Thursday 9 October 2014

No. 23 (Bab 1) ~ Packy Sidique

Kediaman Datuk Abdul Rahman, Pengklan Chepa.

KATA ORANG PUTIH, home is where the heart is. Begitulah juga yang dia rasakan tentang rumah besar ini dahulunya. Dia tidak pernah mahu meninggalkan rumah ini, hatta untuk menyambung pelajarannya sekalipun. Rumah ini terlalu sentimental untuknya. Terlalu bermakna. Ia tempat tinggal yang sarat dengan kasih sayang. Ia juga tempat membesar yang mengajarnya erti kehidupan. Dan yang lebih penting… rumah ini sarat dengan kenangan bersama arwah mama dan papa.
April Nur Karmila berdiri di muka pintu. Merenung ruang yang selama ini menjadi bilik tidurnya sejak hampir 20 tahun yang lalu. Hatinya tiba-tiba menjadi sebak dan sayu. Ini mungkin kali terakhir matanya meneroka ruang. Siapa tahu, kan? Rumah ini bukan rumahnya lagi. Dia bukan siapa-siapa lagi untuk terus kembali ke sini. Entah kenapa, dia merasa sangat keseorangan, macam puisi Orang Putih yang dia pernah baca, pendek baitnya tetapi sangat dalam maksudnya…

How does it feel
To be without a home
Like a complete unknown
Like a rolling stone?

Terasa bahunya ditepuk sewaktu tangan leka menyeka airmata. Dia berkalih. Bertemu mata dengan Acik yang memandangnya sayu.
“ Bilik ini akan tetap jadi bilik adik.”
Dia geleng kepala. Airmata semakin laju mengalir. Mudah untuk Acik mengungkapkan. Namun dia tahu, dia harus sedar diri.
“ Rumah ini sudah jadi milik Along dan Kak Risha.” Dia mengungkapnya perlahan. Kalau rumah ini milik Acik, dia tentu tidak sesedih ini.
“ Ti’ah, Mek Ani dan Ayah Su… dah sampai.”
April mengangguk. Akur yang dia perlu berlalu. Berlalu dari kenangan masa lalu yang terbina di rumah ini. Dadanya terasa sesak sungguh. Seperti separuh dari dirinya mati bersama kenyataan ini. Seperti separuh dari hidupnya, hilang bersama hilangnya identiti diri yang dia pegang dan percaya sejak bertahun lamanya.
“ Jom!” Dia akhirnya bersuara. Mengangkat dua beg yang masih berbaki dari yang dibawa turun sebelum ini. Acik merampas lembut beg itu dari tangannya dan dia hanya membiarkannya. Mengekori Acik turun ke tingkat bawah.
Selepas mama meninggal, dia banyak menghabiskan masa dengan papa. Dua tahun, rumah besar itu hanya ada dia, papa dan Acik. Along dan Kak Risha masih di luar negara waktu itu, Angah pula berkahwin dan menetap bersama keluarga mertua. Papa pernah berkata, hidup ini penuh kejutan yang kita tidak pernah jangkakan. Maka kita kena selalu bersedia untuk menerima kejutan itu dengan redha. Kata papa lagi, kejutan itu mungkin… kita ini bukan seperti yang kita sangkakan. Mungkin juga orang sekeliling itu bukan seperti apa yang kita tahu dan kenal. Maka adakalanya kita akan merasa keseorangan. Cuma kata papa, jika itu yang kita rasakan nanti… kita perlu sentiasa ingat yang kita ada TUHAN.  Dan TUHAN kita itu semestinya ALLAH yang di tangan-Nya terletak segala perencanaan. Dan hanya Dialah yang mengetahui segala yang terbaik untuk hamba-Nya.
Nasihat papa banyak berkisar tentang kejutan dalam kehidupan. Secara tidak sedar, papa sebenarnya mempersiapkan dia untuk semua ini… naifnya dia waktu itu. Pernah juga papa berkias, kata papa, dalam hidup ini kita mungkin tidak selalunya berada di atas. Seperti roda, adakalanya kita akan terjunam ke bawah. Maka jika itu yang kita hadapi, bersabar dan bersyukurlah…
Waktu itu April bertanya pada papa, “ kalau jatuhpun, kena bersyukur juga ke papa? Tak ke itu kira musibah untuk kita?”
Terbayang senyuman papa waktu itu. “ Ya, bersyukur. Kerana sama seperti waktu di atas, ketika kita di bawah juga… kita mendapat pengajaran yang berbeza. Yang tidak ternilai harganya. Kalau kita rasa kita susah, ada orang hidupnya lebih susah dari kita. Jika kita rasa kita malang, ada orang yang hidupnya lebih malang dari kita. Kalau kita rasa kita sudah patah riuk, luka dan berdarah… ada orang lain yang kepalanya mungkin sudah pecah akibat terlanggar steamroll. Macam tulah lebih kurang maksudnya…” dan papa tersenyum lagi. Tersenyum dengan perbandingan yang entah apa, namun cukup mendalam maksudnya.
Mengingatkan senyuman papa, tanpa sedar, bibirnya tersenyum kelat. Rasa rindu itu membuatkan matanya kembali berkaca. Dan airmata itu tumpah lagi ketika dia menjejakkan kaki ke ruang bawah. Dia berhenti, berdiri memerhati segenap ruang.
“ Janganlah macam tu. Jangan buat macam adik tak akan balik ke sini lagi.”
“ Adik harus sedar diri.” Dia menjawab perlahan, melangkah mendahului Acik ke arah pintu.  Natrah, kawan baik berstatus lima bintang, yang lebih selesa dipanggil Ti’ah sudah sampai dan sedang memasukkan beg ke dalam booth kereta Honda City milik April.
April keluar dan segera menyalami Mek Ani. Kemudian, sekadar mengangguk kepala kepada Ayah Su. Sehormat manapun dia pada Ayah Su, mereka tetap bukan mahram dan bersalam itu tetap tidak dibenarkan.
“ Dah siap semua?” Soal Ayah Su. April mengangguk, tersenyum lemah.
“ Terima kasih mek, Ayah Su, benarkan Ti’ah ikut.” Ucap April.
“ Hal kecil aje. Kitakan dah bincang.”
Dia mengangguk. Tersenyum segaris.
Waktu itulah, Along dan Kak Risha keluar dari dalam rumah. Mungkin mahu tunjuk baik di depan tetamu. Bersalaman dengan keluarga Ti’ah dan terus berdiri memerhati. Sebenarnya, hati mungkin sudah tidak sabar mahu melihat April pergi. Agaknyalah!
“ Dah nak pergi?” Soal Along. Kak Risha hanya menjeling. Riak wajahnya ketara dengan rasa tidak suka. Tak apalah, mereka tidak akan tinggal sebumbung lagi. Dia tahu, itu yang Kak Risha mahukan selama ini.
“ Sudah siap.” Dia menjawab perlahan. “ Ada barang adik yang masih belum habis kemas. Maaf.” Nafasnya tersekat di kerongkong.
“ Jangan risau. Along tak akan kacau bilik tu.” Jawapan Along melegakan dia. Namun rasa lega itu terpadam apabila melihat jelingan tajam Kak Risha.
“ Eloklah kamu bertolak awal. Kuala Lumpur tu, bukannya dekat. Sekarang dah pukul 8:10 pagi. Mungkin pukul 4 atau 5 petang nanti baru kamu sampai,” celah Ayah Su. Mukanya kelihatan risau. “ Harap-harap… taklah hujan.”
“ Kalau macam tu, kami bertolak dululah.” April mengangguk kepalanya pada Acik dan Along. Bersalaman dengan Kak Risha yang hanya mempertemukan hujung jarinya. Seterusnya bersalaman dan memeluk Mek Ani. Erat sungguh pelukan Mek Ani, hangat dan mesra seperti pelukan mama.
“ Ingat! Jaga diri baik-baik. Kamu kena jaga antara satu sama lain. Kalau Ti’ah degil kamu tolong nasihatkan. Kalau kamu pulak buat hal, Ti’ah nasihatkan. Duduk elok-elok, jangan gaduh-gaduh. Ada apa-apa hal… jangan lupa telefon Acik atau mek dan ayah. Faham?”
“ Yang selalu buat hal tu… April lah. Ti’ahkan budak baik.” Usik Ti’ah tersengih.
“ Banyaklah kamu punya baik.” Mek Ani bercekak pinggang. April hanya tersenyum melihat.
“ Nanti Acik menyusul adik di sana… insya-Allah dalam minggu ni jugaklah.”
Dia hanya mengangguk. Mengucapkan salam dan melangkah masuk ke kereta diikuti Ti’ah. Dengan lafas ‘Bismillah’ dia berdoa dengan doa menaiki kenderaan, memohon agar selamat di perjalanan sebelum memulakan pemanduan.
“ Kau okay?” Ti’ah yang suka bergurau itu, kini nampak serius benar wajahnya.
“ Sedang belajar untuk okay,” balas April perlahan. Matanya mengerling rumah yang semakin jauh ditinggalkan. Hatinya dipagut sayu.
Syahdu.




Sementara itu, di Seksyen 17, Shah Alam

AKMAL FIRDAUS melempar tuala pengelap motor ke dalam baldi. Duduk bertinggung mengadap motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha YZF-R1 berwarna putih campur merah. Itu motor kesayangan yang dia gelarkan Mat Top sejak mula memilikinya tiga tahun lalu. Hari ini, Mat Top sudah nampak bergemerlapan dari jauh. Dia mengangguk. Puas hati. Hmm… sesuai sangat kalau dibuat model iklan krim pengilat motor. Bukan dialah yang modelnya, tetapi tentu sahajalah Mat Top, kan!
Haa… elok sangatlah tu. Bini tak mau cari! Rumah tak mau beli! Hari cuti saja, asyik duk perati motor tu saja!” Suara emak tiba-tiba bergegar macam halilintar.
Akmal  terduduk di atas tar. Ternganga melihat emak bercakap. Setiap kali emak bercakap, dagunya digerak-gerakkan ke kiri ke kanan. Kemahiran yang emak dapat setelah berjiran dengan Mami Saira Banu sejak 10 tahun lalu.
Dia terdiam. Garu kepala yang memanglah tidak gatal.
Aduh! Emak sudah lupa agaknya, mereka bukan tinggal di kampong lagi. Ini apartment kos rendah yang rumahnya sebelah menyebelah. Kalau bercakap kuat sedikit, masing-masing boleh dengar. Bukan hanya orang sebelah, orang atas yang beberapa tingkat itupun sudah pasti boleh mendengar suara emak. Terus dia buat isyarat diam dengan membawa jari telunjuk ke bibir. Kemudian jari telunjuk itu jugalah dia pusing-pusingkan keliling. Isyarat itu membuatkan emak menutup mulut. Mengangguk dan terus menghilang ke dalam rumah.
Dia merenung pintu masuk ke ruang kecil yang kini dia panggil rumah. Rumah bernombor 111 itu, dihuni bersama adik perempuannya, Syuhada dan juga emaknya, Hajjah Melati. Ayah pula, sudah lama pergi meninggalkan mereka. Rumah itu sedikit ketara kecilnya berbanding rumah tinggalan ayah di Pulau Pinang. Tetapi syukurlah. Mujur ada rumah untuk berteduh. Percuma pulak tu!
Apartment kecil 3 bilik itu, sebenarnya milik Pak Ngah, adik emak.  Kebetulan ia kosong apabila arahan berpindah diterima Akmal. Kecilnya sekadar cukup untuk dihuni 3 orang. Duduklah dahulu sementara mencari rumah yang lebih besar. Yang lebih tidak sedapnya, Pak Ngah enggan menerima wang sewa. Kata Pak Ngah, emak itulah satu-satunya kakak yang dia ada. Lagipun kata Pak Ngah lagi, anak ‘menakan’, macam anak sendiri saja. Maka kecil-kecilpun… tetap namanya rumah juga. Bersyukurlah! Besar kecilnya rumah, belum tentu menjamin bahagia. Tak gitu?
“ Cuci motor pagi-pagi Ahad, nak ke mana?” Suara Syuhada menyoalnya dari belakang.
Akmal berkalih. Melihat Syuhada lengkap dengan dengan baju sukan sedang berkiam tangan merenung ke arahnya.
“ Jogging?”
“ Tak! Berenang.”
“ Cis!” Akmal percik air kotor dari bekas mencuci motornya. Orang tanya betul-betul, dia main-main pulak.
Syuhada menjerit. “ Kotorlah abang!” Dia mengibas-ngibas tudung kepalanya.
“ Padan muka!”
Syuhada tersengih. “ Orang tanya, abang nak ke mana? Cuci motor bagai…”
“ Nak ke Cyberjaya. Ada hal sikit dengan kawan.”
“ Pukul berapa balik?”
“ Empat atau lima petang… bergantung. Kenapa?”
“ Adik tak pergi mana, nak naik kereta?”
“ Tak payahlah. Naik motor lebih macho.” Dia kenyit mata. Kereta Waja milik dia itu memang sengaja dibeli untuk kemudahan Syuhada dan emak.
“ Uekkk! Nak muntah. Macolah sangat.” Syuhada ketawa. “ Sebab maco tulah sampai la ni abang tak ada marka…”
Aik! Kena lagi dia? Tadi emak, sekarang Syuhada pula? Tak boleh jadi ni…
 “ Malangnya nasib badan. Asyik kena kutuk sebab tak ada marka. Mat Top, kau tengok budak Dada ni, dia pandang rendah dekat kita!”
“ Eleh! Macamlah Mat Top tu boleh tolong abang. Dah tiga tahun abang dok usung Mat Top tu, satu marka pun tak sangkut.” Kenen Syuhada. Dagunya bergerak macam cara emak bercakap tadi. Orang Pulau Pinanglah katakan…
 Akmal buat muka sedih. Angkat tangan berdoa, “ ya Allah! Moga aku dan Mat Top terlanggar mana-mana perempuan dalam perjalanan nanti. Dan akibat perlanggaran tu… hati kami bertaup, cinta kami bersemi dan jodoh kami bersatu… Aminnn.” Dia menyapu muka. Tersengih memandang Syuhada.
“ Eee… gila ke apa abang pi doa lagu tu?”
“ Hisy! Ini projek abang dengan Mat Top. Cabar abang lagi!”
“ Itu bukan caranya menyahut cabaran,” marah Syuhada menjegilkan matanya sebelum berlalu masuk ke rumah.
Akmal garu kepala. Betul juga! Itu bukannya cara menyahut cabaran. Mahunya patah riuk Mat Top dalam perjalanan nanti, habislah dia. Cinta dan sayangnya pada Mat Top, mengatasi cintanya pada wanita. Kecualilah… dua orang wanita yang kat dalam rumah kecil di hadapannya.

Dua orang yang sentiasa menduduki carta tertinggi di hatinya.

No comments:

Post a Comment