Monday 27 October 2014

Seruan Hati (Bab 4) ~ Azilawati Mat Angsar

Balik dari bercuti panjang Muna terasa ingin melepaskan ketagihan.  Ketagihannya terhadap permainan komputer.  Lebih teruk lagi, Muna sebenarnya semakin seronok bermain judi dalam talian.  Semenjak dikenalkannya oleh sepupu Boy, Muna terus jatuh cinta.  Ini kerana permainan ini berbeza daripada permainan yang lain.  Muna perlu berani bertaruh dan cepat berfikir serta bertindak.
Duit tabungnya sudah licin dalam beberapa kali sahaja dia ke sana.  Bahkan Muna sendiri sudah berani meminjam duit daripada sepupu Boy pula.  Sekarang, kerana Muna baru balik dari kampung, dia miliki duit yang agak lebih.  Selain ayah, emak juga ada memberikan sedikit wang saku kepadanya.
“Hoi!”
Hilang sudah segala akal budi, Muna memulakan pertemuannya dengan Biyah.  Temannya itu sedang sibuk mengemas pakaiannya masuk ke dalam almari.
Tanpa menunggu dipelawa, Muna lantas duduk di katil Biyah.  “Kau pergikah malam ini?”
“Hai... kalau aku ini, aku fahamlah... rindu sangat aku pada cinta hati aku itu.  Ini kau... atau ada apa-apakah yang aku tidak tahu yang terjadi di belakang aku, Muna?”
Panjang pula jawab si Biyah.  Namun, apa yang hendak didengar Muna tidak juga keluar dari bibirnya.  Lalu Muna mengulang tanya, “Biyah, kau pergi tidak?”
Biyah tersenyum meleret.  “Macam biasalah.  Gila kau kalau tidak pergi?!”
“Okey.  Macam biasa, ya?” Muna membuat janji lantas berlalu.
Malam itu tanpa menunggu lama mereka mengulangi lagi kegiatan salah tersebut.  Sebenarnya, Muna sudah lama tidak menyertai Biyah semenjak peristiwa malam itu.  Alasan Muna adalah untuk fokus pada pelajaran.  Tidak seperti Biyah yang sudah jauh hanyutnya, Muna masih lagi kuat memegang janji untuk berjaya.  Muna tidak sanggup balik dengan hampa setelah apa yang diusahakannya selama ini.
Kalau sewaktu UPSR dahulu, dialah juara, untuk PMR ini juga Muna mahu melakar namanya sebagai yang terkemuka.  Melanggar peraturan sekolah bukanlah bermakna Muna menjadi pelajar yang gagal.  Tidak sama sekali.  Pantang buat Muna kalau kalah sebelum berjuang!
Malam ini pun, Muna sudah berikrar pada dirinya sendiri bahawa ia akan menjadi malam terakhir buatnya.  Selepas ini tumpuan hanya akan ditumpahkan kepada peperiksaan besar yang kedua dalam hidupnya.  Tambahan pula, Muna diburu rasa bersalah kerana telah menyalahgunakan wang hasil keringat kedua-dua orang tuanya.  Entah bagaimana Muna boleh terfikir untuk menggunakan duit yang sedikit itu untuk bermain judi.  Muna menekan kepalanya.
“Muna... jom!” sepupu Boy mendekatinya dari belakang.  Memberi isyarat.
Muna hanya menggeleng.  Memanglah seronok, tetapi Muna tahu di mana dia harus berhenti.
“Alah... macam biasalah... kalau kau tidak ada, aku dahulukan.”
“Tidak mahulah.  Aku penat sedikit malam ini.”
“Oh!  Sebab baru balik dari kampungkah?”
Pemuda berkepala botak itu kini cuba untuk berbual lebih lama.  Dia sebenarnya sudah lama meminati Muna.  Yang di matanya sangat berbeza.  Menarik.
Sekadar senyum segaris yang Muna berikan.  Akan tetapi matanya tetap melekat di atas skrin, bermain game.  Rasanya Muna mahu pulang lebih awal malam itu.  Tiba-tiba sahaja dia berasa hilang minat pada semua itu.  Muna sudah berasa bosan.  Ataukah sebenarnya Muna sudah dibelenggu oleh rasa bersalahnya?  Bersalah kerana tidak lagi amanah.  Bersalah kerana di dalam hati dan fikirannya kini telah semakin jauh daripada apa yang telah molek ditanam dan dibajai oleh kedua-dua ibu bapanya.
“Muna belajar baik-baik di sana.  Bukan untuk ayah... bukan untuk emak... tetapi untuk Muna sendiri.  Memang ayah mahu tengok Muna berjaya, dapat ijazah... ibu bapa mana yang tidak mahu melihat semua itu?  Apalagi Muna seorang sahajalah anak kami.  Cuma ayah mahu Muna ingat selalu... kejayaan yang sebenar adalah bilamana kita sudah menjadi orang yang berguna pada agama kita, pada bangsa kita, negara kita... tahu menggunakan yang sementara untuk yang kekal lama.  Muna faham?”
Jelas terngiang-ngiang di benak ingatan Muna pesanan keramat Muhsin sewaktu dia balik bercuti kali ini.  Semakin hendak dilupakan, semakin ingat jadinya.  Muna mengetuk-ngetuk kepalanya.  Cuba untuk membuang jauh suara bapanya itu.  Kemudian Muna letakkan kedua-dua belah tangannya di kedua-dua belah pipi.  Lantas dengan kuatnya Muna menekan pula wajahnya.
Terasa pundaknya disentuh lembut.  Muna terkejut.  Gesit dia berpaling untuk berhadapan kini dengan sepupu Boy.  Tangan yang baru diletakkan itu, Muna tepis.  Kasar.  Satu lagi kepantangan buat Muna adalah menyentuhi dirinya tanpa keperluan, tanpa kebenaran!
“Maaf!  Aku tengok kau macam penat sangat.  Kau hendak cuba sesuatu?  Aku ada...”
“Eh, Biyah mana?”
“Hei, kenapa tanya Biyah ini?  Dia sudah Boy uruskan... baik punya!”
Menyampah betul Muna tengok muka pemuda botak itu.  Senyumnya seakan mengandung sesuatu.  Muna mula rasa tidak sedap hati.  “Mana Biyah?”
Tanpa mengendahkan pemuda tersebut, Muna menolak keras kerusinya ke belakang.  Kuat juga terkena pada sepupu Boy itu.  Namun tidak sedikit pun Muna pedulikan.  Dia segera bangun.  Apa yang penting bagi Muna sekarang ini adalah di manakah Biyah, sahabat baiknya itu?  Muna perlu mencari Biyah.  Muna mesti menemui Biyah supaya mereka dapat segera balik ke asrama.  Muna sudah tidak betah untuk duduk walau seminit lagi di situ.
“Biyah!!”
“Hei, Muna... apa ini?  Janganlah buat kecoh pula...”
Selain daripada sepupu Boy, beberapa orang lagi kawan-kawan lelaki Boy cuba menghalang langkah Muna.  Manakala kawan-kawan perempuan Boy pula melihat Muna dengan wajah meluat.  Mereka mencebik dan menggeleng.  Serasakan pada pandangan mereka semua, Muna begitu kecil.
“Jaga hal masing-masing sudahlah!’
Muna dengar salah seorang daripada mereka bersuara.  Kalau tidak silap, dia juga merupakan senior di sekolahnya.
Namun semua itu Muna tidak ambil pusing sama sekali.  Dalam hidup Muna tiada apa yang perlu ditakuti.  Sekurang-kurangnya sehingga ke saat ini, Muna belum kenal erti takut itu.  Sedari kecil, Muna sudah terbiasa mencuba.  Walau mungkin sesuatu itu nampak payah dan mustahil di mata orang lain, tetapi tidak buat Muna.  Segalanya Muna akan redah.  Yang penting, ia tidak salah.
Sekarang ini terlanjur sudah berbuat salah, Muna tidak melihat sebab untuk dia menarik diri.  Untuk dia mulai berasa takut.  Apatah lagi tujuannya sangat jelas.
“Biyah!!”
Pintu bilik menonton Muna tolak.  Dia masuk sebentar sambil memanjangkan lehernya, mencari.  Geli melihat apa yang terpampang di hadapan dua matanya.  Sangat benarlah seperti apa yang Muna sangkakan selama ini.  Orang muda yang kemaruk dengan aksi lucah orang lain di kaca lebar.
Keluar dari bilik tersebut, Muna terus menuju ke arah belakang.  Bilik kecil berdekatan dengan tandas dihampirinya.  Samar cahaya lampu yang keluar dari bawah pintu bilik tersebut itulah yang menarik perhatian Muna.  Segera ditolak daun pintu.
“Biyah?!!”
“Muna??!”
Tanpa berlengah Muna terus menolak tubuh Boy ke tepi.  Dia cuba menarik Biyah agar bangun.  “Jom, Biyah kita balik!”
Matanya liar mencari pakaian Biyah.  Muna kutip satu-satu baju Biyah sebelum dicampakkan ke muka sahabatnya itu.
Sungguh, Muna benar-benar marah dengan apa yang dilihatnya.  Tergamak Biyah melakukan perbuatan terkutuk itu?  Sejahat-jahat dirinya, Muna hanya bermain judi.  Itu pun baru sahaja bermula, Muna terus berhenti!!  Yang pasti, tempat ini adalah neraka bagi Muna.  Biyah mesti diajak balik dengan segera.
“Pakai baju kau, Biyah!” Muna memberi arahan.  “Balik!!”
“Hoi, apa ini, betina?!!” Boy berang.  Tidak terduga ada yang akan mengganggunya.  Apalagi yang berani buat kacau itu adalah seorang perempuan.  Dia rasa tercabar.
Biyah hanya duduk menikus di atas tilam tidak beralas.  Menutup tubuhnya dengan baju yang baru tadi Muna campakkan.  Sebenarnya, Biyah mulai rasa takut.  Takut dek kerana tertangkap oleh Muna.  Takut melihat tindakan Muna dan juga Boy yang mula naik angin itu.
“Balik, Biyah!!” Muna tidak mempedulikan Boy.  Dia mendekat kembali pada Biyah, sedangkan matanya terus berjaga-jaga memandang ke arah Boy.
“Kau mahu jadi herokah?  Hah, Muna?!  Kau tahu bukan berapa ramai geng aku??” Boy mula mengugut.
“Aku tidak mahu cari pasal dengan kau, Boy.  Aku cuma hendak bawa Biyah balik,” Muna tetap teguh dengan keputusannya.  Sedikit pun tidak terdengar gentar pada suaranya.  Hal ini membuatkan amarah Boy lebih membuak.
“Hoi!!”  Boy tarik tudung Muna.
Tidak seperti Biyah, Muna tidak pernah menukar pakaiannya.  Dia tetap dengan baju kurung dan tudung yang dipakai untuk ke kelas persediaan malam.
Muna diam.  Diperhatikan sahaja Boy membuang kasar tudungnya ke lantai.  Tidak cukup dengan itu, Boy tendang pula kerudung tersebut.
“Aku betul-betul tidak mahu cari pasal dengan kau.  Aku cuma mahu Biyah balik dengan aku!” Muna mengulang lagi kata-katanya kepada Boy sebentar tadi.  Kali ini lebih tegas.
Muna berpaling pula kepada Biyah.  Belum pun sempat Muna hendak membuka mulutnya, Boy sudah menolak Muna ke tepi.  Keras tolakan Boy mendorong Muna ke dinding.  Dinding yang diperbuat daripada papan lapis itu bergegar dilanggar Muna.
“Muna!!” Biyah menjerit.
Waktu itulah ramai kawan-kawan Boy berani datang menunjukkan muka.  Muna sedar bahawa di tempat ini, Boy adalah sanjungan semua.  Dia adalah ketua.  Selama menyertai mereka, Muna dapat lihat dengan jelas akan pengaruh rakan sekolahnya itu.  Barangkali kerana Boy adalah yang paling kaya di antara semua.  Justeru, suaranya sangat-sangat didengari.
“Muna... blah.  Muna... blah, Muna!!”
Kata-kata si botak, sepupu Boy itu tidak juga Muna peduli.  Dia yang terjelepok jatuh tadi, cuba bangun setelah mengutip kain tudungnya di lantai.  Biyah sekali lagi menjadi destinasi.
“Muna... blah, Muna... aku kata blah, blah-lah, Muna!!” si botak bersuara lagi seraya mendekat pada Muna.  Dia cuba menghalang Muna daripada menghampiri Biyah.  Kerana Boy sudah ada dekat dengan Biyah.  Boy yang sedang marah.  Sangat marah.
“Biyah, balik!!”
“Hei, betina!  Kau hendak aku jadikan kenduri untuk kawan-kawan akukah?!”
Seketika kedua-dua pasang mata itu bertentangan.  Tiada di antara mereka yang mahu mengalah.  Muna renung tajam dan penuh marah pada Boy.  Begitu jugalah dengan pemuda tersebut.  Jelas kedengaran desah nafas kedua-dua mereka yang ternyata sangat kencang dan berat.  Masing-masing sedang menahan rasa, menjadikan suasana tiba-tiba sepi.
“Muna...” seru Biyah terketar-ketar memanggil sahabatnya.  Suaranya memecah kebungkaman di situ.
Tanpa menoleh ke arah Biyah, Muna bersuara, “Kita balik!!”
“Tidak... aku tunggu, kau balik dahulu, Muna...”
“Biyah??!!!”  Siapa pun akan tahu betapa besarnya amarah Muna ketika itu.  Suaranya bulat dan menggentarkan hati.  Renungan Muna beralih ke arah Biyah pula kini.
“Kau balik dahulu, Muna...” ulang Biyah dengan tubuh menggigil.  Dia tidak berani menentang muka Muna.
“Blah, Muna... blah...”
Muna terasa ada tangan yang menarik lengannya.  Si botak.  Dia seorang sahaja yang berani bersuara.  Dia nampaknya bersungguh-sungguh benar mahu Muna pergi.  Muna sempat melihat ke wajah Boy.  Ternyata lelaki itu puas tatkala mendengar pilihan Biyah.
Sebelum berlalu, Muna tinggalkan sebuah renungan tajam pada Biyah.  Hati Muna sudah menjerit, merintih.  Muna kecewa.  Muna hampa.  Biyah bukan lagi sahabat yang dikenalinya sejak kecil dahulu.  Biyah kini adalah orang asing bagi Muna.  Biyah sudah tidak dapat hendak diselamatkan lagi.
“Biyah!!!!!!!!!!!”

Muna tahu bahawa jeritan batinnya itu tidak mungkin akan terdengarkan oleh Biyah.  Akan tetapi Muna hanya berharap Biyah dan Boy akan tertangkap!

No comments:

Post a Comment