Thursday, 23 January 2014

Kutunggu Pinanganmu (Bab 1): Fisha

Dua bulan yang lepas.

HARI minggu Qistina menanti kedatangan Khairi yang sudah berjanji untuk bertemu dengannya dia taman permainan berhampiran dengan Stadium. Tempat biasa mereka kunjungi andai ada masa terluang. Tempat bercinta kata orang.
Sudah tiga minggu mereka tidak bersua muka. Masing-masing sibuk dengan kerja. Khairi yang bertugas sebagai pegawai Kastam di Seberang Jaya sangat sibuk mengalahkan perdana menteri sekarang. Jarang ada masa terluang untuknya kini. Dan dia, seperti biasa lebih senang menghabiskan masa melepak bersama Nani jika tidak keluar ke mana-mana dengan Khairi.
“Maaf, lambat.” sedikit mengah Khairi menegur. Berlari pecut 100m ke mari agaknya.
Qistina hanya tersenyum. Jam ditangan kiri, dikerling sebentar. Tak adalah lambat tapi dia yang sampai terawal sebenarnya. Sebab tu Khairi rasa dia sudah terlambat bila melihat dia sedang duduk dengan selesa di buaian kanak-kanak.
“Mana ada lambat. Nana yang sampai awal, macam tak biasa pulak. Ada apa nak jumpa dengan Nana ni?” dia masih tersenyum memandang wajah lelaki yang nampak bersalah benar kerana terlewat. Pelik juga, kenapa nampak lain benar gaya Khairi hari ini. Padahal bukan tak biasa datang lambat pun. Awal tu yang pelik dengan Khairi, kalau datang lewat tu memang dia dah tak kisah.
“Kita duduk dekat sana dulu, macam tak selesa nak bercakap dekat sini.” langkah kaki mengikut Khairi yang menghampiri tempat duduk stadium. Masih belum ramai lagi orang yang datang hari ni. Mungkin kerana cuaca akhir-akhir ini sangat panas dan kering membuatkan tidak ramai yang sanggup berpanas mengeluarkan air dari badan.
Dia sendiri pun kalau tak disebabkan sudah berjanji untuk berjumpa dengan Khairi pastinya sedang berehat dengan tenang dirumah. Dunia sekarang, bergerak sedikit pun memerlukan duit. Jadi untuk menjimatkan perbelanjaan lebih baik jangan ke mana-mana.
“Seriusnya muka, kenapa ni?” soal Qistina bila melihat betapa keruhnya wajah lelaki yang duduk selang satu kerusi darinya. Jarang benar dia melihat wajah Khairi begitu. Pemuda ini dia kenal sebagai seorang yang ceria dan jarang menunjukkan masalahnya yang ada.
“Hary ada benda nak cakap dengan Nana”
Teragak-agak Khairi bersuara. Nampak sangat pelik dimatanya. Apalah yang tak kena dengan mamat ni hari ni? Nak cakap pun teragak-agak.
“Okey, cakap ajelah. Kenapa macam ada masalah besar saja ni?” dia masih tenang memandang ke balapan yang terhidang didepan mata. Setia menanti apa yang hendak disampaikan oleh lelaki itu walaupun musykil melihat wajah keruh Khairi. Dah macam ada masalah dunia pulak gayanya.
“Mak” Hanya sepatah itu yang diucapkan oleh Khairi.
Sepi.
Hampir seminit Nana diam, menanti apa yang selanjutnya ingin disampaikan oleh Khairi. Tapi lelaki itu tetap membisu. Langsung tidak mahu menyambung kata. Memaksa dia membuka mulut untuk bertanya.
“Kenapa dengan mak Hary?” pelik sungguh sikap Khairi hari ni. Dah macam orang lain yang sedang duduk bersamanya saat ini. Tapi kenapa?
“Mak pinangkan juga Rabiatul Adawiyah untuk Hary.” Ada getar dalam suara itu menerangkan hal yang sebenarnya. Membuatkan Qistina turut terdiam. Cuba mencerna apa yang cuba disampaikan oleh Khairi.
Makcik Surayya-pinang-Rabiatul Adawiyah-Khairi.
Tiba-tiba terasa bagaikan minda tidak dapat berfungsi dengan baik sehingga tak mampu untuk mencantum perkataan itu menjadi satu ayat yang sempurna. Langsung tak boleh nak berfikir. Apa maksud makcik Surayya meminang Adawiyah padahal sudah lama wanita itu tahu dia dan Khairi berkawan rapat? Motif? Nak jadi macam cerita dalam tv tu? Mak kejam yang tak setuju dengan pilihan anak sendiri dan dah ada calon pilihan. Klise sangat jalan cerita tu! Tapi rasanya itu yang akan terjadi dalam hidupnya.
Memang dia kenal dengan Rabiatul Adawiyah pilihan makcik Surayya, teman sekolah menengah yang muda setahun darinya dan sememangnya cantik dan bijak. Pilihan yang sangat tepat untuk dibuat calon suri hidup berbanding dirinya yang biasa-biasa sahaja. Tapi dia sudah lama berkawan dengan Khairi. Macamlah makcik Surayya tak tahu fakta yang sangat jelas itu.
“Habis tu?” itu saja yang terluah dibibirnya. Tak boleh nak cerna soalan yang lebih bernas untuk orang yang sedang duduk disebelahnya.
“Betul Hary tak tau apa-apa. Tiba-tiba mak cakap dah uruskan semuanya dan dua bulan lagi walimatulurusnya.”
Bagaikan ada batu yang sangat besar memhempap dirinya mendengar bicara Khairi. Kalau setakat merisik tu boleh lagi nak fikir cara selesaikan semua ini tapi kalau dah sampai tetapkan tarikh kenduri memang betul makcik Surayya nekad nak putuskan percintaan mereka.
Semudah itukah semua yang mereka ada akan berakhir? Dia tahu memang selama ini keluarga Khairi (dalam kurungan ‘makcik Surayya’) kurang menerimanya dalam kelompok mereka tapi disebabkan hati sudah bulat untuk bersama lelaki itu semuanya ditelan seorang apa yang terjadi.
Tapi nampaknya usaha dan sikap diam dirinya sudah memakan diri. Kemuncaknya, makcik Surayya sudah mencari bakal menantu pilihan hatinya. Dan dia sebagai orang yang menggunakan fikiran mengatasi hati harus sedar apa yang perlu dilakukan. Nampak sangat apa yang sedang berlaku takkan dia nak buat bangang lagi.
 Agak lama Qistina terdiam, cuba menenangkan hati sendiri dan berfikir cara orang waras didepan Khairi.
 “Tahniah, jangan lupa jemput Nana kenduri nanti.” tuturnya tanpa rasa. Sudah bangun dari duduk untuk bergerak meninggalkan lelaki itu. Tak betah untuk terus memandang wajah yang pernah bertahta dihati.
“Semudah tu?” jelas nada tidak berpuas hati dari suara Khairi.
“Habis tu, awak nak saya cakap apa lagi?” pandangan dihalakan pada Khairi yang nyata tidak berpuas hati dengan tindakannya. Ewah! Sendiri cari masalah sendiri tak puas hati. Sekeh kepala tu baru tahu.
“Awak taknak pertahankan apa yang kita bina selama ni?” soalan dari Khairi perlahan menampar telinganya.
Bulat mata Nana mendengar soalan Khairi. Eiiiiiiii! Ada juga yang kena cekik dekat stadium ni nanti.
“Patutnya saya yang cakap macam tu, tapi semua benda dah lepas. Tak payahlah nak pertikaikan benda yang dah tak boleh nak ubah.” perlahan Nana menjawab. Hati yang hancur, dada yang sesak dan fikiran yang kusut membuatkan dia seakan manusia tanpa rasa sekarang. Yang pasti dia harus melepaskan Khairi dari hidupnya. Untuk berebut seorang lelaki dengan wanita lain memang bukan dia.
“Habis tu macammana sekarang?” Khairi pandang gadis didepannya. Menanti jika ada butir bicara Qistina.
“Macammana apa, lagi dua bulan awak kahwin. Jadi jangan lupa hantar kad jemputan kalau sudi jemput. Saya balik dulu. Terima kasih atas segalanya Hary.” laju dia melangkah ke arah motosikal. Tak sanggup untuk menitiskan airmata dihadapan lelaki yang telah menghadiahkan seribu rasa padanya.
“Nana.” Laju Khairi mengejar langkah Nana. Dah macam sinetron tv pun ada jugak.
“Apanya?”
“Itu saja?”
Perasaan yang tadinya sedih sudah mula bertukar menjadi marah. Perlahan-lahan senyuman yang paling manis dia ukirkan.
“Oh lupa nak cakap.” Langkah diatur menghampiri lelaki itu. “Selamat pengantin baru dan bye-bye.”
Memang dia tak akan berebut seorang lelaki dengan wanita lain. Jika sudah bukan jodohnya, walau bagaimana dipertahankan pun pastinya mereka tidak akan bersatu. Lainlah ceritanya kalau lelaki itu yang bangun memperjuangkan ikatan antara mereka pasti dia akan turut berjuang. Jadi dalam hati yang luka dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada Khairi.
Tanpa menoleh lagi pada Khairi yang sedang tegak memandangnya, dia terus mengenakan topi keledar ke kepala. Yang dia nampak sekarang, Cuma rumah dan pelamin angin yang musnah.
Selamat tinggal saying, selamat tinggal kenangan!

 

 
Saat ini.

“JEMPUT datang nanti.” kad bersampul kuning air itu bertukar tangan. Ada bau harum yang menyapa deria baunya. Beria sungguh Puan Surayya nak menyambut bakal menantu pilihan, semua yang indah-indah saja yang disediakan. Kalau dialah jodoh Khairi rasanya tak seindah ini persiapan yang dilakukan oleh Puan Surayya.
“Bila tarikhnya?” sengaja mahu menyoal dan menyakitkan hati sendiri walaupun dia boleh saja membaca kad yang sudah berada ditangan. Mungkin dah terbiasa dengan budaya orang malaysia yang sangat berbahasa.
“Lagi sebulan.” betullah, beria sungguh.
Lagi sebulan nak kenduri kad dah siap diedarkan. Memang yakin benar. Dan orang yang dia sayang yang serahkan dengan tangan sendiri. Kagum betul dengan keyakinan dan semangat Khairi. Dalam tak mahu pun beria-ia edarkan kad. Dasyat betul hati orang lelaki ni, tak sampai sebulan dah boleh terima dan gembira dengan segalanya.
“InsyaAllah. Tahniah ya.” dan dia terus berlalu ke dalam kilang semula. Tidak mahu melihat wajah Khairi lagi.
Waktu rehat sudah berlalu, tidak ada apa lagi yang perlu diucapkan pada lelaki yang sedang memandang tiap langkahnya. Hari Isnin yang serba kelam-kabut menjadi makin kelam dengan kehadiran kad ditangan. Bijak betul Hairi mencari masa untuk memberikan kejutan padanya.
Hari yang dilalui bagaikan tidak terasa, kosong benar hatinya walaupun kerja yang menanti sememangnya langsung tak berkurangan. Apa salahnya kalau Khairi hulurkan kad tersebut pada hujung minggu, mudah untuk dia merawat hati sendiri. Tapi sekarang, semangat dan mood seminggu sudah rosak kerana lelaki itu.
Siapa kata setiap perhubungan cinta suka sama suka akan berakhir ke jinjang pelamin.
Siapa cakap kalau dah berjanji setia pasti akan bahagia hingga ke hujung nyawa.
Jika sudah tertulis di loh mahfuz yang jodoh kita bukan dengan insan itu maka bagaimana sekalipun dipaksa ia tetap takkan berhasil. Itu yang dia belajar dari perhubungan yang telah terputus.
Qistina merenung kosong ke langit malam yang kelam. Tiada bulan mahupun bintang didada langit malam ini. Seolah-olah turut sama bersedih dengan kehilangan yang dirasainya, membuatkan hati terasa makin sayu. Angin malam yang sejuk menyapa tubuh benar-benar membuatkan hati makin sedih dan pilu.
Perhubungan yang masuk ke tahun ke empat akhirnya putus juga, walaupun puas mereka mempertahankannya. Eh! Betulkah mereka, atau dia seorang sahaja yang berusaha.
Dalam sedih yang merantai jiwa dia terpaksa belajar menerima kenyataan yang dia sudah kehilangan kasih-sayang Khairi. Insan yang sangat disayangi itu sudah selamat menjadi suami orang lain semalam. Dari jauh dia memandang lelaki itu segak dalam persalinan pengantin dipelamin indah.
Majlis persandingan siang tadi tidak mampu dihadiri dari jarak dekat walaupun pada awalnya dia sudah menanam azam yang sangat kuat untuk mengucapkan tahniah pada bekas kekasih tersayang diatas pelamin. Rupanya dia masih belum kuat untuk melihat insan tersayang bersanding dengan insan lain. Dalam redha masih ada rasa terkilan dengan keputusan yang dibuat Khairi. Akhirnya pelamin angannya bersama Khairi musah. Yang ada Cuma tenda biru yang dah sudah bersepai.
Hanya kerana tentangan keluarga, hubungan bertahun hilang maknanya. Sungguh dari dahulu dia tahu yang Khairi sangat sayangkan keluarga tapi langsung tidak menyangka ini kesudahan mereka. Jadi bila ibunya melarang hubungan mereka, dengan mudah Khairi meninggalkan dia terkapar-kapar sendirian mencari kekuatan untuk meneruskan hidup yang dahulu diserahkan sepenuhnya pada lelaki itu untuk membentuknya.
Sudah kering airmata menangisi kehilangan Khairi. Lalu malam ini dia lebih senang duduk merenung langit malam tanpa apa-apa yang bermain dalam fikiran. Belajar melupakan insan bernama lelaki dalam kehidupnanya selama ini. Mahu membina hidup baru yang pastinya bukan sesuatu yang mudah.
“Nana, mak suruh masuk dalam rumah. Tak payah nak layan jiwa sangat dekat luar malam-malam macam ni” Qisya sudah menjerit dari pintu rumah pada Qistina yang masih setia dibawah pohon rambutan. Malas untuk menapak ke sana, bimbang iklan yang sedang disiarkan dikaca tv akan berakhir dan dia terlepas rancangan yang sedang ditonton.
“Nanti Nana masuk. Qisya masuk la dulu” Dalam serak dia menjawab jugak. Takut kalau Qisya melangkah ke sini.
Makin panjang pula syarahan tak bertauliah yang perlu dia dengar jika Qisya nampak dia masih menangisi lagi kehilangan Khairi. Budak sekolah tu mana tahu erti kehilangan dalam hidup, yang dia tahu asyik bersuka ria dengan kawan-kawan dan hero-hero kacak di TV.
“Iyelah, tapi jangan duduk lama sangat kat luar ni. Macam-macam boleh lalu depan Nana nanti” usik Qisya. Nak tengok juga berani sampai tahap mana kakak tersayang ni duduk termenung diluar.
“Merapu je” sengajalah tu nak kenakan dia.
“Betul apa. Rumah kita depan jalan, banyak yang lalu dekat jalan tu. Silap-silap Jidon gila tu pun boleh lalu depan ni” sengaja Qisya kuatkan nama lelaki yang kurang siuman itu pada Nana.
Tahu yang kakaknya memang kurang berani bila bertembung dengan lelaki itu. bagi Qistina orang yang kurang waras ni boleh bertindak sesuka hati dan tak ada siapa boleh mendakwa sebab dia ada sijil agung. Sijil orang waras!
“Pergi masuklah. Jangan duduk merapu dekat sini, mengganggu ketenangan orang nak rehatkan minda saja dengar suara Qisya yang tak merdu mana tu”  Qisya buat tak dengar, langsung tak kisah dengan kutukan kakaknya. Dah biasa sangat dengan ayat-ayat begitu membuatkan dia tak lagi terasa hati, malah dengan cara ini hubungan mereka adik-beradik lebih erat.
“Jangan lupa. Masuk cepat, jangan nak layan blues sangatlah. Setakat abang Khairi yang tak kacak mana tu banyak lagi lelaki yang boleh dibuat calonlah, sekali petik berpuluh yang sanggup nak jadi calon la” dengan selambanya Qisya mengutuk bekas kekasih hatinya. Memang Qisya sangat mengenali Khairi kerana setiap kali keluar memang dia akan bawa Qisya bersama sebagai teman.
“Pergi masuklah, memekak betul” marah Qistina, tak suka bila adik sendiri mengutuk pilihannya.
Memanglah Khairi tu tak sekacak mana tapi nak buat macammana kalau hati dah suka. Bak kata orang, masa bercinta bunga taik ayam pun bau wangi. Jadi jangan pertikaikan kenapa dia boleh jatuh cinta dengan Khairi. Sebab dia sendiri pun tak pernah ada alasan yang kukuh kenapa dia boleh bersama Khairi hampir empat tahun.
Maka bukan salahnya andai terasa kehilangan teman yang sudah terlalu lama berada disampingnya. Orang yang kita benci pun susah untuk dilupakan inikan lagi tempat kita berkasih sayang. Kenangan lama kembali tertayang diminda. Membuat hati yang pilu makin memberatkan mata.
Dia mula mengangkat kaki dari pelantar bila terasa malam semakin larut. Keadaan makin sunyi bila hanya sesekali kenderaan melepasi kawasan rumah mereka. Memang waktu-waktu malam begini tidak banyak aktiviti didalam kampung. Semua lebih selesa berehat didalam rumah disamping keluarga.
Kenangan hari ini dan waktu-waktu indah bersama insan bersama Khairi disimpan kemas disudut paling dalam dihatinya. Cuba untuk tidak memikirkan tentang lelaki ang sudah bergelar suami orang itu lagi. Doanya moga kebahagian akan mengiringi permulaan kehidupan pasangan itu.

No comments:

Post a Comment