ABANG
Yusri dan Kak Aulia, pelajar kedoktoran yang menuntut di universiti yang sama
denganku mengadakan kenduri tahlil.
Rumah pasangan yang kami gelar “Yuslia” itu
agak jauh dari rumah yang aku dan Syuk sewa. Rumahnya di Kengworth, kalau
berkereta dalam 10 minit perjalanan.
Lebih tiga bulan lepas, bapa Abang Yusri di
kampung meninggal dunia kerana sakit tua. Dan hari ini, genap 100 hari pemergian ayahnya, Abang Yusri menjemput kami
ke majlis tahlil.
Kami sampai di rumah Abang Yusri yang cantik
dengan sentuhan gaya Tudor itu agak lewat. Kawan-kawan lain sudah usai
bertahlil. Ketika kami sampai, masing-masing sudah menikmati hidangan.
Pelajar lelaki memenuhi kawasan belakang
rumah Abang Yusri. Ada beberapa rakan lelaki yang membakar ayam dan daging.
Rakan perempuan ada yang lebih selesa makan di dalam rumah sahaja. Lagipun asap
dari bau ayam dan daging yang dibakar pasti terlekat pada baju dan rambut.
Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah Abang
Yusri, tercium-cium bau kuah laksa juga
kuah sup. Ah, mungkin pasangan Yuslia ini memasak laksa dan mee sup sekali.
Kemudian, aku terlihat Wairah. Dia begitu
sibuk menambah lauk pauk yang diletakkan di luar rumah, berdekatan pintu
gelungsur berdekatan tempat orang membakar ayam. Spontan aku mencebik.
Ali Syukri perasan agaknya, cepat tangannya
mencuit pinggang ku.
“Apa?,”
“Apa? Awak ingat saya tak nampak?,”
Aku terkekek kecil.
“Eii cepat aje mata tu.. iyalah best friend katanya.. menyampah,”
“Cemburu?,”
“Gila tak cemburu?,”
Kali ini Ali Syukri yang mengekek.
“Suka bila awak cemburu,”
“Sebab?,”
“Cemburu tanda sayang,”
“Siapa kata?,”
“Entah P Ramlee kut..,”
Ali Syukri tergelak-gelak sebelum
meninggalkan aku di ruang tamu. Dia lekas menuju ke tempat membakar ayam
apabila terlihat Khairul rakan sekelasnya.
Seperti aku duga, apabila Ali Syukri berada di
situ, Wairah pun cepat saja datang ke situ. Lauk pauk yang aku lihat belum
habis dipunggah ke dalam bekas dibiarkan saja. Bertuah betul budak tu!
Hati
dijentik cemburu. Tapi bila saja aku hendak melangkah keluar, anak
sulung Abang Yusri, Syakirah namanya cepat saja menahan.
“Acik Laila.. acik Laila.. makan kuih koci
sedap..,” Syakirah yang berumur 7 tahun petah sekali berkata-kata sambil
menunjukkan sisa kuih koci di tangan kanan.
“Sedap sangat ke, siapa masak?,”
“Emak.. eh bukan.. kawan emak kut.. emm.. entahlah.. makan sajalah sedap,”
sedap sungguhlah agaknya, sampai si Syakirah menjilat-jilat jari.
Aku terus mengambil sebutir kuih koci yang
kebetulan berada dalam piring tidak jauh dari atas meja berdekatan tempat aku
berdiri. Bau daun pisang yang dikukus bersama santan itu harum sekali.
“Emmm… bau pun sedap.. sedap kan ..,” aku
menunjuk separuh kuih koci di tangan. Separuh lagi sudah ada dalam mulut,
kukunyah perlahan.
“Ha itulah Sya dah cakap,”
“Laila, dah lama sampai.. maaf Kak Aulia solat
asar..,” Kak Aulia menyalamiku, tapi sebelah tangan sahaja. Sebelah lagi tangan
penuh dengan kuih koci. Kak Aulia mengangguk dengan senyum. Wajah Kak Aulia
kelihatan masih basah dengan air, bekas wuduk agaknya.
“Sedap koci ni kak..,”
“Ha.. si Wairah buat.. sedap kan,”
Tercekik aku mendengar nama itu. Aku
terbatuk-batuk kemudiannya, mata terasa panas, subhanallah.
“Eh, tercekik koci budak ni.. ya Allah..
bertuah betul janganlah makan gelojoh sangat,”
Kak Aulia cepat-cepat menghulurkan segelas
air. Aku capai gelas dari tangannya. Seksa betul rasanya tercekik koci, air
mata sudah mengalir pun.
Aku cuba keluarkan koci yang sudah separuh
masuk ke dalam anak tekak. Dengan isyarat tangan, aku memberitahu Kak Aulia,
aku hendak ke dapur. Jijik pula orang melihat aku nanti mengorek keluar koci dari
dalam mulut.
Beberapa kali mencuba, koci yang separuh ku
kunyah tapi tidak hadam itu ku buang
dalam tong sampah. Yang separuh lagi ditangan juga aku buang. Hai.. bahana
betul menyebut nama si Wairah ni.
Aku teguk air dari dalam gelas perlahan-lahan.
Air mata ku kesat, malu pula kalau orang tahu aku tercekik koci.
Kembali ke ruang tamu, aku melihat Kak Aulia
menyambung kerja-kerja Wairah yang tertangguh tadi. Menambah rendang ayam ke
dalam bekasnya, menambah kuih koci juga yang sudah berkurang.
“Ok dah
kau Laila?,” Kak Aulia berpaling waktu aku melintas.
“Ha, dah.. Alhamdulillah,”
“Gelojoh tu..,”
Aku tersengih sambil mata mencari-cari Ali
Syukri. Dia masih sibuk bersembang dengan Khairul dan kali ini diikuti oleh
Nasrul, pelajar senior fakulti ku. Diantara mereka, terselit Wairah. Eiii..
menyinga sungguh aku melihat si Wairah.
Di tangan masing-masing aku melihat ada
mangkuk plastik. Ali Syukri khusyuk sungguh menghirup kuah, entah laksa atau
mee sup. Tapi kelihatannya sungguh nikmat.
Waktu aku berjalan mendekati mereka, aku
terdengar Nasrul bertanya, eh siapa masak laksa ni sedapnya.. Kak Aulia ye?
“Bukan akak, Wairah tu ha.. ,” Kak Aulia yang
sudah berada berdekatan mereka, membelek-belek daging bakar dalam pinggan
menyampuk.
“Sedap Nasrul?,”
“Sedap..,”
“Ha, apa lagi Wairah tu kan bujang, sudahlah
pandai masak, cantik pula bijak pula rugi kau..,”
“Alah Kak Aulia, dia bukan nak saya,”
“Belum cuba belum tahu.. tak dapat rugi..,”
“Emm.. ada orang tu yang rugi, kahwin dulu
tak tunggu kita,” Wairah tiba-tiba menyampuk. Mimik mukanya buruk sekali di
mataku, pura-pura merajuk. Alah, aku tahu kata-kata itu tentu ditujukan pada
Ali Syukri!
Ali Syukri pun apa lagi, meleret-leret
senyumnya!
Langkah ku terhenti. Aih, gedik sungguh
perempuan tu. Cubalah jaga kesopanan awak sebagai perempuan!
“Rugi sungguh-sungguh..,” Wairah menyambung
lagi.
“Alah tak apa Wai, lelaki boleh kahwin
emmmm…,” Ali Syukri belum sempat menyambung selepas matanya terpandang aku yang
tercegat tidak jauh darinya. Ali Syukri spontan tersengih. Kawan-kawannya
ketawa berdekah dan aku terdengar Wairah mencelah, eh takut bini!
Eiii.. sungguh aku tidak faham dengan Wairah.
Apa masalah dia?
“Syuk, saya nak balik,”
“Eh dah nak balik Laila, nantilah dulu..
makan dulu. Abang Yusri pun belum sampai dari tadi, pergi jemput mak angkatnya
..,”
“Tak apalah kak.. kalau tak makan kat sini
pun saya tak kebulur,”
Kak Aulia terdiam. Ali Syukri berubah
wajahnya. Dia meletakkan mangkuk plastik di tepi meja hidangan. Kemudian, dia
memberi isyarat minta aku menyalami Kak Aulia. Aku ikut saja.
“Saya balik kak,”
“Ok, terima kasih datang..,”
Hampir semua kenalan perempuan di rumah Kak
Aulia aku salami tetapi tidak Wairah. Jika kerana itu Ali Syukri bermasam muka
hingga kami masuk ke kereta, aku sedikit pun tidak ralat.
No comments:
Post a Comment