Friday 12 February 2016

Kapcai Biru Kenari Kuning (Bab 3) ~ Fizziany

“SIAPA AMIR  tu tok? Tak pernah nampak pun sebelum ni...” soal Alisya petang itu sewaktu dalam perjalanan menuju ke rumah Wani, sepupunya yang terletak selang 3 buah rumah dari rumah Tok Cah. Tok Cah dan Alisya hanya berjalan kaki menyusur jalan kampung.
“Alis tak ingat ke? Itulah budak yang tok bela dari kecil...” kata Tok Cah. Selendang di kepala di betulkan. Alisya cuba mengingati perkara lampau.
“Tak pernah nampak dia pun selama ni..” kata Alisya. Meskipun dia hanya pulang ke kampung setahun sekali untuk hari raya, tapi dia tidak pernah nampak lelaki itu di rumah Tok Cah. Tok Cah menguntum senyum.
“Dia balik rumah kakak dia waktu tu...sebab tu kamu tak pernah jumpa dia..” kata Tok Cah.
“Kakak?” soal Alisya lagi. Tok Cah angguk.
“Lepas mak ayah dia meninggal, dia tinggal sorang diri. Tok bela dia sekejap sebelum kakak dia ambil dia duduk dengan diorang di bandar. Tapi, lepas dia habis belajar sekolah menengah, dia balik ke sini dan duduk di rumah arwah mak ayah dia sorang-sorang. Dia dah tak nak duduk dengan kakak dia lagi di bandar..” kata Tok Cah sambil berjalan.
“Kenapa?” soal Alisya ingin tahu.
“Kata dia...kakak dia tu pun, bukannya senang sangat dok kat bandar tu. Abang ipar pulak, tak berapa suka dia. Jadi, dia balik tinggal kat kampung sini. Nasib baik ada dia...dia banyak tolong tok..” kata Tok Cah lagi. Alisya diam. Mereka sama-sama merenung jalan. Rumah Wani sudah nampak bumbungnya.
“Kalau tak ada Amir tu, susah tok. Dialah yang selalu menolong tok beli barang dapur, bawak tok pergi klinik bila tok sakit dan selalu teman tok bila tok sunyi...” sambung Tok Cah lagi. Alisya terdiam mendengar kata-kata Tok Cah.
Dipandang Tok Cah dengan rasa lirih. Kasihan neneknya. Kalaulah ibunya dapat mendengar luahan neneknya waktu ini...Alisya merenung langkah Tok Cah yang sudah masuk ke perkarangan rumah Wani.



“LAMA kita tak jumpa. Kau makin cantik...” kata Wani yang sejak tadi asyik memuji Alisya. Tok Cah masih berborak di  dalam rumah. Alisya dan Wani memilih untuk bersembang di depan rumah, di bangku yang terletak di bawah pokok mangga depan rumah.
“Apa yang cantiknya...” cemuh Alisya yang tidak selesa dipuji. Wani tersengih. Matanya masih merayap ke wajah Alisya. Gadis ini sudah jauh nampak matang berbanding usianya yang sebenar. Tingginya mengalahkan model. Kulitnya putih gebu.
“Kau warnakan rambut kau ke?” soal Wani sambil memegang hujung rambut Alisya yang panjang paras pinggang. Alisya tersenyum.
“Sikitla...depan ni je...nampak eh warna dia?” soal Alisya gusar.
“Taklah sangat. Tapi kalau duduk bawah cahaya matahari ni...nampaklah ketara beza warna hitam dan warna coklat...” kata Wani. Alisya menjelirkan lidah. Segan bila rahsianya diketahui Wani.
“Aku tengah ambil kelas memandu sekarang. Mungkin tak boleh nak teman kau lagi sekarang jalan-jalan kat kampung. Tapi, lepas habis kelas aku, aku jumpa kau...” kata Wani. Alisya mengangguk.
“Tak apa. Aku boleh jalan sorang-sorang dulu...” kata Alisya. Wani tersenyum.
“Kau dah jumpa abang Amir?” soal Wani tiba-tiba. Mata Alisya membuntang. Wajah lelaki yang ditemuinya pagi tadi tergambar di mata.
“Dah..” pantas Alisya mengangguk. Wani sengih lebar.
“Hensem kan dia..” kata Wani dalam senyum gatal. Matanya dikenyitkan kepada Alisya. Alisya terdiam.
“Hmm...okayla...” balas Alisya. Wani dan Alisya saling ketawa kecil.
“Tapi, dia tu...macam scary sikit. Mata dia...macam menakutkan...” tambah Alisya. Wani ketawa lagi.

“Dia tu, jarang nak bercakap dengan orang perempuan. Terlebih pemalu kot...Aku tanya sepatah, dia jawab sepatah...Tak best betul...potong stim nak bersembang lama-lama..” Wani galak bercerita tentang Amir. Alisya sengih. Kakinya dihayun perlahan-lahan dari bangku. Langit petang kian menyusur malam.

No comments:

Post a Comment