Suria
julurkan kepalanya terlebih dahulu sebaik sahaja dia melebarkan daun pintu.
Selepas memastikan tiada sesiapa pun di laman sebelah, laju sahaja dia
menyarungkan kasut dan mula mengunci pintu. Odah pagi-pagi lagi sudah keluar kerana
perlu menghadiri seminar di Melaka. Kalau tidak, pasti sahaja Odah akan menjadi
mangsa untuk mengunci pintu rumah dan juga pagar hadapan. Laju sahaja dia
bergerak pagi itu, dari menghidupkan enjin kereta, kemudian membuka pintu pagar
dan mengeluarkan kereta dari bawah garaj sehinggalah kembali mengunci pagar
tanpa perlu melihat kelibat orang
sebelah.
Dia menarik
nafas lega sebaik sahaja berada di dalam kereta selepas mengunci pintu pagar.
Pagi ni dia agak terlambat keluar dari rumah, dikerlingnya jam pada dashboard
kereta. Tepat jam tujuh lima belas minit pagi. Dia terlambat hampir lima belas
minit dari waktu kebiasaan. Selalunya pada waktu ini keretanya sudah meluncur
laju di atas jalanraya. Nasibnya baik kerana tidak terserempak dengan jiran
yang agak menakutkan itu.
Dia tidak
rela untuk bertembung dengan jiran sebelah yang pada pemikirannya mempunyai
masalah mental. Dia sanggup keluar dari rumah sebelum matahari memancarkan
sinarnya, dan pulang dari pejabat pula hanya selepas bulan mengambil alih tugas
matahari. Sampai bila harus begitu? Dia sendiri pun tidak tahu. Tegakah dia
untuk terus bertahan semata-mata hanya untuk mengelak dari bertembung jirannya?
Dia malas nak fikir. Lets follow the flow! Kalau susah-susah sangat,
berpindah adalah tindakan yang paling baik!
Papa pun
satu, banyak-banyak rumah kat Kuala Lumpur kenapa mesti beli rumah kat Shah
Alam? Okey, terpulang pada papa nak beli rumah kat mana pun, tapi kenapa mesti
meminta dia tinggal di rumah itu? Sewakan sahaja rumah itu, habis cerita. Tak
perlulah dia hidup dalam ketakutan berjirankan manusia-manusia pelik itu! Tapi,
apa pula alasan yang perlu dia berikan pada papa dan mama sekiranya dia mahu
berpindah keluar dari rumah itu? Penat unpacked
barang-barang pun belum hilang lagi, sudah mahu berpindah? Pasti Odah akan
sekeh dia sampai pengsan kalau dia utarakan hasrat untuk berpindah dari rumah
itu. Masalah! Masalah! Masalah!
Tapi,
betulkah masalah yang dihadapinya itu begitu kronik sehingga memaksa dia untuk
berpindah dari rumah yang baru seminggu diduduki. Abaikan sahaja jiran yang
aneh itu. Hidup sahaja seperti biasa. Lagipun dia bukan dua puluh empat jam
sehari, tujuh hari seminggu ada di rumah. Waktu siang dia kerja, malam baru
balik rumah. Hari minggu pula duduk je dalam rumah, tak pun pergi tengok
wayang, shopping dan hang out dengan Odah. Tapi takkan lah nak hidup macam tu
je? Bila masa pulak nak bersantai-santai kat rumah? Takkan tak nak keluar jemur
baju? Pokok bunga mama yang bermacam jenis tu takkan tak nak siram? Mati dia
kalau mama tahu pokok-pokok bunga kesayangan dia tu tak mendapat bekalan air
secukupnya. Mama kalau pasal pokok bunga, papa lalu kat belakang pun dia
tak sedar.
Dalam sibuk
berkhayal atau lebih tepat lagi berfikir mencari jalan penyelesaian, akhirnya
Suria berjaya juga sampai di pejabatnya yang terletak di Subang Jaya dengan
selamat. Seperti biasa sejak seminggu yang lalu, dia antara orang yang terawal
meletakkan kenderaan di hadapan bangunan pejabat tempat dia bekerja. Perjalanan
dari Shah Alam ke Subang Jaya hanya mengambil masa kurang setengah jam sahaja,
dengan syarat jalan tidak sesak. Kalau sesak, jawabnya hampir satu jam juga
akan berada di atas Lebuhraya Persekutuan itu.
Kalau dahulu
jarak dari rumah sewa ke pejabatnya hanya mengambil masa lima belas minit sahaja.
Tapi selepas berpindah masuk ke rumah yang baru dibeli oleh papa, jarak
perjalanan semakin bertambah. Walaupun agak kurang setuju dengan cadangan papa
supaya dia berpindah ke rumah itu, namun akhirnya dia akur juga dengan
permintaan papa dan mama.
Diheretnya
sekali Odah supaya tinggal dengannya. Sejujurnya, dia agak takut untuk menghuni
rumah berkembar dua itu seorang diri. Lalu, Odah yang baru sahaja berpindah ke Kelana
Jaya dijadikan mangsa untuk menjadi temah serumahnya. Nasib baik juga Odah
masih belum mendapat rumah sewa, dan peluang itu diambil sepenuhnya oleh Suria.
Odah yang sebelum ini bekerja di Pulau Pinang, baru sahaja ditukarkan ke Shah
Alam selepas dinaikkan pangkat. Kebetulan yang cukup sempurna untuk Suria dan
Odah!
Tok! Tok!
Tok!
Ketukan pada
cermin kereta mengejutkan Suria yang masih bersandar pada seat kereta. Dia matikan enjin selepas memastikan penghawa dingin
dan sistem radio kereta sudah berada dalam posisi off. Pintu keretanya dibuka dari luar sebaik sabbaik sahaja auto
lock terbuka. “Terima kasih,” Suria senyum kepada Hilman, ketuanya yang
sedang berdiri di sebelah keretanya.
“Assalamualaikum
Suria.” Hilman senyum balik kat Suria.
“Waalaikummussalam
bos. Awalnya bos pagi ni.”
“Saya yang
awal atau Suria yang lambat?”
Suria tengok
jam pada pergelangan tangan kiri, sudah hampir jam lapan pagi. Patutlah
ketuanya sudah sampai. “Saya lambat sikit pagi ni,” ujarnya sambil
memperlahankan langkah. Dia agak tidak selesa untuk menyaingi langkah Project Manager atau lebih mesra disapa
dengan panggilan bos di pejabat tapak syarikat pembinaan itu. Tahu-tahu sajalah
radio buruk di pejabatnya pasti sahaja akan berbunyi andainya berita dia dan
Hilman berjalan bersama-sama tersebar nanti.
Hilman yang
menyedari langkah Suria semakin perlahan turut berhenti bila mendapati Suria
sudah sedikit terkebelakang. “Suria takut ke nak jalan dengan saya? Takut kena gossip?” Hilman memasukkan kedua
tangannya ke dalam kocek seluar.
“Taklah,
mana ada saya takut.” jawab Suria dengan pantas.
“Kalau tak
takut kenapa tak saing dengan saya?” soal Hilman lagi. Dia tahu sebenarnya
Suria segan untuk berjalan bersama-sama dengannya. Bukan Suria sahaja, bahkan
boleh dikatakan semua pegawai dan kakitangan bawahannya agak takut-takut untuk
dekat dengannya. Garang sangat ke aku ni?
“Pakai kasut
baru, sakit kaki. Sebab tu saya jalan perlahan je,” Suria pandang kakinya yang
bersarung dengan heel setinggi dua inci itu. Nasib baik kasut Primavera itu
masih kelihatan agak baru, kalau tidak pagi-pagi dah kantoi dengan bos!
“Oh I see, mak saya cakap kalau beli
kasut baru, sebelum pakai kita kena gigit kasut tu dulu sebelum dia gigit kaki
kita,” Hilman panjangkan petua yang diberikan oleh arwah ibunya suatu waktu
dahulu. Dia memperlahankan langkahnya bagi menyaingi Suria yang tertinggal di
belakang.
“Really Encik Hilman? Boleh percaya ke?”
Suria menyoal ketuanya itu dengan penuh minat. Ini kali pertama dia mendengar
petua yang agak lucu itu.
“Cubalah,
belum try belum tahu kan?”
Suria
menjuihkan bibirnya, baru tersedar yang ketuanya itu hanya main-main dengan
petua kaki dan kasut itu.
“I'm not lying. Saya dah pernah buat, it works.” Hilman yakinkan Suria yang
tidak percaya dengan petua itu. Dia menekan butang lif sebaik sahaja mereka
berdua sampai di lobi lif.
“Okey, only if you buy me the shoes,” Suria semakin selesa berbual dengan bosnya itu.
Ternyata, Hilman bukanlah seorang ketua yang sukar didekati. Dia sendiri tidak
tahu kenapa semua pekerja di bawah seliaan Hilman seakan takut untuk berbual
dengan Hilman. Dan dia sendiri terikut-ikut dengan momokan itu, langsung turut
menjarakkan dirinya dari Hilman. Mereka hanya akan berinteraksi tentang
perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan pejabat sahaja. Tiada masa untuk
berborak-borak kosong. Mungkin juga kerana Hilman itu baru sahaja ditukarkan ke
pejabat tapak yang terletak di Subang Jaya itu. Belum pun sampai tiga bulan
lagi Hilman mengisi kerusi Project
Manager yang dokosongkan oleh Haji Fauzi setelah ketua lamanya itu diserang
strok. Akan dia khabarkan kepada kawan-kawan pejabatnya tentang penemuan baru
ini!
“Awak ni
memang suka berangan ye?” Soalan Hilman menyentap lamunan Suria.
“Mana ada
bos, Mat Jenin je yang suka berangan,” Suria sengih, cover malu sebenarnya.
“Tak salah
kalau nak berangan, cuma jangan tinggi sangat sebab kalau jatuh nanti tak
adalah sakit sangat. Lagi satu, angan-angan je tak cukup kalau tanpa usaha.”
Hilman kedengaran seperti pakar motivasi yang sering keluar di kaca televisyen
je.
“Betul tu
bos, tapi apa salahnya kalau kita angankan sesuatu yang sangatlah mustahil
untuk kita dapat. Tak dapat betul-betul, dapat dalam angan-angan pun jadilah.”
“Berangan tu
dah masuk dalam kategori aktiviti lagha tau tak? Ye lah, kalau dah asyik
berangan je, satu apa pun tak jadi. Masa terbuang macam tu aje.”
“Wah bos,
dah boleh buat part time jadi motivator ni.” usik Suria. Langkahnya
diperlahankan sebaik sahaja pintu lif sudah terbentang di depan mata.
Diperhatikan sahaja Hilman yang pantas menekan butang lif.
“Saya tak
ada bakat nak convince orang lain.
Lagipun muka saya ni agak menakutkan okey!” Hilman sudah tergelak kecil dengan
kenakalan Suria itu.
“Saya gurau
jelah boss. Don't take it seriously.”
Suria sudah masuk ke dalam lif sebaik
sahaja pintu lif terbuka. Perbualan mereka terhenti apabila memasuki lif yang
hampir penuh dengan pekerja-pekerja lain.
Hilman
memerhatikan lenggok Suria keluar dari lif setelah mereka sampai di tingkat
lapan. Dia langsung tidak berpeluang untuk menggamit Suria untuk berjalan
dengannya. Dia akhirnya melangkah perlahan-lahan sambil melihat kelibat Suria
yang makin menghilang. Jujur dia akui, dia tertarik dengan keperibadian Suria
yang ceria itu. Ada rasa aneh yang menyelinap di celahan jiwanya sebentar tadi.
Sekilas, dia teringatkan Elena. Gadis pilihan ibunya yang cukup membuatkan dia
rasa serba salah. Rimas!
cantiknya blog awk
ReplyDeleteJom Review Harga Produk