Thursday 9 October 2014

Seruan Hati (Bab 3) ~ Azilawati Mat Angsar

1997
Dua orang gadis yang sedang merayap di gelap malam itu melangkah dengan penuh hati-hati.  Mereka sangat bimbang sekiranya kelibat mereka terlihat orang.  Sewaktu hendak keluar tadi, sekali debarannya.  Apabila hendak masuk pula debaran hati menjadi dua kali ganda.  Manakan tidak, lebih baik tertangkap sebelum keluar daripada tertangkap ketika hendak masuk.  Waktu itu, tiada lagi dalih yang boleh menyelamatkan mereka.
“Kau buat apa dalam bilik itu tadi, Biyah?” Muna bertanya lagak seorang pegawai penyiasat.  “Kau dengan siapa lagi di dalam itu?”
“Bosanlah asyik main game sahaja, Muna... sesekali layanlah CD pula.”
“Cerita apa?”
“Alah... cerita biasa sahaja.  Kau tidak minat pun!” Biyah cepat membuat alasan.
“Kau dengan siapa lagi?”
Senyuman Biyah yang dibuat-buat itulah yang sekarang ini membuatkan Muna tidak dapat hendak lelap.  Walaupun sudah lebih setahun Muna sama-sama mengikut Biyah curi-curi keluar dari kawasan sekolah, malam itu Muna rasa berlainan sekali.  Bahkan sewaktu mula-mula dahulu Biyah mengajarnya ‘fly’ itu pun, derap jantungnya tidak sepantas ini.
Serta-merta Muna teringatkan Boy.  Senior mereka yang merupakan kekasih Biyah.  Orang yang bertanggungjawab mengajar Biyah semua ini.  Curi-curi keluar sewaktu kelas persediaan malam sedang berlangsung.  Biasanya mereka melepak di kedai permainan komputer milik sepupu Boy.  Bermain permainan komputer sehingga ke larut malam.  Pernah juga mereka balik ke asrama sehingga ke pukul satu pagi.
“Alah, Muna... bukan buat apa-apa pun... sahaja-sahaja, lepak.  Bosanlah siang-malam asyik menghadap buku sahaja.  Tepu sudah otak aku ini.”
Muna teringat kata-kata Biyah sewaktu mula-mula dia bertanya perihal sahabatnya itu.  Setelah lebih setengah tahun bersekolah di situ, di mata Muna, Biyah telah jauh berubah.  Bukan semakin matang seperti kata ibunya, tetapi Biyah jadi semakin liar dan kurang ajar.  Minat belajarnya pun entah ke mana.
Dek kerana kasih dan kasihankan Biyah, akhirnya Muna bersetuju untuk menyertainya.  Bukan tujuan Muna itu jahat, sebaliknya dia hendak tahu apa sebenarnya yang Biyah lakukan.  Di samping untuk mencuba menghalang Biyah daripada terus hanyut.
“Mula-mula dahulu, aku pun seram juga, Muna.  Kalau bukan kakak-kakak itu yang yakinkan aku, sudah tentu sampai mati pun aku tidak akan berani cuba!  Boy itulah yang bersungguh-sungguh betul suruh kawan-kawannya bawa aku sekali,” panjang lebar penerangan Biyah itu.  Muak Muna mendengarnya.
Biyah turut menyebut nama kakak-kakak senior yang bersekongkol dengannya dan kekasihnya itu.  “Seronok, Muna.  Bila kita selamat, rasa hebat sangat!  Victorious!!
Muna sempat menangkap riak wajah Biyah yang semacam itu.  Adakah manusia yang boleh berasa bangga bilamana berjaya membuat kerja-kerja yang tidak sepatutnya?  Kerja jahat bagi Muna kerana melanggar peraturan dan undang-undang, Muna bukanlah orangnya.
“Nanti kau bolehlah kenal-kenal dengan kawan-kawan Boy... kawan-kawan abang sepupu dia pun dahsyat-dahsyat, Muna.  Kau mesti tidak percaya, muda-muda seperti mereka sudah bawa motor dan kereta besar.  Hmm... siapa ya yang sesuai dengan kau agaknya, Muna?”
Malas benar rasanya Muna hendak melayan celoteh Biyah malam itu.  Mereka sedang berjalan beriringan menyelusuri denai kecil.  Pastinya di hadapan sana jalan besar, kerana Muna mulai melihat cahaya.  Dia berharap benar denai ini tidak panjang.  Menyesal pun ada, sebenarnya.  Berulang kali Muna mengeluh, mengapalah diikutkan sangat rasa hati dan sayangnya kepada Biyah sedangkan Biyah dilihatnya tidak sedikit pun menyesal apatah lagi rasa bersalah dengan apa yang dilakukannya itu.  Bahkan Biyah tampak sangat bangga dan seronok pula.  Biyah rasa dirinya hebat.
“Hah, itu pun Boy, Muna!  Sayangggg.....”
Muna meluat melihat perilaku sepasang kekasih itu kini.  Lagaknya seperti orang dewasa, sedangkan mereka masih di bawah umur.
Muna kesal.  Sangat kesal.  Kerana cintakan budak lelaki bandar yang kaya itu, Biyah jadi lupa.  Biyah sudah tidak ingat lagi pada asal-usul.  Biyah langgar semua janji yang mereka buat bersama.  Mereka berlima.  Biyah lupakan Rais!
“Kau tolong jagakan Biyah untuk aku, ya Muna?  Kau tahulah Biyah itu manja, perlu sering diberi perhatian... perlu selalu diingat-ingatkan.  Aku harap, persahabatan kita berlima ini akan terus kukuh berpadu sampai bila-bila.  Aku sayangkan kau, Muna... dan Biyah... kau pun tahu apa perasaan aku pada dia, bukan?” tenang sekali Rais menuturkan kata-kata tersebut.
Ya, Muna ingat.  Setiap kali belajar bersama-sama, Rais tidak lupa meniupkan kata-kata semangat buat Biyah.  Mana yang Biyah tertinggal, Rais akan tolong sehingga Biyah faham.  Rais sanggup bersusah-payah untuk Biyah.  Aduhai, tidak ingatkah Biyah?
Muna bangun pula.  Sudah terdengar cengkerik di luar sana berlagu, menyanyi bersahutan beramai-ramai.  Riangnya mereka menunggu hari baharu.  Sedangkan Muna di atas katilnya masih lagi cuba untuk mendapatkan lena.
Satu demi satu kenangannya datang berkenaan Biyah.  Muna benar-benar bimbang.  Kehadiran Muna untuk menemaninya pun tidak langsung diambil bena oleh Biyah.  Malahan Muna yang terhanyut sama.
“Hah... seronok bukan, Muna?  Aku sudah cakap dahulu... kalau asyik hendak menghadap buku sahaja, jadi tepu kepala otak kita ini.  Bagaimana hendak cemerlang?”
Muna tersengih sahaja.  Dia betul-betul ikut Biyah untuk melepaskan tekanan belajar dengan bermain pelbagai permainan komputer yang ada di pusat tersebut.  Tiada yang lain.
Muna tidak pernah masuk campur hal-hal lain yang mereka lakukan di situ.  Malahan untuk turut serta menonton CD pun tidak pernah.  Muna hanya syak sahaja bahawa CD yang mereka ramai-ramai tonton itu adalah CD lucah.  Ini kerana apabila keluar sahaja dari bilik berkenaan, masing-masing nampak semacam.  Ada juga yang sampai tidak keluar langsung!
“Hish!!  Apa yang si Biyah itu buat masuk dalam bilik itu agaknya?” hati Muna terus bertanya-tanya.  Tangannya menggaru-garu kepalanya.  Sebentar, matanya pula yang ditenyeh-tenyeh.  “Aduhai... kenapalah Biyah ini tidak mahu lepaskan aku sekejap?  Mengantuk sangat ini tetapi aku tidak dapat hendak tidur?”
“Betulkah Biyah tidak buat apa-apa dengan Boy?”
Mereka hanya masuk berdua sahaja malam tadi.  Tidak seperti biasa.  Malahan Biyah pun kelihatan sangat luar biasa selepas keluar dari dalam bilik.  Manjanya pada Boy semakin menjadi-jadi.  Bertambah-tambah galaknya dia.
“Hish, Biyah!!!!!!!!!!!!!!!!”

Alangkah leganya rasa kalau dapat diluah jeritan batinnya itu.  Muna geram.  Penangan Biyah membuatkan dia berjaga semalaman.  Dari Blok Asrama Putera terdengar dengan sangat jelas azan Subuh dilaungkan.

No comments:

Post a Comment