Friday 5 February 2016

Mana Pelamin Qausar (Bab 1) ~ Hananee Amir

Bukan semua kisah cinta hujungnya bahagia. Bukan sikit kisah cinta tamatnya derita. Kita merancang, Allah yang menentukan. Cinta bukan indah macam tulisan novel, macam drama kat tv. Hidup ni skripnya kadang-kadang jauh tersasar. Bukan silap siapa-siapa. Memang begitu kejadiannya. Ada masanya,  Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah. Agar kita bersyukur saat kita bertemu orang yang benar.
            Kisah cinta Raihana dan Qausar pada sesetengah orang barangkali hanya cinta monyet biasa. Kisahnya bermula sejak tingkatan 3. Hubungan Raihana dan Qausar bukan lagi rahsia. Saamada Pak Usin atau Haji Salim, samaada Hajah Maznah dan Mak Ani, keduanya sudah memberi restu. Jarak rumah keduanya juga tak jauh mana. Sepelaung je bak kata Haji Salim. Semuanya nampak mudah pada mulanya. Semuanya nampak elok-elok saja. Tapi kita bukan siapa-siapa, untuk meneka apa yang akan berlaku keesokan harinya.
            “Aku memang berkenan nak buat Rai jadi menantu aku Nah. Kalau kau tak ada halangan.” Kata Mak Ani. Dulu. Waktu tu Raihana baru tingkatan 4. Hajah Maznah yang sedang menatang dulang kopi tergelak kecil. Baru tingkatan 4 dah ada orang cop!
            “Baru tingkatan empat je Ani oi. Lap hingus pun belum bersih lagi. Karang tak pasal-pasal kita pulak kena lap hingus dia orang. Dengan tisu lap hingus tu sekali kita yang kena belikan. Dah jauh sangat kau fikir tu.” Balas Hajah Maznah.
            “Kau tak setuju? Kau tak suka Qausar jadi menantu kau?” Mak Ani macam tak puas hati sebab Hajah Maznah macam tak setuju dengan cadangan dia. Dan lagi, reaksi Hajah Maznah macam nak tolak anak kesayangan dia. Mestilah dia merentan. Anak kesayangan dia tu.
            “Tak adalah macam tu. Aku pun suka kalau Qausar jadi menantu aku. Rumah pun dekat. Anak aku, itulah Raihana seorang. Kalau kahwin orang dekat, senang sikit nak berunding balik raya nak-nak nya. Tapi kau tak rasa terlalu awal nak bukak cerita pasal berbesan?” Belum apa-apa, dah fikir tentang rundingan nak balik raya. Bahu Mak Ani ditepuk perlahan. Takut lah Mak Ani kecik hati.
Mana lah tahu dia fikir lain pulak. Padahal Hajah Maznah tak niat pun nak rendah-rendahkan dia dan keluarga dia tu. Jujurnya, Hajah Maznah memang berkenan dengan Qausar juga. Budi bahasanya baik. Paling penting, Qausar rajin nak solat ke masjid walaupun dia masih muda. Nampak tu? Ciri-ciri menantu pilihan? Susah nak cari budak muda baya-baya dia tu, selalu ke masjid apatah lagi solat subuh. Sebut pasal jihad, perjuangan segala, berdegar-degar sampai Gunung Fuji pun boleh runtuh. Nak bangkit solat subuh je tak berdaya memaksa diri.
            “Zaman sekarang Nah, zaman siapa cepat, dia dapat.” Mak Ani separuh bisik.
            “Kira kau cop Raihana lah?” Hajah Maznah gelak.
            “Kalau kau sudi. Kau boleh cop Qausar sekali. Budak-budak tu pun suka sama suka aku tengoknya. Aku setuju je. Dari dia pilih budak yang tak tentu hala kat luar, baik dia pilih jiran tetangga yang dah tahu busuk masamnya.” Sungguh-sungguh Mak Ani menanam impian. Hajah Maznah tak ada bantahan. Macam yang dia cakap awal-awal tadi. Dia memang tak ada halangan.
            Waktu zaman sekolah, semuanya baik-baik saja. Raihana dan Qausar memang jarang nak bergaduh. Gaduh sikit-sikit tu biasalah. Cemburu sikit-sikit pun biasalah. Semuanya aman damai saja. Qausar penyayang orangnya. Raihana pulak manja. Kan dah kena padanannya tu.
            “Nanti Rai tak nak tunggu lama-lama.” Kata Raihana kat buaian besi bawah rumah. Kat situlah selalunya Raihana, Qausar dan Hizwan melepak bertiga. Tiga orang ni memang kawan baik sejak sekolah rendah lagi. Hizwan ada sama waktu tu. Sibuk dengan komik Naruto kat tangan. Hanya sekali sekala saja dia menyampuk. Selebihnya dia khayal dalam dunia anime nya. Dia ni memang hantu komik. Segala jenis komik dia baca. Dragon Ball, Mutiara Naga, Raja Rimba, Juara Wira, Dewata Raya.
            “Maksud?” Qausar kerut dahi.
            “Rai nak habiskan study, lepas tu kita kahwin terus.” Itulah yang Qausar paling suka dengan Raihana. Dia sangat berterus terang. Apa yang dilihat, itulah dia yang sebenarnya. Dia tidak bersembunyi disebalik apa-apa. Yang buruk nampak begitu. Yang baiknya pun nampak begitu. Ah! Masa suka memang semuanya nampak indah!
            “Mana boleh. Kena tunggu saya confirm jadi pilot. Kapten Ghazi kata, masa masih dalam latihan, tak boleh kahwin.” Balas Qausar. Dalam tak suka dan tak minat jadi pilot macam impian Mak Ani tu, dia cari juga maklumat sikit-sikit dari Kapten Ghazi. Anak Wan Seman ketua kampong tu. Cita-cita dia nak jadi engineer. Sama macam cita-cita Hizwan juga. Tapi Mak Ani nak dia jadi pilot. Terbang tinggi mencari cinta katanya. Jadi antara impian dia dan impian Mak Ani, dia dulukan Mak Ani. Dalam segala hal, memang dia akan dulukan Mak Ani. Macam mana Mak Ani boleh tak sayang dia? Macam mana Qaisara tak jadi cemburu dengan Qausar sebab Mak Ani selalu menyebut dia? Anak taat dan patuh macam ni, dah susah nak dapat dalam dunia.
            “Lama lah?” Muka kecewa habis. Boleh bayang budak tingkatan empat, cerita pasal nikah kahwin lepas tu kecewa sebab tak boleh kahwin awal? Nak sebut apa? Gatal?
            “Kalau ikut Kapten Ghazi. Umur 25 dah boleh kahwin. Oklah time tu. Masuk UTM, jadi pegawai kadet. Diploma Kejuruteraan Aeronautik 3 tahun. Lepas tu akan diserapkan ke Pusat Latihan Terbang untuk  ambil basic flying dalam dua tahun. Tamat basic flying nanti, akan dianugerahkan  ‘sayap penerbangan’. Lepas tu kena ikut conversion course samaada untuk pesawat pejuang, pesawat angkut atau helicopter. Dalam umur 23 macam tu, baru jadi pilot dengan title leftenen. Time tu baru boleh kahwin.” Kapten Ghazi tu, senior Qausar masa kat sekolah menengah yang dah jadi pilot dah pun. Jadi banyak juga maklumat yang dia dapat dari Kapten Ghazi. Semua maklumat tu dia dapat dari Kapten Ghazi lah.
            “Kata tak nak jadi pilot. Tapi beria cari maklumat macam dah tak sabar sangat nak terbang.” Raihana senyum senget sengaja nak sindir. Dia bukan kisah pun Qausar nak jadi engineer ke, nak jadi pilot ke hatta nak jadi tukang kebun ke. Yang penting kerjanya halal. Cuma dia memang tahu yang Qausar nak jadi engineer sama macam Hizwan. Tapi Mak Ani nak dia jadi pilot. Itu je. Hal anak beranak, dia malas nak campur. Makwe boleh cari kat mana-mana. Mak, itulah seorang sampai bila-bila tak ada galang gantinya.
            “Itu dikenali sebagai ‘anak yang taat’” Tiba-tiba Hizwan buat gaya nak termuntah. Nampak sangat sambil baca komik dia tu, dia duk pasang telinga. Dia ni memang selalu je menyibuk kat mana-mana Raihana ada. Sebab dia kata, lelaki dengan perempuan kalau berduaan, akan ada yang ketiga iaitu syaitan. Raihana tanpa perasaan pun kata.
            “Jadi kau lah syaitan tu. Kau yang ketiga.” Qausar menghambur tawa besar.
Syaitan tak syaitan pun, Hizwan tu lah kawan terbaik yang Raihana dan Qausar ada. Disebalik sikap dia yang kadang-kadang atau lebih tepat, ‘selalu menjengkelkan’. Tapi tu lah juga kawan yang paling kawan, kawan yang paling faham. Tutup mata sebelah dengan perangai menjengkelkan dia tu, maka Raihana dan Qausar akan bersyukur sebab ada kawan yang ‘hampir sempurna’. Kawan susah senang. Kawan yang mulut macam puaka tapi hati macam malaikat. Tapi yang tu, dia sebut dalam hati je. Tak nak Hizwan dengar. Saja tak nak bagi Hizwan mengepak. Nanti dia jadi riak, pahala dia pun jadi kurang!
            “Ok..Rai tunggu. Tapi tak nak lama-lama tau.” Getik sungguh lah perbualan. Hizwan punyalah berbulu mendengar siap buat muka menyampah semua. Ni kalau muntah dah bukan warna hijau lagi. Merah, oren, jingga, semua ada dah ni.
            “SPM tak habis lagi dah bincang pasal kahwin? Apa ke masalah kau orang ni? Kau ingat kahwin tu senang? Macam main pondok-pondok?” Sampuk Hizwan. Komik tiga buah dah habis dibaca. Dia lunjur kaki. Menguap dan menggeliat. Kalau komik memang gigih dia baca. Baca 3 komik pun tak rasa apa. Cuba kalau baca buku sejarah ke, geografi ke, 3 mukasurat pun dah menderita gila rupanya. 
            “Cerita kahwin bukan cerita mulia ke? Bukan impian mulia?”
            “Mulialah. Tapi kalau yang sebut pasal kahwin tu budak umur 16 tahun, tak ke gedik namanya.” Hizwan gelak. Kasanova sorang ni manalah ada fikir nak kahwin. Tukar perempuan macam tukar baju je. Mentang-mentang lah muka handsome.
            Hubungan baik tu berubah sedikit demi sedikit selepas Raihana masuk UPM. Mereka dah selalu bergaduh. Jarak barangkali memisahkan. Kejujuran mula jadi keraguan. Qausar dulu tak ada nak cemburu-cemburu sangat. Kalau sikit-sikit tu adat. Raihana tak pernah rasa terkongkong. Raihana ni pulak, memang tak suka dikongkong. Maklumlah, dia kan anak tunggal. Biasa dapat apa yang dia nak. Biasa diturut apa yang dia mahu. Tegur sikit-sikit tu adalah. Setakat tegur, pergi Hari Sukan pakai baju lengan pendek, setakat tegur jangan bergurau senda sampai bertepuk tampar dengan Hizwan tu masih biasa. Sebab dia kata walau macam mana rapat pun Raihana dengn Hizwan, tarafnya tetap bukan muhrim jadi tak payah nak bertepuk tampar sangat. Dosa tetap dosa. Cemburu nombor dua, tegur-menegur, tu yang utama. Bila Raihana masuk UPM dan Qausar kat UTM, ceritanya dah berbeza.
            “Kau rilek lah. Apa gelabah sangat ni. Aku ada, aku tengokkan Rai. Jangan risaulah. Tumpukan perhatian pada pelajaran kau. Tu lebih utama dan lebih penting. Kau ingat, Mak Ani nak kau jadi pilot. Jangan sebab hal-hal macam ni nanti Mak Ani jadi kecewa. Raihana memang penting. Tapi Mak Ani lebih penting. Kau kan anak yang taat. Ingat tu.” Bebel Hizwan kat telefon waktu Qausar call semata-mata tanya pasal Raihana.
            “Kau tu jangan rapat sangat dengan Aakhif.” Tegur Hizwan sewaktu dia dan Raihana berjalan pulang balik ke kampus selepas tamat kuliah. Satu petang yang damai, dalam jerebu sumbangan jiran kesayangan, Indonesia. Nafas rasa sesak tapi malas nak pakai mask. Jadi sedut jelah jerebu yang bau asap tu. Time ni tak payah nak gigih sangat sembur perfume yang mahal-mahal sebab semuanya akan bertukar menjadi bau sama je. Asap!
            “Kau dah kenapa? Terhasut dengan Qausar?” Raihana tarik muka.
            “Kau keluar dengan Aakhif kan semalam? Pergi Mines?” Raihana tarik muka lagi satu darjah. Lebih masam dari tadi. Kalau tak kerana Qausar sungguh-sungguh suruh jaga dan tengok-tengokkan Raihana, dia memang malas nak masuk campur hal Raihana ni. Dah besar panjang. Tegur sikit, muncung dua tiga hari. Dia buat semua ni semata-mata kerana Qausar je. Lagipun, Hizwan yakin Raihana tahu jaga diri. Hizwan yakin. Raihana jujur dan setia dengan Qausar. Cuma masalahnya Qausar tak yakin. Dan Hizwan jadi mangsa kat tengah-tengahnya!
            “Bukan berdua pun. Aleya dengan Tony ikut sekali.” Dia jeling.
            “Tak cakap dengan aku pun.”
            “Dah sejak bila aku kena report semua aktiviti aku dengan kau?” Ha! Nampak? Nampak tak yang Raihana ni tak faham bahawa beban dan amanah yang terpikul dibatu jemala Hizwan dari Qausar untuk jagakan dia ni amat besar? Ini cerita amanah. Raihana tahu tak, orang yang tak memenuhi amanah tu adalah salah satu ciri-ciri munafik? Takkan tu pun nak cerita kat dia padahal dia ni sekolah agama tinggi juga. Anak imam terkenal lagi kat kampong sana. Nak sangat anak kerani sekolah macam Hizwan ni terangkan semua? Nak suruh kasanova ni cerita bab agama? Bab setia? Huh!
            “At least kau bagitahu lah aku kau nak ke Mines dengan Aakhif, dengan Leya, dengan Tony. Kalau Qausar tanya, senang aku nak jawab. Kau pun tahu sekarang ni Qausar buat aku macam cctv kat sini. Hari-hari call aku tanya pasal kau. Dah tu apa nak jawab?”
            “Cakap jelah kau tak tahu. Susah apa.”
            “Kalau Qausar tu terima perkataan tak tahu ..senang kerja aku. Aku record je. Bila Qausar call, aku tekan play je. Masalahnya dia tak nak jawapan tak tahu.”
            “Kalau tak pun kau reka je cerita apa-apa. Qausar percayakan kau.” Senangnya dia cakap. Sekarang ni, nak cakap dengan Raihana susah. Nak cakap dengan Qausar lagi susah. Dua-dua tak dengar kata. Kalau tahu nak jadi macam ni. Baik dia apply universiti kat Maldives ke, kat Papua New Guinea ke. Jadi tak payah terbabit dengan masalah cinta dua makhluk yang bermasalah ni. Tapi tak tahu pulak Maldives dengan Papua New Guinea tu ada ke universiti? Lagipun kalau study jauh-jauh sangat nanti dia rindu pulak dengan Qausar. Dia ni memang tak boleh lama tinggalkan Qausar. Gaduh pun gaduh jugak. Tapi berpisah lama-lama memang tak boleh.
            “Ni amanah. Kalau aku tipu, dah jadi tak amanah. Tak amanah tu dosa. Munafik. Ada paham?” Rasa nak marah. Memang dah marah pun. Raihana dengan Qausar ni kira dia punya marah je. Ingat Hizwan tak tahu nak marah? Kasanova pun tahu marah tau.
            Mulanya Hizwan ingat semua tu sementara je. Yelah, dulu duduk dekat-dekat. Nampak depan muka. Sekarang dah jauh. Hizwan ingat jeles sikit-sikit, gaduh sikit tu biasa. Makin lama makin jadik teruk pulak. Hizwan dah cuba seberapa daya nak tolong. Tapi akhirnya dia tak terdaya juga.
Sejak Raihana hantar gambar dia dengan Aakhif, masa tu kat puncak gunung mana entah untuk satu aktiviti kelab, cemburu Qausar makin tak terkawal. Hizwan mulanya tak salahkan Qausar. Salah Raihana juga. Yang cari pasal hantar gambar-gambar macam tu kenapa? Sebenarnya banyak juga gambar yang Raihana hantar melalui email pada Qausar. Niat dia nak bercerita tentang aktiviti kelab dia je. Qausar jadi cemburu sebab salah satu gambar yang dihantar tu ialah gambar Raihana dengan Aakhif. Gambar duduk atas batu pegang bendera UPM je. Bukan gambar berpeluk cium ke bermesra-mesra ke. Tak. Tapi kalau dah namanya cemburu buta. Dengan bendera pun dia nak cemburu. Start dari tu, Raihana dan Qausar dah selalu sangat bergaduh. Mangsanya sekali lagi, Hizwan.
Kat UPM, Raihana tak nak dengar cakap Hizwan padahal Hizwan dah janji dengan Qausar nak jaga Raihana. Kat UTM pulak, Qausar tak tentu arah asyik call Hizwan tanya pasal Raihana.
“Ni kau orang ni…. kalau tak kerana Qausar tak boleh kahwin sampai tamat kursus, aku memang nak suruh kahwin je. Kau orang yang bercinta, aku yang jadi gila. Aku ada 10 girlfriend pun tak huru hara macam kau orang ni tau!” Marah Hizwan pada Raihana. Dia berani marah Raihana jelah. Dengan Qausar dia tak cakap apa pulak. Lain.
Gaduh tak gaduh, cemburu tak cemburu pun, hubungan Raihana dan Qausar masih boleh dipertahan sampai semester akhir pengajian. Sekejap baik. Sekejap gaduh. Sekejap cemburu. Sekejap ok. Selalunya yang ok tu time cuti semester bila Raihana balik kampong dan duduk rumah je. Time tu tak ada gaduh. Time tu, dia orang sambung balik plan nak kahwin awal dia orang tu sambil Hizwan rasa tambah berbulu kat hati dengan telinga. Tapi bila semester bermula semula, start gaduh semula. Startlah Hizwan juga yang jadi mangsa.
Sampai lah satu hari disemester akhir. Semuanya berakhir disitu kerana satu peristiwa yang membuat Qausar kesal sampai bila-bila.

12 tahun lalu, ceritanya pun bermula…

No comments:

Post a Comment