Wednesday 10 February 2016

Kapcai Biru Kenari Kuning (Bab 2) ~ Fizziany

PAGI-PAGI LAGI Alisya sudah menapak ke arah jalanraya. Di pandang ke kiri dan ke kanan. Jalan yang panjang. Jalan yang agak lengang. Jalan kampung. Nun di seberang jalan, terdapat tali air yang mengairi sawah yang sedang menghijau dengan anak padi yang baru ditabur 2 minggu.
Di hujung pemandangan sawah yang luas menghijau itu, kawasan bukit bukau berwarna biru melatari pemandangan kampung itu. Satu pemandangan yang sempurna di mata Alisya!
Alisya tersenyum meleret. Dia mengepal-ngepal jemarinya. Di mana dia hendak bermula? Kakinya melangkah ke depan sedikit.
“Alis!!!” terdengar laungan Tok Cah secara tiba-tiba. Pantas Alisya memandang ke arah rumah neneknya. Kelihatan Tok Cah sedang bercekak pinggang di pintu dapur. Tok Cah menggamitnya pulang. Pantas, Alisya berlari-lari anak kembali ke laman.
“Nak kemana? Kan tok cakap, petang nanti tok bawak kamu ke rumah Wani...” kata Tok Cah dengan senduk di tangan. Tengahari ini, dia nak memasak sedap sikit. Selalunya, bila tinggal seorang diri, makan apa pun tak apa. Asalkan perut kenyang. Tapi, bila Alisya ada, dia hendak juga berebut makan dengan cucunya yang satu ini.
“Ala...tengok-tengok sawah saja...” kata Alisya protes. Risau sangat Tok Cah akan dia. Rimas Alisya dibuatnya. Tok Cah masuk semula ke dalam rumah untuk memasak.
“Masuk, mari tolong tok masak gulai ni...” arah Tok Cah dari dalam rumah. Alisya masih di luar rumah. Melalui tiang-tiang rumah yang tinggi, Alisya dapat lihat rimbunan pohon-pohon pisang yang banyak di belakang rumah neneknya. Sejak bila tok tanam pisang. Getus hatinya.
Melihat buah-buah pisang yang nampaknya sedang mahu masak dengan warna kuning keemasan yang cantik, menggamit hati Alisya untuk meneroka kawasan itu.
Alisya melangkah kaki ke belakang rumah. Pagar buluh yang di buat bagi membahagikan kawasan rumah dan kebun di buka dan Alisya terus masuk. Pokok-pokok pisang itu merimbun dengan subur. Bahkan, kebun yang nampaknya terjaga dengan elok itu langsung tidak ada semak samun. Rumputnya ditebas dengan elok. Alisya asyik mejamu mata dengan pemandangan baru itu sambil langkah kakinya makin jauh ke dalam kebun pisang.
Ada beberapa pokok nenas yang daunnya berduri di tepi telaga kecil. Alisya merapati telaga kecil itu lalu menjengah ke dalam telaga. Air telaga yang jernih membiaskan wajahnya yang putih bersih. Alisya tersenyum sendirian merenung wajahnya di air.
“Erkk..Hmm..” deheman kasar serta merta menghapus angan Alisya yang sedang tersenyum. Pantas dia tersentak dan terus menoleh ke belakang. Darah Alisya berderau bila ditegur secara tiba-tiba sebegitu.
Seorang lelaki yang berkemeja lusuh warna kelabu dan seluar jeans lusuh berwarna biru tegak berdiri di belakangnya kira-kira 5 meter darinya.  Alisya memandang lelaki itu kehairanan. Lelaki itu juga memandangnya penuh curiga. Wajah lelaki itu cerah, tampak begitu matang dengan alis kening yang panjang dan hidung yang mancung. Dagunya yang berlekuk, sukar dilihat pada lelaki biasa. Hensem...bisik hati Alisya sendirian.
Lelaki itu memandang Alisya lagi. Dia kemudian menapak perlahan-lahan ke arah telaga. Alisya hanya diam memerhatikannya tanpa suara. Lelaki itu masih memandangnya walau sedang berjalan menuju ke telaga.
Sebiji tong kecil yang diikat tali sebagai timba, diambil dan lelaki itu menjatuhkan timba itu ke dalam perigi. Alisya yang berdiri di tepinya tidak dihiraukan. Timba ditarik ke atas bila air sudah penuh. Lelaki itu terus membawa timba berisi air ke arah beberapa pokok pisang dan dia duduk di satu tunggul pokok yang sudah dicantas elok. Batu pengasah dikeluarkan dan dia terus mengasah parang di tangannya.
Alisya hanya memandang lelaki itu. Lelaki itu begitu asyik dengan kerjanya. Alisya memerhatikan sekelilingnya. Dia nampak ada sebuah rumah yang kecil di hujung kebun. Rumah itu terletak di tanah sebelah yang bersambung dengan tanah milik neneknya.
“Awak ni siapa ye...kenapa ada kat kebun pisang tok?” soal Alisya berani. Dia memberanikan diri memandang lelaki itu. Perlahan-lahan, langkahnya diatur ke arah lelaki itu. Lelaki itu tidak memandangnya, sebaliknya terus mengasah parang dengan khusyuk.
Melihat soalannya tidak berjawab, Alisya mendengus. Dipandang parang yang sedang diasah pula. Hisy...tak boleh jadi ni. Harap muka je hensem, belum tentu dia baik. Nasib tak baik, parang tu naik atas kepala aku pulak....Alisya meneguk air liur pekat. Gelisah. Adegan drama Tamil yang selalu menghayun parang kepada orang segera terbias diingatannya. Ngeri pula Alisya jadinya.
Alisya berundur perlahan-lahan. Kemudian menapak laju meninggalkan kebun pisang neneknya itu. Dari jauh, lelaki itu mengangkat wajahnya merenung langkah Alisya yang laju meninggalkannya. Lelaki itu mengukir senyum sinis, kemudian kembali meneruskan kerjanya.



“KAU ke mana?” sebaik dia muncul di pintu dapur, Tok Cah sudah bercekak pinggang. Alisya terus menuju ke meja makan tanpa rasa bersalah. Kerusi ditarik dan dia terus duduk. Tok Cah turut duduk sama, menghadap makanan yang sudah tersedia di depan mereka.
“Kebun pisang tok ke, belakang ni?”soal Alisya sambil menunjukkan ke arah belakang rumah neneknya.
“Ha’a..” angguk Tok Cah sambil mencedok nasi ke pinggan.
“Siapa yang jaga kebun tu?” soal Alisya lagi. Wajah lelaki muda tadi masih lekat di kotak ingatannya. Tok Cah  memandang Alisya kehairanan.
“Kamu pergi kebun ke tadi?” soal Tok Cah lagi. Alisya mengangguk saja. Tok Cah senyum simpul.
“Amir...Dia yang tolong jaga kebun tu...dapatlah jugak tanah tu dimanfaatkan dari dibiar penuh semak samun...Kamu jumpa dia tadi?” soal Tok Cah lagi. Dia sudah memulakan makan sebaik habis berdoa.
“Lelaki yang putih-putih...tinggi-tinggi tu ke? Hidung mancung macam hero Hindustan tu?” soal Alisya lagi. Tok Cah angguk sambil senyum gelihati.
“Sempat jugak kau menelek muka dia...” perli Tok Cah lucu. Banyak sangat tengok cerita Hindustan si Alisya nih!  Alisya menarik nafas geram.
“Scary muka dia...” Alisya membebel sabil mencedok kuah gulai  ke dalam pinggan nasinya.
“Scary? Apa tu?” soal Tok Cah bila melihat Alisya menjungkit bahunya ketakutan.
“Menakutkan!” kata Alisya. Tok Cah merenung wajah Alisya aneh.
“Budak tu baik...apa yang takutnya?” soal Tok Cah. Alisya menggeleng-geleng.
“Mata dia macam harimau bila pandang orang. Takut...” komen Alisya lagi. Tok Cah tersengih lucu.
“Dia memang macam tu. Dia tak kenal kamu lagi kot. Sebab tu dia pandang kamu macam pandang orang bersalah. Tiba-tiba masuk kebun pisang orang...Nasib baik dia tak halau kamu...” kata Tok Cah. Alisya diam saja. Wajah lelaki itu muncul lagi di ingatannya.



“ASSALAMUALAIKUM..”  suara lelaki jelas kedengaran di depan rumah. Alisya yang asyik menonton televisyen bergegas bangun membuka pintu rumah. Sebaik pintu rumah dibuka, wajah lelaki yang ditemuinya di kebun pisang pagi tadi tersembul di depan tangga. Alisya dan lelaki itu saling berpandangan. Terkedu sekejap Alisya melihat lelaki itu.
Lelaki itu juga nampak tidak selesa melihat Alisya yang membuka pintu. Lelaki itu menyeluk kocek kemejanya dan mengeluarkan sekeping sampul berwarna coklat muda.
“Tok Cah ada?” soal lelaki itu tenang sambil matanya memandang wajah Alisya. Alisya angguk pantas, kemudian masuk ke dalam rumah.
“Tok!!” Tok Cah yang baru keluar dari bilik air dipanggil segera. Tok Cah menapak ke muka pintu.
“Ada apa?” soal Tok Cah memandang Alisya yang terkulat-kulat di muka pintu. Alisya menuding jari telunjuknya ke tanah. Di hujung tangga, lelaki itu masih menanti. Tok Cah keluar ke anjung rumah.
“Oh...kau Amir. Kenapa tak naik?” pelawa Tok Cah. Selalunya, Amir akan naik ke anjung rumah dan berbual-bual dengan Tok Cah. Tapi kali ini, dia hanya berdiri di hujung tangga.
“Oh..tak apa tok. Saya nak hantar duit pisang saja...” Amir naik 2 anak tangga dan menghulurkan sampul itu kepada Tok Cah yang turun ke tangga.
“Kamu dah makan?” soal Tok Cah lagi. Langkah Amir yang nampaknya mahu bergegas pulang terhenti sejenak.
“Saya nak pergi kedai Kak Yan tok..” ujar Amir. Dia tidak biasa berbohong dengan Tok Cah. Tok Cah mengdengus.
“Tak payah susah-susah makan luar. Tok masak banyak hari ni..Jom makan!” ajak Tok Cah. Amir jelas kelihatan segan. Barangkali kerana ada anak dara yang sedang memandangnya di muka pintu dengan mata yang tak berkedip!
“Tak apa tok...Lain kali sajalah..” tolak Amir segan.
“Eh, jangan macam tu...mari!” Tok Cah sudah pun naik ke rumah dengan harapan Amir naik ke rumah juga. Alisya masih di muka pintu memandang Amir dan Tok Cah. Amir terkesima. Tok Cah nampaknya sudah ke dapur barangkali, menyendukkan nasi untuknya seperti biasa.
“Naiklah...” melihat Amir yang masih tercegat macam kulat di hujung tangga, Alisya terus bersuara. Amir menghela nafas berat. Alisya melangkah ke dalam rumah. Dengan berat hati, Amir menanggalkan kasutnya dan mendaki anak tangga ke rumah Tok Cah.



“MAKAN. Tambah lagi nasi tu...tadi tok nak panggil kamu makan sekali, tapi si Alis ni dah makan dulu...jadi tok ikut sajalah..” kata Tok Cah ramah bercerita. Sejak Amir masuk makan tadi, dia tak habis-habis bersembang pasal pisang dengan Amir. Alisya hanya curi-curi pasang telinga perbualan mereka dari atas.
“Yang tadi tu...cucu tok. Dia tinggal di Petaling Jaya. Tengah tunggu SPM. Itu yang mak dia hantar duduk sini...nak habiskan masa kat sini sementara nak tunggu keputusan SPM keluar...” panjang lebar Tok Cah bercerita tentang Alisya pada Amir.
“Oo...” dan Amir langsung tidak menunjukkan sebarang minat. Hanya..’ooo” yang keluar dari mulutnya. Tak fahamkah Tok Cah yang si Amir tu tak berminat nak tahu kisah Alisya? Alisya rasa sebal. Tidak adil kalau cerita tentangnya saja dijaja pada lelaki itu. Dia berhak juga tahu kisah lelaki itu!
Alisya bangun, lalu turun ke dapur. Dia pura-pura ke peti ais dan mengeluarkan sebotol air masak sejuk. Lalu dia turut duduk sekali di meja makan, di hadapan Amir. Amir sempat menjeling ke arah Alisya yang sedang membuka penutup botol.
“Alis...ni Amir, yang jaga kebun pisang tok..” kata Tok Cah. Alisya memandang Amir di depannya dan mengukir senyum. Hai...Rasa macam nak lambai tangan saja. Namun Amir tidak membalas senyumannya, tetapi hanya tunduk hormat. Alisya terkedu. Terus mati angannya untuk jadi peramah.
“Dah sudah ke?” soal Tok Cah bila Amir tiba-tiba bangun dan membawa pinggan ke sinki.

“Dah tok...banyak dah saya makan. Terima kasih..” kata Amir sambil membasuh pinggannya di sinki. Alisya hanya memandang Amir yang membelakanginya. Sungguh, dia tidak pernah nampak ayahnya mebasuh pinggan. Malah, dia sendiri tidak pernah membasuh pinggan. Selalunya kerja-kerja itu dibuat oleh orang gaji mereka. Melihat Amir membasuh pinggan di sinki, Alisya terpana.

No comments:

Post a Comment