Thursday 4 February 2016

Kapcai Biru Kenari Kuning (Bab 1) ~ Fizziany

KERETA MERCEDES BENZ  berwarna hitam metalik menyusur jalan kecil di hadapan rumah kampung Tok Cah.  Bunyi deruman enjin kereta tersebut membuatkan Tok Cah segera keluar ke anjung rumah untuk menyambut ketibaan anak menantunya. Semalam, anak perempuannya Puan Narimah telah menelefonnya dan memaklumkan akan kepulangan mereka hari ini. Besar hati Tok Cah mendengar berita itu.
Bila kereta itu sudah berhenti, Tok Cah sudah turun ke tanah. Anak tudung yang dipakai di kepalanya, dibetulkan sekali-sekala. Bimbang ada anak rambut yang terjulur keluar. Isi perut kereta keluar dan menampakkan susuk tubuh masing-masing.
“Assalamualaikum mak,” ramah Puan Narimah menyapa Tok Cah sebaik keluar dari kereta. Tubuh Tok Cah yang sudah bongkok sedikit diraih ke dalam pelukan. Suaminya, Encik Ahmad Kamal keluar dari kereta dan menyalami tangan Tok Cah sambil bertanya khabar.
“Mana Alis?” Tok Cah menjengah ke tempat duduk belakang kereta yang agak lewat dibuka dari dalam. Puan Narimah turut memandang. Encik Ahmad Kamal pula sedang membuka but kereta untuk mengeluarkan barang-barang mereka.
“Tu...” muncung mulut Puan Narimah dihala ke arah anak gadisnya yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Alisya keluar dengan langkah lemah lalu mengukir senyum ketat di wajahnya.
“Haa...dah besar...lama tok tak jumpa kau,” Tok Cah menghampiri Alisya dan mereka berpelukan.
“Tok sihat?” soal Alisya sambil memandang neneknya.
“Sihat...jom, masuk dalam. Makan...korang mesti penat jalan lama sangat...” Tok Cah merangkul tubuh Alisya dan mereka beriringan naik ke rumah kayu yang berwarna kuning itu. Puan Narimah membantu suaminya memunggah barang lalu mereka naik ke rumah Tok Cah.





“ DIA  tak marah ke?” soal Tok Cah bimbang. Dia tahu, Puan Narimah mahu meninggalkan Alisya bersamanya beberapa bulan ini sementara menanti keputusan SPM keluar. Sebulan selepas peperiksaan, Alisya agak nakal di bandar bilamana dia asyik keluar berparti dengan rakan-rakan sebayanya.
Hal itu membimbangkan Puan Narimah. Dia dan suami tidak ada masa untuk melayan Alisya yang tinggal seorang diri di rumah. Tapi, mereka juga bimbang dengan aktiviti sosial anak mereka yang agak bebas. Meskipun mereka kenal rakan-rakan Alisya, tapi bagi Puan Narimah, anak perempuan tak elok keluar malam-malam hingga lewat malam. Bila ditegur, Alisya asyik marah-marah.
Alisya memang degil. Dia anak tunggal. Di tinggalkan dengan pengasuh sejak kecil hingga umurnya remaja. Selepas itu, dia bersendirian dan banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawannya. Puan Narimah melihat Alisya membesar dengan kadar yang tidak seimbang. Hendak diajar bagaimana lagi, Puan Narimah sendiri tidak tahu. Cara paling akhir untuk menyekat kebebasan Alisya adalah, menghantarnya ke kampong dan tinggal bersama neneknya buat sementara waktu. Puan Narimah sangat berharap agar ibunya, Tok Cah dapat mengajar Alisya serba sedikit tentang hidup di kampong. Mudah-mudahan, Alisya dapat berubah sedikit.
“Marah ke tidak, itu keputusan saya mak. Dia kena ikut...dok kat bandar pun, asyik merayap je. Langsung tak lekat kat rumah! Saya nasihat beratus kali pun, dia langsung tak peduli...” kata Puan Narimah. Tok Cah menghela nafas. Dia memandang wajah Puan Narimah.
“Kau ni, bertegas sangat dengan dia sejak kecil...cubalah fahami sikit kehendak dia...takdelah dia asyik nak memberontak saja..” kata Tok Cah meberi pendapat. Puan Narimah menghela nafas berat.
“Kehendak dia terlalu luas mak. Susah nak penuhi. Itu nak...ini nak...tengok orang macam ini, nak macam ini. Tengok kawan macam itu, nak macam itu. Dia tak tahu yang betapa susahnya saya dan ayah dia berusaha untuk dia...” keluh Puan Narimah. Tok Cah menelan air liur pekat. Dia mengeluh.
“Hmm...habis tu, muktamad la ni? “ soal Tok Cah. Puan Narimah angguk lagi. Tok Cah merenung Puan Narimah yang sedang menghirup teh o di depannya.
“Sebagai ibu, aku nak kau banyak berdoa untuk dia. Doa seorang mak ni...mustajab. Itu yang boleh merubah dia...” pesan Tok Cah. Puan Narimah memandang Tok Cah. Dia menghela nafas payah. Perlahan-lahan dia mengangguk. Tok Cah bangun menuju ke sinki. Puan Narimah pula, termenung seketika.



                                                                                     

ALISYA  merenung kereta yang sudah jauh meninggalkan rumah kampung neneknya. Tok Cah tinggal seorang diri setelah kematian suaminya 7 tahun lalu. Walau dia sudah tua, tapi tubuhnya masih kuat. Rumah kampung yang agak besar dengan 4 bilik itu kekal bersih hasil jagaan Tok Cah.
Alisya berpaling ke belakang. Dilihatnya Tok Cah sedang duduk di kerusi rotan di anjung rumah memerhatikannya. Alisya melangkah naik ke anjung rumah lalu melabuhkan punggungnya di kerusi rotan sebelah Tok Cah.
“Mana pergi basikal tok dulu?” soal Alisya. Sejak tadi, dia tercari-cari basikal Tok Cah yang dulu pernah ditungganginya. Tok Cah memandang Alisya.
“Nak buat apa basikal tu?” soal Tok Cah. Dia tertawa kecil di dalam hati. Budak ni memanglah! Baru sampai je, dah nak berjalan.
“Ala...nak jalan-jalan pusing kampunglah. Lama  dah Alis tak jalan sini. “ kata Alisya sambil memegang tangan Tok Cah.
“Kau ni..tok ikat kaki tu baru tahu...mak kau dah pesan kat tok, jangan bagi kau berjalan sangat...” kata Tok Cah.
“Allaaa.....” Alisya menghenyakkan punggungnya ke kerusi rotan tanda protes.
“Tok janganlah jadi macam mak...asyik nak kongkong Alis...Itu tak boleh, ini tak boleh. Bosanlah duduk saja..” rengek Alisya sambil mengusap lengan Tok Cah. Tok Cah bangun dari kerusi dan mahu masuk ke dalam rumah. Alisya cepat-cepat membuntuti langkah Tok Cah.
“Haa...ada sebab kenapa orang tua-tua tak bagi kita buat itu, buat ini...semua tu untuk kebaikan kita Alis. ..” bebel Tok Cah sambil menghala ke bilik yang bakal diinapi Alisya.
“Alis tahu...tapi, Alis bosan duduk saja...Alis nak jalan-jalan, baru luas pemandangan...luas pengetahuan...” ujar Alisya berfalsafah. Tok Cah tersengih lucu. Bantal yang baru ditukar sarung di letak ke kepala katil.
“Banyaklah kau punya luas pengetahuan...Dah! Dah! Basikal tu tok dah jual kat lori besi buruk. Dah rosak..” kata Tok Cah. Selimut dari dalam almari yang lama tidak terusik di letak ke katil. Alisya mengeluh kesal.
“Jual? Ala...habis tu, nak gi jalan naik apa...” keluh Alisya. Langkah Tok Cah yang keluar dari bilik itu diekori lagi. Tok Cah masuk ke biliknya. Alisya masih ikut.
“Duduk rumah sajalah. Orang perempaun tak elok asyik berjalan sangat...” ujar Tok Cah acuh tak acuh. Kali ini Alisya sudah hilang bicara. Sebelum Tok Cah membuka kisah zaman anak daranya, lebih baik dia  diam, sekaligus mematikan perbualannya dengan Tok Cah.
Fine...dok rumah aje...” keluah Alisya sambil memandang Tok Cah dengan rasa jengkel. Tok Cah buat tidak peduli. Dia bersiap-siap untuk sembahyang Maghrib.



MALAM. Bulan penuh mengambang gah di langit  malam. Deretann bintang-bintang yang menaburi langit begitu jelas kelihatan di angkasa. Cahaya bulan yang menyimbah alam begitu indah di mata Alisya. Alisya terus mendongak merenung langit.
“Tak lenguh ke tengkuk kau tu...” sapa Tok Cah tiba-tiba. Suis lampu di tekan sekaligus memantulkan cahaya terang di anjung rumah yang menghadap jalanraya.
“Alaa..tok! Tutup lampu tok! Jangan buka  lampu!” teriak Alisya. Tok Cah terkedu, namun segera mematikan suis lampu.
“Apa tak kena dengan kau ni? Dok bergelap kat sini...” marah Tok Cah.
“Kalau pasang lampu, tak nampak bintang kat langit...” kata Alisya dengan kepala yang masih mendongak merenung langit. Tok Cah menghampiri Alisya dan turut sama menjengah langit. Benar, malam itu cukup cantik. Bulan penuh dan bintang-bintang mencerap langit.
“Macam tak pernah tengok bintang...” juih Tok Cah seraya duduk di kerusi rotan di anjung.
“Tok...kat bandar, Alis tak pernah nampak bintang! Alis tak pernah tengok langit secantik ni...Rupanya, bila semua lampu ditutup, bila cahaya kat bumi tak ada, barulah kita nampak bintang yang bersinar kat langit....” ujar Alisya teruja. Tok Cah menggeleng-geleng. Dia tersenyum.
“Tok! Tengok tu! Ada bintang berderet tiga...” tunjuk Alisya kepada Tok Cah. Tok Cah jungkit kening.
“Tok dah tengok hari-hari...” ujar Tok Cah sambil menjuihkan bibirnya.
“Tok ni tak sportinglah!” getus Alisya sambil mendengus geram. Tok Cah sengih lucu. Dia meninjau ke arah jalan. Kelihatan beberapa buah motorsikal yang melalui jalan kampung di hadapan rumahnya. Pasti itu motorsikal orang kampung yang baru pulang dari surau mengerjakan solat Isyak.
“Jomlah masuk Alis. Dah malam ni...tak elok duduk lama-lama kat luar malam-malam ni...” kata Tok Cah sambil bangun.
“Ala...Alis nak tengok bintang dan bulan...” kata Alisya.
“Esoklah pula..” pujuk Tok Cah.
“Ala...awal lagi...belum pukul 10 pun...” kata Alisya lagi.
“Masuk...kita ni berdua je perempuan tinggal dalam rumah ni. Nampak dek orang, tak manis berembun lama-lama kat luar ni...bahaya..” kata Tok Cah.
“Apa yang bahayanya tok..ni kan kampung. Mana sama dengan KL..Kat kampung, takkan bahaya jugak..” kata Alisya. Tok Cah menarik nafas geram. Budak ni memang suka menjawab!
“Hati orang kita tak tahu Alis...nenek bimbangkan kau tu...” marah Tok Cah. Alisya diam, merenung Tok Cah.
“Dah...jom masuk...” arah Tok Cah sambil mebuka pintu rumah. Alisya merenung Tok Cah. Matanya terkedip-kedip merenung Tok Cah. Tok Cah juga tak ubah seperti emak. Banyak betul peraturan!

“Jom....” keras sikit suara Tok Cah kali ini. Dia sudah melangkah bendul mahu masuk ke dalam rumah. Alisya menghela nafas geram. Lambat-lambat, langkahnya diatur masuk ke dalam rumah kampung itu. Tok Cah mengunci pintu rumah. Alisya terus menghala ke biliknya.

No comments:

Post a Comment