Thursday, 16 January 2014

Detak Jantung Dia (Prolog): Aidah Bakri



“YOU tinggal rumah.” Afra terkulat-kulat dijerkah begitu. Wajah Puan Jasmine dipandang dengan mata terkebil-kebil. Hatinya yang masih terlalu polos itu tidak faham kenapa ibunya suka marah-marah.
            “Hanif boleh ikut pulak. Afra pun nak ikut. Afra nak tinggal dengan siapa kat rumah ni mama?” Afra memegang hujung baju ibunya. Wajah ibunya yang cantik bermekap dipandang lama meminta simpati. Semalam sudah ditinggal... hari ini kena tinggal lagi. Hati Afra sedih sangat sebenarnya. Kalau boleh dia nak ikut ke mana sahaja ibunya pergi. Dia tidak suka tinggal seorang di rumah besar itu.
            “Jangan membantah. Hanif budak baik... sebab tu dia boleh ikut.” Tangan kecil Afra yang ada di hujung bajunya ditolak tanpa rasa simpati. “You duduk rumah!”
            Aunty... kenapa Afra tak boleh ikut kita. Afra pun baik.”  Seperti biasa Hanif akan membela Afra. Dia kesiankan Afra. Selalu kena marah, kena tengking dan kalau mereka hendak ke mana-mana, Afra sering sahaja kena tinggal. Bagi dia Afra baik. Sangat baik sebenarnya. Dalam usia dia duabelas tahun, dia tak faham kenapa Tuan Kazim dan Puan Jasmine seperti tidak suka dengan Afra. Sedangkan Afra itu anak kandung mereka. Dia pula... yang cuma anak saudara sahaja statusnya, sangat disayangi oleh mereka. Tidak pernah sekali pun dia dimarahi oleh pak cik dan mak ciknya itu.
            “Afra  tak boleh sebab dia selalu bantah cakap aunty. Tak macam Hanif... selalu ikut cakap aunty dan uncle. Lagipun Afra perempuan. Aunty lebih suka anak lelaki.”
            Afra membawa diri ke hujung kerusi. Duduk di situ sambil menahan sebak. Sedih dia mendengar kata-kata terakhir Puan Jasmine tadi. ‘Aunty lebih suka anak lelaki’ ... maknanya ibu dia sendiri tak suka pada dia... cuma kerana dia hanyalah anak perempuan. Sampai hati mama... dia rasa seperti hendak menangis.
            “Kalau tak suka Afra sebab Afra anak perempuan... hantar Afra balik pada umi. Biar Afra duduk dengan abi dan umi.” Perlahan sahaja suara Afra. Dia yang baru berusia sepuluh tahun tiba-tiba rindu pada abi dan uminya.
            Puan Jasmine memandang Afra dengan perasaan geram. Ada sahaja jawapan yang keluar dari mulut kecil itu. Lagi-lagi abi... lagi-lagi umi.
            “Jangan harap you nak ke sana lagi. Mama tak izinkan you pergi sana. Duduk rumah diam-diam. Mak cik Kina ada temankan you.” Kasar saja intonasinya. Cepat benar hatinya panas bila berhadapan dengan Afra. Wajah putih bersih dengan bentuk mata yang indah begitu pun masih tak mampu menambat hatinya.
            “Hanif tinggallah aunty. Boleh Hanif temankan Afra. Kesian Afra tinggal seorang.”
            “You ikut aunty. Afra dah biasa tinggal sorang kat rumah.”
            Puan Jasmine sudah menarik tangan Hanif ke muka pintu. Mereka mahu ke jamuan makan malam bersama salah seorang rakan perniagaan mereka. Tuan Kazim sudah menunggu mereka di sana.
            “Mama...” suara halus itu memanggil.
            Langkah Puan Jasmine terhenti. Berpaling seketika.
            “Kenapa mama benci Afra? Apa salah Afra ma? Kalau mama tak suka Afra kenapa ambil Afra dari umi?” Lirih suara itu sambil merenung ibunya. Ada air hangat di tubir matanya.
            “Lahirkan you, aku terlantar berbulan-bulan lamanya. Adanya you, rasa benci mak bapak aku terhadap aku bertambah. Kalau ada pilihan memang aku nak serahkan you terus pada Majidah. Tapi dengan kedudukan aku sekarang, mustahil aku biarkan you duduk di sana.” Puan Jasmine langsung tak menghiraukan perasaan Afra. Terlupa dia yang Afra baru berusia sepuluh tahun. Terlupa juga bahawa Afralah buah cinta antara dia dengan Tuan Kazim. Tanpa menunggu lebih lama, dia menarik tangan Hanif untuk beredar dari ruang tamu rumah mewah itu.
            Hanif  hanya mampu memandang Afra dengan rasa simpati yang menggunung. Dia nampak ada air jernih yang bertakung di tubir mata Afra. Bila-bila masa titisan air jernih itu boleh menitis ke pipi. Kesiannya Afra!

No comments:

Post a Comment