BAJU kurung pemberian Khairi direnung lama,
setelah lapan bulan berpisah hari ini barulah dia punya kekuatan untuk membuka
kembali kotak kenangan lama. Segala pemberian lelaki itu disimpan didalam kotak
yang diberikan oleh Qisya. Tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan pemberian
itu. Selama ini memang dia suka dengan baju itu dan sangat disayangi tapi bila
sudah terputus hubungan antara mereka rasanya tidak sesuai pula untuk
memakainya lagi. Tapi untuk membuangnya pun dia tak sanggup.
“Tengok apa lagi tu Nana? Buang ajelah,
simpan pun tak guna la.” Qisya dah berdiri dibelakang kakaknya. Memang tak puas
betul dengan perangai Nana yang susah sangat nak buang semua kenangan dengan
Khairi.
Dah orang tak nak buat apa lagi nak
berharap?
Hidup kena teruskan walaupun pahit. Kumbang
bukan seekorlah dalam Malaysia ni, kalau nak lagi banyak kumbang boleh cari
seluruh dunia. Lagi banyak pilihan. Tak payah nak kenang sangat dengan orang
yang dah bahagia tu.
“Sayang nak buang, baju ni elok lagi.” mata
masih merenung pada baju kurung biru berbunga merah jambu itu. Langsung tidak
memandang Qisya yang setia dibelakang. Entah kenapa dia terlalu sayang untuk
membuangnya.
“Habis tu takkan simpan kot. Nanti Nana
juga yang meroyan teringat kenangan lama. Satu masalah pula. Dah lapan bulan
takkan tak boleh nak lupakan dia lagi.” marah Qisya bila Nana masih lagi
teragak-agak untuk membuang barangan yang berkaitan dengan lelaki itu.
Entah apa yang hendak disayangkan sangat
pun dia tak faham. Nak kata mahal sangat hadiah dari lelaki itu, memang taklah.
Khairi yang dia kenal mana reti nak bagi barang berjenama untuk kakaknya.
Balik-balik made in pasar malam tak pun uptown, mana-mana yang sempat dan murah
saja menjadi pilihan lelaki itu.
“Kalau Nana bagi dekat orang nampak jahat
sangat tak?” soal Nana tanpa menghiraukan Qisya yang masih memandang geram
padanya. Budak ni memang kurang perasaan sikit, langsung tak mahu nak faham
perasaan orang putus cinta macam dia. Semua nak main ikut kepala otak tak ada
perasaan dia.
“Tak jahat mana pun,Qisya suka je kalau
Nana nak sedekahkan. Kurang-kurang tak adalah jadi pembaziran dari kita buang
dalam tong sampah atau bakar. Boleh panjangkan amal jariah dia tu.”
Senang hati Nana mendengar persetujuan dari
Qisya. Memang dia tak sampai hati nak buang pemberian orang, jadi lebih baik
disedekahkan pada yang lebih memerlukan. Mana tahu barang yang sudah tidak
berguna pada kita boleh jadi sangat berguna pada orang lain. Dalam dunia ni
bukannya semua orang mampu miliki apa yang orang lain ada.
“Kalau macam tu, jom kumpul semua baju yang
dah tak dipakai. Boleh juga sedekahkan pada orang yang memerlukan.Yang
betul-betul buruk nanti bagi mak buat kain buruk. Kosong sikit almari ni.”
dengan gembiranya Nana membuka almari bila sudah mencapai kata sepakat. Mahu
mencari pakaian yang sudah tidak dipakai. Taklah rasa ralat sangat bila ada
pakaian lain yang mengiringi pemberian Khairi untuk diberikan pada yang
memerlukan.
“Nana ni, Qisya malaslah nak punggah almari
tu sekarang. Nanti-nantilah kita buat.” memang Qisya tak setuju langsung dengan
cadangan Nana, sekarang waktu rancangan kegemarannya disiarkan di TV. Memang
tak berminat nak join team wonderpet Nana.
Mana boleh nak buat kerja lain, hilang
fokus dan kurang ikhlas jadinya nanti. Jadi adalah lebih baik berterus-terang
dengan Nana. Tak payah nak buat rancangan amal waktu dia tengah seronok nak
menonton.
“Habis tu, Nana bosan ni. Nak buat apa ni?”
rungut Nana bila memandang jam. Memang lambat lagilah kalau nak menunggu habis
rancangan tv si Qisya ni. Budak sorang ni suka sangat tengok bersambung siaran.
Dah macam menghafal istisari rancangan setiap saluran pun ia jugak. Nasib baik
tak ada Astro dirumah, kalau ada entah-entah tak ke kelaslah si Qisya ni asyik
menghadap TV.
“Pergi baca novel la.” cadang Qisya, hobi
Nana kan membaca novel jadi pergilah khatam buku-buku yang ada asalkan jangan
ganggu waktu menonton dia.
“Mana ada Nana beli cerita baru, yang ada
pun rasa macam tak mampu nak khatam dah.” panjang muncung Nana bila mendengar
cadangan Qisya. Tertekan sungguh bila tak ada bacaan baru yang dibeli untuk
bulan ini. Bukannya tak ada yang menggugat hati tapi duit lebih diperlukan
untuk benda yang lebih penting. Sejak menyambung pelajaran ni, memang duit
menjadi perkara yang sangat sensitif.
Langsung tak boleh nak berbelanja mewah
seperti sebelum ini. Gaji yang tak sebesar mana harus disimpan untuk membayar
yuran yang sememangnya sangat mahal bagi golongan sepertinya. Perbelanjaan
haruslah secara berhemah sekarang.
“Online la.”
“Malas, sekarang ni tak banyak blog yang
update. Kalau ada pun semua nak publish sekerat jalan lepas tu kena tunggu
version cetak lepas setahun. Letih kot, kadang-kadang sampai terlupa jalan
cerita sebab lama sangat kena tunggu.” runggut Nana.
Tetap hendak bercerita walaupun Qisya
bukannya dengar sangat apa yang dia cakap. Lantaklah Qisya nak buat tak tahu
pun janji dia dapat bercerita. Tak boleh nak simpan tekanan sorang-sorang dah.
“Apa kata Nana pergi chat, sekarang ni
banyak je laman sosial yang boleh cari kenalan baru seluruh dunia.” cadang
Qisya.
Asalkan Nana tak menggangu waktu
menontonnya, macam-macam cadangan yang diberikan. Lagipun kakaknya ni memang
suka mengodek komputer, jadi adalah lebih afdal menghalau Nana dari sisinya
jika hendak menonton dengan selesa.
Tak aman jadinya kalau ada Nana yang ada
bersama, banyak benar komen kakaknya nanti. Semua tak kena dimata Nana,
kadang-kadang Qisya rasa macam nak suruh Nana pergi arahkan drama sendiri. Barulah
lepas tu tak ada komen yang dia kena dengar.
“Nana mana reti semua benda tu.” tolak
Nana. Memang dia suka dengan internet tapi bukan dengan laman-laman sosial yang
ada. Akaun facebook pun dia tak ada. Mujurlah dia masih ada blog sendiri, kalau
tidak barulah namanya ketinggalan zaman. Semua benda yang berkait rapat dengan
dunia sekarang ada dihujung jari.
Dalam terpaksa Qisya menghampiri komputer
didalam biliknya, menghidupkan pekakasan elektronik itu dan mengajar kakaknya
untuk menggunakan laman bual yang ada. Susah juga ada kakak yang bijak tapi
kurang bijak hal-hal berkawan dan bersosial ni. Asyik berkawan dengan buku dan
novel saja setiap masa.
“Dalam ni ada list kawan-kawan Qisya, Nana
sembanglah dengan dia orang yang online. Kalau nak cari kawan baru, Nana klik
dekat sini.” ajar Qisya selepas membuka tetingkap yang perlu.
Memang Nana bijak dalam pelajaran tapi
kalau bab laman sosial memang dia sangat ketinggalan. Setakat YM tu dia
tahulah, itu pun sebab kawan-kawan paksa dia guna dulu. Yang lain-lain memang
tak pernah nak cuba bila dia tak nampak dimana kepentingan laman-laman sosial
yang ada. Dengan siapa dia nak berbual kalau semua kawan-kawan lebih suka
bersembang muka ke muka.
“Nana nak sembang apa dengan kawan-kawan
Qisya ni. Bukannya Nana kenal pun. Lagipun apa kelas sembang dengan level
adik-adik ni. Buat Nana rasa makin tua je.” Tolak Nana. Rasa macam tak best nak
sembang dengan kawan-kawan Qisya.
“Amboi-amboi, menghina nampak. Kawan-kawan
Qisya dalam ni semuanya mature ok. Mana ada stok-stok adik, paling lekeh pun
sama baya dengan Qisya la. Nana tengok Qisya ni macam budak-budak ke?”
Nana dah ketawa dengan soalan Qisya.
Sensitif la pulak budak kecik ni.
“Seganlah, Nana mana tau sembang dengan
orang yang Nana tak kenal.”
“Hentam ja, bukan dia orang nampak Nana
pun. Selamat bersembang dan jangan kacau Qisya.” Qisya melangkah ke luar bila
yakin Nana sudah mampu untuk menggunakan skypenya. Kakaknya ni memang senang
diajar, cepat faham apa yang diberitahu. Jadi dia memang tak risau nak tinggalkan
Nana seorang diri. Idea nak berkemas tu esok pun boleh lagi nak buat. Bukan
lari ke mana pun kain baju yang bersusun dalam almari tu.
Tiba-tiba Qisya muncul semula dimuka pintu,
memandang padanya. Tadi sibuk sangat nak pergi menonton ini boleh pulak menjengah
dia yang baru hendak belajar menggunakan teknologi. Kening dijongket pada
Qisya, bertanya apa yang tak kena lagi.
“Lupa nak pesan, sila tanggalkan kad
kenduri pengantin basi tu dari cermin solek Nana. Sakit mata la Qisya tengok.
Tak payah nak kenang sangat orang yang dah bahagia dengan pasangan dia tu.
Entah-entah dah nak jadi ayah orang.”
Bebel Qisya tak puas hati dengan tindakan
Nana menampal kad kenduri Khairi di cermin solek. Itu macam sengaja nak menabur
garam ke luka sendiri! Macam orang tak ada perasaan la Nana ni.
“Ya, lepas ni Nana buang semua kenangan dan
benda yang berkaitan dengan dia. Jangan risau dan bising-bising. Serabut kepala
Nana dengar.”
“Baguslah kalau macam tu. Okey, sekarang
Qisya boleh tengok tv dengan senang hati.” terus dia berlalu keluar dari bilik.
Meninggalkan Nana yang masih tersenyum padanya. Janji Qistina memang boleh
dipegang.
MATA terpaku pada senarai kawan-kawan maya
yang terdapat disebelah kiri tetingkap Skype milik Qisya. Macam-macam nama
pelik yang digunakan oleh teman-teman adiknya, pemikiran budak-budak sekarang
memang susah nak faham. Tanda hijau yang menunjukkan pengguna disana juga aktif
membuatkan jemari cekap menekan tetikus untuk melihat lebih banyak senarai
teman Qisya. Ramainya!
Amir^kacak : hai
awak
Dia dah terkedu bila ada yang menegur.
Macam tak berani nak membalas tapi sungguh dia bosan sekarang. Dah la nama yang
si Qisya guna sangat tak boleh diterima akal fikiran. Eisha cute? Tang mana
yang cute pun dia tak tau. Kalau comot tu memang dia setuju sangat. Tapi
disebabkan Qisya dah baik hati mengurangkan kebosannannya jadi abaikan sajalah
nama yang menyakitkan mata tu.
Eisha cute: hai
amir, kacak sangat ke ni?
Memang itu persoalan yang bermain diminda
bila melihat user id yang digunakan oleh kawan Qisya ni. Kenapalah budak-budak
ni perasan sangat, langsung tak malu mengaku diri sendiri sangat kacak dan
cantik. Kenapa tak nak merendah diri sikit, barulah nampak lebih beriman
walaupun baru nak kenal.
Amir^kacak: kacak
sangat… sebab tu kena letak nama kacak dekat belakang nama saya. Sejak
bila suka tanya soalan macam ni? Malam
ni tak tengok tv ke? Ke TV kat rumah awak dah terbakar?
Terkedu Nana membaca komen dari kawan
Qisya, memang betul-betul kenal dengan perangai Qisya budak sorang ni. Dah tahu
apa aktiviti adiknya bila ada dirumah. Kawan-kawan Qisya semua memang tahu yang
dia seorang pencinta TV tegar.
Eisha cute: oh,
sorry. Sebenarnya ni bukan Qisya, saya akak dia. Dia memang tengah tengok tv
pun. Boleh bankrup stesen tv kalau sehari dia tak tengok tv.
Seronok pula bila ada geng mengutuk Qisya.
Selama ni mak jarang nak terlibat kalau dia seronok mengutuk adiknya itu.
Amir^kacak: oooo,
kak Nana ye.
Nana dah garu kepala. Macam mana kawan
Qisya boleh kenal dia pula. Memang nak kena la budak sorang ni. Suka sangat
bercerita hal keluarga pada orang lain. Lepas ni memang nak kena tarbiah budak
sorang tu. Biar insaf sikit.
Eisha cute: kenal
ke?
Amir^kacak: Qisya
pernah cerita pasal akak. Tapi muka tu memang tak kenallah. Kenal nama saja.
Qisya pun saya jarang jumpa, sembang dalam skype je kalau sesekali teronline.
Eisha cute:
ingatkan kenal. Duk mana ni?
Lama menanti tapi masih belum ada jawapan
dari Amir. Membuatkan dia bergolek-golek diatas katil. Bosan juga bersembang
dengan orang yang lambat balas ni, jenuh nak menunggu. Sekarang ni dia dah tak
tahu nak buat apa.
Amir^kacak: saya
di Alor staq. Awak?
Kepala digaru lagi, lama-lama bersembang
dengan kawan Qisya ni memang mengundang botak dikepala. Banyak sangat soalan
yang mencabar minda untuk dijawab. Takkanlah kawan Qisya ni tak tahu dia duduk
dimana kalau dah ingat semua pasal diri Qisya. Nak dimarah macam biadap sangat.
Jadi layan ajelah.
Eisha cute: Saya
dekat rumah
Jawapan yang paling bijak dia bagi.
Amir^kacak: J nice answer, tapi serius saya tanya ni. Awak ada mana
sekarang?
Eisha cute: Pulau
Pinang.
Amir^kacak: OIC,
boleh bagi contact nombor awak? Kita borak dekat whatapp @ viber or apa-apa
phone application . Saya jarang sikit on pc ni.
Makin laju kepala digaru. Adui, kenapalah
kawan si Qisya ni suka buat dia sakit kepala nak menjawab soalan yang lebih
susah dari termo ni. Niat dihati Cuma mahu menghilangkan bosan bukannya nak
mencari jodoh disini. Takkan nak suami muda dari dia kot. Minta simpang
malaikat 44.
Amir^kacak:
awak….ada lagi tak ni?
Eisha cute: ada…..
Terlebih berfikir pula sampai terabai orang
disana.
Amir^kacak: kenapa
diam?
Eisha cute: tak
tahu nak jawab apa….
Jujur dan ikhlas Nana menjawab. Memang dia
dah tak tau nak kelentong apa dekat kawan si Qisya ni.
Amir^kacak:
takpelah kalau tak boleh bagi…kita sembang dekat sini ajelah
Nafas dihela panjang membaca jawapan dari
Amir. Mujur lelaki itu memahami dia tidak mudah percayakan orang yang baru
dikenali. Cukuplah bersembang dengan jari jemari sahaja. Ini pun dah cukup
mengisi masa lapangnya.
Eisha cute: thanks
sebab faham.
Amir^kacak: takde
hallah. So awak kerja atau study?
Seronok berbual dengan kawan Qisya ni,
matang sungguh. Tak adalah nak bersembang pasal hati. Lagi seronok boleh
berbual tentang isu semasa dan pendapat berkaitan agama dan dunia.
Tak sedar hampir ke pukul dua pagi barulah
mereka menamatkan perbualan. Kebas juga jari jemari menaip dengan Amir. Lepas
ni boleh la berbual lagi dengan lelaki itu.
Sambung please
ReplyDelete