Thursday 18 February 2016

Mana Pelamin Qausar (Bab 4) ~ Hananee Amir

Wajah Sakinah ditenung lama. Dari atas sampai bawah. Tekan perut tahan rasa nak gelak. Kali pertama tengok Sakinah pakai skirt. Itu tak apa lagi. Pakai skirt dengan kemeja kotak-kotak, sneakers, topi. Ni fesyen apa? Gaya jerebu? Sejak bila dia jadi mangsa fesyen ni?
            “Kelakar sangat sampai perlu buat gaya tu?” Sakinah buat muka tak puas hati.
            “Ni fesyen apa ni? Fusion gamaknya? Aku ingat makanan je ada fusion. Memang dunia fesyen sekarang ni dah kena tsunami sampai macam ni jadinya? Fesyen yang terlalu terkedepan atau aku yang terkebelakang dalam fesyen.” Raihana tak dapat nak tahan gelak lagi. Teruk sangat rupa Sakinah dalam persalinan yang entah dia dapat idea dari mana tu.
            “Aku tertumpah teh tarik kat seluar pagi tadi sengal. Taipan la, cakap, tangan macam sotong. Sudahnya langgar gelas aku. Tumpah kena aku. Kalau tumpah kat seluar dia tak apalah jugak.” Ok. Baru faham. Ingat dia sengaja pakai macam ni. Manalah tahu. Sibuk sangat uruskan anak dan keluarga yang ada suami pun macam tak ada tu, menyebabkan dia tak sedar perkembangan fesyen semasa kan.
            “Dah tu? Konsep pakai skirt dengan kemeja kotak-kotak ni?” Mata masih kat skirt kembang warna hitam dia tu. Mujurlah warna hitam. Kalau warna hijau ke, biru ke, kuning ke. Lagi naya rupa dia.  Tinggal pakai hidung merah je. Boleh kerja jadi badut sarkas.
            “Skirt ni Taipan yang belikan. Dia belikanlah sebab dia rasa bersalah dah tertumpah air kat seluar aku.” Sakinah buat gaya muncung. Comel juga tomboy separuh siap ni kalau buat gaya merajuk. Selalu dia buat gaya kental je.
            “Ok. Faham. Tapi…”
            “Sebab Taipan belikan skirt je. Dia tak belikan blouse satin dengan high heels sekali. Jadi aku pakai jelah. Takkan aku nak mintak dia belikan satu set kut. Nama pun orang belikan. Jadi tak boleh lah nak demand lebih-lebih.” Masih muncung.
            “Sakinah , Taipan. Gandingan yang bagus sekali. Dua-dua pun sengal.”
            “Suka ek. Suka bukan main gelakkan aku. Tunggulah masa kau sampai nanti.” Ni dia nak doa Raihana ditumpahi teh tarik jugak ke macam mana ni? Tak baik tau doakan yang tak baik untuk orang.
            “Kalau Taipan belikan kau skirt dengan satin blouse, heels, kau nak pakai?”
            “Kau gila? Aku jurulatih boxing. Bukan secretary!” Tawa Raihana meledak lagi. Taipan tu jurulatih boxing juga. Sama macam Sakinah. Raihana pernah jumpa dia beberapa kali. Badan berketul-ketul. Boleh tahan handsome. Muka garang. Tapi sekali dia senyum, boleh jadi terlupa kat Dr Aakhif yang beristeri dua tu.  Kata Sakinah, Taipan tu duda. Anak seorang. Isteri dia lari ikut bangla jual karpet. Anak dia lelaki, mak Taipan yang jaga. Kesian Taipan. Ramainya mangsa cinta dalam dunia ni. Jurulatih boxing pun jadi mangsa. Mujurlah dia tak boxing kan je bekas isteri dia sekali dengan bangla karpet tu.
            “Sebab tu Taipan tak beli. Membazir pulak nanti. ”
            “Dia lagi rela tengok aku macam badut sarkas pakai macam ni. Kalau tak sebab dah janji nak keluar dengan kau, sumpah aku duduk dalam Pusat Boxing sampai balik nanti. Dahlah dia belikan aku skirt kembang yang berkibar-kibar kalah bendera Malaysia musim bulan merdeka ni. Nak jalan pun susah. Aku nyaris tersungkur kat Pusat Boxing tadi masa turun tangga, Aku suruh dia belikan seluar kut. Balik-balik aku tengok, dia bawak skirt dengan sengih sampai telinga. Menyakitkan hati betul.” Panjang Sakinah bebel sambil kibar-kibar skirt dia tu yang kembang ditiup angin. Raihana tongkat dagu, perhati Sakinah meluah perasaan tak puas hati dia tu.
            “Dah tu kau mengajar pakai skirt ni ke?”
            “Kau nak suruh aku tertiarap kat lantai? Kat sana kan ada uniform. Aku suruh belikan seluar je tadi.”
            “Motif tak beli beli seluar? Ganti dengan skirt?”
            “Entah. Dia kata lupa nak tanya saiz seluar aku. Ada handphone kan kalau nak tanya. Sengaja nak pedajal aku je.” Muncung lagi. Berkali-kali dia kibar skirt dia tu sambil bercerita. Kelakar nengoknya. Marah betul dia dengan skirt tu padahal bukan skirt tu pun yang bersalah. Skirt mangsa keadaan je.
            “Skirt tu?”
            “Kain getah. Tak payah ukur pinggang.”
            “Yelah tu kut. Alah! Syukur jelah dia dah belikan. Kenapa kau tak beli sendiri tadi?”
            “Aku pakai seluar putih. Teh tarik tu secawan tumpah kat seluar aku. Malaslah aku nak keluar dengan seluar kanan warna lain, kiri warna lain. Tapi kalau aku tahu Taipan tak boleh harap macam ni, aku keluar je beli sendiri.” Minum pun macam budak-budak. Sampai tumpah kat seluar. Dah kenapa? Minum dengan Taipan je kut. Tahulah handsome. Tapi tak payah lah nak nerveous sangat. Bukan pertama kali pun keluar minum dengan Taipan.
            “Taipan sengaja kut nak tengok macam mana rupa kau pakai skirt.” Raihana tekup mulut tahan gelak. Orang tu tengah hati panas sebab terpaksa pakai skirt, lagi dia curah minyak.
            “Tak nak tengok aku pakai kain batik? Tuala mandi? Bikini?”
            “Wah! Yang bikini tu aku nak tengok. Kawan dengan kau dah lama ni. Tak pernah tengok kau pakai bikini.”
            “Rai, aku pun dah lama ada rasa nak boxing kan kau tau.” Raihana angkat dua tangan sambil ketap bibir tahan gelak.
            “Ok. Surrender. Sorry. Kita tukar cerita. Ok?” Sakinah jeling tajam. Haish! Jeling-jeling jenis macam ni boleh gegar jantung Taipan ni. Tak tahu kenapa, Raihana rasa, Taipan adalah lelaki yang paling sesuai untuk Sakinah. Sakinah tak pernah la cakap Taipan suka kat dia, atau dia suka kat Taipan. Tapi dari cara Taipan layan dia, macam Taipan memang ada hati kat Sakinah. Cuma tak tahu lah kalau memang macam tu cara jurulatih boxing melayan kawan kan?
            Jauh kat sudut hati, Raihana memang teringin nak tengok Sakinah kahwin. Kesian dia sejak mak dan ayah dia meninggal. Seorang diri ke sana ke mari. Brother Joe, pemilik pusat boxing tempat dia bekerja tu, baik dengan dia. Selain Raihana, dengan Brother Joe sekeluarga lah dia menumpang kasih. Tentu bagus kalau Sakinah ada suami yang boleh menjaga dan memanjakan dia. Sakinah ni, nampak luaran je kasar, kental, macam jantan. Hati dia perempuan. 
Kadang-kadang lebih perempuan dari Raihana. Kalau tengok cerita Hindustan, sampai menangis-nangis. Tak boleh tengok rancangan Bersamamu kat TV3 tu, tak sampai hati. Sedih. Pernah sekali dulu, dia lapar gila. Mulut baru nganga nak makan roti. Ada budak peminta sedekah, datang minta roti tu. Dia pandang roti tu 3 saat, pandang budak tu 5 saat. Saat ke lapan, roti tu dah kat tangan budak peminta sedekah tu. Padahal masa tu dia tengah lapar sangat dan roti tu ada seketul je. Raihana pun tak mampu nak buat pengorbanan gaya macam tu.
            “Rezeki dia, bukan rezeki aku.” Katanya sambil gosok perut. Kalau Taipan boleh ambil masa mengenali Sakinah dari dalam, tentu dia akan perasan. Tentu dia akan setuju yang Sakinah jauh lebih baik dari gadis-gadis yang berkebaya ala wanita melayu terakhir, bibir merah dengan lipstick mahal, tapi kalau cakap, asyik keluar perkataan mencarut. Sakinah ni, jangan kata mencarut. Cakap bodoh pun tak pernah!
            “Taipan tu baik kan?” Raihana cucuk jarum.
            “Tadi kau kata nak tukar tajuk kan? Kau betul-betul nak kena boxing dengan aku ni.” Sakinah jeling tajam Raihana cebir bibir, Tak takut langsung.
            “Aku kata tukar topik skirt. Bukan Taipan.” Muka selamba je. Ke Taipan dengan skirt tu sama?
            “Baik tu baik lah. Kalau tolak isu skirt ni.” Tak habis lagi marah dia pasal skirt tu.
            “Aku suka kau dengan Taipan.” Cakap tak pandang Sakinah sebab dia tahu Sakinah mesti tengah pandang dia dengan mata besar.
            “Motif?”
            “Aku teringin tengok kau bersanding.”
            “Lepas tu sama-sama hidup tunggang langgang macam kau?” Lantaklah Raihana nak fikir apa. Yang penting, dia memang dah tak boleh nak fikir yang baik-baik pasal Dr Aakhif. Sebut nama pun hati dah jadi sakit. Betul, dia sakitkan Raihana. Bukan Sakinah. Tapi Sakinah sayang Raihana. Sakit Raihana, samalah macam sakit Sakinah.
            “Janganlah sebab Dr Aakhif buat salah, lelaki semua jadi mangsa. Dunia ni kan dipenuhi lelaki-lelaki baik.”
            “Masa suka. Memang semua nampak baik.”
            “Jadi kau rasa Taipan pun sukakan kau?”
            “Aku cakap general lah.” General? Dah tu kenapa muka merah tiba-tiba? Blushing!
            “Kau tahu bekas isteri Taipan tu siapa?” Tambah Sakinah lagi. Dia tak adalah kenal sangat dengan bekas isteri Taipan tu. Tengok rupa pun cuma dalam gambar. Tapi Brother Joe adalah cerita sikit-sikit pasal tu.
            “Siapa? Jurulatih silat?” Dia sengih nampakkan gigi putih dia nan sebaris. Suami Jurulatih Boxing. Isteri Jurulatih Silat. Bagus sekali padanan tu.
            “Beautician.” Raihana kerut dahi pandang Sakinah.
            “Jadi?”
            “Jadi, kalau Taipan nak cari ganti pun, takkan dia nak downgrade pulak. Dari beautician pergi jurulatih boxing. Kan ke jauh tu?” Maknanya Sakinah memang pernah fikir lah pasal Taipan, isteri pilihan dan kelayakan dia? Macam tu? Cuma tak pernah cakap. Sakinah kan memang jarang nak cakap pasal hati dan perasaan ni.
            “Hanya jurulatih boxing mengenali jurulatih boxing.” Raihana gelak nakal. Sakinah buat gaya penumbuk, hala pada Raihana dengan gelak juga.
Lama diam. Dua orang tu duduk kat bangku batu, gaya sama. Silang kaki, goyang-goyang. Tangan peluk tubuh. Menghayati panorama petang dengan jerebu agak kurang mengganas sehari ni. Esok tak tahu lagi. Kadang-kadang hari ni ok. Esok pagi-pagi, rumah sebelah pun tak nampak!
            “Kau nak kahwin tak?”
            “Soalan tu bagilah yang bijak sikit Rai.”
            “Jawablah. Kalau soalan aku bodoh. Aku nak jawapan bijak.” Dua manusia ni sembang sambil tak tengok muka. Mulut je bunyi. Mata pandang tempat lain.
            “Nak.”
            “Aku suka jawapan jujur.”
            “Siapa suka jawapan palsu.”
            “Ada. Untuk yang takut menghadapi kenyataan.”
            “Tapi aku takut jadi macam kau.”
            “Aku lain. Ramai orang yang bahagia dengan rumahtangga masing-masing. Kenapa nak jadikan kes aku pulak sebagai rujukan?” Raihana berhenti dari aktiviti goyang kaki tadi. Tangan yang berpeluk tubuh dibawa ke dagu. Topang dagu pandang Sakinah.
            “Kau patut bagi Taipan peluang.” Sakinah balas dengan gelak besar.
            “Kau gila?”    
            “Apasal pulak?”
            “Taipan tak cakap apa-apa. Tiba-tiba nak bagi dia peluang. Hisy! Mengarut lah kau ni. Aku ni memanglah ada rasa nak kahwin. Nak ada suami kat rumah tu. Nak juga rasa makan mee segera berdua lepas dah bertahun-tahun makan mee sorang-sorang, kongsi dengan kucing ni. Tapi taklah terdesak sangat, sampai nak heret siapa-siapa kahwin dengan aku. Aku ni kategori tomboy pemalu tau.” Raihana gelak separuh. Part Tomboy pemalu tu memang kelakar.
            “Aku pinang Taipan untuk kau. Nak?”
            “Kalau kau tak sayang anak kau, buatlah.”
            “Oi. Apa ni. Ugut sampai ke anak.” Sakinah gelak.
            “Rai.”
            “Ha!”
            “Kau rasa orang macam aku ni boleh kahwin tak? Ada orang nak tak?”
            “Apasal pulak tak? Salbiha gila kat kampong aku dulu pun kahwin tau. Anak 3.”
            “Kau samakan aku dengan orang gila?” Sakinah angkat muka pandang Raihana. Raihana geleng.
            “Bukan. Maksud aku kalau orang gila pun boleh kahwin, ada anak. Kau mestilah boleh.”  
            “Tapi aku tak cantik.”
            “Siapa kata? Kau cantik luar dan dalam.”
            “Aku macam jantan. Lelaki tak suka.”
            “Akan ada yang suka nanti.”
Diam lagi.
            “Rai…”
            “Ha…”
            “Kau doa untuk aku tak?”
            “Hari-hari. Kau? Doa untuk aku?”

            “Ha…hari-hari jugak.” Pandangan bertemu. Senyum. Menangis hanya dalam hati.

No comments:

Post a Comment