Thursday 9 October 2014

Jiran Masam Manis ~ Bab 2: Bunick Firdaus

“Mak… Fayyad minta maaf banyak-banyak sebab dah menyusahkan mak dalam tempoh setahun ni.” Fayyad kucup bertalu-talu tangan tua ibunya. Satu demi satu dia menuturkan perkataan-perkataan yang sudah hampir setahun tidak disebutnya.
“Mak maafkan Fayyad, mak bersyukur sangat Fayyad dah kembali pada mak, pada keluarga kita. Walaupun setiap hari Fayyad ada depan mak, tapi mak tahu Fayyad semakin hilang, makin jauh dari kami semua. Mak tak tahu nak cakap apa, tapi mak gembira sangat hari ni Fayyad. Abah dengan Hana mesti seronok kalau diorang dapat tengok Fayyad dah okey.” Panjang lebar bicara Hajjah Sakinah. Dia tidak henti-henti memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana telah mengembalikan satu-satunya anak lelakinya. Sangkanya, Fayyad sudah tidak punya keinginan untuk hidup dan bercakap seperti biasa lagi. Namun, dia benar-benar terkejut bila mendengar Fayyad memanggilnya tadi.
“Mak…” Fayyad diam seketika. Cuba mencari rentak untuk kembali menyusun ayat setelah sekian lama dia hanya membisu dan terus membisu. Katalah apa sahaja, ucapkanlah seribu ayat mahupun sejuta perkataan kepadanya, dia hanya akan membisu sahaja. Itulah dunianya sejak hampir setahun yang lalu. Dia juga sudah menyangkakan yang mungkin dia tidak akan bercakap sampai bila-bila. Dia kufur dengan nikmat Allah yang menganugerahkan peti suara kepadanya, tapi dia langsung tidak bercakap semenjak setahun yang lepas. Ya Allah…ampunkan aku, maafkan hamba Mu ini Ya Allah. Dia merintih di dalam hati…. Betapa Allah masih memberi kesempatan untuk dia hidup lagi sekali.
“Fayyad…” Hajjah Sakinah menyentuh lembut tangan Fayyad. Sedikit rasa bimbang menular dalam hatinya bila melihat Fayyad kembali diam. Janganlah Kau tarik kembali kebahagiaan ini Ya Allah…
“Mak… Fayyad lapar. Fayyad nak makan asam pedas ikan pari mak yang sedap tu boleh tak?”
Hajjah Sakinah sudah tidak mampu menahan sebak yang kembali menujah dada bila mendengarkan permintaan Fayyad. Sudah lama Fayyad tidak meminta-minta seperti itu.  Dia merangkul Fayyad dengan penuh kasih, di bahu Fayyad dia melabuhkan sedunya yang semakin galak berdendang.
“Boleh nak, Fayyad cakap je nak makan apa, mak boleh masakkan untuk Fayyad. Dah lama mak tunggu saat ni Fayyad.”
“Terima kasih mak sebab tak pernah jemu tunggu Fayyad kembali.” Sayu nada suara Fayyad. Dia sudah terlalu lama hilang di dalam rumah ini. Dia mahu kembali menjadi Fayyad yang dahulu. Dia tidak mahu larut dalam duka yang tidak berpenghujung lagi. Walaupun mungkin sedikit sukar untuk dia kembali mengingat himpunan perbendaharaan kata yang sudah lama dia lupakan, dia akan berusaha untuk hidup dengan penuh semangat selepas ini.
“Fayyad tahu kan mak, abah, Hana dan ramai lagi orang yang sayangkan Fayyad. Kami semua tak pernah jemu tunggu Fayyad sembuh.” Hajjah Sakinah mengesat air mata yang masih bersisa.
“Fayyad tahu mak, tapi Fayyad terlalu ikutkan hati, ikutkan rasa Fayyad sendiri. Insyaallah mak, Fayyad tak nak jadi orang yang tak berguna lagi. Mak doakan Fayyad ye…”
“Kami semua sentiasa doakan Fayyad. Sampai bila-bila.”
“Mak, Fayyad nak naik mandi dulu.”
Hajjah Sakinah menghantar gerakan kaki Fayyad dengan pandangan yang penuh dengan seribu syukur. Langkah Fayyad masih sahaja longlai, tapi lantunan suara Fayyad sudah membuatkan dia cukup gembira. Dia tidak mengharapkan Fayyad seratus peratus kembali menjadi dirinya dalam masa yang singkat. Dia tahu Fayyad akan mengambil masa untuk kembali menyesuaikan diri dengan rentak kehidupannya, jadi dia akan membiarkan sahaja Fayyad menyusun tempo  sehingga ia menjadi sempurna.
Sekilas, dia kembali teringat pada figura yang sedang berdiri di sebalik pagar yang memisahkan rumah berkembar itu. Dia tidak sempat untuk melihat siapakah gadis itu kerana terlalu leka menguruskan Fayyad yang  bersungguh-sungguh menangis. Bila sahaja dia berjaya menenangkan Fayyad, kelibat gadis itu sudah tidak kelihatan lagi.  Mungkinkah Fayyad menangis selepas melihat gadis itu? Tapi apa pula yang dilakukan oleh gadis itu sehingga Fayyad menangis?
Hajjah Sakinah sudah buntu untuk memikirkan hubungkait gadis itu dengan Fayyad. Ahh, nanti-nantilah dia tanyakan pada Fayyad. Semangat Fayyad masih belum  pulih  sepenuhnya. Dia tidak mahu merencatkan perkembangan baik itu. Lagipun, kalau Fayyad tidak mahu bercerita, akan dia tanyakan sendiri pada gadis itu. Pastinya gadis itu penghuni baru di rumah sebelah. Takkan lari gunung dikejar….
Hajjah Sakinah kembali berdiri, banyak yang perlu dia lakukan untuk menyambut kepulangan Fayyad di dalam rumah ini. Dia tidak mahu bertangguh membahagiakan anak sulungnya itu. Apa sahaja yang diminta oleh Fayyad, akan dia usahakan dengan sedaya upaya. Insyaallah, Dia akan membantunya untuk melunaskan hutang kebahagiaan Fayyad.


Fayyad menolak daun pintu biliknya dengan perlahan. Dia bagaikan mendapat nafas baru setelah melihat gadis yang menegurnya itu. Gadis yang hanya memakai tracksuit itu berjaya memecahkan peti suaranya yang kejap tertutup beratus-ratus hari lamanya. Siapakah gadis yang berani menegurnya sebentar tadi? Apa pula persepsi gadis itu terhadapnya apabila melihat dia melolong memanggil emaknya dan dalam masa yang sama mula menangis bila disapa oleh gadis tersebut. Pastinya pelbagai tanggapan negatif yang singgah di fikiran gadis itu. Salahnya juga kerana bereaksi seperti itu tadi. Apa pun, dia harus berterima kasih kepada si gadis berseluar tek itu kerana ucapan salamnya telah menarik kembali dia ke alam realiti.
Langkah kakinya diseret menuju bilik air. Dia merenung wajah yang sudah lama mati itu. Tulang pipi yang ketara menonjol, bentuk wajah yang semakin memanjang, jambang yang liar berselerakan dimukanya dan matanya yang sedikit terperosok ke dalam membuatkan dia kelihatan tidak ubah seperti mayat hidup. Dia capai cream shaver, lantas dilumurkan disekitar pipi dan dagu. Dia mahu kembali menjadi Fayyad yang dahulu. Dia tidak mahu mati di dalam kehidupannya lagi. Dia mahu meninggalkan Fayyad yang terpedaya dengan rasa hati yang akhirnya memamah dirinya sendiri.
Ingatan Fayyad tetap juga melayang pada gadis yang bergelar jirannya itu. Rasanya gadis itu baru sahaja berpindah masuk ke rumah sebelah kerana dia tidak pernah nampak kelibat gadis itu sebelum ini. Keluarganya sendiri baru berpindah masuk ke rumah ini hampir enam bulan yang lepas.
Bunyi ketukan pintu bilik air kembali membawa Fayyad ke alam nyata. Ternyata, sudah agak lama dia menghabiskan masa di dalam bilik air itu. Laju sahaja tangannya membuka selak pintu  bilik air. “Ye mak,” sapanya sebaik sahaja melihat ibunya sedang berdiri di dalam bilik itu.
“Mak nak telefon abah, Fayyad ada nak pesan apa-apa ke?” Hajjah Sakinah genggam telefon bimbit dengan tangan kanan.
“Tak ada mak. Nanti kalau Fayyad nak apa-apa Fayyad bagitahu mak. Kalau boleh, mak jangan bagitahu abah dulu pasal Fayyad.”
“Fayyad nak surprised kan abah ye?” soal Hajjah Sakinah lsambil tersenyum.
Fayyad hanya mengangguk perlahan. Dia sebenarnya sedang mencongak di dalam hati, bagaimanakah agaknya penerimaan abah bila melihat dia begini?
“Mak nak turun dulu, nak masak. Fayyad rehatlah ye,” Hajjah Sakinah sudah mahu beredar dari bilik anak bujangnya itu namun suara Fayyad menahannya dari berbuat demikian.
“Fayyad dah terlalu lama berehat mak. Fayyad kena tebus balik apa yang Fayyad dah tinggalkan selama ini. Fayyad dah penat berehat.”
“Mak faham, perlahan-lahan ye nak. Jangan terlalu mendesak diri Fayyad sendiri. Mak, abah, Hana dan ramai lagi orang lain yang akan sokong Fayyad, yang nak tengok Fayyad gembira, bahagia macam dulu-dulu. Mak minta sangat, sudah-sudahlah dikenang peristiwa yang lepas. Fayyad kena mulakan hidup baru mulai sekarang. Yang pergi tu, biarkanlah dia pergi dengan aman ye nak. Kita yang hidup ni, kenalah terima segala ketentuanNya dengan redha.” Hajjah Sakinah sudah pun melabuhkan punggungnya di atas katil, tidak jadi untuk keluar dari bilik Fayyad.
“Fayyad tahu mak. Maafkan Fayyad sebab Fayyad terlalu ikutkan hati sampaikan dah menyusahkan semua orang. Fayyad janji Fayyad akan berubah mak.”
Hajjah Sakinah mengesat tubir matanya yang sudah mula basah. Doanya sudah dimakbulkan Allah. Alhamdulillah, siang malam dia tidak pernah putus-putus berdoa supaya Allah mengembalikan semula semangat Fayyad untuk hidup. Dan hari ini, doanya benar-benar telah dikabulkan. Sesungguhnya ALLAH itu tidak pernah tidur. “Fayyad mandi dulu, mak nak turun bawah.” Hajjah Sakinah kembali berdiri. Dia tahu yang Fayyad masih belum mandi biarpun sudah hampir setengah jam anak sulungnya itu berteleku di dalam bilik air. Hajjah Sakinah kembali turun ke dapur sebaik sahaja Fayyad masuk semula ke dalam bilik air. Dibiarkan sahaja anak sulungnya itu mengambil masa untuk membersihkan diri.
Telefon bimbit yang berada di dalam genggaman dia pandang sepi. Tiada permintaan khusus dari Fayyad, tapi dia masih perlu menghubungi suaminya itu supaya pulang awal ke rumah. Mana tahu tiba-tiba sahaja Haji Amran mempunyai perancangan lain. Setelah hampir sepuluh minit berbual dengan suaminya itu di telefon, dia menyambung kerja memotong sayur petola yang masih belum siap. Selesai memotong sayur, dia membawa sayur petola yang merupakan kegemaran Fayyad ke sinki.
“Mak…” Perlahan sahaja nada suara Fayyad memanggil Hajjah Sakinah  yang sedang membasuh sayur di sinki. Dia sangat arif yang ibunya itu seorang yang suka melatah, jadi seboleh mungkin dia tidak mahu mengejutkan ibunya yang ralit membasuh sayur.
“Ada apa Yad?” Hajjah Sakinah sudah berpaling ke arah Fayyad seraya menutup paip sinki. Sedikit kaget dia melihat Fayyad yang sudah berubah penampilan. Tiada lagi jambang yang sebelum ini menutupi dagu anak bujangnya itu. Fayyad kelihatan lebih segar dan terurus. Nampaknya Fayyad benar-benar mahu keluar dari lorong kegelapan yang mengelilingi dia.
“Fayyad nak minta tolong boleh?”
“Mak ingatkan mak ada lagi seorang anak lelaki bila tengok Fayyad macam ini. Handsome anak mak ni.” sakat Hajjah Sakinah bila melihat penampilan baru anak lelaki tunggalnya. “Hmmmm…. Yad nak minta tolong mak? Kalau mak kata tak boleh?”
“Errr, kalau tak boleh tak apalah,”
“Mak gurau je lah. Fayyad nak minta tolong apa ni? Nak minta tambah lauk lagi?” soal Hajjah Sakinah bersungguh-sungguh.
Laju sahaja Fayyad menggeleng. “Boleh tak mak tolong call Haziem dan Faris? Fayyad nak jumpa diorang.” tutur Fayyad satu persatu. Sudah hampir sebulan kedua temannya itu tidak mengunjunginya. Dia akur akan kesibukan Haziem dan Faris. Sepanjang setahun tempoh kebisuannya ini, mereka berdua tidak pernah culas datang ke sini. Walaupun kedatangan mereka hanya dipandang sepi oleh Fayyad, kedua-dua lelaki itu bisa sahaja berbicara seolah-olah Fayyad turut menyertai perbualan itu. Sedikit pun mereka berdua tidak berputus asa untuk membantu memulihkan semangat Fayyad yang sudah mati.
“Boleh Yad, nanti mak telefon diorang. Boleh makan malam kat sini.” Hajjah Sakinah sudah menyanggupi permintaan Fayyad. Apa pun yang Fayyad minta, akan cuba dia tunaikan selagi terdaya kerana dia tidak mahu Fayyad kembali bersedih seperti dulu.
“Mak…” Fayyad seakan tidak puas memanggil Hajjah Sakinah. Sudah lama dia tidak mengungkapkan perkataan itu, bukan perkataan itu sahaja bahkan semua perkataan yang ada dalam perbendaharaan kata sudah lama tidak meniti di bibirnya.
Hajjah Sakinah kembali berpusing ke arah Fayyad, mahu memastikan apa yang diingini oleh anak lelaki tunggalnya itu.
“Tak ada apalah mak, Fayyad saja nak panggil mak. Dah lama rasanya Fayyad tak panggil mak.” Fayyad pantas bersuara sebelum Hajjah Sakinah membuka mulut untuk bertanya. “Fayyad keluar dulu ye mak, nak ambik angin kat luar.” Fayyad sudah melangkah keluar dari dapur, tidak mahu berterusan mengganggu ibunya yang pasti begitu teruja dengan perubahan dirinya itu.
Fayyad lebarkan daun pintu dan melangkah keluar dengan penuh harapan. Seribu harapan agar dapat melihat kembali gadis yang menyapanya tadi. Namun, hampa yang dia rasakan apabila melihat laman sebelah yang kosong. Pintu rumah jirannya juga tertutup rapat. Dia panjangkan leher melangkaui pagar yang memisahkan rumah berkembar itu, cuba untuk melihat andainya tingkap rumah itu ada yang terbuka. Tetap hampa!
Mungkin dia telah menakutkan jirannya sehingga gadis itu langsung tidak keluar dari rumah. Apa yang ingin diperkatakan oleh gadis itu sebentar tadi? Dia mendongak ke atas pula, andai bernasib baik dapatlah dia melihat jirannya itu bersidai di balkoni. Tetap juga hampa. Tak apalah, masih banyak masa lagi untuk dia beramah mesra dengan jirannya itu.


“Ada tetamu ke? Masak macam nak kenduri je ni?” soal Haji Amran apabila melihat lauk pauk yang memenuhi meja makan itu. Dalam rumah ini hanya ada tiga orang, tolak Fayyad yang hidup seperti mayat, lauk sebanyak ini tidak mampu dihabiskan oleh dia dan isterinya.
“Memang ada kenduri pun,” ujar Hajjah Sakinah yang baru muncul dari dapur. Kedua tangannya menatang beberapa biji pinggan.
“Isk awak ni, kenduri apa pulak ni? Cuba cakap betul-betul dengan saya.” Hari minggu macam ni memang sesuai untuk buat kenduri. Tapi dengan keadaan Fayyad yang seperti itu, sangatlah mustahil untuk mereka mengadakan kenduri.
“Orang jauh dah balik bang,  sebab tu saya seronok nak masak. Dah berbulan-bulan kita berdua menghadap muka satu sama lain waktu makan, hari ni ada orang jauh balik nak makan dengan kita.”
“Hana nak balik ke?” Haji Amran masih hairan dengan apa yang sedang berlaku. Wajah isterinya kelihatan cukup ceria. Rasanya baru minggu lepas Hana, anak bongsunya pulang ke rumah. Seingatnya, cuti semester lambat lagi. Takkan tiba-tiba Hana balik pulak.
“Abang tak payah fikir banyak-banyak. Abang naik mandi dulu, sekejap lagi Nah naik. Lepas tu kita solat berjemaah ye. Hari ni abang ada extra makmum.” Hajjah Sakinah masih lagi berteka-teki dengan suaminya.
“Hish, apa-apalah Nah oi. Malas saya nak layan karenah awak ni.” Haji Amran sudah berlalu menaiki tangga ke tingkat atas. Namun, otaknya terus sahaja ligat memikirkan apa yang terjadi dengan isterinya? Siapa yang nak datang? Siapa yang nak jadi makmum?
Persoalan itu hilang sebaik sahaja dia memasuki biliknya dan terus berlalu ke bilik air. Azan Maghrib akan berkumandang tidak lama lagi. Dia tidak mahu melengah-lengahkan untuk menghadap Sang Penciptanya.
“Saya dah bentangkan sejadah kat dalam bilik solat. Kita sembahyang kat sana malam ni.” ujar Hajjah Sakinah sebaik sahaja melihat kelibat suaminya keluar dari bilik air. Giliran dia pula memasuki bilik air untuk membersihkan diri selepas badannya sudah berbau dengan segala rempah dan rencah.
“Nah… Kenapa pelik sangat awak ni?” Kain pelikat yang sudah diletakkan di atas katil oleh isterinya dicapai.
“Adalah… surprised,” Isterinya sudah menghilang di dalam bilik air. Dan dia hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja. Dia keluar dari bilik tidurnya dan menuju ke bilik solat yang terletak di hujung. Dia berhenti seketika bila melewati bilik Fayyad, tangannya terus memulas tombol bilik anak sulungnya. Bunyi cucuran air dari dalam kamar mandi menandakan Fayyad sedang mandi. Dia sebenarnya mahu mengajak anak sulungnya itu untuk bersolat jemaah bersama mereka. Walaupun dia tahu Fayyad tidak akan berbuat demikian, tapi sekurang-kurangnya dia berusaha untuk terus memujuk Fayyad agar mendekatkan diri kepada Allah. Alhamdulillah, setakat hari Fayyad masih bersolat dan berpuasa di bulan Ramadhan walaupun dia tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun. Ya Allah, bilakah agaknya anakku ini akan kembali kepada kami? Aku sudah terlalu rindukan dia… Dia menutup kembali pintu bilik Fayyad dan meneruskan langkah ke bilik solat.
Ada tiga barisan sejadah yang sudah siap dihamparkan oleh isterinya, dan otaknya kembali bekerja keras memikirkan siapakah orang jauh itu? Tak kisahlah, siapa pun orang jauh itu akan dia layan dengan sebaik mungkin. Dia mencapai Tafsir Al-Quran dari atas kabinet dan  terus sahaja bersila di atas sejadah pada barisan pertama. Sempat lagi untuk dia melihat tafsiran dua tiga potong ayat sebelum mereka bersolat jemaah sebentar nanti.
Derapan tapak kaki yang memasuki bilik solat itu membuatkan dia menutup kitab tafsir di ribaannya. Hampir gugur jantungnya bila melihat kelibat Fayyad yang berkain pelikat, berbaju melayu cekak musang dan lengkap bersongkok  itu sedang tersenyum ke arahnya. Air matanya tak semena-mena gugur. Ya Allah, terima kasih kerana Engkau telah mengembalikan anak kami. Syukur Ya Allah atas kurniaan Mu ini.
Fayyad terus sahaja mendapatkan abahnya, dicapai kedua tangan abahnya itu. Dia cium dengan penuh syahdu. Dan abahnya pula, terus sahaja merangkul Fayyad ke dalam pelukan.
“Fayyad minta maaf abah sebab dah banyak menyusahkan abah dan mak selama ini. Fayyad dah bannyak buat abah sedih.” Fayyad mengemaskan pelukan abahnya. Sudah lama dia tidak mendapat sentuhan dari abahnya. Dia sendiri yang menghindar dari mereka semua. Betapa ruginya dia!
“Sudahlah Fayyad, tak ada apa yang nak abah maafkan. Fayyad dah sembuh ni pun, satu rahmat yang sangat besar bagi abah.” Haji Amran mengesat sisa air mata yang masih bertakung di tubir matanya.
“Fayyad salah sebab terlalu ikutkan hati. Fayyad langsung tak pedulikan perasaan abah, mak dan Hana.”
“Yang lepas tu biarlah Yad, yang penting kita sekeluarga kena mulakan hidup baru. Abah tak nak Fayyad fikir benda yang dah lepas. Abah bukan nak suruh Fayyad lupakan terus kenangan tu, tapi berpada-padalah. Jangan sampai syaitan ikut sekali menyelinap dalam kenangan pahit tu. Abah tak nak kehilangan anak abah lagi. Fayyad satu-satunya anak lelaki abah. Anak yang abah harapkan untuk menjaga mak, melindungi Hana bila abah dah tak ada nanti. Kalau Fayyad lemah melawan godaan hati, macam mana Fayyad nak bertanggungjawab ke atas mak dan Hana?” Penuh diplomasi Haji Amran menasihati Fayyad.
“Fayyad tahu bah, Insyaallah Fayyad akan istiqamah. Abah doakan Fayyad ye?”
“Untuk siapa lagi doa ibu dan bapa kalau bukan untuk anak-anak? Abah sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Fayyad dan Hana. Alhamdulillah, Allah dan kabulkan permintaan abah untuk tengok anak abah ni sembuh.” Haji Amran menepuk mesra bahu Fayyad.
“Laaa, ada drama swasta jugak ke kat sini?” Hajjah Sakinah sudah tercegat berdiri memerhatikan babak sedih antara suaminya dan Fayyad. Hatinya juga turut terusik bila melihat suaminya memeluk Fayyad dengan penuh rasa kasih. Itulah yang dilakukan olehnya tadi bila mendengar Fayyad memanggil namanya selepas sekian lama mulut anak sulungnya membisu seribu bahasa. Allah Maha kaya, Allah Maha mengasihani. Terima kasih Allah atas segala kurniaanmu ini…
“Awak tu mengata saya, entah-entah awak lagi teruk dari saya Nah. Saya berani kerat jarilah yang awak menangis lagi kuat dari saya bila awak tau Fayyad ni dah sembuh. Betul tak Fayyad?” soal Haji Amran sambil tergelak. “Jadi, inilah orang jauh yang nak balik tu ye Nah?” Haji Amran soal Hajjah Sakinah yang sudahg bersiap sedia di atas sejadah.
“Inilah orang jauh tu bang. Walaupun Fayyad ada depan mata kita, tapi saya rasa dia sangat jauh. Alhamdulillah, hari ni dia balik dengan selamatnya. Saya rasa dia betul-betul dekat dengan kita.”
“Tak payah sedih-sedih dah, Fayyad dah ada ni. Moh kita sembahyang. Maghrib pun dah lama masuk dah ni.” Haji Amran bingkas bangun, tidak mahu isterinya itu menangis lagi sekali. Dia sangat yakin yang sudah bergelen-gelen air mata isterinya itu tumpah petang tadi!
Malam itu, rumah Haji Amran dan Hajjah Sakinah dilimpahi kegembiraan dan rasa syukur yang bukan sedikit. Ingin rasanya dia khabarkan pada satu dunia yang anak sulungnya sudah sembuh. Sudah sekian lama dia memohon kepada Allah supaya memulangkan Fayyad kembali kepadanya.
Dia tahu bebanan perasaan yang dialami oleh Fayyad.  Tekanan yang dihadapi oleh Fayyad akhirnya menarik lelaki itu hidup di dalam dunianya sendiri. Dia hanyut dibawa arus kenangan pahit dan yang menyedihkan itu. Siapa pun pasti tidak percaya Fayyad yang dahulunya seorang lelaki yang positif, ceria dan selalu tersenyum itu akhirnya tersungkur dalam kesedihan selepas tragedi itu.

Hajjah Sakinah sudah merancang untuk mengadakan kenduri doa selamat nanti. Dia harus berkongsi rasa syukur dengan sanak saudaranya yang lain. Mereka pasti gembira bila mendengar khabar ini. Hana juga tentu akan melompat keseronokan andainya berita ini sampai ke telinganya. Tunggulah Hana balik nanti, akan dia kejutkan Hana pula sebagaimana dia berjaya mengejutkan suaminya bila melihat keadaan Fayyad yang sudah semakin baik. 

No comments:

Post a Comment