Wednesday 1 October 2014

Jiran Masam Manis: Bab 1 ~ Bunick Firdaus

Suria telan liur berkali-kali. Nak tanya ke tak nak? Gerun pulak rasanya bila dia melihat lelaki kurus yang asyik menunduk dari tadi. Tegang sekali raut wajah lelaki itu, membuatkan Suria hampir sahaja membatalkan niat untuk menyapa lelaki yang masih setia menekur pandangan pada rumput yang kehijauan. Akhirnya, dia seret kaki perlahan menuju tembok batu yang memisahkan rumah berkembar itu.
“Assalamualaikum saudara,” Suria pegang kejap tembok yang menjadi sempadan antara dia dan lelaki yang masih tekun memandang rumput di laman sebelah. Tiada respon dari lelaki kurus itu. Suria telan liur lagi. “Assalamualaikum,” Kali ini dia tambah volume suaranya. 
Otot senyumnya mula memainkan peranan bila melihat lelaki kurus itu mengangkat muka. Namun, pantas sahaja dia membatalkan niat untuk senyum bila melihat lelaki kurus  merenung tajam ke arahnya. Dan urat senyumnya seakan putus bila mendengar jeritan yang sangat kuat dari laman sebelah.
“Mak!” Mata lelaki kurus itu mencerlung ke arah Suria. “Mak!” Lelaki kurus itu masih lagi menjerit. Pandangannya masih melekat pada wajah Suria. Dan Suria mula mengundur beberapa langkah ke belakang bila melihat mata lelaki itu sudah basah. Suria sudah panik! What was happen? Kenapa mamat tu menangis?
Pandangan Suria beralih pula ke arah pintu rumah jirannya bila mendengar derap langkah yang bagaikan berlari menuju ke arah lelaki yang seperti dirasuk itu.
“Ya Allah Fayyad, Subhanallah, Subhanallah. Syukur Alhamdulillah Ya Allah…..” Wanita separuh umur  yang baru sahaja berlari keluar dari rumah sebelah pula menangis. Pantas sahaja dia merangkul lelaki kurus itu ke dalam pelukannya.
Suria mula buka langkah seribu. Walau jarak antara tempat dia berdiri dengan pintu rumahnya hanya beberapa meter sahaja, namun dia bagaikan tidak cukup tanah untuk berlari. Pantas sahaja dia menutup pintu kayu rumahnya. Laju juga tangannya bekerja mengunci segala jenis selak dan tombol yang terdapat pada pintu itu. Anak beranak itu tidak betulkah? Desis hatinya sendirian sebaik sahaja pintu rumahnya sudah selamat dikunci.
Dia capai IPhone yang terletak di atas kabinet TV dan tanpa bertangguh jemarinya   terus berlari di atas skrin gajet itu.
“Odah, kau kat mana? Balik sekarang Odah, balik sekarang.” Senafas sahaja Suria bersuara bila taliannya bersambut.
“Kau ni kenapa Ya? Aku dengar suara kau macam tak cukup udara nak bernafas je…” Odah gelak di hujung talian.
“Aku tak kira, kau balik sekarang Odah. Please, please, please…” Seakan merayu sahaja suara Suria kali ini.
“Apa dah jadi ni Ya? Rumah tu ada hantu ke? Takkanlah siang-siang macam ni pun ada hantu…” Odah masih belum berhenti menggiat Suria.
“Bukanlah, kau balik dulu, nanti aku cerita. Balik sekarang tau.” Suria mematikan talian selepas memberi salam kepada teman serumahnya. Dia mengeluh perlahan bila menyedari yang dia terlupa bertanya di manakah Odah berada tadi.
Suria merebahkan dirinya di atas sofa sambil matanya melilau melihat keadaan rumah yang masih berselerak dengan kotak-kotak milik dia dan Odah. Apalah malang nasibnya hari ini. Baru sahaja dia berpindah masuk ke rumah teres berkembar dua tingkat ini, kehadirannya sudah dialu-alukan oleh kejadian yang agak menakutkan.
Fikirannya kembali menerawang ke rumah sebelah. Pelik sungguh jirannya itu. Dia meraba-raba wajahnya perlahan. Ada yang tak kena ke dengan muka aku ni sampaikan lelaki yang kurus itu mudah sahaja mengalirkan air mata bila melihatnya? Dan yang lebih menghairankan lagi, wanita yang hampir sebaya dengan mama juga mengucapkan syukur bila melihat lelaki kurus itu menangis. Masakan melihat orang menangis pun boleh bersyukur? Tak masuk akal langsung. Arghhhh… kenapalah dia perlu berjiran dengan manusia-manusia yang pelik itu? 
“Ya! Buka pintu ni. Aku tak bawak kunci,” Laungan Odah yang agak kuat mudah sahaja menerobos pendengaran Suria. Hish, tak reti nak bagi salam ke anak Pak Rahimi ni?
“Kau ni kenapa?” Odah terus sahaja menyoal sebaik sahaja pintu kayu itu dibuka dari dalam. Soalannya tidak bersambut. Bahkan Suria mengeluarkan sedikit kepalanya dan meninjau laman sebelah yang kosong.
“Sejak bila kau suka skodeng ni?” Odah tanya soalan lain pula walaupun soalannya tadi masih belum mendapat jawapan dari Suria. Dia makin pelik bila melihat kepala Suria yang tertinjau-tinjau ke rumah sebelah. Geram dengan aksi Suria yang langsung tidak mempedulikan soalannya, laju sahaja tangan kanan Odah menepuk bahu Suria.
Suria menyeringai kesakitan bila tangan Odah sudah hinggap di bahunya. “Masuk cepat Odah.” Dia tarik tangan Odah masuk ke dalam rumah walaupun Odah baru sahaja mahu menanggalkan sandalnya. Hampir sahaja langkah Odah tersadung bila tangannya ditarik sedikit keras oleh Suria,
“Apa ni Ya? Kau mengendap orang sebelah ye Ya? Handsome tak?”  Odah menghempaskan punggung di atas sofa bila Suria sudah meleraikan pegangan tangannya.
“Banyaklah kau punya handsome. Orang sebelah tu tak betul tau…” Pantas sahaja Suria menjawab soalah Odah.
“Amboi mulut, dah insurans ke belum? Sekali orang sebelah dengar, sampai ke Kuantan dia campak kau tau…”
“Eleh, kalau setakat kurus keding macam bini Popeye tu nak angkat aku, kirim salam sajalah Odah oiii…” Suria mencebikkan mulutnya ke  arah Odah.
“Wah, dah boleh tahu skala ukuran orang sebelah nampak. Sampai hati kau Ya, berkenalan dengan orang sebelah tak tunggu aku pun.” Odah buat-buat merajuk.
“Eh, tak ada maknanya aku nak beramah mesra dengan orang pelik macam diorang tu tau.” Suria tarik muka tak puas hati.
Odah tenung muka Suria yang sedikit kalut itu. “Apa hal ni Ya? Tadi kau bersungguh-sungguh call aku suruh aku balik. Sekarang aku dah balik dah, cerita kat aku apa yang dah jadi. Orang sebelah usik kau ke? Dia buat apa kat engkau? Bagitahu aku cepat.” Odah sudah mula hilang sabar dengan gelagat Suria itu.
“Orang sebelah tu peliklah Odah…” Suria berjeda seketika. Dia menarik nafas panjang sebelum menyambung cerita.
“Kenapa? Kepala dia ada tanduk ke? Atau mata dia ada tiga?” Odah menyampuk sambil gelak kecil. Suria ni ada-ada sahaja.
“Aku serius ni. Kalau kau tengok diaorang dengan mata kepala kau sendiri baru kau percaya.” Suria tekan sedikit suara. Geram dia melihat Odah yang memperolok-olokkannya.
“Okey, aku serius ni. Tengok, aku tak senyum dah ni.” Odah ketap kuat bibirnya, tidak mahu senyum yang ditahan mencetuskan gelak kecil. Namun, dia ketawa juga bila Suria mengacah untuk membaling remote Astro ke arahnya.
“Odah, don't fool around okey!” Suria letak semula remote Astro di atas meja kopi di hadapannya.
“Ya, aku bagi kau masa tiga saat. Kalau kau tak nak cerita, aku nak naik mandi.” ugut Odah bila melihat Suria masih lagi berlengah-lengah untuk bercerita.
Suria tarik nafas panjang, kemudian perlahan sahaja dia melepaskan nafasnya. Cuba mencari titik mula untuk bercerita tentang kejadian yang aneh tadi.
“Aku nak solat Zuhur, tapi aku lupa nak tanya papa arah kiblat rumah ni. So, aku keluar nak tanya jiran sebelah.”
“Lepas tu? Apa jadi?” Sedikit tidak sabar Odah bertanya.
“Isk, kau jangan menyampuk boleh tak? Dengar je aku cakap?” Suria jeling Odah yang tersengih lebar. “Aku tengok ada sorang mamat yang duduk kat atas bench tepi pagar. Aku dah pelik tengok dia berjemur tengah-tengah hari sambil tenung rumput. Aku bagi salam, dia tak jawab. Then aku bagi salam lagi sekali, kuat sikit dari yang mula-mula. Manalah tahu dia ada sound trouble.  Kali kedua aku bagi salam baru dia angkat muka. Tapi kan Odah, bila dia tengok aku je dia terus menangis sambil panggil mak dia. Pelik kan?” Suria berhenti lagi untuk mengambil nafas. Odah diam tidak berkutik, patuh pada arahan Suria yang tidak mahu dia menyampuk.
“Kemudian mak dia lari keluar. Lagi  pelik, mak dia pun menangis bila tengok mamat tu menangis. Aku dengar mak dia bersyukur, cakap Alhamdulillah, Subhanallah sambil peluk mamat kurus tu. Aku pulak yang takut tengok diorang macam tu. Apa lagi, aku cepat-cepat lari masuk rumah. Kau tak pelik ke Odah?. Tapi yang lagi pelik, aku dengar mak dia panggil Ayaq kat dia. Orang Kedah cakap air tu ayaq kan? Mesti jiran kita tu orang Kedah. Tapi takkanlah mamat tu nama Air pulak? Tak logik kan Odah?” Suria menutup ceritanya dengan menyoal Odah. Sudah tak terkira jumlah perkataan pelik yang meluncur laju dari mulutnya sepanjang dia bercerita kepada Odah.
Odah hanya membatu, langsung tidak menjawab soalan Suria.
“Odah, kau dengar tak aku tanya ni?” Suria tendang kaki Odah yang berlunjur ke arahnya.
“Aku dah boleh cakap ke?” Odah tanya sambil senyum pada Suria.
Suria tepuk dahi sendiri. Odah ni saja je nak buat dia naik angin.
“Okey, okey…aku jawab soalan kau,” Odah angkat kedua tangannya bila melihat Suria sudah mengepal tangan kanan. Si Suria itu bukan boleh dibuat main, kalau dia rasa nak cubit Odah, laju sahaja tangannya melekat di lengan Odah. “Memang pelik, kenapa dioarang menangis bila tengok engkau? Hish, misteri nusantara ni Ya…”
“Aku pun tak tau Odah…”
“Entah-entah diorang berdua tu ada kuasa psikik tak? Mana tau kot-kot diorang boleh nampak hantu jembalang yang tersampuk dekat engkau Ya.”
“Odah!!!” Suria sudah bangun bercekak pinggang.
“Ya, kau dah solat Zuhur ke belum?” Odah cepat-cepat tukar topik sebelum Suria bertukar menjadi Hulk Holgan.
“Belum, macam mana nak solat kalau tak tahu kiblat…” Suara Suria sedikit mengendur. Dia kembali duduk di atas sofa.
“Kau ni kan Ya, ada handphone mahal-mahal pun tak tahu guna…” Odah gelak lagi. Suka benar dia menyakat teman serumahnya.
“Aku kan rabun IT Odah…” Suria mengekek ketawa. Dia memang bukan seorang yang terlalu mengikut peredaran teknologi. IPhone miliknya itu dia beli sewaktu menemani Odah ke Low Yatt empat bulan lepas. Termakan dengan pujukan tauke kedai handphone di sana, terbang juga sebahagian  dari duit gajinya bulan itu. Namun, sehingga kini dia masih belum sempat meneroka aplikasi gajet tersebut, selalu sahaja kekurangan masa untuk berbuat demikian. Sudahnya, dia hanya tahu menggunakan gajet tersebut untuk bertelefon, SMS dan mengakses internet sahaja.
Handphone aku ni, walaupun tak mahal macam handphone kau, tapi at least aku tau nak guna benda alah ni.” Odah sudah mengeluarkan Galaxy Note 2 dari beg sandangnya. Dia menekan-nekan skrin handphone. “Jom, kita keluar,” Odah sudah bangun dari sofa yang empuk itu.
“Kau nak buat apa kat luar tu Odah? Aku tak nak keluar, nanti tak pasal-pasal jiran sebelah tu menangis lagi.” Suria mengeraskan dirinya di atas sofa.
“Tadi kata nak solat, jomlah.”
“Kau nak solat apa kat luar? Nak solat berjemaah kat tengah laman tu ke?” Suria sudah mula pelik dengan tindakan Odah.
“Aku nak set qiblatlah minah….”
“Minah minah jangan sebut ye, nama nenek aku tu…”
Sorry Ya, lupa pulak…” Odah senyum bila menyedari keterlanjurannya itu. “Jomlah, aku nak set qiblat guna handphone ni.” Odah mengunjukkan telefon bimbitnya ke arah Suria yang masih terpinga-pinga.
“Boleh ke Odah?”
“Kau ni kan Ya, nama je hidup dalam arus teknologi. Tapi pemikiran kau masih ortodoks mengalahkan orang Zaman Mesolitik…” Jari telunjuknya mencari applikasi Qiblat Compass pada skrin gajet itu.
“Kau kan Odah, kalau bab kutuk aku laju je….”
“Memang pun, orang beli handphone canggih, kau pun sibuk nak beli. Orang dah explore macam-macam, kau macam tikus tengok besi je lagi.” Odah sambung sesi mengutuk Suria. “Cepatlah, Zuhur dah nak habis dah ni.” Odah sudah membuka pintu rumah.
“Aku tunggu kat dalam boleh? Aku takutlah nak keluar…” Suria masih lagi tidak berganjak.

“Ye lah, ye lah.” Odah mengalah akhirnya. Malas mahu bertelagah dengan Suria kerana   dia sudah masak dengan perangai gadis yang sudah hampir tujuh tahun dikenalinya itu. Kalau tidak katanya, Perdana Menteri pun tak boleh tukar jadi ya!

No comments:

Post a Comment