Monday 15 February 2016

Mana Pelamin Qausar (Bab 3) ~ Hananee Amir

“Ada masalah dengan Munirah?” Soal Hizwan. Wajah keruh Qausar boleh dibaca dengan mudah. Kalau dengan orang lain mungkin payah.
            “Aku dah tak boleh. Aku cuba. Allah tahu aku dah cuba sehabis daya. Orang lain, termasuk kau mungkin boleh kata aku tak cuba.” Ayat dilontar pantas. Kadang-kadang rasa nak sebut je, dulu masa ada Raihana, tak nak jaga elok-elok. Cemburu tak tentu hala sampai Raihana lari bawak diri sebab kecewa. Bezanya Raihana lari acara berpasangan dengan Dr Aakhif. Qausar? Acara solo sampai sudah tak sampai garisan penamat. Hentian banyak sangat.
            “Aku tak lah kata kau tak cuba. Cuba, kau patut usaha lebih keras.” Balas Hizwan.
            “Usaha apa lagi?”
            “Ajak dia keluar. Kenali hati budi masing-masing.” Cadangan tu dah dilontar beberapa kali. Tapi Qausar keluar dengan Munirah tak sampai 10 kali sepanjang dia bertunang dengan Munirah. Alasan dia sibuk. Pelik. Kelmarin dia jumpa Sarjan Ranggie. Mulut gatal nak tanya.
            “Pilot ni kerja sehari berapa jam? Memang kerja 7 hari seminggu, 24 jam sehari ke macam mana?” Soalan itu disambut gelak besar Sarjan Ranggie.
            “Kau gila? Pilot pun orang. Kena rehat. Kau ingat robot. Robot pun mengamuk kalau kerja tak berhenti macam tu gaya.” Sarjan Ranggie geleng kepala.
            “Taklah. Pelik je. Aku ni kalau ikut, kategori gila kerja juga. Tapi tak adalah sampai kerja tak jumpa titik macam tu sekali.”
            “Kau cakap tentang siapa? Mejar Qausar?” Pandangan bertemu.
            “Ha lah…siapa lagi pilot aku kenal dalam sana tu. Dia lah sorang. Sarjan pun aku kenal kau je sorang. Kalau aku cakap dengan kau, maknanya aku cakap pasal dia lah. Kalau aku cakap dengan dia, maknanya aku mengumpat kau!” Dia gelak kecil. Sengaja nak mengusik.
            “Tak selesai lagi masalah dia?”
            “Masalah?” Tak sebut pun pasal masalah. Jangan cuba nak korek rahsia sudah. Tak dapatnya.
            “Masalah cinta dia lah. Aku tak tahu banyak. Tapi sikit-sikit ada jugak dia cerita. Dia tu baik orangnya. Tapi jiwa dia kosong. Jiwa kosong ni bahaya, macam-macam boleh masuk. Serius. Hati dia baik. Dia patut jumpa orang baik-baik juga untuk mengubat luka dia.” Dah mula lah nak misteri nusantara sangat. Ni malas cakap dengan sarjan sorang ni.
Hizwan ni pulak jenis selalu teringat-ingat. Ada sekali tu dia cerita pasal ada ‘benda’ tumpang kereta dia masa kat Highway Karak. Berhari-hari rasa ada benda masuk dalam kereta dia. Sekejap-sekejap tengok cermin pandang belakang. Sekejap-sekejap menoleh kat seat sebelah. Mulut tak berhenti baca ayat-ayat quran. CD yasin terpasang je memanjang. Tu bagusnya manusia ni kalau ada ketakutan. Dia ingat tuhan. Tapi ada satu ayat tu menyebut
Jika kamu mahu Allah mengingati kamu disaat sukarmu, maka ingatlah Allah disaat senangmu.
Gitu lah ayatnya lebih kurang. Masalah dengan manusia ni, dia ingat tuhan masa dia susah je. Masa dia senang, haram nak ingat!
            “Kalau dia kahwin, mungkin semua masalah ni akan selesai. Tapi tak ada siapa pulak berani paksa dia kahwin. Takut esok lusa jadi apa-apa. Naya kat anak orang je. Walaupun aku percaya, dia bukan hanya perlu masa. Dia perlukan seseorang. Masalahnya, seseorang tu sampai sekarang tak jumpa-jumpa.” Tambah Hizwan.
            “Jangan. Nanti naya kat anak orang je. Qausar tak buka pintu hati dia. Dia terlalu lama menunggu dipintu yang sama sampai tak nampak ada orang menanti dia di pintu yang lain. Pintu yang dia tunggu tu dah terkunci mati. Nak berharap apa lagi?” Pintu apa pulak dicarut dek sarjan ni? Cakap bahasa mudah-mudah sudahlah. Tahulah dulu cita-cita dia ni nak jadi pejuang bangsa, akhirnya jadi sarjan pejuang negara je. Tak apalah. Pejuang juga. Bidang je lain-lain. Pejuang dia tu masih sama. Kalau semua nak jadi pejuang bahasa, siapa pulak nak angkat senapang pertahankan negara walaupun Sarjan Ranggie ni kerja dia teknisen je kat dalam TUDM sana. Kira tentera jugaklah kedudukannya. Orang masih panggil tentera!
            “Entah. Susah. Nak tolong. Tapi tak tahu nak tolong macam mana lagi.”
            “Doa kan dia. Kata kawan dunia akhirat.” Hizwan sengih.
            “Kalau dia nak, dalam kem ni pun ramai je nak kat dia. Dia yang tak bukak mata luas-luas. Macam mana nak tolong kalau dia sendiri tak nak bergerak. Tengok muka serius dia tu je orang jadi takut. Padahal hati dia baik.” Sarjan Ranggie menambah.
            “Sarjan tahu pasal…”
            “Munirah?” Tak sempat ayat habis.
            “Dia cerita?”
            “Sikit je. Lagi banyak dia cerita tentang Raihana sampai aku tak boleh lupa nama tu. Nasib baik aku tak bawak masuk tidur. Mati kena pijak pulak dengan bini aku tu nanti.” Dia gelak besar. Hizwan pun. Qausar cerita pasal Raihana? Bukan dia kata dia dah tak nak sebut pasal Raihana ke? Dia cerita banyak tentang Raihana? Maksudnya dia tak move on lah kan? Ke boleh move on kalau bawak nama orang yang sama? Susah lah kalau jadi pencinta yang setia ni. Jadi kasanova lagi senang tau. Ni kasanova pencen. Dah taubat dah sekarang.
            “Jangan risau. Dia cuma keliru dengan perasaan. Tapi dia masih ingat tuhan.”
Waktu Munirah datang, Hizwan ingat Qausar akan berubah dan teruskan kehidupan. Cantik orangnya. Baik pulak tu. Hizwan ikut waktu Mak Ani hantar cincin bertunang kat rumah Munirah kat Ipoh sana. Saja menyibuk. Mak Ani ok je. Padahal masa tu Qausar malas nak  ikut. Tapi sebab Hizwan beria-ia nak ikut, maka Qausar terpaksa ikut sama. Tujuan dia ikut pun, sebab nak paksa Qausra ikut. Itu je caranya. Kalau tak, memang taklah Qausar nak ikut. Dia akan bagi sejuta sebab, kenapa dia tak boleh ikut.
            “Aku tak tahu apa patut aku buat sekarang.” Kata Qausar kemudian. Melihat Qausar bersedih, hatinya jadi sedih sama .
            “Kau nak putuskan tunang? Tu maksudnya?”
            “Aku tak nak lukakan hati mak aku.” Dia memang anak yang taat. Dalam keadaan begitu tertekan dan dihimpit perasaan pun, dia masih boleh fikirkan Mak Ani.
            “Kau patut tolak Munirah lebih awal. Kalau dulu, kau tak terima Munirah sebagai tunang, keadaan tentu tak serabut macam sekarang. Dulu aku bagi sokongan sebab aku ingat kau akan berubah lepas ada Munirah. Tapi aku silap. Sorry…aku bukan nak paksa kau. Aku cuma nak kau move on je”
            “Aku tak nak lukakan hati mak aku…” Ayat sama diulang. Ye, Qausar anak yang taat. Tapi apa bezanya sekarang dengan kemudian? Seseorang pasti terluka. Salah satu pihak kena berusaha untuk faham.
            “Cepatkan majlis nikah kau. Mana tahu bila dah jadi isteri nanti keadaannya berbeza.” Tak ke ini cadangan bagi tambah kusut keadaan?
            “Kalau tak berhasil? Cerai?” Pandangan bertemu. Hizwan jadi takut pulak dengar perkataan cerai tu.
            “Taklah macam tu.”
            “Baik aku lepas kan dia sekarang dari aku kahwin dan jandakan dia. Itu tak adil untuk dia.” Betul juga kata Qausar. Sekarang ni, yang menyukarkan keadaan sebab dah ada watak tambahan yang namanya Munirah. Duduk kat tempat heroin sedangkan hero nya masih nak heroin yang lama. Masalahnya sekarang, heroin tu dah kepunyaan orang lain. Dan heronya tak terima. Teruk betul drama ni.
            “Tangguhkan nikah lagi?” Hizwan menebak. Masuk kali ni, dah 4 kali dah Qausar tangguhkan perkahwinan.
            “Sampai bila? Cerita indon yang beratus episod tu pun, ada hujungnya. Kisah aku ni dah macam tak ada titik.” Eh! Baru sedar?
            “Dah tu?”
            “Aku nak putuskan pertunangan.” Jawapan dah dapat agak. Cuma tunggu Qausar nak menyebut je.
            “Mak Ani?”
            “Aku masih fikirkan…”
            “Dia tentu kecewa.”
            “Dia akan lebih kecewa kalau aku teruskan. Aku cuba jadi anak yang terbaik. Tapi aku manusia biasa.” Hai! Sedih pulak tengok Qausar time-time macam ni. Rasa bersalah pulak sebab dulu yang yang bagi sokongan kat Qausar untuk terima Munirah kononnya first move untuk mulakan hidup baru. Dahnya, Hizwan pun sama tak sampai hati nak kecewakan Mak Ani. Mak Ani nak sangat bermenantukan Munirah sama macam dia beria nak bermenantukan Raihana dulu. Tak naklah Mak Ani sampai kecewa dua kali. Kan dah cakap dulu, Hizwan sayang Mak Ani macam mak dia sendiri. Kecewa Mak Ani, samalah macam dia kecewakan mak dia sendiri.
            Mak Ani pulak dah awal-awal suruh Hizwan melobi Qausar supaya setuju dengan idea pertunangan yang datang tiba-tiba tu. Sebelum tu, selepas Raihana putuskan hubungan, tak ada pulak cerita Mak Ani nak tunangkan Qausar ke kahwinkan Qausar ke.
Satu hari, ada cerita Mak Ani jumpa kawan lama dia masa sekolah kat facebook. Bayangkan berapa tahun tak jumpa. Lepas tu jumpa atas bantuan facebook. Kawan Mak Ani tu datang rumah bawak anak perempuan nan cantik memikat hati Mak Ani. Mak Ani tak fikir banyak , terus cadang nak buat menantu. Nak rapatkan silaturrahim kononnya. Hujung cerita sekarang nak salahkan siapa. Takkan nak salahkan facebook pulak kan. Nak salahkan Mark Zuckerberg pulak? Ha, kerja paling senang memang yang ni lah. Salahkan orang.
            “Wan….” Nama Hizwan diseru.
            “Ha….”
            “Kalau mak aku tak mengaku anak sebab apa yang aku nak buat ni macam mana?” Eh! Qausar, dah jauh sangat kau pergi ni. Jauh sangat dah. Ni banyak sangat tengok cerita melayu ke macam mana?
            “Takkanlah sampai macam tu.”
            “Kalau mak aku halau tak bagi balik rumah terus ke?” Haish! Dah terlalu dramatik ni.
            “Mengarut lah kau ni. Fikir yang bukan-bukan.”
            “Mak aku tentu kecewa ada anak macam aku.” Anak  taat ini begitu takut melukakan hati ibunya. Ya. Tapi hidup ini kan memang penuh dengan pelbagai perasaan. Suka duka semua ada. Kecewa tu kan sebahagian darinya.
            “Mungkin…. tapi lama-lama nanti dia oklah….” Cuba bagi ayat nak senangkan hati. Kalau boleh dia pun tak nak kecewakan Mak Ani. Tak nak kecewakan Qausar. Tak nak kecewakan siapa pun dalam dunia ni. Tapi manalah ada kehidupan yang macam tu.
            “Aku takut jadi anak derhaka. Kalau aku mati sebelum mak aku maafkan aku macam mana.” Hish! Dia sebut mati pulak. Dah lah kerja dia tu terbang-terbang atas awan sana. Dengan musim cuaca tak tentu kat Malaysia sekarang ni. Dengan ribut sana sini hari-hari. Jerebu nya lagi. Dia sebut pulak pasal mati semua ni. Jangan nak menakutkan orang boleh tak?
            Takut bukan takut apalah sangat. Dalam dunia ni, kawan baik Hizwan, Qausar inilah sorang. Walaupun penat dengan cerita cinta dia yang dah tahap tenat sangat ni, tapi hati masih tak sanggup nak lepaskan Qausar. Busuk-busuk pun itulah kawan dia susah senang. Zaman-zaman sengkek dulu, masa baru-baru nak mulakan kerja, mamat pilot sengal ni lah yang selalu bagi pinjam duit tiap-tiap bulan. Ada yang tak bayar pun sampai hari ni, Qausar kata dia dah bagi halal. Ingat senang nak dapat kawan yang macam ni. Yang duit beratus pun dia boleh kata halal senang-senang?
            “Kau jangan macam-macam Sar. Sebut pasal mati pulak. Kau tu bawak-bawak bertenang sikit. Kerja kau tu bawak benda terbang. Karang dengan kau sekali melayang. Mati ni memang semua orang mati. Tapi kau tengah takutkan aku ni.” Qausar gelak.
            “Sayang juga kau kat aku.”
            “Gila tak? Aku ni nampak luaran je taiko. Dalam hati ni penuh bunga tau tak. Kau ingat senang nak cari jantan nak duduk temankan kawan jantan dia bercerita soal jiwa macam kita tengah buat ni. Aku ni berbelas tahun kawan dengan kau memang tak pernah cakap sayang. Tapi dalam hati harap kau faham dah lah. Lelaki ni jarang nak sebut-sebut sayang dengan kawan jantan. Macam gay…” Panjang pulak bebel dia.
            “Ye….aku tahu …thanks. Appreciate it.”
            “Cakap melayu sudah!”
            “Erk!”
Jeda.
            “Wan…”
            “Ha…”
            “Minggu aku nak balik kampong, bagitahu pasal hal ni…kau balik sekali ye.” Permintaan jenis apa pulak ni?
            “Kenapa? Nak aku temankan kau cakap dengan Mak Ani ke?”
            “Tak. Aku boleh cakap sendiri.”
            “Dah tu? Nak aku balik sekali buat apa?”

            “Kalau mak aku halau aku dari rumah, aku nak tumpang tidur rumah kau malam tu.” Kurang-kurangkan lah tengok cerita melayu dan Indon yang dramatik sangat. Keterlaluan sampai langit ke lapan dah imaginasi ni!

No comments:

Post a Comment