Monday, 20 January 2014

Detak Jantung Dia (Bab 1): Aidah Bakri

Dalam ingin menghulur kata
Kata bersambut di balik silu
Terlukis indah kerdip mata
Mata bersatu tersipu malu
 
“NAK ke mana?”
            Pertanyaan Puan Jasmine itu sedikit memeranjatkan Afra yang baru hendak melangkah keluar rumah. Terpaksa dia berpaling mengadap ibunya.
            “Darul Hannan.” Balas Afra tenang.
            “Selalu sangat ke sana, buat apa? Afra bukan tak tau tempat macam tu bukannya elok... selalu dipandang serong oleh masyarakat kita hari ini.”
            Terbeliak mata Afra dengan kata-kata ibunya. Pundi hati tepu dengan rasa sedih. Pedih bagai dihiris-hiris. Darul Hannan banyak mengajar  dia tentang Islam. Darul Hannan itu banyak membuka matanya mengenai kalam Allah. Apa yang serong?
            “Tak ada yang tak elok mama. Afra ke sana jumpa umi, jumpa abi...”
            “Firdaus pun ada kan?”
            “Astaghfirullah mama! Abang Firr dengan Afra kan saudara susuan. Apa mama dah lupa dua tahun lamanya Afra menyusu dengan umi? Apa yang mama nak risaukan?”
            “Kau akan bertunang Afra. Apa kata bakal tunang kau nanti bila tahu kau selalu berulang ke sana?”
            Afra membuang keluh. Wajah tidak puas hati Puan Jasmine dipandang sekilas. Ibunya itu terlalu banyak menyimpan prasangka buruk terhadap Darul Hannan. Terlupa agaknya dia yang Darul Hannan pernah menyiram setitis budi dalam perjalanan hidup keluarga mereka sebelum ini.
            “Afra pergi dulu mama.”
            “Afra!!” Jerit Puan Jasmine geram. Namun Afra terus melangkah.
Bukan dia tidak perasan dengan sikap ibunya terhadap Abi Daud dan Umi Majidah yang sudah berubah. Mungkin ibunya sudah lupa pada jasa Umi Majidah... Umi Majidah yang telah menjadi ibu susunya. Dua tahun lamanya. Waktu itu mama terlantar sakit sebaik sahaja dia dilahirkan. Bukankah mama juga pernah bercerita betapa baiknya Umi Majidah itu? Bukankah mama juga pernah berpesan agar jangan lupa pada jasa umi? Argh, manusia memang mudah lupa! Sering khilaf pada kebaikan orang lain. Apatahlagi bila hidup sudah serba mewah. Semua kelengkapan hidup sudah terhidang. Sehingga terlupa pada budi yang pernah ditabur... lupa pada perlunya orang lain dalam hidup.
            Namun, apa yang mereka tidak nampak adalah hidup Afra yang kosong. Bertahun-tahun terasa asing dalam istana mewah ibu bapa sendiri. Kekurangan sesuatu nilai yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Limpahan kemewahan tidak bermakna jika hidupnya sentiasa sunyi. Sentiasa ditinggal pergi. Kesibukan ibu bapanya menjadikan rumah besar dan mewah mereka sepi... sunyi. Beku – kosong – tak berjiwa.
 
            Mata bundar Afra masih terpaku memandang halaman Darul Hannan. Pokok bunga raya yang ditanam umi di depan rumah berbunga lebat, tapi ada kuntuman yang sudah layu ditangkainya. Hari kian petang, cahaya kian suram bila matahari sudah condong ke barat. Hatinya tenang setiap kali duduk di beranda rumah itu sambil dibelai angin sepoi-sepoi bahasa. Terasa sejuk di kulit pipinya. Sentiasa ada aliran tenang dalam jiwanya bila dia duduk bersantai di situ.
            Terkenang ayahnya... terfikir ibunya, hati dibalut rasa terkilan. Entah di mana silapnya, jurang antara mereka kian melebar selaras dengan waktu yang berganjak. Berulangkali mencuba untuk menutup jurang itu, namun ada sahaja yang tidak kena. Sepertinya telah menemui jalan buntu.
‘Ah... perjalanan hidup ini memang susah untuk difahami. Ada masa sukar untuk membezakan diri untuk gembira, bahagia atau sebaliknya’... bisik Afra perlahan.
            “Afra...”
            Afra terpinga-pinga. Terlepas semua bisikan kalbunya. Terkebil-kebil anak matanya memandang susuk tubuh yang berdiri tegak di halaman rumah sambil memerhati dirinya. Sejurus selepas itu, terukir sejuring senyum di sudut bibirnya.
            “Abang Firr!”
            “Jauh benar fikiran dibawa melayang. Sudah sampai ke jiwa yang dikenang barangkali.” Firdaus ketawa perlahan. Suka benar hatinya melihat Afra ada di situ.
            Afra turut ketawa. “Abang Firr ni...” balasnya mengulum senyum. Tertangkap ketika sedang mengelamun panjang membuatkan dia termalu sendiri.
            “Siapa?” tanya Firdaus, sengaja menduga hati Afra.
            “Entah.” Sepatah dia membalas.
            “Laa... tak tahu pulak. Sengaja nak rahsia?”
            “Rahsia apa?”
            Firdaus tergeleng kepala. Dilabuhkan punggungnya perlahan-lahan di kerusi menghadap Afra.
            “Siapa yang dikenang?”
            “Yang ada di sini... yang sentiasa dekat di hati. Dekat tapi tak pernah mampu untuk dicapai.” Sayu suaranya sambil tangan kanannya melekap di dada. Memang dia sedang mengenang ibu dan ayahnya.
Firdaus terdiam. Mula sedar akan sesuatu.  Afra sudah menjadi wanita dewasa yang cantik. Mungkin dia bakal kehilangan Afra bila-bila masa sahaja. Bila terfikirkan akan hal itu, sedih pulak hatinya. Afralah teman berbual yang paling baik. Pendengar yang setia juga.
            “Ohh... dah adalah ni.” Duganya lagi.
            “Mestilah ada.”
            Handsome macam abang tak?”
            Afra ketawa mengusik. “Abang handsome ke?” Wajah Firdaus direnung lama.
            “Eh, mestilah! Berderet-deret tau nakkan abang.” Firdaus turut ketawa.
            “Ya Allah... tak sangka abang Firr ni perasan orangnya. Tapi kan, kalau ada seorang yang macam abang kat luar sana, tak payah tunggu dia mengorat orang... orang sendiri yang akan pergi ngorat dia.” Pandai benar Afra mengampu Firdaus.
            “Eh, samalah macam yang ada dalam hati abang. Maknanya...”
            “Maknanya... abang memang jadi rebutan gadis-gadis kat luar sana, gitu?”
            “Tidak syak lagi!”
            “Eleh, tak habis-habis perasan.”
            Ketawa mereka bersatu akhirnya. Sayup-sayup kedengaran suara laungan azan dari bilik yang telah diubahsuai menjadi surau bagi penghuni Darul Hannan di penjuru kanan rumah besar abi. Firdaus dan Afra sama-sama terdiam. Perbualan mereka terhenti sehingga laungan Azan Maghrib berakhir.
            “Tidur sini malam ni? Gelanggang silat dibuka untuk hari pertama.” Kata Firdaus sambil berdiri perlahan.
            “Tahu... umi dah bagi tahu.”
            So... tidur sini?”
            “Tak tentu lagi. Belum  minta izin dari mama. Kalau mama izin, tidurlah. Orang masuk dulu ye.”
            Mereka mula melangkah pada arah yang berbeza. Firdaus ke arah kanan dan Afra ke arah kiri. Namun mereka akan berjemaah dengan semua penghuni Darul Hannan berimamkan Abi Daud.

No comments:

Post a Comment