hanya Joe dan Fadil yang berjodoh untuk sekelas. Cikgu semua takut agaknya nak
tempatkan mereka dalam satu kelas. Takut mereka buat kecoh. Macamlah
cikgu-cikgu sekolah mereka tu tak kenal dengan mereka berempat.
“Eh, Tialah.” Sam buat-buat
terkejut. Tia senyum. Rex buat muka jengkel. Kalau bab berlakon dia memang
juara. “Nak makan?” Sam menghulurkan bungkusan roti yang masih belum berbuka.
Tia mengambil bungkusan roti itu dari tangan Sam.
“Mana Paan dengan Apek?” Tia
bertanya. Dua muka yang tidak dikenali melemparkan senyuman ke arahnya. Tia
membalas sekadar cukup syarat sambil mengangukkan sedikit kepalanya.
“Paan dengan Apek bukan sekolah
sini. Kenalkan, Joe. Yang sebelah tu Fadil.”
“Yo.” Joe bersuara. Fadil sekadar
mengangkat tangannya.
Rex sudah pun melabuhkan
punggungnya di atas kerusi batu berhadapan Sam. Tia pulak mengambil tempat di
atas kerusi bersebelahan Sam. Sam hantar isyarat mata kepada Rex tentang jarak
dia dan Tia. Rex buat-buat tak peduli. Kisah pulak aku? Takat duduk
sebelah-menyebelah macam tu sikit pun aku tak heran. Atau, mungkin aku heran
sikit? Panas jugaklah hati ni tengok dorang duduk sebelah-menyebelah gitu tapi
kenalah berlagak selamba.
Tia membuka plastik yang
membungkus roti di tangannya. Roti yang sudah dibuka digigit lalu dikunyah
perlahan-lahan. Rex memerhati dengan ekor mata setiap tingkah laku Tia. Setiap
kelakuan Tia dirasakan menarik. Tak jemu untuk dilihat. Jantung dah tak tahu
berdegup selaju mana. Dan dia juga seperti tidak sedar yang dirinya sedang
diperhatikan oleh tiga pasang mata – Sam, Joe dan Fadil.
Sam berdehem. Rex tersentak.
Terus dia buat-buat menyelak majalah yang dibawa Fadil yang diletakkan di atas
kerusi batu bersebelahan dengannya. Majalah itu diangkat menutupi wajahnya yang
dah mula memerah. Panas.
“Terima kasih Sam untuk roti ni.”
“Sama-sama. Terima kasih untuk
kau jugak.” Sam senyum. Sengaja dia menekankan perkataan ‘terima kasih’ itu
supaya sampai ke corong telinga Rex. Lagipun, Rex tentu faham untuk apa terima
kasih itu.
“Kenapa?”
“Takde apa-apa. Saja nak cakap
terima kasih.”
Tia angguk lantas menarik
senyuman manis. Rex masih lagi dengan majalah di tangan. Tak sanggup nak
memandang Tia lagi. Dia tak nak tertangkap pandang Tia macam tadi. Malu. Malu.
Malu sampaikan tak tahu mana nak disorokkan mukanya tika itu. Kalaulah dia ada
sayap, mahu je dia terbang sejauh mungkin. Biar tak bertembung dengan
kawan-kawannya yang suka mengusik tu.
Loceng berbunyi. Tia pandang jam
ditangan. 11 pagi. Waktu rehat dah tamat. Tia bangun dari duduknya. Kedua-dua
belah tangan membetulkan baju kurung. Empat lelaki di hadapannya masih lagi
duduk – tak berganjak dari tempat mereka.
“Tak nak balik kelas?”
“Kau balik dulu. Kitorang nak
lepak lagi kat sini.”
“Okay, jumpa kat kelas.” Tia
terus melangkah meninggalkan mereka berempat di situ. Rex menghantar langkah
Tia dengan ekor matanya disebalik majalah yang menutupi hampir keseluruhan
wajahnya.
Sam berdehem.
Majalah ditangan ditutup dan
diletakkan di tepi. Rex pandang Sam macam nak telan hidup-hidup. Sam tahu Rex
bengang dengannya. Yelah, siapa je tak bengang kalau jadi Rex kan? Tapi, dia patut
berterima kasih sebab dengan pertolongannya dapat jugak bercakap dengan Tia tu.
Siap cakap berdepan lagi.
“So? Resolution?”
“Apanya lagi?” Rex dah penat. Tak
larat nak bermain dalam permainan yang diatur oleh Sam. Letihlah jadi pemain.
Boleh tak nak tarik diri dari game
ni? Tia yang tak tahu apa-apa tu tak pasal-pasal terbabit sama dalam permainan
ni. Permainan mengenal hati sendiri. Cehh!
“Kau suka awek tadi ke Rex?”
Fadil angkat kening.
“Boleh tahan.” Joe memberi komen.
Rex menghela nafas.
“Manade.” Rex cuba menafikan atau lebih tepat dia cuba mengelak
sebenarnya. Dia tak nak ada yang tahu. Cukuplah Sam seorang yang tahu. Dia
tidak mahu menambah lagi bilangan orang yang tahu akan perasaannya.
Setahun. Setahun tu tempoh yang terlalu lama. Dahlah jatuh
suka kat orang yang dia tak kenal. Terjumpa kat tepi tasik tempat dia lepak
dengan Sam. Siap ambil gambar curi-curi lagi. Bukan je satu gambar tapi ada
enam gambar semuanya. Cuba bayangkan kalau Tia tahu? Apa yang dia fikir? Mesti
dia ingat aku pervert. Mesti dia
ingat aku stalker. Mesti dia ingat
aku teruk gila. Siapa je yang simpan gambar orang yang tak dikenali selama
setahun? Siap cuci gambar letak dalam frame
lagi. Jangan kata letak dalam frame
siap peluk bawak tidur. Sakit sangat dah tu.
“Tak payah nak berdalihlah. They saw it.”
“Ala, Rex. Kalau dah suka go ahead jelah. Aku tak nampak sebab apa
yang kau kena simpan perasaan tu sorang-sorang.” Fadil dah masuk mode ceramah. Fadil ni kalau bab bagi
nasihat dia memang pakar. Semua nasihat dia tu berguna juga. Tapi adakalanya
nasihat dia tu boleh campak masuk tong sampah. Tak boleh pakai.
“Betul cakap Fadil. Bukannya kau
bunuh orang ke apa.” Joe menyokong. Sam angguk. Bila dah tiga lawan satu,
takkan ada chance untuk Rex berdalih
dan mengelak lagi. Rex, nak dengan tak nak kena terima setiap apa yang Sam
lakukan untuk kebaikan dia jugak. Tapi, dalam situasinya sekarang dia tak tahu
di mana letaknya kebaikan setiap apa yang Sam lakukan tu.
“Dahlah. Aku gerak balik kelas.
Balik nanti macam biasa.” Rex terus bangun. Dia menggeliat. Matanya yang terasa
gatal digosok-gosok dengan tangan kanan. Tanpa pamitan, dia mengatur langkah
meninggalkan tiga orang kawannya di gazebo itu. Tiga keluhan dilepaskan
serentak.
SUASANA
di dalam kelas ketika itu riuh-rendah dengan suara seisi ahli kelas itu.
Masing-masing macam tengah beradu siapa yang paling bising dalam kelas. Sam di
tempat duduknya – melentokkan kepala di atas meja beralaskan lengan.
Dia malas nak turut serta membuat bising. Tak ada mood.
Sesekali anak mata mencari Rex di blok sebelah sana. Rex sedang khusyuk dengan
kelas yang tengah berlangsung tika itu. Sam tarik nafas dan menghelanya keluar.
Entah bilalah Rex ni nak ada keberanian? Kemudian, pandangannya beralih pula
pada Tia yang sedang menyelak helaian buku di hadapan.
Tiba-tiba dia mendapat satu akal.
Nak cuba? Tak salahkan kalau mencuba? Semua ni demi kawan. Kesian kawan aku tu
dok kemaruk selama setahun ni sebab cik Tia kita ni. Sam masih lagi dengan kepalanya
di atas meja beralas lengan.
“Tia.”
“Hmm?” Matanya tak beralih dari
muka surat di hadapan.
“Nak tanya boleh?” Sam mengetuk-ngetuk
mejanya melagukan melodi yang tak ada tempo dengan hujung jari. Tia pandang Sam
dengan muka pelik.
“Apanya?”
“Apa pendapat kau tentang Rex?”
“Pendapat aku?”
Sam angguk. Matanya memandang Tia
yang sedang berfikir. Tia pandang siling kelas. Pendapat aku tentang Rex, huh?
“Dia dingin.” Itu yang keluar
dari mulutnya. Ya, dia dingin. Dia macam tak nak ada orang dekat dengan dia. Ke
dia macam tu bila dengan aku je? Tapi, dia dengan Sam macam okay je. Hmm. Tapi,
rasanya dia macam tu dengan semua orang kecuali Sam. Mungkin sebab mereka dah
berkawan dari kecik kot. Jadi, macam tak ada masalahlah untuk dia tunjukkan his true color kan?
“Lagi?”
“Dia macam banyak sangat benda
yang dia fikirkan. Aku rasalah.” Masih memandang siling dengan jari telunjuk di
dagu. Senyuman nipis bergayut di bibir Sam.
“Lagi?”
“Lagi? Erm, akan ada satu masa
dia jadi lain macam. Macam tadi.” Tia memusing-musingkan pen di tangan sambil
menongkat dagu. Ya, macam tadi. Sangat lain macam. Langsung tak macam Rex yang
dikenalinya awal-awal dulu.
Tiba-tiba je dia jadi macam banyak cakap. Banyak betul
soalan. Walaupun dia perasaan masih ada nada kekok dalam percakapannya tapi
kira okaylah kalau dia nak bercakap, kan? Tia memandang terus ke papan putih di
hadapan kelas. Sam angguk. Dia macam faham apa yang cuba Tia sampaikan.
Rex boleh jadi dua orang yang
berbeza dalam situasi yang tertentu. Dia boleh jadi sangat dingin dengan orang
dan dia boleh jadi peramah - banyak
cakap dengan orang. Itu Muhammad Redza,
Rex. Tapi, akan ada masa dia jadi tak pasti dengan diri dia sendiri. Macam
keadaan dia sekarang ni.
“Kenapa tiba-tiba tanya?” Tia
kembali menjatuhkan fokusnya pada buku yang terbuka luas di hadapannya. Sam
diam. Kenapa eh? Sebab aku nak tau.
Sam menyandarkan tubuhnya ke
belakang dengan tangan bersilang. “Random.”
Ringkas jawapan dari Rex. Tia tak bertanya lagi. Suasana kembali sepi antara
mereka. Hanya kedengaran bunyi helaian buku diselak.
“Kau tak nak apply masuk kelas elit?” Soalan Sam menarik perhatian Tia.
“Boleh ke?”
Angguk. “Orang macam kau takkan
ada masalah masuk kelas tu. Lagipun…” Sam tidak menghabiskan ayatnya. Sengaja
dibiarkan tergantung begitu. Sebenarnya dia tak tahu perlu atau tidak dia
memberitahu. Dia nak cakap ‘Rex ada kat kelas tu’ tapi biarlah.
Tia menunggu Sam untuk
menghabiskan ayatnya yang tergantung sebentar tadi tapi Sam macam tak
menunjukkan tanda-tanda hendak menyambung ayat itu. Akhirnya, Tia membiarkan
sahaja.
“Kalau kau nak apply, mintak application form kat cik Aznida.”
“Kelas elit tu memang kena apply?”
Geleng. “Diorang tu dipilih tapi
kalau ada yang nak masuk boleh je.” Sam bermain-main dengan hujung rambutnya.
Tia gigit belakang pen. Kalau masuk kelas elit tu maknanya aku sekelas dengan
Rex kan?
“Rex tu macam mana orangnya?”
Perlahan sahaja soalan itu meniti di bibirnya. Hampir-hampir tidak kedengaran.
Sam mengetuk dagunya. Macam mana eh?
“Complicated.” Satu perkataan yang cukup untuk describe seorang Farish Ikhwan.
Ya. Dia sangat complicated.
Susah untuk difahami. Susah untuk disuruh membuat keputusan. Susah nak bergaul
dengan orang. Segalanya susah. Dingin. Macam yang Tia cakap tadi. Rex macam
dengan dunianya. Cold person. Tapi,
kalau ada yang ternampak dia di rumah mesti tak akan ada sesiapa yang percaya
itu Rex. Kontra. Macam langit dengan bumi. Lain sungguh bila dia di rumah dan
luar rumah.
“Mesti penat jadi kau.”
“Sangat.” Sam menghela nafas panjang.
“Tapi dia bertuah sebab ada kawan
macam kau.”
Sam angkat kening.
“Kawan yang akan ada di sisi dia
susah dan senang.” Sambung Tia dengan senyuman ditarik melepasi bibir. Sam
mengalih pandang ke arah lain.
Dia jadi malu tiba-tiba mendengar ayat itu. Kawan yang aka
nada di sisi dia susah dan senang, Kata-kata Tia terngiang-ngiang di
telinganya. Sam memandang blok sebelah sana. Rex sedang tekun belajar. Belajar
ke? Anak matanya terus pada whiteboard di hadapan. Serius.
“Kau rasa akan ada ke perempuan
suka dia?”
“Siapa?”
“Rex.”
“Dia akan jumpa orang yang dia
akan cherish sepanjang hayat dia.
Kena tunggu sikitlah. Perempuan tu, aku takkan kata dia malang tapi dia bertuah
sebab berjaya tawan hati Rex. Err, mungkin malang jugaklah sebab dia suka Rex.”
Serentak mereka berdua ketawa.
Tia mencuri pandang Rex di blok sebelah sana. Senang betul nak cari sebab dia
duduk betul-betul tepi tingkap. Sampaikan dia sendiri dah tau angle mana yang terbaik nak tengok Rex
dengan jelas – sejelas-jelasnya.
Tengah mereka ralit memerhatikan
Rex, tiba-tiba kelas jadi sunyi. Sam dan Tia jadi pelik. Anak mata terus
beralih memandang seluruh kelas. Kenapa senyap tiba-tiba? Sam pandang muka
pintu. Dia telan air liur. Eh?
“Azam!!” Suara perempuan di muka
pintu menarik perhatian setiap ahli di dalam kelas itu. Sam dan angkat punggung
bersedia untuk lari. Kenapa dia datang waktu-waktu macam ni?
Sam merapatkan bibirnya ke
telinga Tia. “Aku nak pergi selamatkan diri.” Tanpa menunggu sesaat berdesup
dia lari meninggalkan tempat duduknya dan kelas. Lari lintang pukang. Si cantik
manis yang berdiri terpacak di muka pintu tadi turut sama lari mengejar Sam.
Tia kerut dahi. Apakah?
Suasana kembali riuh dengan gelak
ketawa. “Sam! Selamatkan diri. Jangan tertangkap.” Suara Ijat – duduk selang
dua meja darinya menjerit ke luar kelas kepada Sam.
“Darina! Go get him.” Firdaus pula menjerit. Tapi buat si gadis manis itu
barangkali. Yelah, Darina tu kan nama perempuan. Takkan untuk Sam pulak.
Tia yang tak tahu apa-apa hanya
mampu melihat adegan kejar-mengejar itu sehinggalah mereka berdua hilang dari
pandangan. Tak tahu pergi mana. Azri yang duduk di hadapan Sam berpusing ke
belakang. “Tu stalker Sam. Darina.”
Azri menerangkan seolah-olah faham Tia memerlukan penjelasan. Yelah, kalau dah
tiba-tiba Sam lari lintang-pukang macam tak cukup tanah mestilah Tia pelikkan?
“Stalker?”
Azri gelak. “Macam secret admirer. Tapi dah tak secret. Darina tu betul-betul syok kat
Sam. Sampai Sam jadi takut.” Azri sambung gelak lagi sebaik sahaja dia selesai
menerangkan. Tia pandang ke luar semula. Macam ni pun ada?
Biarlah. Pandai-pandailah dia
bawak diri. Lagipun, dari gaya Azri bercakap macam bukan pertama kali jadi
macam ni. Mesti dah berkali-kali jugakkan? Tia mengalihkan anak matanya dari
luar kelas kembali ke dalam dan ketika itu anak matanya bertembung pandang
dengan sepasang anak mata milik Rex.
Rex sedang menongkat dagu,
memandang terus ke kelasnya. Atau lebih tepat lagi memandang dirinya. Ye ke?
Atau dia yang perasan? Pandangannya tampak redup. Tak seperti selalunya. Tajam
dan beku. Macam nak telan orang pun ada gayanya.
Tia tak mengalihkan pandangan sebaliknya dia memberanikan
diri berlawanan mata dengan Rex. Rex juga tidak beralih. Lama mereka begitu
sehinggalah cik Aznida masuk menggantikan Puan Salina. Suara ketua kelas mereka
memberi arahan untuk bangun memaksa Tia mengalihkan pandangannya dan tika itu
juga dia perasaan Rex mengukirkan senyuman. Senyuman yang tidak pernah
dilihatnya. Muhammad Redza tersenyum padanya. Kali ke berapa senyuman lelaki
itu dilihatnya? Entah. Dia dah tak mampu mengira.
SAM
mencengkam kuat belakang baju Rex dengan jantung berdebar macam nak pergi jumpa
mak mertua. “Rex, kena jugak ke jumpa dia?” Sam dah mula masuk mode mengada. Sam ketap gigi. Cuak. Nak
jumpa Darina samalah macam masuk mulut rimau. Bahaya tahap tak tahu nak ukur
macam mana.
Jantung dah dup dap dup dap tanpa henti sejak tadi. Tak
terkata cuak yang dirasainya ketika itu. Berpeluh-peluh juga dibuatnya. Rex
beberapa kali cuba menepis tangan Sam yang memegang bajunya. Habislah kedut
baju aku tu.
“Kau nak takut apa?” Rex bersuara
malas. Tak pasal-pasal dia pun terheret sama kena jumpa si Darina tu. Dengan
alasan si Sam, dia akan jadi kuat sikit nak lawan mulut dan menolak Darina
kalau Rex ada. Apa-apa jelah. Macamlah bagi impak besar pun.
Rex menyeluk kedua-dua belah tangannya ke dalam poket seluar
sekolah. Anak mata meliar mencari kelibat Darina yang mahu berjumpa di belakang
blok menempatkan kelas Sam – berhampiran dengan tempat letak basikal dan motosikal.
“Kau tak tahu dia macam mana
Rex.” Lemah sahaja suara Sam. Cengkamannya pada baju sekolah Rex dilepaskan.
Habis keronyot baju Rex dibuatnya. Sorry,
la kawan. Sam mengheret kakinya menghampiri motosikal 135LC berwarna hitamnya.
Rex pulak lebih senang berdiri sambil menyandar pada tiang yang ada.
“Apa yang Darina tu buat sampai
kau takut macam ni?” Rex menyoal dengan kening terangkat. Rasanya Darina tak
adalah sampai ugut nak bunuh ke apa sampai kawannya jadi takut semacam. Sam
bermain-main dengan hujung rambutnya yang sudah panjang. Hmm, kena potong
nampaknya.
Sam pandang jalan. “Aku rasa insecure. Aku rasa macam 24/7 aku kena control. Dah macam awek aku pulak dia
tu.” Sam mendengus. Kenapa mesti over
sampai macam tu? Dia tak suka! Dia mahukan kehidupan yang dahulu. Sebelum
adanya Darina, sebelum Darina tu tiba-tiba datang dan meluahkan perasaan. Dia
mahu bebas ke mana sahaja tanpa ada rasa takut.
“Kenapa kau tak bagi peluang kat
dia?”
“Maksud kau?” Sam kerut dahi. Dia
seperti dapat menangkap apa yang cuba disampaikan oleh Rex. Takkanlah? “Kau nak
suruh aku cuba suka dia?” Sam memandang tepat wajah Rex yang berdiri menyandar
dengan kaki kanan disilangkan. Rex jungkit bahu – tidak memberi jawapan.
Memberi ruang kepada Sam untuk berfikir sendiri. Sam menghela nafas.
“Tak salah pun mencuba.” Perlahan
Rex menutur kata. Hampir-hampir tidak kedengaran pada pendengaran Sam. Sam
bersiul kecil. Mencuba? Soal hati dan perasaan boleh ke nak dicuba dan dipaksa?
Kalaulah semudah tu untuk menyukai seseorang, tak adalah dia larikan diri dari
Darina macam sekarang ni.
Sam pejam mata rapat-rapat. Cuba
menghadam kata-kata Rex. “Mana tau hati kau tu sebenarnya suka Darina tapi kau
berkeras tak nak mengaku.” Rex menyambung kata. Sam menarik nafas dalam-dalam.
Otak Sam mula beroperasi mencerna segala ayat yang baru
melantun keluar dari mulut Rex. Tiba-tiba Rex macam jadi pakar pula bab-bab
hati dan perasaan ni. Takkan sebab unrequited
love selama setahun tu merubah Rex jadi macam sekarang ni?
“Tapi, macam mana kalau
sebaliknya?” Sam memprovok. Sengaja dia bertanyakan soalan sebegitu untuk
mendengar pandangan Rex. Rex jarang memberikan pandangannya seperti yang
dilakukan sekarang. Selalunya Rex lebih suka mendengar daripada memberi
pandangan dan bila dia memberi pandangan setiap apa yang dikatakan itu ada
betulnya.
Rex memandang beberapa buah
motosikal yang baru melepasi mereka. “Kalau sebaliknya, kau kenalah cari jalan
untuk terangkan semuanya secara baik.” Tenang Rex membalas. Matang. Sam terasa
macam bercakap dengan orang lain, bukan Rex. Bukan Muhammad Redza yang
dikenalinya.
“Mungkin ada sebab
juga kenapa Darina tiba-tiba muncul macam ni.” Sambung Rex dan selepas itu
tiada lagi kata-kata dari bibir itu. Sam diam. Ada benar apa yang dikatakan
Rex. Mungkin ada sebab. Tak ada kebetulan dalam dunia ni. Semuanya dah
tertulis, tersurat. Hanya manusia yang suka mencari alasan dengan mengatakan
ianya kebetulan.
“Rex…”
“Apa?”
“Gadis setahun lalu memang ubah
kau 360 darjah ey?”
Rex menarik senyuman segaris. “People change, bro.”
“People change with reasons, bro.” Sam menambah ayat Rex. Rex
menyebak rambutnya ke belakang. People
change with reasons, huh?
“Azam…” Serentak dua pasang mata
mengalihkan pandangan ke arah datang puncanya suara. Darina! Sam terus turun
dari motosikalnya. Berjalan menghampiri Darina yang turut sama berjalan
menghampirinya. Rex berdiri statik ditempatnya. Tak mahu masuk campur. Biar dia
uruskan sendiri.
“Ingatkan tak datang.” Darina
tersenyum manis. Sam pandang Darina atas-bawah. Bukannya tak cantik gadis di
hadapannya ni cuma entah. Dia tak ada hati. “I nak mintak maaf.” Darina pandang
dalam anak mata Sam. Sam terkedu. Maaf? Untuk?
“Maaf menyusahkan you selama ni.
I tau I macam budak kecik buat semua tu. Haha. Kelakar, kan? So, lepas ni you tak
payah risau lagi. I takkan kacau you lagi.” Lemah suara itu kedengaran di
cuping telinga Sam.
Rex dah melangkah menuju ke motornya. Dia tak mahu pasang
telinga. Dia tak mahu mendengar perbualan mereka. Dia mahu memberikan ruang
untuk mereka berdua. Biar masalah itu selesai sehabisnya.
Sam kelu. Dia memandang lama
wajah Darina yang masih dengan senyuman. Macam tak ada sikit pun rasa sedih.
Senangnya dia buang perasaan tu? Dia ingat senang ke aku nak sesuaikan diri
setahun lepas dengan perangai dia yang gila tu? Ingat senang ke dia nak
kumpulkan sejuta kekuatan untuk datang jugak ke sekolah despite of rasa takut?
“Kenapa sekarang?” Sam tak kalih pandang dari raut wajah
itu.
“Sebab I tak nak menyusahkan you
lagi.” Darina tunduk menekur lantai. Tak berani nak angkat muka. Entah kenapa
waktu itu Sam dirasakan sangat menakutkan. Bengis. Macam dah bersedia untuk
terkam orang. Pandangan matanya tajam macam belati.
“Setahun you susahkan I dan
sekarang you cakap tak nak susahkan I? You rasa seronok ke buat macam ni?” Nada
suara Sam dah naik seoktaf. Berombak sedikit dadanya. Sam, kenapa mesti kau
marah? Darina berundur setapak ke belakang. Takut. Sam menolak kasar rambutnya
ke belakang.
Darina gigit bibir bawah. “Sorry.” Seperti berbisik kata maaf itu
diucapkan. Air mata sudah pun bertakung di tubir matanya. Dia tak pernah lihat
Sam didepannya tika itu. Jantungnya bagaikan direntap mendengarkan nada suara
lelaki itu.
Sam sendiri pun tak tahu kenapa
dia jadi marah. Waktu itu kata-kata Rex bagaikan terngiang-ngiang di
telinganya. Mana tau hati kau tu
sebenarnya suka Darina tapi kau berkeras tak nak mengaku. Sam mencangkung,
kepalanya ditundukkan memandang siling dengan kedua-dua belah tangannya dibawa
ke belakang kepala. Aku suka dia?
“You tak nak susahkan I kan?” Sam
menyoal. Darina mengangguk.
“Jangan berhenti susahkan I.” Sam
tunduk menekur simen. Dia jadi malu. Mukanya terasa berbahang. Entah kenapa
ayat itu yang bermain di kepalanya dan ayat itu juga yang terpacul dari
mulutnya.
Berkelip-kelip mata Darina
memandang Sam yang sedang mencangkung. Otak cuba memproses apa yang baru
didengarinya. “Maksud you?” Darina inginkan kepastian. Takut tersalah dengar.
Jangan berhenti susahkan dia? Maksudnya apa?
“Stay by my side. Kita boleh mula dengan berkawan.” Sam dah terasa
nak benam muka dalam tanah. Bertambah-tambah merah dan berbahang mukanya.
Rasanya kalau macam dalam kebanyakan cerita kartun mesti sudah berasap
telinganya.
Darina tekup mulut. What? He say what? “You demam ke?”
Sam angkat muka. Memandang tepat
wajah Darina yang tampak keliru. “Tak. Tak demam pun. Mungkin I memang suka you
cuma I mengelak.” Sam garu kepala yang tak gatal.
Rex di atas motosikal hanya memerhati dengan ekor mata.
Senyum nipis bergayut di bibir. Dari gaya dia boleh agak apa yang sedang
berlaku. Rex pandang bumbung. Kosong. You
made it, bro.
“I boleh kacau you lepas ni?”
Angguk. “I tak kisah.”
“I boleh kejar you lagi?”
Gelak. “You dah kejar I setahun
ni.” Dia masih lagi mencangkung di hadapan Darina.
“I boleh text, call you lagi?”
“You buat apa setahun ni? I dah
biasa.” Darina turut sama mencangkung. Dagunya disangkutkan pada kedua-dua
belah lututnya.
“I boleh terus suka you?”
Angguk. “Tapi, kita mula dengan
kawan dulu.”
Darina senyum. “Okay.”
Sam turut sama senyum. Tangan kanan
disuakan ke hadapan Darina. Darina angkat kening dan lambat-lambat tangan Sam
disambut. Sam berdiri, menarik tubuh Darina untuk turut sama berdiri. Sam
berpusing ke belakang mencari kelibat Rex.
“Rex!” Sam menjerit memanggil.
“Apa?” Rex menyahut.
“Semua dah settle.” Menjerit lagi.
“Baguslah.” Rex membalas. Turut
sama menjerit.
“Kau bila lagi?”
Rex diam. Aku bila lagi? Bila
Rex? Takkan nak dibiarkan peluang berlalu macam tu. She’s there! Dia dah ada dekat depan mata. Bukan lagi dalam gambar.
Soalan Sam dibiarkan tanpa jawapan. Dia tak tahu bila dia akan berjaya
mengumpul sejuta kekuatan untuk berdepan depan Tia dan perasaannya. Biarlah.
Dia tak mahu tahu.
Dalam
kita tak sedar, sebenarnya kita memendam perasaan pada seseorang.
No comments:
Post a Comment