Thursday, 13 February 2014

Detak Jantung Dia (Bab 2): Aidah Bakri

Wajah sejuk disentuh angin
Angin sepoi bertiup nyaman
Terasa sejuk diselimuti dingin
Dingin malam mengintai bulan

SIAPA DIA?
          Ini bukan kali pertama dia berada digelanggang silat Abi Daud. Namun tidak pernah sekali pun dia melihat wajah yang satu itu.
            Sahabat abang Firrkah itu?
            Kelihatan sangat akrab mereka berdua. Tumpuan Afra yang duduk di pondok kayu sebelah kiri masih tidak berganjak dari melihat dua orang lelaki yang berdiri di tengah-tengah gelanggang. Tajam anak matanya lebih terarah pada lelaki yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Seperti ada medan magnet di situ... sehingga menarik anak mata dia yang boleh diumpamakan seperti objek logam.
            Siapa dia??
            Cukup segak dan tangkas. Apatah lagi tatkala dia menyusun bunga silat. Lengkap bersampin dan bertanjak, persis pahlawan Melayu zaman silam. Entah kenapa anak matanya hanya nampak lelaki itu walau ke mana dia menoleh. Afra tergeleng-geleng. Dah kenapa dengan dirinya hari ini?
            “Kenapa?”
            Tersentak Afra dengan teguran Umi Majidah.
            “Err, tak  apa-apa umi.”
            “Tu yang tergeleng-geleng?”
            Afra ketawa perlahan. Nampak sahaja umi. Dalam cahaya suram-suram lampu Kalimantan 18Watt pun nampak gerak-gerinya yang serba tidak seperti selalu. Tapi, sejak bila pulak umi ada bersama dia di situ?? Bukankah tadi dia hanya seorang diri sahaja?
            “Dari tadi mengintai siapa?” duga umi lagi.
            “Hah?” kalut Afra dibuatnya. Tertangkap saat diri sedang mengintai anak teruna orang. Aduh... malu sungguh! Umi ni pun... sajalah tu.
            “Dok mengintai yang mana satu? Mustahil pulak abang Firr kan. Ada yang berkenankah? Boleh umi risikkan.” Usik Umi Majidah selamba. Wajah kalut Afra dipandang bersahaja.
Semakin berkisar duduk Afra dibuatnya. Ada desir hangat diwajahnya. Terasa pijar tiba-tiba. Tidak tahu hendak dicampak ke mana rasa malunya itu. Umi mengulum senyum. Wajah merah menahan malu itu dijeling lagi.
            “Pandai saja umi ni. Orang sukalah tengok mereka tu. Nampak berseni bila mereka menangkis serangan dan menghantar buah pukul. Makin ramai kan yang belajar silat dengan abi.” Cuba membawa Umi Majidah keluar dari topik perbualan mereka tadi.
            “Bukan selama ini tak  minat ke?” Umi masih tersenyum-senyum. Bukan dia tak sedar yang Afra sudah menyimpang dari tajuk.
            “Mana ada! Orang minatlah.”
            “Kalau minat kenapa tak turut serta? Tak teringin berdiri teguh seperti srikandi kat tengah-tengah gelanggang sana? Mampu mempertahan diri bila diusik... tidak gentar bila berhadapan dengan pembuli wanita.”
            Afra melepas keluh. Wajah umi dipandang lama. Siapa yang tidak teringin seperti itu? Memiliki ilmu mempertahankan diri sebagai perisai... benteng tubuh andai ada waktu terjebak dengan musibah yang tidak terduga. Dia sangat teringin sebenarnya.
            “Orang nak tapi mama dan papa tak izin.” Tutur Afra perlahan.
            Umi Majidah mengangguk perlahan. Dia faham. Dia tahu Afra anak emas. Anak tunggal keluarga kaya itu. Hatinya diusik pilu saat terkenang pada keluarga Afra. Papa dan mama Afra terutamanya. Mereka pernah rapat... pernah mengaku saudara juga. Namun putaran waktu telah mengubah keakraban hubungan mereka. Anjakan masa rupanya mampu merampas segala hubungan yang ada.
            “Umi faham. Tentu ada sebab kenapa mereka tak beri izin Afra terlibat dalam dunia silat. Silat kan kasar. Bimbang hilang lemah lembut Afra barangkali. Lagi pulak Afra kan anak tunggal mereka. Puteri tunggal. Tentunya mereka nak yang terbaik untuk Afra.” Nadanya memujuk seperti biasa.
            Afra tidak membalas kata-kata umi. Benar atau tidak hanya mama dan papanya sahaja yang tahu. Hanya mereka yang ada alasannya. Berulangkali meminta izin namun jawapannya tetap sama. TIDAK BOLEH!. Untuk apa belajar seni silat? Tidak ada untungnya. Hanya membuang waktu... membuat fikiran terkongkong dan tidak berkembang. Seni silat hanya untuk orang yang tidak ada tamadun dalam hidup.
            Argh, papa... mama! Fikiran mereka memang tidak sealiran. Ada sahaja yang bercanggah. Kalau berkeras, pasti berakhir dengan pertengkaran sudahnya.
            “Dia memang seorang lelaki yang hebat. Melihat wajahnya sahaja pun hati boleh berasa tenang dan tertarik.” Suara umi kembali menyapa telinganya.
            Afra kembali berpaling ke arah umi. Dia?? Lelaki hebat?? Tapi....
            “Siapa umi?” ada kerutan didahinya.
            “Lelaki yang Afra intai tadi.” Jawab umi selamba. Afra  berdehem kecil. Umi memang pandai mengusik hatinya yang masih hijau.
            “Siapa dia? Orang tak pernah nampak pun.” Terlanjur umi memberi laluan... apa salahnya bertanya. Orang kata kalau malu bertanya sesat jalan. Cewahh....
            “Samir. Dah lama tamat berguru dengan abi... tapi tak pernah lupa datang sini setiap kali gelanggang dibuka. Dia rapat dengan abang Firr. Mereka berkawan baik.”
            Samir?? Nama milik lelaki itu! Memang asing nama itu ditelinganya. Samir... dia ulang sekali lagi. Entah kenapa... sendiri pun tak tahu.
            “Ooo...”
            “Dia selalu juga datang sini. Cuma kebetulan malam ni Afra nampak dia.”
            “Hmm... dahlah umi, tak payah cerita fasal dia. Orang bukan kenal pun.”
            “Tak apa. Esok-esok kenallah tu.”
            “Orang nak masuklah. Nak tengok adik-adik. Dah masa untuk mereka tidur ni.”
            Selepas mengucup tangan umi, Afra bingkas berdiri. Sebelum melangkah sempat lagi dia menoleh ke tengah gelanggang. Serasa ada mata yang turut memandang kearahnya. Seolah-olah bersatu tatapan mata dari kejauhan. Tiada angin, tiada rebut... tangkai hatinya tiba-tiba terasa bergetar.Ada  debaran – denyut – detak jantung yang tiba-tiba menggila. Tidak ketahuan dari mana puncanya. Enggan menunggu lebih lama lagi, Afra mengorak langkah sambil memegang dadanya yang terasa aneh tanpa punca yang munasabah. Berdetak sebab lelaki itu? Ada apa dengan lelaki itu... sehingga larian nadinya tergelincir dari landasan asal.
            Hati Afra lebih tenang di Darul Hannan. Ruang kosong dalam kotak hatinya terisi dengan kehadiran penghuni-penghuni di situ. Dia tidak pernah sunyi dari tazkirah  abi dan umi, kata usik dari abang Firrnya dan juga celoteh dari duabelas kanak-kanak yang berusia dari lapan hingga limabelas tahun yang telah kehilangan tempat bergantung. Anak-anak yatim piatu. Memang abi dan umi mempunyai hati yang murni. Dipelihara anak-anak itu seperti anak sendiri.
            Abi selalu berkata bahawa kita perlu memahami hakikat ‘buhul aqidah’, tempat kembalinya semua ikatan. Buhul yang mengikat antara seseorang dengan yang lain yang tidak dilihat oleh nasab dan kekeluargaan yang menjadikan itu lebih besar dan utama dari sekadar ikatan kekeluargaan yang hambar tanpa makna yang jelas. Ramai orang yang lebih selesa berteman dengan orang lain yang satu visi dalam perjuangan mereka, namun tidak mampu menjadi orang yang terdekat dalam keluarga sendiri. Seperti dirinya sendiri...yang lebih  dekat dengan apa yang ada di Darul Hannan.

No comments:

Post a Comment