Tahun
1993- Paan.
MALAM ITU ketika langit dihias
bintang-bintang yang bersinar, dia duduk menangis bersendirian di bawah rumah
jerami milik Pak Suip. Dengan beralaskan timbunan jerami-jerami yang kering itu
membuatkan tubuh kecilnya kelihatan tenggelam.
Miang di badan langsung tak
dihiraukan. Air mata yang merembes keluar sudah seperti hujan yang turun. Wajah
Ahmad Farhan jelas comot. Tangisannya cuma kedengaran bunyi tersedu-sedu.
Dari jauh kedengaran sayup-sayup
namanya dilaungkan. Suara itu dalam kelompok yang ramai.
Ahmad Farhan masih terus menangis.
Pilu di hatinya apabila mendapat tahu dia bakal menimang adik. Marahnya dia
pada umi. Pasti setelah adiknya lahir dia sudah tidak menjadi kemanjaan abi dan
umi.
Benci. Dia benci akan bakal adik
baharunya itu. Lihat saja kejadian petang tadi. Dia cuma tunjuk perasaan kerana
mahukan kasut bola seperti Malik. Sudahnya badan dia digetu oleh umi. Abi pula
cuma memandang sambil menggeleng. Abang Faisal lagi teruk. Mengejeknya tanpa
belas kasihan.
Dia bukannya apa. Sudah lama menjadi
yang bongsu, jadi sukar untuk dia menerima. 10 tahun. Bukan suatu tempoh yang
singkat. Selama ini cuma dia dan Abang Faisal saja. Farid yang tua setahun
daripadanya pula tinggal bersama-sama Nek Yah di Johor. Jadi… salahkah dia
memberontak?
“Farhannnnnn!” Kedengaran
sayup-sayup suara orang ramai memanggil namanya. Semakin lama semakin dekat.
Dia pula langsung tak menghiraukan
laungan itu. Malah air mata yang keluar seolah seperti air paip. Sukar untuk
dihentikan. Mencurah-curah.
“Paan!” Panggilan yang seterusnya
itu berjaya membuatkan esakannya berhenti.
Dia cam suara itu. “Ji’a…” ujarnya
perlahan. Telapak tangannya pantas mengesat air mata yang berlinang-linang.
“Abah! Paan kat sini.” Jeritan anak
perempuan bongsu Pak Cik Chot kuat kedengaran. Membuatkan dia mengesot sedikit
ke celah timbunan jerami.
“Ya Allah! Sini hang Paan. Puas kami
cari seluruh kampung!” Mendengar suara Pak Cik Jafar, ayah kepada Noin
membuatkan dia menyambung tangisan.
Bila Ji’a mendekatinya, dia mula
mengamuk. Habis jerami-jerami Pak Suip yang sudah diikat, dia buraikan.
“Farhan.” Pak Cik Chot memanggilnya
perlahan. Seperti memujuk.
“Awat buat lagu ni? Abi dan umi kat rumah risau sangat.”
Dia terus-terusan menangis. Hendak
pula bila nama abi dan umi disebut oleh Pak cik Chot, abah Ji’a.
“Abi dengan umi dah tak sayang kat
Paan!” Suaranya berlagu sendu mengadu nasib.
“Siapa kata abi dan umi tak sayang
kat Paan? Abi dan umi, sayangggg kat Paan. Paan kan anak abi dan umi!” Bersungguh-sungguh
Pak Cik Chot memujuk.
“Tapi… umi nak dapat adik baru.
Nanti depa dah tak mau kawan dengan
Paan,” jeritnya, nyaring. Membuatkan Pak Cik Chot dan Pak Cik Jafar menggaru
kepala yang tidak gatal.
“Siapa yang kata abi dan umi tak mau
kawan dengan Farhan?” Giliran Pak Cik Jafar pula bertanya.
“Abang Ecannnn!” Nama abang
sulungnya itu disebut bersama raungan sedih.
“Paan! Kalau Pak Cik Pian dengan Mak
Cik Imah tak mau kawan, Ji’a dan Noin kan
ada. Kami nak kawan dengan Paan,” beritahu Ji’a dengan suara yang berlagu.
Wajah
Ji’a yang polos itu dia tatap lama. Tangisannya sudah reda. Di bibirnya
tersungging senyuman. Umpama selepas hari hujan. Matahari mula menampakkan
diri. Wajahnya tidak lagi mendung.
“Betul?” dia bertanya, meminta
kepastian.
Ji’a angguk bersungguh. Membuatkan
tocang ekor kudanya turut beralun sama.
“Hah! Dah, jom balik! Malam sangat
dah ni,” rungut Pak Cik Chot.
Dia bingkas bangun. Namun, sesaat
kemudian dia rebah. Kakinya terasa kebas-kebas. Agaknya lama sangat dia duduk
bersimpuh di atas timbunan jerami sejak tengah hari tadi lagi.
“Mari naik belakang pak cik.” Arah
Pak Cik Chot.
Pantas
tubuh abah Ji’a itu dipeluknya kuat. Mereka berjalan meninggalkan rumah jerami
Pak Suip. Waktu itu terasa angin malam dingin menggigit tubuhnya.
“Paan! Tengok atas!” Ji’a mengarah.
Pantas
dia mendongak. Turut memandang ke langit
sana .
“Banyaknya bintang…” ujar dia kepada
Ji’a. Suaranya berbunyi takjub.
“Paan tau tak… pasal apa bintang tu ada banyak, bukannya
satu saja?” tanya Ji’a.
“Tak tau,” jawabnya pendek. Kepala
digeleng berkali-kali.
“Tok wan kata… kalau bintang tu
satu, nanti dia sunyi. Jadi kita tak kan
nampak dia. Sebab tu, dia kena ada kawan yang banyak. Baru dia tak rasa sunyi.”
Mendengar cerita Ji’a tentang bintang-bintang itu
buatkan dia mengangguk tanpa henti.
“Kalau macam tu… Paan pun nak jadi
macam bintang. Ada
ramai kawan.”
Ji’a mengangguk sebaik sahaja dia
berkata begitu. Kemudiannya, dia terdengar Ji’a mula membilang.
“Ji’a kira apa?”
“Bintang…” balas Ji’a pendek.
Selepas itu, Ji’a menyambung semula kiraan yang terhenti.
Membilang butiran bintang yang
takkan mampu untuk dihitung.
No comments:
Post a Comment