Monday, 20 January 2014

1, 2, 3... Bintang di Langit (Bab 1): Bidayatul H.

Twinkle twinkle little star, how i wonder what you are.


Tahun 1989 – Ji’a.
“SEKALI LAGI Malik usik dia, Ji’a pukul dengan penyapu ni!” Suaranya berbaur ugutan. Di tangan pula terdapat sebatang penyapu lidi. Dengan tubuhnya yang sedikit gempal itu dia mengharapkan Malik takut akan dirinya.
Suasana kelas di taska menjadi gamat seketika. Kelas yang  seramai lima belas orang itu begitu riuh rendah dengan paduan suara murid-muridnya. Ada yang sedang berlari-lari. Ada yang tengah berebutkan barang. Ada yang meratap menangis. Tak kurang juga yang sedang bertikam lidah.
Dia dan Malik berdiri saling berhadapan. Seperti dua Negara yang mahu berperang. Masing-masing di dalam langkah bersedia. Hanya menunggu masa saja untuk melancarkan serangan. Namun dengan tiba-tiba…
 “Nur Farha!” Jeritan Cikgu Aini kedengaran nyaring.
 Apa lagi, seisi kelas tergamam. Diam membisu. Masing-masing terkejut dengan kehadiran Cikgu Aini yang menyergah mereka dari luar kelas.
“Kenapa kamu pegang penyapu tu? Dan kenapa nak pukul Malik?” Bertalu-talu soalan daripada Cikgu Aini ketika menghampiri mereka berdua. Mata pula tajam menikam wajah dia dan Malik. Tangan Cikgu Aini pula bercekak di pinggang yang ramping. Umpama badan kerengga dengan baju kebaya labuh itu.
“Malik curi pemadam Paan cikgu!” Dia cuba membela. Kemudian dia menyambung lagi. “Lepas tu Malik lastik pemadam tu ke kepala Paan!”
 Di hujung meja sana Ahmad Farhan sedang menangis dengan wajahnya disembamkan ke meja. Cikgu Aini hanya mampu menggelengkan kepala sahaja. Mungkin pening memikirkan gelagat murid-muridnya. Pelbagai karenah.
Cikgu Aini mengeluh. Siapa yang tak kenal dengan Malik. Budak lelaki yang paling nakal di taska. Anak kepada Doktor Haiwan yang bertugas di Pejabat Haiwan nun di pekan sana itu gemar mengusik rakan-rakan sedarjah. Bagaikan hobi. Yang kerapkali menjadi mangsa ialah Ahmad Farhan.
 “Ahmad Farhan.” Suara tegas Cikgu Aini sudah berganti dengan nada memujuk. Lembut menyapa telinga.
“Sudah. Jangan menangis lagi ya!” pujuk Cikgu Aini. Bahu Ahmad Farhan ditepuk-tepuk perlahan.
Ji’a segera menghampiri Cikgu Aini.
“Ahmad Farhan kan lelaki. Lelaki tak elok menangis macam ni.” Cikgu Aini masih lagi memujuk.
“Ahmad Farhan budak yang baik kan. Dengar cakap cikgu ya.”
“Paan.” Ji’a berbunyi. Dia juga mahu cuba memujuk sahabatnya itu.
“Janganlah menangis lagi. Petang nanti kita pi sauk ikan kat tali air naa…” katanya cuba memancing minat Ahmad Farhan.
Nampaknya, ajakan untuk menyauk ikan itu berkesan. Ini kerana raungan Ahmad Farhan sudah bertukar kembali kepada bunyi esakan.
Ahmad Farhan memanggungkan kepalanya. Wajah itu kemerah-merahan. Mungkin akibat terlalu lama menekan wajahnya di meja tadi.
“Janji?” Ahmad Farhan berkata dengan suara yang serak-serak.
“Janji,” balasnya dengan suara yakin. Sambil itu jari kelingkingnya disuakan kepada Ahmad Farhan. Lalu Ahmad Farhan menyambut dengan senyuman.
Cikgu Aini yang melihat keadaan itu menarik nafas lega. Berjaya juga Ahmad Farhan dipujuk. Kemudian Cikgu Aini berpaling mencari wajah Malik. Lalu matanya yang bulat itu sengaja dijegilkan.
“Malik! Sebagai hukuman cikgu mahu kamu berdiri di atas kerusi sekarang sehingga kelas tamat. Faham!” Tegas suara Cikgu Aini mengarah. Malik tayang muka tak bersalah. Kemudian Cikgu Aini menoleh ke arahnya pula.
“Dan kamu Nur Farha!”
Matanya terkebil-kebil memandang wajah bersih Cikgu Aini yang tanpa sebiji jerawat itu.
“Cikgu mahu kamu berdiri di tempat duduk kamu! Ini hukuman untuk kamu juga sebab cuba memukul Malik dengan penyapu.”
“Tapi cikgu, Ji’a cuma nak tolong Paan sahaja.” Ahmad Farhan menyampuk dengan suara serak-seraknya itu.
 “Betul tu. Tapi tindakan Nur Farha itu tetap salah. Cikgu kan selau pesan pada kamu, kejahatan itu jangan dibalas dengan kejahatan kembali. Itu dendam namanya. Dan dendam adalah perkara yang tidak baik. Ingat lagi tak?” Lembut tutur kata Cikgu Aini.
Cikgu Aini kembali ke hadapan kelas. Mahu memulakan sesi pembelajaran.
“Baik lah murid-murid. Cikgu mahu kamu semua kembali ke tempat masing-masing. Kita akan mulakan kelas sekarang.”
Cikgu Aini kemudian bergerak menuju ke papan hitam di depan kelas.
“Seperti biasa sebelum mula belajar, mari kita sama-sama membaca doa dulu,” kata Cikgu Aini. Masing-masing mula menadah tangan, bersedia mengaminkan doa yang bakal dibaca oleh ketua kelas mereka Muhd. Helmiey.
Dan petang itu seperti yang dijanjikan, Ahmad Farhan datang menuntut janji bersama Noin.
“Ji’a, tadi cakap nak sauk ikan. Kami dah siap ni.” Ajak Ahmad Farhan dan Noin. Bersungguh-sungguh kedua rakannya itu. Di tangan masing-masing terdapat pukat buluh.
Ala, Ji’a tak boleh keluar lah. Abah marah. Abah dah tahu Ji’a kena denda berdiri di kelas Cikgu Aini tadi,” beritahunya dengan suara yang serba salah.
“Macamana abah hang boleh tau ni?” soal Noin, kalut.
Ji’a tidak menjawab soalan Noin. Cuma kedua bahunya diangkat tanda tidak tahu.
“Habis tu kita tak jadi lah nak sauk ikan petang ni?” Ahmad Farhan bertanya. Jelas suara itu kedengaran tidak berpuas hati .
Kepalanya dianggukan berkali-kali sebagai menjawab pertanyaan Ahmad Farhan itu.
Dengan tidak semena-mena, kedengaran bunyi pukat  buluh jatuh ke tanah. Rupanya Ahmad Farhan membuang peralatan itu dengan sengaja. Tanda protes.
“Tapi Ji’a kan dah janji nak sauk ikan petang ni!” Ahmad Farhan masih tidak jemu menagih janji itu.
“Tak boleh. Nanti abah marah. Tadi abah dah bagi amaran.” Bersungguh-sungguh dia menerangkan. Dari duduk di atas tangga, dia sudah berdiri tegak.
 “Ji’a tipu! Tadi Ji’a dah janji!” Ahmad Farhan betul-betul marah dengan Ji’a. Sejurus berkata-kata, Ahmad Farhan terus berlari meninggalkan Ji’a dan Noin.
 “Paan! Paan!” Dia menjerit memanggil. Tetapi tidak dihiraukan.
 “Biarlah Ji’a! Anak manja tu memang…” Noin merungut.
“Salah Ji’a. Kita kan dah janji nak sauk ikan.” Dia mengeluh. Suaranya sayu saja.
Ala. Bukan lari pun tali ayaq tu. Esok lusa boleh pi lagi,” tegas suara Noin.
“Okey lah Ji’a. Aku balik dulu. Nanti malam kita jumpa kat rumah Tok Wan Lah. Aku ada misi penting. Malam ni kita kenakan si Malik tu.” Noin ketawa mengilai. Hilaian seorang budak perempuan yang masih belum cukup umur. Bunyinya tidak langsung menakutkan.
Dia mengeluh memandang ke arah Noin yang sedang berlari mengejar Ahmad Farhan.  
“Paan. Ji’a minta maaf,” lirih suaranya berbisik sendiri.

No comments:

Post a Comment