AIR MATA masih setia mengalir walaupun orang yang sedang diingati pastinya sedang berbahagia dengan jodohnya. Berat badan yang semakin susut membuatkan semua kaum keluarga mula bertanya. Ya Allah, berat benar hati ini melepaskan dan redha dengan segala dugaanMu.
Padahal dimulut sudah berpuluh kali
berikrar akan melupakan setiap kenangan bersama lelaki itu. Inilah susahnya
bila berpisah tanpa ada sebab yang buruk untuk dijadikan alasan. Semuanya
bagaikan langsung tidak berubah.
“Nana, jom makan. Mak dah siap masak ni”
Puan Sharifah duduk disebelah Nana yang asyik termenung. Menggeleng melihat
mata yang basah itu. Risau hati melihat keadaan anak dara yang ditatang selama
ini susut benar tubuhnya.
“Nana tak lapar mak”
Selera makan sudah lama menghilang. Nasi
pun rasanya sudah lebih dari sebulan tidak dijamah. Makanan ruginya kini Cuma sekeping
biskut dan secawan air. Kagumnya dengan sekeping roti pun dia mampu kenyang.
“Tak lapar apanya, dah tiga empat hari mak
tak nampak Nana makan. Jom makan, along dengan adik pun ada. Semua nak makan
sekali. Budak-budak pun dah lapar tu. Jom” tangan Nana ditarik mengikut langkah
ke ruang tamu yang sudah terhidang dengan pelbagai hidangan tengahhari. Hari ni
dia akan pastikan Nana makan jugak. Tak boleh dibiarkan anaknya larut dalam
perasaan.
Dalam terpaksa di mengikut juga langkah
Puan Sharifah ke depan. Tak sampai hati nak mengecewakan orang yang kita
sayang. Lagipun kalau semua dah berkumpul, takkan dia nak duduk terasing dari
keluarga kecil mereka.
Melihat semua berselera menjamah hidangan
membuatkan airmata mengalir tanpa sedar. Betapa dia punya keluarga yang
penyayang tapi masih menangisi kehilangan lelaki yang masih belum punya apa-apa
ikatan dengannya. Bodohnya dia!
“Nana, makan la. Main-main pula dengan nasi
tu” tegur along yang sejak tadi memerhati gelagat adiknya. Bimbang juga hatinya
bila melihat perubahan ketara pada badan Nana. Adik yang selama ini putih dan
sangat gebu dah kurus benar. Makin terserlah semua tulang yang ada. Sudah
hilang kulit gebunya.
“Orang makan la ni”
“Makan apanya kalau along dah dua kali
tambah tapi nasi Nana tak luak lagi.”
Pinggan nasi Nana dijengah. Mahu
membuktikan yang kata-katanya benar. Sudah dua kali dia menambah nasi tapi Nana
masih larut dalam dunia sendiri. Bermain-main dengan nasi yang sebanyak mana
diddalam pinggan.
“Dah along tu makan gelojoh sangat. Lima kali
suap dah habis sepinggan. Orang makan dengan penuh nikmat, sebab tu lambat.
Kena rasai semua nikmat masakan mak ni” Nana cuba membuat lawak.
Mendengar jawapan Nana melegakan hati
Qisti. Kalau dah boleh menjawab dengan begitu panjang maknanya sudah ada perubahan
pada adiknya. Dah oklah tu, masa akan merawat segalanya. Mana boleh dipaksa
padam benda yang sudah lama sebati dengan diri Qistina. Itu perkara mustahil.
Bukannya dia tak kenal dengan Khairi,
lelaki pertama yang hadir dalam hidup Qistina. Tapi jika sudah tertulis disana
yang bukan jodoh mereka, kita sebagai hambaNya haruslah reda dan sentiasa
bersabar. Allah takkan menduga hambaNya andai kita tidak ada kekuatan untuk
bertahan.
“Esok along nak bawa semua pergi mandi
dekat Sedim. Jadi silalah rajinkan diri siapkan apa yang perlu.” Ujar Qisti
ala-ala pengumuman hari raya oleh penyimpan mohor. Mudah betul abangnya membuat
keputusan. Tak sedar gamaknya sekarang jam dah pukul berapa. Kenapa tak cakap
esok je?
“Mak pergi jugak?” Nana memandang ibunya.
Kurang percaya Puan Sharifah akan mengikut
aktiviti sebegitu. Mak memang tak berminat kalau ke tempat-tempat mandi begitu.
Pernah sekali mereka semua ke Bukit Merah LakeTown, tapi Puan Sharifah buat
perangai tak mahu masuk sebab tak ada benda yang hendak dibuat. Geram betul!
“Pergi, atuk dengan nenek pun ikut sama.
Nana kena drive kereta. Tak cukup kalau nak sumbat semua orang dalam Wira along
tu” Qisti yang menjawab. Bukan lagi pemberitahuan tapi lebih kepada arahan.
Biar adiknya itu tahu yang semua orang risaukan dia yang nampak ‘down’ benar
setelah kehilangan Khairi. Dunia belum kiamatlah!
“Jadinya memang Nana tak ada pilihan la
ni?”
“Mana ada along bagi pilihan pun. Along
bagitau je tadi. Nanti petang ikut kak Huda pergi beli barang makanan yang
perlu. Takut kelaparan pulak anak-anak along lepas mandi nanti.”
Nana hanya mengangguk. Tahu dia memang tak
ada pilihan lain kalau suara Qisti ala-ala jeneral tentera nak pergi perang.
Boleh juga keluar nanti. Sudah lama dia asyik berkurung didalam rumah.
“Baiklah, saya yang menurut perintah selagi semuanya ditaja penuh.”
“Bagus, macam nilah adik kesayangan along”
“Sayang la sangat. Kalau tak dengar kata
tak sayang ke?”
“Sayanglah jugak tapi lagi banyak kalau
Nana jadi budak baik.”
Tanpa sedar ada airmata yang mengalir
mendengar jawapan Qisti. Along ni, suka sangat buat ayat yang mengusik hati
kecilnya. Kenapa dia perlukan larut dalam kekecewaan cinta seorang lelaki
sedangkan dia punya keluarga yang kaya dengan kasih sayang dan cinta. Terima
kasih Allah atas segala nikmat dan kasih-sayangMu.
Suasana sangat meriah ketika mereka sampai
di kawasan perkelahan yang agak terkenal di kawasan Kulim ni. Walaupun keadaan
masih awal pada pandangan Qistina, tapi langsung tak menghalang anak muda mudi
untuk mandi air yang sangat sejuk itu.
Kereta di pakir berhampiran dengan tempat
yang nampak cukup besar dan selesa untuk mereka sekeluarga duduk dan bermandi-
manda. Mudah untuk mengangkut keluar dan masuk segala macam perkakas yang akan
digunakan.
“Hampar tikar dulu” arahan dari Qisti yang
dah berdiri tegak memandang Qistina dan Qisya yang sedang mengeluarkan periuk
nasi dan bekas berisi bihun goreng. Boleh pula keluarkan barang tapi tak ada
tempat nak letak. Entah belajar dimana pun dia tak pasti, benda asas macam tu
pun tak tahu.
“Sabar la, kena keluarkan semua benda dulu
sebab ada orang bijak yang susun semua barang atas tikar” tanpa nada Nana
menutur. Memerli Qisti sebenarnya, sebab abangnya yang menyusun semua barang
masuk ke dalam bonet kereta dirumah tadi.
“Okey, along ke sana dulu. Budak-budak dah
tak sabar nak main air.” bijak betul cara Qisti nak lepaskan diri dari dimarah
secara berterusan oleh Qistina.
Memang dia yang bersalah, main susun semua
barang masuk dalam bonet kereta tanpa berfikir kesan kepada orang yang akan mengeluarkannya.
Tapi kalau mengaku salah dengan dua orang gadis didepannya ini, pasti akan
dibahan cukup-cukup. Jadi lebih baik dia melarikan diri tambahan pula
telinganya sudah bingit dengan jeritan anak-anak yang tidak sabar untuk turun
ke sungai.
“Alasan semua tu. Takut kena marah dengan
semua orang la tu. Dah buat salah pandai je nak larikan diri”
Qisti buat tak dengar, biarlah Nana nak
berleter sampai esok pagi pun dia takkan marah. Asalkan adiknya itu kembali
kepada sikap asalnya. Susah hati bila melihat betapa murungnya Nana sejak putus
cinta dengan Khairi.
“Cepatlah Qisya, tolong tarikan tikar ni.”
Bekas plastik berisi meehun goreng dipegang. Dah malas nak punggah semuanya.
Rasanya dah cukup ruang untuk menarik keluar tikar yang berada dibawah itu.
“Tunggulah along kejap lagi, Qisya benamkan
dia dalam air. Arif dengan Azrul pun boleh buat geng. Pandai je lepaskan diri.”
Bebel Qisya pada abangnya. Letih kut buat
kerja dengan orang kurang perasaan ni, tak ada rehat langsung. Ditarik juga
tikar itu keluar. Malas hendak membantah cakap Nana.
Nana hanya mendengar bebelan itu, dia
membawa bekas ke arah Huda yang sudah berdiri dibawah pohon rendang. Sesuai
untuk dijadikan tempat duduk bersantai. Menanti Qisya membawa tikar untuk
dibentangkan. Buat tak faham dengan muka berkerut Qisya bila disuruh buat semua
kerja berat. Sesekali membuli adik sendiri apa salahnya.
QISYA, along, kak long dan anak buah bertiga tu tengah seronok berendam didalam sungai yang sejuk. Hj Zakaria pula sudah mengajak nek Siah berjalan-jalan disekitar kawasan, mahu merehatkan minda katanya. Pinggan yang masih berbaki meehun goreng diletakkan ditepi bekas air. Perut sudah penuh benar untuk dimasukkan lagi makanan.
Dia memandang emak yang tersenyum memandang
anak-anak dan cucu seronok bermain dengan air. Wajah wanita yang sangat
disayangi itu dipandang tanpa jemu.
Betapa sabarnya emak membesarkan mereka
bertiga selepas pemergian ayah ke rahmatullah. Sudah lima belas tahun ayah
kembali pada penciptaNya tapi mak masih setia hidup sendirian. Ketabahan mak
dalam menempuhi onak ranjau kehidupan ini sangat dikagumi.
“Dah kenapa pandang mak macam tu? Mak dah
tak cantik macam selalu ke?”
Soal Puan Sharifah bila perasan Nana asyik
memandang wajahnya tanpa berkelip. Nampak kagum benar.
Kepala terus direbahkan ke riba Puan
Sharifah. Rindu benar hendak bercerita pada wanita yang sangat memahami ini.
Berat rasa beban yang sedang terletak dibahunya. Cukuplah dia memendam rasa dan
menyusahkan hati semua orang selama ini.
Bagaimana emak menghadapi kehilangan ayah
setelah lama hidup bersama. Padahal dia yang baru kehilangan cinta seorang
lelaki yang langsung tidak mempunyai pertalian sudah tidak mampu untuk berdiri
dengan betul. Lemahnya hati insan bernama Qistina.
“Mak, penat tak hidup sorang-sorang?”
“Bila masa mak hidup sorang-sorang?” tak
faham betul Puan Sharifah dengan soalan Qistina. Selama ini dia ada keluarga
dan anak-anak yang sentiasa mengisi ruang-ruang sunyi dalam hidupnya. Tak
pernah langsung terfikir yang dia hidup sendirian.
“Tak ada pasangan macam orang lain. Atuk
tetap ada nenek walaupun dia orang suka bergaduh. Along ada kak Huda dan budak
bertiga tu. Mak Ngah dengan Pak Ngah. Pak Su pun ada Mak Su. Cuma mak yang tak
ada couple.”
“Tapi mak ada Qisti Nur, Qistina Nur dan
Qisya Nur yang ada ayah tinggalkan. Tiga orang ni dah cukup untuk penuhkan
ruang hidup mak sampai mak lupa betapa sunyinya hidup selepas ayah pergi.”
Jawapan yang sangat menyesakkan dada Nana. Betapa rasa bersalah memenuhi
dadanya saat ini.
“Nana susahkan hati mak ke selama ni?”
“Mak kenal anak mak, Nana berubah sekejap
sebab ada ujian yang terjadi. Tapi mak lega tengok Nana dah jadi anak mak yang
dulu. Tak apalah mak susah hati sekejap asalkan anak mak sentiasa bahagia.”
Jeda.
“Biasalah kalau kita tersilap jalan sikit.
Asalkan mahu berubah, semua tu tak jadi masalah dah.” Sambung Puan Sharifah.
“Nana minta maaf mak, Nana lupa yang Nana
ada keluarga yang lebih baik dari seorang lelaki yang baru Nana kenal.”
“Jangan fikir lagi. Kami semua ada untuk
Nana.” kepala Nana yang berada diribanya diusap lembut. Kasih sayang untuk
ketiga-tiga cahaya matanya tak pernah berubah walaupun apa yang terjadi. Itulah
racun, itulah penawar.
“Baru-baru ni Nana ada minta sambung
belajar, Allhamdulilah dah diterima. Bolehkan mak, Nana sambung belajar.”
perlahan Qistina berbicara. Berita gembira yang sampai beberapa hari lalu
membuatkan dia kembali hidup dari kecewa.
Cukuplah dia membuang masa begitu sahaja
beberapa bulan yang lepas. Sekarang dia mahu bangun dan memulakan hidup baru
sebagai wanita yang lebih tabah. Yang boleh membanggakan mak dan keluarga.
“Baguslah, sekurang-kurang terisi juga masa
yang ada ni. Tak adalah mak tengok asyik benar mengulit novel cinta yang tak
pernah nak betul tu bila tak pergi kerja.”
“Itukan minat Nana” Nana sudah mula mencebik
bila Puan Sharifah mengulas tentang minatnya yang sangat mendalam pada dunia
penulisan. Mak ni suka sangat mengutuk dia tak berpijak dibumi yang nyata.
Novel tu lagi banyak angan-angan dan kisah dongeng dari realiti hidup. Tapi mak
lupa yang kadang-kadang orang menulis berdasarkan pengalaman hidup seseorang.
“Bila mula belajar?”
Soal Puan Sharifah bila perasan ada
bunga-bunga tidak berpuas hati diwajah Nana. Faham benar dengan hati anak
daranya yang sangat sensitif kalau ditegur berkenaan minatnya. Jadi lebih baik
dibawa ke topik yang lebih selamat. Tak ada salah pun dengan hobi Nana tu!
“Bulan tujuh nanti.”
Puan Sharifah mengangguk. Sekarang dah bula
Jun, maknanya tak sampai sebulan lagi. Tapi bila difikirkan balik, itu yang
terbaik dia hanya menurut. Biarlah Nana terus belajar kalau itu yang dia mahu.
“Macam nilah anak mak, orang yang kuat
semangat. Bukan perempuan yang lembik bila kena tinggal dengan lelaki. Mak
sokong Nana. Nanti kita buat kenduri sikit. Doa selamat untuk Nana dan arwah
ayah.”
“Terima kasih mak.”
“Belajar betul-betul. Jangan malukan mak.
Mak dah tak sabar nak pakai topi senget lagi. Boleh suruh along belikan bunga
besar untuk kita.” tersenyum Nana mendengar impian Puan Syarifah Nur. Mak ni,
anak keluar dari Politeknik pun dah bangga habis, suka betul dapat pakai jubah
dan topi konvokesyen.
“InsyaAllah.”
“Lepas ni jangan sedih-sedih lagi. Walau
apapun yang terjadi, ingat yang Nana ada keluarga yang sentiasa menyokong Nana
untuk terus berjaya.”
Terus dipeluk tubuh Puan Sharifah. Ya Allah,
terima kasih atas kurniaan seorang ibu yang sangat memahami untukku.
No comments:
Post a Comment