Friday 4 March 2016

Nota ~ Kerana Sarah Aliya (Prolog) ~ RodieR

Terdiam. Terkedu. Langkah kaki gadis itu aku perhatikan sehingga dia menghilang di sebalik sana dinding. Dan tanpa sedar, kaki ini juga menurut. Baru aku nak berpusing di sudut dinding itu, satu jeritan kecil menghentikan langkah kaki tiba-tiba. Aku angkat muka, terkejut. Hampir melanggar dia.
Dia.
Sah! Dia! Kini betul-betul di depan mata.
            “Maaf, saya tak sengaja.” Suara lembut itu yang bersuara dulu.
            Aku renung tepat pada matanya. Sepasang mata itu yang sedikit sepet, tetapi masih sama hitam pekat merenung aku kembali. Kening lebat yang sama. Wajah putih kemerahan yang sama. Sungguh, aku takkan lupa.
            “Saudara...” dua kening itu berkerut sedikit.
            “Fatimah Asyikin?” Terkeluar juga akhirnya suara dari kerongkongku.
            Dia melangkah dua tapak ke belakang. “Macam mana tahu nama saya?”
            Aku melepaskan keluhan perlahan, menahan senyum. Sama seperti wajahnya, walaupun sudah hilang bertahun-tahun dari pandangan mata, sungguh aku takkan lupa juga namanya. “Syikin...” kusebut pula panggilan itu.
            Dia meneleng kepala ke kiri, merenungku tak lepas. Senyum terasa menarik-narik pinggir bibir. Lagak itu pun masih aku ingat juga.
            “Maaf sekali lagi. Muka awak nampak macam kenal, tapi saya tak berapa ingat nama.” Dia cuba untuk berdiplomasi.
            Aku senyum betul-betul kini. “Awak kenal saya.” Dan saya memang kenal awak, sambungku dalam hati. Ya Allah, sungguh, melihat gadis ini sekarang di depan mata betul-betul mengingatkan aku akan ‘dia’.
            Dia yang bernama Sarah Alya. Dan kata Fatimah Asyikin di depan aku ini, Sarah Alya lah cinta pertama aku. Kerana dialah orang pertama yang aku sayang tanpa syarat. Hanya kerana dia ada. Dan waktu itu aku senyum pahit dalam menahan derita di hati. Kerana waktu itu dia baru saja pergi. Dan melihatkan Fatimah Asyikin hari ini mengingatkan aku kembali pada dia. Kasih, sayang, ‘cinta’ pertama aku. Dan kerana itu, aku tak mahu kehilangan Fatimah Asyikin untuk kali kedua.

            Aku, Saifudin Ali Awang Saad mengatakan ikrar itu senyap-senyap dalam hati.

No comments:

Post a Comment