Friday, 21 February 2014

1, 2, 3... Bintang di Langit (Bab 3): Bidayatul H.

Tahun 1996 – Awal remaja.

"WOI! Hangpa nampak tak  betapa hensemnya aku hari ni?”tanya Malik dengan bangganya  kepada mereka berempat. Dia, Ahmad Farhan, Noin dan Muhd. Helmiey hanya membalas dengan cebikan.
Malas nak layan. Malik ni kalau dilayan, perasannya boleh cecah tahap tinggi Gunung Jerai. Mentang-mentanglah baru nak merasa pakai uniform sekolah menengah, dia punya megah… huh! Mengalahkan orang pakai uniform Pilot.
Pilot. Itu cita-cita Malik yang sering dicanangkan kepada mereka.
Tiba di perkarangan dewan besar, masing-masing mula melangkah laju. Tidak mahu terlambat pada hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah baharu.
Dia segera mengambil tempat duduk. Tidak terlalu depan sangat. Mereka duduk di barisan ketiga. Dia duduk di hujung bersebelahan laluan. Baru hendak duduk, dia disuruh mengubah tempat.
“Ji’a duduk di sana. Paan malaslah nak duduk dekat dengan Malik.”
Rungutan Ahmad Farhan itu buat dia tarik muka empat belas.
Pleaseeee…” rayu Ahmad Farhan dengan wajah kasihan.
Membuatkan dia mengalah juga. Tempat duduknya diberikan kepada Ahmad Farhan. Dia pula duduk di sebelah Ahmad Farhan. Noin di sebelah kanannya. Diikuti Muhd. Helmiey dan Malik.
Paan dan Malik, memang langsung tak boleh dekat. Sejak dulu lagi. Malik yang kuat mengusik. Dan Paan anak manja umi. Dia menggeleng bila mengingatkan hal pagi tadi sewaktu mahu ke sekolah.
“ Hei, Paannnn!” Malik melaung kuat dari arah jauh. Membuatkan dia yang ketika sedang memakai kasut di tangga turut berpaling. Ahmad Farhan pula ketika itu sedang  menunggu di atas basikal.
 “ Siap hang Paan! Aku nak pijak kasut hang. Ooo… petang kelmarin hang pijak kasut aku time kita main bola naa. Siap hang!”
Sebaik mendengar kata-kata Malik itu, Ahmad Farhan tak tunggu lama. Kelam kabut mengayuh basikal. Meninggalkan dia sendirian di atas tangga.
Ji’a mengeluh sendiri. Masing-masing dah besar panjang pun perangai masih lagi macam budak-budak tadika. Hatinya mengutuk perlakuan kedua sahabatnya itu.
“Ji’a!”
Suara Ahmad Farhan mematikan lamunannya. Dia berpaling. Memandang wajah Ahmad Farhan. Tetapi Ahmad Farhan pula sebaliknya. Sahabatnya itu sedang sibuk menyelongkar beg sekolah. Seperti sedang mencari sesuatu.
“ Paan cari apa tu?”
 “Paan rasa… borang buku teks tertinggal la,” ujar Ahmad Farhan resah. Wajah itu jelas panik. Sambil kepala digaru-garu berkali-kali menyebabkan rambut Ahmad Farhan yang disikat rapi itu menjadi kusut.
“Paan nih!” Dia merungut dengan sikap lalai Ahmad Farhan itu.
Alaaa… macam mana ni Ji’a?”
Wajah pucat Ahmad Farhan itu berjaya meletuskan tawanya. Tawa yang perlahan. Namun cukup untuk buat Ahmad Farhan memandangnya dengan muka yang pelik.
Tak tunggu lama, dia terus keluarkan sekeping kertas bersiaz A4 dan ditunjukkan ke hadapan Ahmad Farhan.
Taraaaa!
Kertas A4 itu dilayang-layangkan di muka Ahmad Farhan, membuatkan mata sahabatnya itu tak berhenti berkelip.
“Macam mana borang tu boleh ada dengan Ji’a?” soal Ahmad Farhan padanya.
 “Mak Cik Imah bagi. Paan tertinggal atas meja waktu sarapan pagi tadi.”
“Eee… Paan ni kan memang selalu macam tu. Loklaq. Mujur lah Ji’a dengar Mak Cik Imah panggil tau.” Matanya dijegilkan kepada Ahmad Farhan.
 “Iya ke? Bila umi panggil Paan? Tak dengar pun.”
“Macam mana nak dengar. Nampak saja Malik, Paan kayuh gerek sampai tak toleh ke belakang.” Giginya diketap kuat. Sungguh. Dia jadi geram waktu itu.
Paan. Kadang-kadang sikap sahabatnya itu mampu mendatangkan rasa geram pada dia.
Ahmad Farhan tersengih. “Ji’a tak dengar tadi Malik menjerit? Dia nak kenakan Paan. Sebab tu Paan cabut dulu.”
Alasan Ahmad Farhan itu buat dia mencerlung tajam ke arah sahabatnya itu.
“Paan ni! Malik tu mengusik sajalah. Dia takkan berani buatlah.” Memang pun. Malik itu hanya sekadar mengusik. Paan sahaja yang masih fobia dengan gurauan Malik.
Pantas Ahmad Farhan meletakkan jari telunjuk di bibir. Menghantar isyarat supaya dia berhenti membebel.
Shhh! Perlahanlah sikit. Nanti Malik dengar.” Mata Ahmad Farhan melirik ke arah Malik yang duduk di hujung barisan.
“ Ji’a . Janganlah marah Paan,” rayu Ahmad Farhan. Wajah sedih sengaja ditunjukkan pada Ji’a. Mahu menagih simpati.
Aaa… nanti balik sekolah, Paan belanja Ji’a ais krim nak?”
Bulat matanya mendengar tawaran Ahmad Farhan itu.
“Nak! Nak! Nak! Ji’a nak ais krim yang dalam mangkuk tu. Nanti kita singgah kedai kat depan sekolah ya.” Dia jadi teruja siap bertepuk tangan.
“Eh..eh..tak ada nya. Paan belanja ais krim Malaysia ja! Nanti kita singgah rumah Miey. Ais krim kacang Mak Cik Salma sedap,” kata Ahmad Farhan dengan mata yang turut tersenyum.
Dia mencebik. Terus terbantut rasa teruja tadi. Buku nota di tangan dijadikan alat untuk memukul bahu Ahmad Farhan .
 “Hei! Sakitlah!” Ahmad Farhan menjegilkan mata.
Dia buat tak layan. Terus pandang ke hadapan. Waktu itu pengetua sedang bersedia mahu menyampaikan ucapan.


DIA berjalan menuju ke pondok basikal. Dari jauh kelihatan kelibat seorang remaja lelaki sedang bertenggek di pelantar basikalnya. Rasa geram datang tiba-tiba.
Suka-suka hati sahaja duduk kat atas basikal orang. Nak kena budak ni. Dia menggumam geram. Langkah dipercepatkan. Konon nak sound budak yang berani-berani menjadikan basikalnya itu tempat melepak.
Tetapi semakin lama dia mendekat, baharulah dia perasan siapa gerangan budak yang berani itu. Ahmad Farhan.
“Lambatnya hari ini.” Ahmad Farhan merungut.
“Noin dengan Miey dah cabut balik dulu,” beritahu Ahmad Farhan pada Ji’a.
“Biasalah. Bukannya Paan tak tau, kalau kelas Cikgu Hakim tu faham-faham sajalah. Pernah ke, kelas dia habis awal?” Giliran dia pula merungut pada Ahmad Farhan.
Tanpa menunggu balasan daripada Ahmad Farhan, dia terus meletakkan beg di atas pelantar belakang basikal sejurus Ahmad Farhan bangun dari situ. Diambil tali yang tersimpan di tepi kocek begnya. Diikat tali tersebut melingkari beg dan besi di bawah tempat duduknya. Aksinya itu diperhatikan sahaja oleh Ahmad Farhan.
“Dah siap?”
 Dia pandang wajah Ahmad Farhan. Kemudian mengangguk. Basikal di tolak keluar dari pondok basikal. Namun langkahnya terhenti seketika. Dia merenung Ahmad Farhan yang berada di sisinya. Wajahya berkerut.
“ Mana gerek Paan?” soalnya pada Ahmad Farhan.
  “Paan tumpang abang tadi.”  
Dia mengangguk tanda faham. Tahu abang yang dimaksudkan Ahmad Farhan itu adalah Ahmad Faisal, abang sulung sahabatnya itu.
 “ Bangun lambat lagi?” soalnya sinis.
Ahmad Farhan tersengih memandangnya.  Dia sekadar mengelengkan kepala. Pastilah pagi tadi Ahmad Farhan terlewat bangun. Selalunya  memang begitu. Jika sahabatnya itu terlewat untuk ke sekolah, Ahmad Farhan akan membonceng motorsikal Ahmad Faisal. Jika mengharapkan Ahmad Farhan mengayuh basikal, sudah tentulah dia akan tiba lambat di sekolah. Haruslah kena denda dengan cikgu displin mereka.
Basikal dituntun beriringan dengan Ahmad Farhan. Sipi wajah Ahmad Farhan itu dia jeling dengan ekor mata. Sahabatnya itu berwajah murung.
Awat Paan? Sedih aja Ji’a tengok.”
“Kelas tak okey ?” Dia bertanya lagi.
Hmm…” Hanya itu sahaja yang keluar daripada mulut Ahmad Farhan. Seolah-olah tak berminat nak menjawab soalan dia.
“Tak okey?”
Ahmad Farhan buat isyarat jari. Ibu jari tangan ke bawah. Disusuli pula dengan satu keluhan.
Tiba-tiba Ahmad Farhan berhenti secara mengejut. Membuatkan dia tersentak. Nyaris basikal nak terbalik.
            Pandangan Ahmad Farhan yang tepat ke wajahnya itu buat jantungnya berubah ritma. Sudah seperti degup pabila dia baru menghabiskan larian merentas desa. Lama Ahmad Farhan memandangnya. Tak berkelip matanya dibuat Ahmad Farhan.
            Haish. Kenapa dia rasa semacam pula? Kacau dibuat hatinya.
            Dengan tak semena-mena, Ahmad Farhan melepaskan ketawa. Terhinjut bahu sahabatnya itu. Perut pula ditekan kuat. Lagak Ahmad Farhan itu seperti sedang menonton slot drama komedi.
“Okeylah. Seronok jugak. Ndak pula bila dah tak sekelas dengan Malik, si-kaki-buli tu.” Ketawa Ahmad Farhan masih bersisa. Ada air mata di tubir mata Ahmad Farhan.
Dia pula… masih seperti tadi. Terkejut dengan perbuatan Ahmad Farhan tadi belum habis lagi. Jantung yang berdegup kencang tadi masih belum pulih.
Aneh! Kenapa dia rasa begitu bilamana  mata Ahmad Farhan memanah tepat ke arahnya tadi. Pelik. Bukannya pertama kali dia bertentang mata sebegitu dengan Ahmad Farhan.
Arghhh! Kenapa ni? Hati yang resah itu menjerit di dalam diam.
Kenapa dia rasa semacam saja? Bukannya Ahmad Farhan tak pernah tengok dia seperti tadi. Selalu. Dari kecil lagi. Tapi… entah mengapa, saat ini dia rasa Ahmad Farhan bukan seperti selalu yang dia lihat. Matanya saat ini memandang Ahmad Farhan dari sudut yang lain.
 “Tapi….” Suara Ahmad Farhan itu membuatkan segala yang menerawang di dalam kepalanya sebentar tadi terus terbang keluar.
 “Tapi tak best, sebab Ji’a tak ada.”  Kata-kata Ahmad Farhan itu membuatkan dia mahu menoleh memandang wajah sahabatnya itu. Tetapi hatinya menegah.
Tiba-tiba dia rasa kekok berada dengan Ahmad Farhan.
“Paan tak biasalah. Sejak tadika lagi kita sekelas. Tiba-tiba aja Ji’a tak da, Paan rasa sesuatu. Macam… lain.” Bebelan Ahmad Farhan itu langsung tak dipedulikan. Dia jadi ralit dok melayan perasaan pelik dia waktu ini.
Dalam pada itu sempat juga dia mencuri pandang wajah anak teruna Mak Cik Sarimah di sebelah. Matanya singgah agak lama di situ. Entah aura apa yang datang berdamping dengan Ahmad Farhan hari ini, dia pun tak tahu. Dan entah apa yang merasuknya sekarang ini pun dia tak tahu.
Yang dia tahu, Ahmad Farhan kelihatan sangat berlainan daripada yang selalu dia lihat. Yang kadang-kadang menjengkelkan. Tapi… hari ini, dia jadi teruja memandang anak teruna Mak Cik Sarimah itu sepertimana dia melihat M. Nasir di kaca televisyen.
Oh! Dia memang minat sangat dengan M. Nasir. Hanya kerana M. Nasir dia berani pancitkan basikal along. Sebabnya, along menghasut abah sampai dia tak dapat tonton filem terbaru M. Nasir bersama Noin dan Pak Cik Jaafar. Dan kerana M. Nasir jugalah dia mogok makan apabila Amin tarik tali kaset Kembara sampai putus.
Matanya masih tak lepas memandang Ahmad Farhan yang auranya mengalahkan aura M. Nasir itu. Lirikan matanya jatuh pada mata sepet Ahmad Farhan. Mata ‘Jawanese’! Bukan ‘Japanese’. Kata Noin suatu ketika dulu.
Kemudian dia perhatikan tahi lalat pada bahagian dagu di sebelah kiri. Kata Tok Wan Lah, tahi lalat Ahmad Farhan itu tahi lalat manis. Dia tersenyum sendiri apabila mengingatkan semua itu.
Ralit melayan perasaan buatkan dia tak sedar yang tayar hadapan basikalnya terlanggar seketul batu yang agak besar.
“Oh, mak hang tergolek!” Dia melatah. Mujur tak bersilat.
Ahmad Farhan pantas memaut handle basikal. Supaya basikal tidak menimpa dia yang ketika itu sudah jatuh terduduk di tanah.
Laaaa! Macam mana Ji’a boleh terjatuh nih?” Soalan Ahmad Farhan itu buat wajahnya jadi kebas menahan malu.
Itulah. Ralit merenung anak teruna orang. Mata ni memang nak kena cubit sungguh lah. Dalam diam dia marahkan diri sendiri atas kecuaianya.
Err… Ji’a tak perasan lah ada batu.” Suaranya tegas. Cuba menutup rasa di hati. Cepat-cepat dia bangun. Seragam sekolahnya itu dikibas-kibas. Membuang debu-debu tanah yang melekat.
Tanpa sedar dia menendang batu yang menghalang perjalanannya tadi. Kelakuannya itu mengundang senyuman manis Ahmad Farhan. Dan dia jadi terpanar tika itu.


“FUH! Letihnya. Rasa macam nak tercabut tulang sendi ni,” rungutnya pada Noin yang duduk bersila di sebelahnya. Waktu itu mereka sedang berehat-rehat di tepi padang. Melepaskan lelah setelah penat berlari. Acara berlari 4 x 200 meter itu bukannya sesuatu yang mudah pada dia.
Botol air di kocek beg dicapai lalu diteguknya dengan rakus.
Matanya melirik pada Noin. Sahabatnya itu kelihatan termengah-mengah. ‘Pancit’ juga bekas olahragwati sekolah rendah ni. Dia senyum sendiri.
“Ji’a.”
Panggilan Noin itu buat dia berhenti meneguk air.
“Lepas balik sekolah ni, jom singgah pasar malam. Makan Laksa Johor Pak Cik Pian.” Cadang Noin padanya.
Ala Tak boleh lah. Ji’a dah janji dengan abah nak ikut pi pekan. Lagipun abah nak ambil angah kat asrama.”
“Kak Manis balik hari ini?” tanya Noin. Mungkin pelik kerana esoknya bukan cuti am.
“Angah telefon. Dia minta abah ambil hari ni jugak. Kalau tak dia balik sendiri.”  “Kak Manis ada masalah ke?” soal Noin lagi.
Dia sekadar menjongketkan bahu tanda tidak tahu. Matanya langsung tak memandang Noin. Sebaliknya dia ralit memandang ke tengah padang. Ke arah pasukan  hoki yang sedang bergelut dengan stick di tangan masing-masing.
Okey. Tipu. Dia bukannya pandang sangat pun budak-budak hoki. Dia cuma pandang Ahmad Farhan yang ada di dalam pasukan tersebut.
Sejak pulang dari sekolah tengahari tadi, itulah hobinya. Memandang Ahmad Farhan. Hobi yang terbawa-bawa sampai ke petang ni.
Ishhh! Galak sungguh anak Pak Chot ni. Marahnya sendiri.
Agaknya, kalau abah tahu dia sudah pandai bermain mata pada usia 13 tahun ni, pasti abah tak benarkan dia bersosial lagi. Dan along pula pasti akan menyalahkan M. Nasir. Along selalu marahkan dia. Kata Along, budak kecik macam dia tak patut dibenarkan menonton filem cinta. Nanti bawa pengaruh buruk.
Eeeee. Cinta? Tiba-tiba bulu meromanya meremang semacam. Dan serentak itu Noin menjerit kuat namanya,
“Ji’aaaaaaaaaa!”
Tiba-tiba dia rasa kepalanya berdenyut hebat. Padang sekolah ketika itu seolah-olah berpusing. Rasa sakit ya amat dia rasai. Matanya sempat menangkap imej sebiji bola sepak tidak jauh di belakangnya. Kini barulah dia sedar bola itu yang hinggap di kepalanya sebentar tadi. Air mata mulai memenuhi kelopak matanya. Terasa pedihnya.
Noin yang berada di sisi bingkas bangun dari duduknya. Dalam samar-samar itu dia nampak Noin berlari pergi. Entah ke mana, dia pun tak tahu.
Kemudian dia merasakan ada benda sejuk melekap di dahinya.
Dengan pandangan yang kabur dia cuba untuk memandang gerangan siapakah yang duduk bertinggung di hadapannya ketika itu.
 “Ji’a, hang okey ke?” Suara Noin menyapa telinganya.
 “Aku rasa teruk ni. Jom angkat dia  ke bilik kesihatan!” Suara Ahmad Farhan yang memintas pertanyaan Noin itu menyebabkan jantungnya mula mengepam dengan lajunya.
“Ji’a okey tak nih?” Soalan Noin tadi diulang oleh Ahmad Farhan.
Dia hendak membalas, tetapi lidahnya jadi kelu.
“Aku rasa, lebih baik panggil budak PBSM. Mintak budak-budak tu bawakan stretcher! Macam dah teruk sangat ni. Muka dia pun dah merah!” Kedengaran Ahmad Farhan memberi arahan. Tegas.
Kepala yang berdenyut sakit itu buat dia semakin lemah. Lama kelamaan pandangannya semakin kabur dan akhirnya… kelam.


OUCH! Kepala yang berdenyut itu dipegang dengan kedua belah tangan. Rasa berat.
Dia memandang sekeliling. Bila ternampak lambang PBSM di dinding, baharulah dia sedar yang dia berada di dalam bilik kesihatan.
 “Ji’a.” Noin memanggilnya.
 “Hang okey tak ni?”
Dia mengangguk perlahan. Reaksinya itu mengundang kesakitan.
Tangan yang memegang kepala tadi beralih ke dahi. Dia meraba perlahan. Sakit! Terasa benjolan pada bahagian yang sakit itu. Dia meggosok perlahan benjolan tersebut. Perit!
“Itu lah. Lain kali kalau nak usha orang pun janganlah kat tengah-tengah padang. Kan dah kena hentam dengan bola!” Sinis suara Noin kedengaran. Panas telinganya yang mendengar.Menyebabkan dia menelan liur, kesat.
Noin datang duduk di sisinya. Di atas katil. Sangat rapat sehingga bahu mereka saling bersentuhan. Dan kemudian Noin tersenyum penuh makna.
Okey. Ini yang dia rasa cuak semacam. Hatinya jadi tidak senang. Dia jadi takut memandang senyuman Noin itu.
 “Hang usha Paan kan?”
Sungguh dia rasa macam nak buat-buat pengsan balik. Boleh tak?
Tiba-tiba lengannya disenggol secara bertubi-tubi.
Aduhlah Noin ni! Sudahlah dahinya lebam. Ini lengannya pula bakal jadi lebam. Disenggol Noin.
Dia pandang Noin dengan wajah kesakitan. Tetapi tidak diendahkan oleh Noin. Sebaliknya, Noin semakin galak menyenggol. Menyuruh dia memandang ke luar bilik kesihatan.
Dari jauh dia nampak  Ahmad Farhan berjalan menuju ke arah bilik kesihatan. tanpa menunggu lebih lama, dia bingkas bangun dari katil.
“Ji’a nak pi toilet!” beritahunya, kalut.
“Nak aku teman tak?”
“Tak apa. Ji’a pi sendiri. Boleh jalan lagi ni. Nanti tunggu kat bangsal gerek.” Cepat-cepat dia berlari ke arah pintu belakang bilik kesihatan. Dia cuba mengelak daripada bertemu dengan Ahmad Farhan buat masa ni.

Mungkin dengan tidak menghadap Ahmad Farhan, rasa pelik yang melanda dia sekarang ini akan hilang.

No comments:

Post a Comment